Followers

Monday, December 1, 2008

Persoalan Berkaitan Kulit, Bulu dan Anggota Bangkai Binatang


Oleh : Ustaz Shauqi

Kulit bangkai tidak suci walaupun disamak mengikut pandangan yang zahir disisi ulama’ aliran mazhab Maliki, dan pandangan yang masyhur disisi ulama’ aliran mazhab Hanbali. Ini berdasarkan hadis Abdullah Bin ‘Ukaim yang telah diriwayatkan oleh Ahmad, al-Tirmidhi, al-Nasa’ei, Abu Daud dan Ibnu Majah, dia berkata: “Rasulullah telah menulis kepada kami kira-kira sebulan sebelum kewafatan Baginda supaya tidak mengambil manfaat daripada bangkai sama ada kulitnya atau urat sarafnya” . Hadis ini memansukhkan (membatalkan) hadis-hadis yang sebelumnya; kerana hadis ini telah diucapkan pada saat-saat akhir hidup nabi saw.

Ulama’ aliran mazhab Hanafi dan ulama’ aliran mazhab Syafie berpendapat bahawa kulit binatang yang najis atau kulit bangkai akan menjadi suci apabila ia disamak. Ini berdasarkan hadis nabi saw yang diriwayatkan oleh Muslim yang bermaksud: “Sekiranya kulit disamak, ia menjadi bersih”. Manakala hadis yang diriwayatkan oleh al-Nasaei, al-Tirmidhi dan Ibnu Majah daripada Ibnu Abbas pula bermaksud: “Setiap kulit yang disamak akan menjadi bersih”.

Menurut jumhur ulama’, anggota-anggota bangkai yang keras yang tidak mengandungi darah adalah suci dan tidak najis seperti tanduk, tulang, gigi, gading, tapak kaki unta, tapak kaki kuda, kuku, dan bulu. Ulama’ aliran mazhab Syafei pula menyatakan bahawa anggota-anggota daripada bangkai adalah najis seperti susu dan telur yang bersambung dengannya. Dalil dan hujah jumhur dalam persoalan ini ialah hadis Salman ra yang telah diriwayatkan oleh Ibnu Majah: Rasulullah saw telah ditanya mengenai lemak, minyak dan himar, lalu nabi bersabda: “sesuatu yang halal ialah apa-apa yang dihalalkan oleh Allah di dalam kitab-Nya, dan yang haram itu ialah apa-apa yang diharamkan oleh Allah di dalam kitab-Nya, dan sesuatu yang tidak disebut hukumnya merupakan sesuatu yang dimaafkan oleh Allah dengannya”.

Hukum sesuatu atau bekas yang dimasuki tikus: Sekiranya tikus itu dapat dikeluarkan dalam keadaan masih hidup, ia dikira bersih. Akan tetapi, sekiranya tikus itu mati di dalam bekas tersebut, maka ia dilihat dalam beberapa keadaan; sekiranya cecair, maka semuanya dianggap najis manakala sekiranya ia bukan cecair, ia dianggap najis pada tempat jatuh tikus itu dan di sekelilingnya sahaja, dan yang baki boleh diambil manfaat daripadanya kerana ia dikira suci. Ini berdasarkan hadis yang telah diriwayatkan bahawa nabi saw pernah ditanya mengenai tikus yang terjatuh ke dalam minyak sapi dan mati di dalamnya, maka bagi menjawab persoalan ini, nabi saw bersabda yang bermaksud: “Sekiranya objek beku (bukan cecair), buangkan tempat tersebut dan di sekitarnya, tetapi sekiranya cecair tuanglah ia”.

Sekiranya burung atau mana-mana haiwan jatuh dalam periuk, Ibnu Wahab telah meriwayatkan daripada Imam Malik bahawa dia berkata: Tidak boleh dimakan apa sahaja yang terdapat dalam periuk tersebut, kerana ia adalah najis disebabkan telah bercampur dengan bangkai. Ibnu Qasim juga meriwayatkan daripada Imam Malik bahawa dia telah menyatakan bahawa hendaklah dibasuh daging, manakala kuahnya hendaklah dibuang. Ibnu ‘Abbas pula berkata: Daging itu hendaklah dibasuh dan boleh dimakan.

Ulama’ telah bersepakat mengatakan bahawa darah itu adalah najis dan haram dimakan serta tidak boleh diambil sebarang manfaat daripadanya sekiranya darah itu terdiri daripada darah yang mengalir. Inilah gambaran yang disebut dalam surah al-An’aam. Saidatina Aisyah telah berkata, sekiranya Allah tidak menyebut: “atau darah yang mengalir” (al-An’aam 6/145), nescaya orang akan menganggap kesemuanya najis termasuk apa yang ada dalam pembuluh darah sekalipun. Di atas dasar inilah, sesuatu yang bercampur dengan daging dalam pembuluh darah tidak haram secara ijma’, begitu juga hati dan limpa tidak diharamkan secara ijma’. Ini berdasarkan takhsis (mengkhususkan) darah yang haram – mengikut pandangan ulama’ aliran mazhab Hanafi dan Syafei, ia berdasarkan hadis nabi saw yang bermaksud : “Telah dihalalkan kepada kita dua jenis bangkai dan dua jenis darah”. Dua jenis darah itu ialah hati dan limpa.

No comments:

Post a Comment