Followers

Tuesday, December 16, 2008

Coretan Ringkas Kemboja 2008

Alhamdulillah, perjalanan Kebajikan ke Kemboja untuk melaksanakan ibadah korban pada tahun ini telah berjalan dengan lancar dan dapat disempurnakan amanah tersebut dengan baik. Moga Allah memberikan rahmat dan keberkatan kepada semua yang telah menyumbangkan pelbagai bentuk sumbangan dalam program korban Kemboja ini sama ada melalui ibadah penyembelihan korban, aqiqah, sumbangan waqaf telaga, sumbangan kepada guru qur'an, sumbangan kepada fakir miskin dan sebagainya.

Saya bersama dua orang sahabat iaitu Ustaz Rijaluddin Yahya (Pengerusi PAKSI cawangan Parit Buntar) dan ustaz Nazmi Desa dari Lunas, Kedah telah memulakan perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kemboja pada 9 Disember 2008 . Kami sampai di LCCT pada pukul 2 petang. Penerbangan menggunakan pesawat AirAsia yang mengambil masa lebih kurang 1 jam 45 minit untuk sampai ke Phnom Penh itu sepatutnya bertolak pada pukul 3.15 petang, namun ia 'delay' lebih kurang satu jam. Penumpang ke Phnom Penh pada petang itu agak ramai dan LCCT juga agak sesak dengan kebanjiran penumpang yang tidak sabar-sabar untuk 'terbang' ke destinasi yang pelbagai. Sementara menunggu ketibaan kapal terbang, saya sempat 'bersembang' dengan beberapa delegasi lain pada petang itu yang turut sama ke Kemboja untuk melaksanakan ibadah korban. Antaranya ialah Pengerusi Darul Fuqaha' iaitu Ustaz Khairuddin Aman Razali bersama adiknya Ustaz Harmi.

Oleh kerana jadual penerbangan tertangguh, maka kami sampai ke Phnom Penh agak lewat iaitu sekitar pukul 5.15 petang waktu Kemboja (bersamaan pukul 6.15 petang waktu Malaysia). Setelah urusan mengambil bagasi selesai, kami pun keluar menuju terminal. Di luar terminal, sudah ada orang yang menunggu untuk menjemput kami iaitu Ramli dan Pau; seorang boleh berbahasa Arab dan seorang lagi boleh berbahasa Melayu. Mereka berdua telah diminta oleh Ustaz Sulaiman Cambodia untuk menjemput kami, lalu kesempatan itu digunakan untuk berta'aruf dengan mereka. Pada malam itu kami menginap di Hotel Asia, Phnom Penh. Harga bilik dengan 2 katil 'queen' ialah 30 USD satu malam.

Pada keesokan hari iaitu selepas solat Subuh dan sekitar jam 6 pagi, Ustaz Sulaiman datang menjemput kami untuk ke lokasi korban. Lokasi pertama ialah ke Kampung Soum iaitu di sekitar tempat yang bernama Chong Sayt (tak pasti ejaan sebenar). Perjalanan ke sana dari Phnom Penh mengambil masa lebih kurang 3 jam. Sampai di sana, orang kampung dan wakil-wakil kampung lain (lebih kurang 10 kampung) sudah sedia menanti. Program dimulakan dengan tazkirah yang disampaikan oleh Ustaz Sulaiman Cambodia dan saya sendiri, kemudian penyembelihan korban pun dilakukan. Sebanyak 15 ekor lembu korban selamat disembelih di situ dan diagih-agihkan kepada wakil 10 kampung. Sumbangan kepada fakir miskin dan guru-guru Quran turut diberikan selepas selesai penyembelihan korban.

Seterusnya kami ke kampung Ma Prang. Di situ 10 ekor lembu disembelih untuk diagihkan kepada beberapa kampung di sekitar itu. Penyembelihan dilakukan secara 'berpusat' iaitu disembelih lembu korban di satu kampung , lalu dari situ wakil-wakil dari kampung lain datang untuk mengambil lembu korban untuk kampung mereka. Cara sebegini dilakukan supaya dapat menjimatkan masa, apatah lagi terdapat kampung yang terlalu 'ulu' dan jauh ke dalam yang mengambil masa agak lama dan menyukarkan untuk sampai ke sana. Justeru, dijemput wakil dari kampung tersebut untuk datang mengambil lembu korban.

Seterusnya perjalanan 'korban' diteruskan ke kampung Pray Cekay. Setelah menunaikan solat jamak Zohor dan Asar di Masjid kampung tersebut, sembelihan korban pun dijalankan. Setelah itu, perjalanan diteruskan pula ke Kg Keh untuk penyembelihan korban di situ pula. Selepas itu, kami pun ke Kampot (tak ingat kampung apa). Pada malam itu, kami balik ke tempat penginapan dan sampai pada pukul 10.15 malam. Keletihan amat terasa kerana sehari suntuk terlibat dengan program sembelihan korban, di samping program tazkirah dan penyerahan sumbangan

Pada hari seterusnya, perjalanan 'korban' dimulakan sejak pagi dan beberapa kampung juga sempat dikunjungi untuk pelaksanaan sembelihan korban ini. Alhamdulillah, secara keseluruhannya 83 ekor lembu dapat disumbangkan ke beberapa tempat di Kemboja ini iaitu 77 ekor untuk ibadah korban dan 6 ekor untuk aqiqah. Sumbangan lembu tersebut telah diagihkan ke beberapa wilayah atau kampung seperti Kampung Jual Takeo, Kampung Cham, Kampot, Kandal, Kampung Soum dan kampung Chenang. Terima kasih diucapkan kepada semua yang terlibat dalam memberikan sumbangan dalam pelbagai bentuk seperti ibadah korban, aqiqah, wakaf telaga, sumbangan kepada quru qur'an dan fakir miskin. Moga ibadah yang dilakukan dengan penuh keikhlasan diterima oleh Allah SWT dan menjadi 'bekalan' kita di akhirat kelak.

No comments:

Post a Comment