Followers

Tuesday, December 30, 2008

Sambutan Awal Muharam


Bulan Muharram merupakan salah satu bulan yang dimuliakan di dalam Islam. Antara kemulian bulan haram ini ialah disunatkan berpuasa. disunatkan juga kepada umat Islam untuk berpuasa pada 9 dan 10 Muharram. Ini kerana tarikh 10 Muharram (atau dinamakan hari ‘asyura yang bermaksud sepuluh) mempunyai nilai sejarahnya yang tersendiri. Manakala disunatkan juga berpuasa pada 9 Muharram sebagai mukhalafah (membezakan) di antara kaum Yahudi yang turut berpuasa pada 10 Muharram.

Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a katanya: Sewaktu Rasulullah s.a.w tiba di Madinah, baginda mendapati orang Yahudi berpuasa pada hari Asyura. Ketika ditanya tentang puasa itu, mereka menjawab: Hari ini adalah hari kemenangan yang telah diberikan oleh Allah kepada Nabi Musa a.s dan kaum Bani Israel dari Firaun. Kami merasa perlu untuk berpuasa pada hari ini sebagai suatu pengagungan kami padaNya. Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: Kami lebih berhak daripada kamu terhadap Nabi Musa dalam hal ini. Kemudian baginda memerintahkan para Sahabat supaya berpuasa pada hari tersebut. – Hadis diriwayatkan oleh Imam Bukhari, Muslim, Abu Daud, Ibnu Majah dan al-Tirmidhi.

Di samping melaksanakan ibadah puasa sunat pada bulan Muharram, sesuatu yang amat penting untuk diingati dan dihayati ialah peristiwa hijrah nabi s.a.w. Justeru, tidak hairanlah apabila Khalifah Umar al-Khattab menetapkan peristiwa hijrahnya Nabi Muhammad s.a.w. dengan sahabat-sahabatnya dari kota Mekah ke Madinah sejauh kira-kira 450 km itu sebagai tahun pertama dalam Islam yang dinamakan dengan tahun Hijrah.

Penggunaan Takwim Hijrah yang digunakan pada masa sekarang telah bermula pada tahun ke 17 Hijrah, iaitu pada zaman pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab. Penetapan permulaan tarikh bagi Takwim Hijriyah ini, diambil sempena peristiwa penghijrahan Rasulullah s.a.w. yang bermula pada tanggal 2 Rabiulawal bersamaan 14 September 622 Masihi. Baginda sampai di Quba' pada tanggal 8 Rabiulawal bersamaan 20 September 622 Masihi pada hari Isnin. Jika dihitungkan kembali, maka 1 Muharram bagi tahun pertama Hijrah jatuh pada 16 Julai 622 Masihi iaitu pada hari Jumaat berdasarkan kiraan rukyah.

Permulaan penggunaan Kalendar Tahun Hijrah sebagaimana yang disebutkan sebelum ini adalah hasil dari ilham Khalifah Ar-Rasyidin yang kedua iaitu Saidina Umar Al-Khatab r.a. Ini adalah rentetan dari Kesatuan Arab yang ditubuhkan di bawah naungan Islam pada zamannya.Riwayat juga mengatakan bahawa Gabenor Abu Musa Al-As'ari telah mengirimkan surat kepada Saidina Umar r.a meminta beliau menjelaskan tentang tahun bagi tarikh surat/arahan Umar yang telah dihantar kepadanya. Bermula daripada peristiwa itulah Saidina Umar memerintahkan satu kalendar / taqwim Islam yang khas diwujudkan untuk menggantikan tahun rujukan kalendar yang berbagai-bagai yang digunakan oleh bangsa-bangsa Arab dan bangsa-bangsa lain pada zaman itu.

Peristiwa ini juga pencetus kepada penyusunan takwim berdasarkan falak syar'ie. Sebelum kemunculan kalendar Islam ini di kalangan bangsa Arab sendiripun ada berbagai-bagai kalendar yang digunakan seperti Kalendar Tahun Gajah, Kalendar Persia, Kalendar Romawi dan kalendar-kalendar lain yang berasal dari tahun peristiwa-peristiwa besar Jahiliah. Maka Umar telah memilih tahun yang terdapat di dalamnya peristiwa paling agung dalam sejarah Rasullullah s.a.w untuk dijadikan asas permulaan tahun pertama bagi kiraan kalendar taqwim Islam.

Peristiwa hijrah perlu dikenang oleh umat Islam setiap tahun apatah lagi ketika menyambut sambutan awal Muharram, untuk menjadi pengajaran dan peringatan tentang pengorbanan Rasulullah s.a.w. dan sahabat-sahabatnya menegakkan Islam. Mudah-mudahan dengan kenangan itu dapat menimbulkan kesedaran di kalangan umat Islam bahawa kemuliaan Islam dan kewujudan negara Islam bukanlah diperoleh dengan mudah. Sebaliknya ia perlu melalui perjuangan yang gigih dan pengorbanan yang tinggi.

Sesungguhnya sifat pengorbanan yang dimiliki dan diperlihatkan oleh Rasulullah s.a.w. dan umat Islam pada zaman baginda merupakan bukti kesungguhan dan kecintaan mereka yang mendalam terhadap akidah Islam dan ketaatan yang tidak berbelah bahagi terhadap perintah Allah s.w.t. Sifat seperti inilah yang sepatutnya ada dan diikuti oleh generasi umat Islam hari ini.
Oleh yang demikian, apakah yang harus dilakukan oleh umat Islam ketika menyambut tahun baru hijrah ini?

Sambutan awal Muharram dan tahun baru hijrah ini hendaklah diikuti dengan usaha melakukan perubahan pada diri dan masyarakat agar penyelewengan akidah dan keruntuhan akhlak dapat diperbetulkan dan Islam sebagai agama yang mulia dan tinggi dapat didaulatkan dan diletakkan di tempat yang sewajarnya.

Selamat Menyambut Tahun Baharu Hijrah 1430


Thursday, December 25, 2008

Maklumat Baru Diterima


Forum Perdana Ma'al Hijrah

Forum Perdana Ma'al Hijrah akan diadakan pada:

Tarikh: 27 Disember 2008
Hari : Sabtu
Masa : 9 Malam
Tempat: Padang RT Taman Sri Tanjung, Semenyih

Barisan Ahli Panel:
Moderator: Prof Madya Dr Ghafar
Panelis 1 : Ustaz Haji Fitri (PERKIM)
Panelis 2 : Ustaz Shauqi Othman (UPM)

Semua dijemput hadir.

Monday, December 22, 2008

Makluman Forum

Forum Ehwal Islam : Hijrah & Pengorbanan
Hari : Khamis malam Jumaat
Tarikh : 25hb December 2008
Masa : Jam 8.45 malam
Lokasi : Taman Desa Mekar, Sg Merab Dalam, B.B.Bangi.

Ahli Panel Forum:
Prof Madya Dr. Sharifah Hayatie Bt Syed Ismail, UM.
Ustaz Mohd Shauqi B. Othman, UPM.
Ustaz Al-Kautsar B. Khaidir, Moderator.

Makanan Pelik di Kemboja

Ini adalah buah Teratai... Rasanya jarang ada buah ni kat Malaysia. Buahnya macam kacang. Mengikut maklumat yg diterima buah teratai bermusim ini ada dijual di sepanjang jalan lama Bidor ke Gopeng

Ini adalah pokok buah susu. Buah susu agak sedap tapi ia takde kat Malaysia. Rasanya buah susu ni kalau buat jus tentu sedap.


Ini makanan pelik orang bukan Islam di Kemboja. Gambar ini diambil di Pasar. Binatang seperti ular kecil dan serangga dibuat macam 'sate' untuk dimakan.

Paparan Sambutan Penduduk Kampung Kemboja





Antara Rumah di Kemboja





Antara Program Dengan Guru Quran Kemboja




Antara Paparan Penyembelihan Lembu di Kemboja










Tuesday, December 16, 2008

Coretan Ringkas Kemboja 2008

Alhamdulillah, perjalanan Kebajikan ke Kemboja untuk melaksanakan ibadah korban pada tahun ini telah berjalan dengan lancar dan dapat disempurnakan amanah tersebut dengan baik. Moga Allah memberikan rahmat dan keberkatan kepada semua yang telah menyumbangkan pelbagai bentuk sumbangan dalam program korban Kemboja ini sama ada melalui ibadah penyembelihan korban, aqiqah, sumbangan waqaf telaga, sumbangan kepada guru qur'an, sumbangan kepada fakir miskin dan sebagainya.

Saya bersama dua orang sahabat iaitu Ustaz Rijaluddin Yahya (Pengerusi PAKSI cawangan Parit Buntar) dan ustaz Nazmi Desa dari Lunas, Kedah telah memulakan perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kemboja pada 9 Disember 2008 . Kami sampai di LCCT pada pukul 2 petang. Penerbangan menggunakan pesawat AirAsia yang mengambil masa lebih kurang 1 jam 45 minit untuk sampai ke Phnom Penh itu sepatutnya bertolak pada pukul 3.15 petang, namun ia 'delay' lebih kurang satu jam. Penumpang ke Phnom Penh pada petang itu agak ramai dan LCCT juga agak sesak dengan kebanjiran penumpang yang tidak sabar-sabar untuk 'terbang' ke destinasi yang pelbagai. Sementara menunggu ketibaan kapal terbang, saya sempat 'bersembang' dengan beberapa delegasi lain pada petang itu yang turut sama ke Kemboja untuk melaksanakan ibadah korban. Antaranya ialah Pengerusi Darul Fuqaha' iaitu Ustaz Khairuddin Aman Razali bersama adiknya Ustaz Harmi.

Oleh kerana jadual penerbangan tertangguh, maka kami sampai ke Phnom Penh agak lewat iaitu sekitar pukul 5.15 petang waktu Kemboja (bersamaan pukul 6.15 petang waktu Malaysia). Setelah urusan mengambil bagasi selesai, kami pun keluar menuju terminal. Di luar terminal, sudah ada orang yang menunggu untuk menjemput kami iaitu Ramli dan Pau; seorang boleh berbahasa Arab dan seorang lagi boleh berbahasa Melayu. Mereka berdua telah diminta oleh Ustaz Sulaiman Cambodia untuk menjemput kami, lalu kesempatan itu digunakan untuk berta'aruf dengan mereka. Pada malam itu kami menginap di Hotel Asia, Phnom Penh. Harga bilik dengan 2 katil 'queen' ialah 30 USD satu malam.

Pada keesokan hari iaitu selepas solat Subuh dan sekitar jam 6 pagi, Ustaz Sulaiman datang menjemput kami untuk ke lokasi korban. Lokasi pertama ialah ke Kampung Soum iaitu di sekitar tempat yang bernama Chong Sayt (tak pasti ejaan sebenar). Perjalanan ke sana dari Phnom Penh mengambil masa lebih kurang 3 jam. Sampai di sana, orang kampung dan wakil-wakil kampung lain (lebih kurang 10 kampung) sudah sedia menanti. Program dimulakan dengan tazkirah yang disampaikan oleh Ustaz Sulaiman Cambodia dan saya sendiri, kemudian penyembelihan korban pun dilakukan. Sebanyak 15 ekor lembu korban selamat disembelih di situ dan diagih-agihkan kepada wakil 10 kampung. Sumbangan kepada fakir miskin dan guru-guru Quran turut diberikan selepas selesai penyembelihan korban.

Seterusnya kami ke kampung Ma Prang. Di situ 10 ekor lembu disembelih untuk diagihkan kepada beberapa kampung di sekitar itu. Penyembelihan dilakukan secara 'berpusat' iaitu disembelih lembu korban di satu kampung , lalu dari situ wakil-wakil dari kampung lain datang untuk mengambil lembu korban untuk kampung mereka. Cara sebegini dilakukan supaya dapat menjimatkan masa, apatah lagi terdapat kampung yang terlalu 'ulu' dan jauh ke dalam yang mengambil masa agak lama dan menyukarkan untuk sampai ke sana. Justeru, dijemput wakil dari kampung tersebut untuk datang mengambil lembu korban.

Seterusnya perjalanan 'korban' diteruskan ke kampung Pray Cekay. Setelah menunaikan solat jamak Zohor dan Asar di Masjid kampung tersebut, sembelihan korban pun dijalankan. Setelah itu, perjalanan diteruskan pula ke Kg Keh untuk penyembelihan korban di situ pula. Selepas itu, kami pun ke Kampot (tak ingat kampung apa). Pada malam itu, kami balik ke tempat penginapan dan sampai pada pukul 10.15 malam. Keletihan amat terasa kerana sehari suntuk terlibat dengan program sembelihan korban, di samping program tazkirah dan penyerahan sumbangan

Pada hari seterusnya, perjalanan 'korban' dimulakan sejak pagi dan beberapa kampung juga sempat dikunjungi untuk pelaksanaan sembelihan korban ini. Alhamdulillah, secara keseluruhannya 83 ekor lembu dapat disumbangkan ke beberapa tempat di Kemboja ini iaitu 77 ekor untuk ibadah korban dan 6 ekor untuk aqiqah. Sumbangan lembu tersebut telah diagihkan ke beberapa wilayah atau kampung seperti Kampung Jual Takeo, Kampung Cham, Kampot, Kandal, Kampung Soum dan kampung Chenang. Terima kasih diucapkan kepada semua yang terlibat dalam memberikan sumbangan dalam pelbagai bentuk seperti ibadah korban, aqiqah, wakaf telaga, sumbangan kepada quru qur'an dan fakir miskin. Moga ibadah yang dilakukan dengan penuh keikhlasan diterima oleh Allah SWT dan menjadi 'bekalan' kita di akhirat kelak.

Friday, December 5, 2008

Salam Idul Adha 1429 H



MAAF ZAHIR BATIN

Thursday, December 4, 2008

Sikap Bersangka-sangka


Manusia hari ini suka bersangka-sangka
Ada sangkaan baik..Ada sangkaan buruk
Orang beribadah disangka riak
Orang yang relax disangka malas
Orang yang pakai baju baru disangka menunjuk
Orang yang pakai baju buruk disangka zuhud
Orang makan banyak disangka pelahap
Orang makan sikit disangka diet
Orang baik disangka buruk
Orang buruk disangka baik
Orang senyum disangka mengejek
Orang masam disangka merajuk
Orang bermuzakarah disangka mengumpat
Orang diam disangka menyendiri
Orang menawan disangka pakai susuk
Orang nampak ceria disangka membela
........
mana tahu yang diam itu kerana
berzikir kepada Allah
mana tahu yang senyum itu kerana
bersedekah
mana tahu yang masam itu kerana
mengenangkan dosa
mana tahu yang menawan itu kerana
bersih hati dan mindanya
mana tahu yang ceria itu kerana
cergas cerdasnya

Jauhi sikap suka bersangka-sangka kerana ia bakal memusnahkan ukhwah
seperti musnah nya kayu dimakan api..
Satu benda yang kita lihat, macam-macam kesimpulan yang boleh kita buat.
semuanya bergantung bagaimana kita melihatnya.

Tuesday, December 2, 2008

Ahli Fikir Hindu Seru Pemeluknya Menganut Islam


Seorang pakar bahasa India dari Universiti Alahabad menulis dan menerbitkan buku berjudul Kalki Utar yang bererti Pembimbing Agung. Tulisan beliau dalam buku berkenaan jelas menyeru penganut-penganut agama Hindu memeluk Islam dan beriman dengan ajaran Nabi Muhammad utusan Allah, yang merupakan pengislah (reformis) kerohanian Hindu yang ditunggu-tunggu kerana Nabi Muhammad itulah yang dikatakan Kalki Utar.

Pengarang yang dikenali sebagai Ved Prakash buat masa ini menyandang jawatan paderi Hindu dari golongan Brahmin dan buku karangannnya telah dikemukakan kepada lapan orang tokoh paderi agama Hindu. Semuanya menyokong pendapat Ved Prakash. Penyelidikan beliau membuktikan ciri-ciri Kalki Utar yang terdapat dalam kitab suci Hindu Vidas menepati dengan sifat-sifat yang ada pada Rasulullah s.a.w.

Ved Prakash menegaskan di dalam ramalan Prophecy Hindus bahawa Kalki Utar akan muncul di sebuah pulau ( di dalam mana-mana kitab sejarah Arab/Islam dikenali sebagai Al-Jazirah Al Arabia, bermaksud Pulau Arab), bapanya bernama Vishnu Yehkat ibunya bernama Surmanab.
Perkataan Vishnu dalam bahasa Sanskrit membawa erti Tuhan dan Yehkat bermaksud hamba jadi Vishnu Yehkat bererti Hamba Tuhan dalam bahasa Arab Abdullah.

Adapun Sumanab dalam bahasa Sanskrit membawa erti aman dan terjemahannya dalam bahasa Arab Aminah. Semua dunia tahu bapa Nabi Muhammad Abdullah dan ibunya Aminah.

Tambah beliau lagi di dalam kitab suci Vidas juga menyebut bahawa Tuhan telah mengutus UtusanNya ke dalam gua untuk mengajar Kalki Utar. Peristiwa ini memang berlaku kepada Rasulullah s.a.w., Nabi Muhammad s.a.w. telah didatangi Jibril a.s. di Gua Hirak yang bertugas mengajar agama Islam kepadanya.

Bukti terakhir yang diperkatakan oleh pengarang berkenaan bahawa Tuhan telah menganugerahkan kepada Kalki Utar kuda terpantas mengelilingi bumi dan menjelajah tujuh petala langit, ini sebenar merujuk kembali kepada peristiwa Isra' Mikraj di mana Rasulullah s.a.w., menunggangi Buraq sejenis haiwan dari syurga.
(Artikel ini dipetik dari majalah Haluan yang memetik dari RISALAH-IKHWAN bil 79 Jumaat 9 Syawal 1418 bersamaan 6 Feb 1998)

Monday, December 1, 2008

Persoalan Berkaitan Kulit, Bulu dan Anggota Bangkai Binatang


Oleh : Ustaz Shauqi

Kulit bangkai tidak suci walaupun disamak mengikut pandangan yang zahir disisi ulama’ aliran mazhab Maliki, dan pandangan yang masyhur disisi ulama’ aliran mazhab Hanbali. Ini berdasarkan hadis Abdullah Bin ‘Ukaim yang telah diriwayatkan oleh Ahmad, al-Tirmidhi, al-Nasa’ei, Abu Daud dan Ibnu Majah, dia berkata: “Rasulullah telah menulis kepada kami kira-kira sebulan sebelum kewafatan Baginda supaya tidak mengambil manfaat daripada bangkai sama ada kulitnya atau urat sarafnya” . Hadis ini memansukhkan (membatalkan) hadis-hadis yang sebelumnya; kerana hadis ini telah diucapkan pada saat-saat akhir hidup nabi saw.

Ulama’ aliran mazhab Hanafi dan ulama’ aliran mazhab Syafie berpendapat bahawa kulit binatang yang najis atau kulit bangkai akan menjadi suci apabila ia disamak. Ini berdasarkan hadis nabi saw yang diriwayatkan oleh Muslim yang bermaksud: “Sekiranya kulit disamak, ia menjadi bersih”. Manakala hadis yang diriwayatkan oleh al-Nasaei, al-Tirmidhi dan Ibnu Majah daripada Ibnu Abbas pula bermaksud: “Setiap kulit yang disamak akan menjadi bersih”.

Menurut jumhur ulama’, anggota-anggota bangkai yang keras yang tidak mengandungi darah adalah suci dan tidak najis seperti tanduk, tulang, gigi, gading, tapak kaki unta, tapak kaki kuda, kuku, dan bulu. Ulama’ aliran mazhab Syafei pula menyatakan bahawa anggota-anggota daripada bangkai adalah najis seperti susu dan telur yang bersambung dengannya. Dalil dan hujah jumhur dalam persoalan ini ialah hadis Salman ra yang telah diriwayatkan oleh Ibnu Majah: Rasulullah saw telah ditanya mengenai lemak, minyak dan himar, lalu nabi bersabda: “sesuatu yang halal ialah apa-apa yang dihalalkan oleh Allah di dalam kitab-Nya, dan yang haram itu ialah apa-apa yang diharamkan oleh Allah di dalam kitab-Nya, dan sesuatu yang tidak disebut hukumnya merupakan sesuatu yang dimaafkan oleh Allah dengannya”.

Hukum sesuatu atau bekas yang dimasuki tikus: Sekiranya tikus itu dapat dikeluarkan dalam keadaan masih hidup, ia dikira bersih. Akan tetapi, sekiranya tikus itu mati di dalam bekas tersebut, maka ia dilihat dalam beberapa keadaan; sekiranya cecair, maka semuanya dianggap najis manakala sekiranya ia bukan cecair, ia dianggap najis pada tempat jatuh tikus itu dan di sekelilingnya sahaja, dan yang baki boleh diambil manfaat daripadanya kerana ia dikira suci. Ini berdasarkan hadis yang telah diriwayatkan bahawa nabi saw pernah ditanya mengenai tikus yang terjatuh ke dalam minyak sapi dan mati di dalamnya, maka bagi menjawab persoalan ini, nabi saw bersabda yang bermaksud: “Sekiranya objek beku (bukan cecair), buangkan tempat tersebut dan di sekitarnya, tetapi sekiranya cecair tuanglah ia”.

Sekiranya burung atau mana-mana haiwan jatuh dalam periuk, Ibnu Wahab telah meriwayatkan daripada Imam Malik bahawa dia berkata: Tidak boleh dimakan apa sahaja yang terdapat dalam periuk tersebut, kerana ia adalah najis disebabkan telah bercampur dengan bangkai. Ibnu Qasim juga meriwayatkan daripada Imam Malik bahawa dia telah menyatakan bahawa hendaklah dibasuh daging, manakala kuahnya hendaklah dibuang. Ibnu ‘Abbas pula berkata: Daging itu hendaklah dibasuh dan boleh dimakan.

Ulama’ telah bersepakat mengatakan bahawa darah itu adalah najis dan haram dimakan serta tidak boleh diambil sebarang manfaat daripadanya sekiranya darah itu terdiri daripada darah yang mengalir. Inilah gambaran yang disebut dalam surah al-An’aam. Saidatina Aisyah telah berkata, sekiranya Allah tidak menyebut: “atau darah yang mengalir” (al-An’aam 6/145), nescaya orang akan menganggap kesemuanya najis termasuk apa yang ada dalam pembuluh darah sekalipun. Di atas dasar inilah, sesuatu yang bercampur dengan daging dalam pembuluh darah tidak haram secara ijma’, begitu juga hati dan limpa tidak diharamkan secara ijma’. Ini berdasarkan takhsis (mengkhususkan) darah yang haram – mengikut pandangan ulama’ aliran mazhab Hanafi dan Syafei, ia berdasarkan hadis nabi saw yang bermaksud : “Telah dihalalkan kepada kita dua jenis bangkai dan dua jenis darah”. Dua jenis darah itu ialah hati dan limpa.

Sunday, November 30, 2008

Menghayati Semangat Pengorbanan


Oleh: Mohd Sukki Bin Othman (Ustaz Shauqi)

Pada hari Isnin depan tanggal 10 Zulhijjah 1429 Hijrah bersamaan 8 Disember 2008 Masihi, umat Islam di Malaysia akan sama-sama merayakan Hari Raya Aidiladha atau lebih dikenali sebagai 'Hari Raya Haji' atau 'Hari Raya Korban'. Aidiladha disebut sebagai Hari Raya Korban adalah ekoran ibadah 'korban' yang disyariatkan pada hari tersebut iaitu dengan menyembelih haiwan seperti kambing, lembu, kerbau atau unta.

Penyembelihan korban dilakukan setelah selesai solat Aidil Adha pada 10 Zulhijjah dan masih diteruskan pada hari-hari Tasyrik iaitu pada 11,12, dan 13 Zulhijjah. Kaedah pembahagian daging korban ialah sepertiga disedekahkan kepada fakir miskin, sepertiga untuk jiran dan sahabat handai walaupun kaya, dan sepertiga lagi adalah untuk kegunaan orang yang melakukan korban. Daging korban disunatkan agar diberi dan disedekahkan secara mentah tanpa dimasak.

Ibadah korban telah disyariatkan pada tahun kedua hijrah. Antara tujuan ibadat ini dilakukan ialah untuk mengingati semangat pengorbanan agung yang telah dilakukan oleh Nabi Ibrahim a.s. dan anaknya Nabi Ismail a.s.. Nabi Ibrahim a.s. telah mendapat wahyu melalui mimpinya bahawa Allah s.w.t. memerintahkannya untuk menyembelih anaknya Ismail. Ini merupakan perintah yang amat berat bagi nabi Ibrahim, apatah lagi Ismail merupakan anak kesayangannya yang dilahirkan setelah baginda melewati usia lanjut, hasil perkongsian hidupnya dengan Hajar.

Namun, kekuatan iman dan semangat pengorbanan yang tinggi yang dimiliki oleh nabi Ibrahim menyebabkan baginda bertekad dengan sepenuh hati untuk melaksanakan perintah Allah ini. Allah s.w.t. telah merakamkan dalam al-Quran kata-kata nabi Ibrahim kepada anaknya, dalam surah al-Saffat ayat 102 yang bermaksud: "Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpiku, bahawa aku (diperintahkan) untuk menyembelihmu, maka apakah pendapatmu". Walaupun Nabi Ismail a.s. ketika itu masih muda, tetapi baginda tidak teragak-agak dalam memberikan persetujuan terhadap perintah Allah ini. Allah telah menyatakan dalam al-Quran tentang jawapan yang diberikan oleh nabi Ismail kepada bapanya, dalam surah al-Saffat ayat 102 yang bermaksud: "Wahai ayahku! Jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu, insya-Allah, ayah akan mendapati (menyaksikan sendiri) daku dari orang yang sabar"

Berbekalkan semangat pengorbanan yang tinggi kepada Allah, Nabi Ibrahim a.s. dan nabi Ismail a.s. bersedia untuk melaksanakan perintah Allah ini. Lalu, Nabi Ibrahim a.s. pun meletakkan pisau yang tajam di leher anaknya untuk menyembelihnya. Pada saat itu juga, Allah s.w.t menunjukkan Kekuasaan dan KeagunganNya dengan menggantikan nabi Ismail dengan kibasy untuk disembelih oleh nabi Ibrahim a.s.

Bermula dari sejarah inilah, ibadah korban dilaksanakan. Nabi Muhammad s.a.w. meneruskan ibadah korban ini, dan ia menjadi satu amalan Islam yang dilaksanakan pada setiap hari raya Aidiladha dan pada hari-hari Tasyrik. Firman Allah dalam surah al-Kawthar ayat 2 bermaksud: "… tunaikanlah solat kerana Tuhan-Mu semata-mata dan sembelihlah korban (sebagai tanda bersyukur)".

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmidhi dan al-Hakim, Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Tidak melakukan seorang anak Adam sesuatu amalan pada hari raya Adha yang lebih disukai oleh Allah Taala daripada menumpahkan darah (menyembelih korban). Sesungguhnya binatang korban itu akan datang pada hari kiamat nanti dengan tanduk, bulu dan kukunya. Dan sesungguhnya darahnya jatuh di sisi Allah pada satu tempat kemuliaan lebih dahulu dari jatuh kebumi. Maka berkiralah diri kamu dengan korban".

Ibadah korban yang dilakukan pada hari raya haji dan pada hari-hari Tasyrik ini bukanlah semata-mata untuk menyembelih binatang dan disedekahkan dagingnya kepada fakir miskin, akan tetapi ia juga merupakan simbolik ke arah semangat pengorbanan dan semangat jihad yang perlu ada pada diri setiap individu muslim. Orang yang akan memperoleh keredhaan Allah, dan yang akan mencapai kecemerlangan di dunia dan di akhirat ialah mereka yang sanggup berkorban masa, tenaga, wang ringgit dan jiwa raga di jalan Allah s.w.t.

Akan tetapi, yang menjadi persoalannya ialah mengapakah terdapat di kalangan umat Islam yang sanggup melakukan ibadah korban dengan menumpahkan darah binatang yang disembelih sebagai tanda taat kepada Allah, namun tidak sanggup 'berkorban' dalam mentaati perintah Allah dalam perkara yang berkait dengan hukum hakam agama yang lain? Mengapakah masih terdapat di kalangan umat Islam yang tidak melaksanakan perintah Allah seperti menunaikan solat lima waktu dengan sempurna, menutup aurat, menghadiri majlis-majlis ilmu yang diadakan di masjid dan surau dan sebagainya? Mengapakah juga masih terdapat di kalangan umat Islam yang bergelumang dengan maksiat dan perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah seperti menipu, rasuah, judi, dan sebagainya?

Justeru, dengan semangat pengorbanan yang ada di musim perayaan Aidiladha ini, marilah sama-sama kita bermuhasabah dan menilai kembali tindak tanduk dan perbuatan kita seharian agar ia selari dengan kehendak dan ajaran islam. Kita hendaklah bersedia melakukan pengorbanan semata-mata mencari keredhaan Allah. Korbankanlah waktu yang ada dengan dimanfaatkan untuk mentaati segala perintah dan suruhan Allah. Korbankanlah juga keinginan nafsu syahwat yang mendorong ke arah kejahatan, dengan meninggalkan segala larangan Allah.

Musuh utama kepada pengorbanan yang hendak dilakukan ialah syaitan dan hawa nafsu. Ia berusaha menipu manusia dengan perasaan sayang yang berlebihan kepada wang ringgit, takut rugi atau membuang masa apabila melakukan sesuatu kebajikan dan amalan soleh, dan bermacam-macam godaan dan tipu dayanya lagi. Allah berfirman dalam surah al-Fatir ayat 6, maksudnya: "Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh bagimu, maka anggaplah ia musuh. Kerana sesungguhnya syaitan-syaitan itu hanya mengajak golongannya supaya menjadi penghuni neraka yang menyala-nyala".

Mudah-mudahan, Aidiladha pada tahun ini memberikan sinar pengorbanan yang sejati pada diri setiap individu muslim. Kita akan berusaha apa sahaja demi melakukan pengorbanan dalam mencari keredhaan Allah dan kebahagiaan yang hakiki di dunia dan di akhirat. Firman Allah dalam surah al-Nisa’, ayat 175 bermaksud: "Adapun orang yang beriman kepada Allah dan berpegang teguh kepada agamanya, maka Allah akan memasukkan mereka ke dalam rahmat yang besar darinya (Syurga). Dan limpah kurnianya yang tidak terkira, dan Allah akan menunjukkan mereka ke jalan yang lurus (agama Islam) untuk sampai kepadaNya (Allah)"

Wednesday, November 26, 2008

Henti pertikai fatwa haram yoga


KOTA BHARU 25 Nov. - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menggesa supaya pelbagai pihak berhenti daripada mempertikaikan fatwa pengharaman amalan yoga secara sistematik yang diputuskan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan menyokong fatwa tersebut dan berpendapat tidak ada masalah untuk mewartakannya di negeri ini kerana ia jelas bertentangan dengan ajaran Islam.
Beliau berkata, kewujudan amalan seperti jampi yang digunakan dalam senaman menjurus kepada kaitan hubungan dengan tuhan adalah perkara yang boleh memesongkan akidah umat Islam.

"Saya secara peribadi bersetuju dengan fatwa ini, saya rasa ia tidak masalah untuk diwartakan di sini... terpulang kepada Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) untuk melaksanakannya. "Saya tidak tahu apa yang disebut dalam jampi yoga, tetapi disebabkan yoga ini datang daripada mereka yang tidak bertuhankan Allah, sudah pasti dalam jampi dia sebut nama benda lain," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai fatwa yang meminta umat Islam negara ini tidak mengamalkan senaman yoga secara sistematik yang didapati mengandungi unsur-unsur keagamaan, mantera dan pemujaan.

Pengerusinya, Prof. Datuk Dr. Abdul Shukor Husin berkata, Majlis Muzakarah Kebangsaan memutuskan apa jua bentuk amalan yang mengandungi unsur-unsur tersebut adalah dilarang kerana bertentangan dengan Islam.

Semalam, Sisters In Islam (SIS) dilaporkan menolak keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan mengharamkan amalan senaman yoga kerana tiada sebarang bukti dikemukakan bagi mewajarkan yoga diharamkan.

Pengurus Program SIS, Norhayati Kaprawi berkata, sehingga kini negara tidak pernah menerima apa-apa aduan atau bukti yang mengatakan ada individu beragama Islam bertukar kepada agama Hindu selepas mengamalkan senaman yoga.

Nik Abdul Aziz berkata, tidak ada ajaran dalam Islam melalui al-Quran atau hadis yang mengatakan senaman boleh menyatukan diri dengan tuhan. "Sebagai orang Islam, masing-masing mengetahui kekuasaan tuhan dan mengakuinya, jadi kenapa perlu sebut nama lain dalam jampi selain Allah. "Tuhan bukan manusia, kita bukan boleh berunding dan berbincang, apa jaminan kita ini (manusia) boleh bersatu dengan Allah?,'' katanya.

Tuesday, November 25, 2008

Hukum Berkaitan Ibadah Korban


1. Waktu Perlaksanaan Ibadat Korban
Menyembelih binatang korban hanya boleh dilaksanakan setelah selesai solat Hari Raya Aidiladha dan berlanjutan sehingga di akhir hari Tasyriq yakni 3 hari setelah Aidiladha. Oleh itu penyembelihan haiwan korban boleh dilaksanakan pada 10, 11, 12 dan 13 Dzulhijjah. Menurut Imam al-Syafi’i r.h: Adapun waktu menyembelih haiwan korban adalah ketika imam telah selesai solat Aidiladha…Apabila hari-hari Mina telah berlalu (tarikh 11, 12 dan 13 Dzulhijjah), maka sudah tidak boleh menyembelih korban. – Imam al-Syafi’i, Mukhtasar Kitab al-Umm fiil Fiqhi, (edisi terjemahan bertajuk Ringkasan Kitab al-Umm, Peringkas dan peneliti Hussain Abdul Hamid Abu Nashir Nail, Pustaka Azzam, Jakarta, 2004) jilid 1, m.s. 737 Dalilnya adalah sabda Rasulullah s.a.w. :Sesungguhnya perkara yang pertama yang kita mulakan pada hari ini (Aidiladha) ialah kita solat kemudian menyembelih (bintang korban). Maka sesiapa yang melakukan serupa itu dia telah mendapat sunnah kami. Barangsiapa yang menyembelih sebelum solat, maka sesungguhnya sembelihan itu adalah daging yang diperuntukkan keluarganya, bukan termasuk binatang korban sedikitpun. – Hadis riwayat Imam Muslim di dalam Shahih Muslim, hadis no: 1961Sabda baginda: Sesiapa yang menyembelih sebelum dia solat (Aidiladha), maka hendaklah dia mengulanginya. – Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahih al-Bukhari, hadis no: 5561 Sabda Rasulullah s.a.w.: Seluruh hari-hari Tasyriq merupakan waktu penyembelihan. – Hadis riwayat Imam Ahmad di dalam Musnad Ahmad, hadis no: 16151.

2. Haiwan Korban Tersebut Tidak Memiliki Kecacatan
Hendaklah kita pastikan bahawa haiwan yang hendak kita korbankan tersebut adalah dari jenis baka yang baik serta tidak memilki kecacatan seperti buta, tempang, kurus, tanduk patah, telinga terkoyak, lemah dan lain-lain bentuk penyakit. Sabda Rasulullah s.a.w. : Empat jenis binatang yang tidak dibolehkan dalam berkorban, buta sebelah yang jelas butanya, sakit yang jelas sakitnya, tempang yang jelas bengkoknya, yang tidak berdaya berjalan dan yang tidak mempunyai lemak (kurus). – Hadis riwayat Abu Dawud di dalam Sunan AbuDawud, hadis no: 2420.

3. Tidak Menggunting Rambut Dan Memotong Kuku
Bagi mereka yang hendak melaksanakan ibadat korban maka hendaklah dia tidak menggunting rambut dan memotong kukunya semenjak tarikh 1 Dzulhijjah sehingga setelah dia melaksanakan ibadat korban tersebut. Sabda Rasulullah s.a.w.: Jika masuk sepuluh hari pertama bulan Dzulhijjah (1 Dzulhijjah) dan salah seorang dari kalian ingin menyembelih korban, maka jangan memotong sedikitpun dari rambut dan kukunya. – Hadis riwayat Imam Muslim di Dalam Shahih Muslim, hadis no: 1977. Larangan memotong rambut ini termasuk juga memncabut mahupun mencukur ataupun apa-apa cara yang boleh menghilangkan segala jenis rambut atau bulu di badan. Menurut Imam al-Nawawi r.h: Yang dimaksudkan dengan larangan memotong kuku dan rambut adalah larangan menghilangkan kuku dengan pemotongan atau pencabutan atau yang lainnya (dengan sengaja). Dan larangan untuk menghilangkan rambut baik ianya berbentuk pencukuran, memendekkan, pencabutan, pembakaran atau menggunakan sesuatu untuk menghilangkan rambut, atau yang lainnya, baik ianya bulu ketiak, kumis, bulu kemaluan, rambut kepala mahupun bulu-bulu lain di bahagain badan lain-lainnya.– Imam al-Nawawi, Syarh Muslim, jilid 13, ms. 138-139.

4. Seekor Unta Atau Lembu Boleh Dibahagikan Kepada 7 Bahagian
Seekor unta ataupun lembu boleh dikongsi bersama oleh tujuh orang yang hendak melaksanakan ibadat korban. Diriwayatkan daripada Jabir r.a, dia berkata: Kami pernah menyembelih (haiwan korban) bersama Rasulullah s.a.w. ketika di Hudaibiyah seekor unta untuk 7 orang dan menyembelih lembu untuk 7 orang bersama-bersama Rasulullah s.a.w.. – Hadis riwayat Imam Muslim di dalam Shahih Muslim, hadis no: 1318

5. Boleh Berkorban Untuk Dirinya Sendiri Serta Ahli Keluarganya.
Seseorang untuk dibenarkan untuk berkorban serta berkongsi pahalanya bagi dirinya sendiri serta bagi pihak keluarganya sekalipun ramai jumlahnya walaupun hanya berkorban dengan seekor kambing atau satu daripada tujuh bahagian seekor lembu. Ini berdasarkan sebuah hadis yang mana Atha’ bin Yassar pernah bertanya kepada Abu Ayyub al-Anshari tentang berkorban pada zaman Rasulullah s.a.w. Maka Abu Ayyub menjawab: Dulu seseorang berkorban seekor kambing untuk dirinya dan keluarganya, lalu mereka memakannya dan membahagikannya kepada orang lain. – Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi di dalam Sunan al-Tirmidzi, hadis no: 1425

6. Ibadat Korban Dilaksanakan di al-Musolla.
Disunnahkan untuk melaksanakan ibadat koran tersebut di tanah lapang yang digunakan untuk bersolat di (al-Musholla) demi untuk memperlihatkan syi’ar Islam. Ini sebagaimana diriwayatkan oleh Ibnu ‘Umar r.a daripada Nabi s.a.w: Bahawasanya baginda menyembelih dan berkorban di al-Musholla. – Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahih al-Bukhari, hadis no: 5552.

7. Disunnahkan Menyembelih Sendiri Haiwan Korban
Adalah disunnahkan dan afdhal untuk mereka yang ingin melaksanakan ibadat korban tersebut agar menyembelih haiwan korbannya dengan tangannya sendiri. Diriwayatkan daripada Anas, dia berkata: Nabi s.a.w. pernah berkorban dengan dua ekor kambing biri-biri yang bagus lagi bertanduk. Baginda menyembelih keduanya dengan tangan baginda sendiri… - Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahih al-Bukhari, hadis no: 5565 Namun begitu diperbolehkan juga bagi mereka yang ingin berkorban untuk mewakilkan penyembelihan haiwan korban tersebut kepada orang lain yang Muslim.

8. Menyembelih Haiwan Korban Mengikut Sunnah
Hendaklah menyembelih haiwan korban tersebut dengan menggunakan objek yang tajam seperti pisau dan dilakukan dengan cepat agar haiwan mati dengan serta-merta. Ketika hendak menyembelih baringkan haiwan korban tersebut pada sebelah sisi kirinya agar mudah memegang pisau dengan tangan kanan dan memegang atau menahan lehernya dengan tangan kiri.. Ketika mehyembelih hendaklah membaca basmallah dan bertakbir (Bismillahi Wallahu Akbar). Ini sebagaimana diriwayatkan daripada Anas r.a, dia berkata: Nabi s.a.w. pernah berkorban dengan dua eekor kambing biri-biri yang bagus dan bertanduk. Baginda menyembelih keduanya dengan tangan baginda sendiri dengan menyebut Nama Allah dan bertakbir seraya meletakkan kaki baginda pada lambung keduanya. - Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahih al-Bukhari, hadis no: 5565. Hendaklah ketika menyembelih dikerat salur udara, kerongkong dan saluran darah leher haiwan tersebut tanpa mengerat gentian saraf di dalam tulang belakang. Hendaklah darah dari badan haiwan korban tersebut dialirkan keluar sepenuhnya dari badan haiwan tersebut sebelum melapahnya.

9. Daging Korban Tersebut Dimakan, Disedekah dan Dihadiahkan
Disunnahkan bagi keluarga yang melakukan ibadat korban tersebut untuk turut memakan sebahagian daging, menghadiahkan sebahagiannya kepada orang lain dan mengsedekahkan sebahagian lain. Malah diperbolehkan juga bagi mereka untuk menyimpan daging tersebut. Dalil-dalil akan hal ini adalah seperti berikut: Sabda Nabi s.a.w: Makanlah dan simpanlah serta sedekahkanlah (daging korban tersebut). - Hadis riwayat Imam Muslim di dalam Shahih Muslim, hadis no: 1971. Jadi seeloknya 1/3 dimakan atau diambil oleh orang yang buat korban, 1/3 untuk hadiah pada sahabat dan jiran, 1/3 disedekahkan kepada fakir miskin. Kalau korban nazar, pembuat korban tidak boleh mengambil untuk dirinya walau sedikit pun.

10. Tidak boleh Mengupah Tukang Sembelih Dengan Daging Korban
Perbuatan ini adalah bertentangan dengan syarak dan diharamkan oleh Rasulullah s.a.w.. Hendaklah kepada upah tukang sembelih tersebut diberikan dengan menggunakan harta sendiri dan bukan apa-apa jua bahagian dari daging korban. Telah diriwayatkan daripada ‘Ali r.a, dia berkata: Nabi s.a.w. pernah menyuruhku untuk menyempurnakan seekor unta milik baginda kemudian menyedekahkan daging, kulit dan pelindung yang dikenakannya, dan aku tidak memberi apa pun kepada tukang sembelih dari haiwan korban tersebut. Dan dia mengatakan: “Kami memberinya dengan harta kami sendiri.” - Hadis riwayat Imam Muslim di Dalam Shahih Muslim, hadis no: 1317.

sumber:http://ibnusulaiman.blogspot.com/2006/12/mengerjakan-ibadat-korban- menurut.html (bersama pindaan dan penambahan)

Monday, November 24, 2008

Michael Jackson Memeluk Islam


Penyanyi kontroversi Amerika Syarikat, Michael Jackson memeluk Islam. Jacko yang dibesarkan sebagai penganut Kristian, dikatakan mengambil keputusan menukar agamanya ketika beliau menggunakan studio di rumah kawan rapatnya untuk merekodkan album baru. Rakannya, David Wharnsby seorang penulis lagu Kanada dan produser Philip Bubal, yang menasihatkan Jacko supaya memeluk Islam. Kedua-duanya juga sudah memeluk Islam dengan nama baru mereka Dawud Wharnsby Ali dan Idris Philips.

“Mereka mula berbincang mengenai agama dan bagaimana mereka menjadi seorang yang lebih baik dengan menukar agama. Tidak lama kemudian Michael mula menerima idea itu,” kata sumber yang dipetik oleh akhbar . Abang Michael Jackson sendiri iaitu Jermaine Jackson sudah pun memeluk Islam sejak tahun 1989. Penyanyi Britain, Yusuf Islam, 60, atau nama asalnya, Cat Stevens, mengalu-alukan Jacko sebagai saudara baru.

Jacko kini berdoa untuk ke Makkah selepas satu majlis diadakan di rumah pemain keybord Toto, Steve Porcaro, 51, di Hollywood Hills yang menyusun album Thriller penyanyi itu.

Saturday, November 22, 2008

Umat Islam diharam amalkan Yoga secara sistematik


PUTRAJAYA 22 Nov. — Majlis Fatwa Kebangsaan hari ini mengharamkan umat Islam mengamalkan yoga secara sistematik, yang melibatkan unsur-unsur fizikal dan spiritual kerana ia bertentangan dengan syariat Islam.

Pengerusinya Datuk Dr Abdul Shukor Husin bagaimanapun berkata, amalan fizikal iaitu senaman dalam yoga, tanpa adanya unsur-unsur mentera dan pemujaan pada zahirnya tidak menjadi kesalahan. Namun, katanya, ia tidak digalakkan kerana dikhuatiri boleh menghakis akidah seseorang Muslim memandangkan ia merupakan salah satu komponen daripada keseluruhan amalan yang diharamkan itu.

“Amalan yoga yang berasal dari masyarakat Hindu mempunyai tiga peringkat, peringkat pertama adalah fizikal iaitu senaman, peringkat kedua adalah mentera dan pemujaan bagi mendapatkan ketenangan dan peringkat ketiga adalah penyatuan diri dengan tuhan. Oleh itu ahli muzakarah bersetuju memutuskan bahawa apa jua jenis atau bentuk amalan yang mengandungi unsur-unsur tersebut adalah dilarang dan bertentangan dengan ajaran Islam,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Abdul Shukor berkata perkara itu diputuskan dalam persidangan Anggota Majlis Muzakarah Fatwa Kebangsaan ke-83 yang bersidang 22-24 Okt lalu di Kota Bharu, Kelantan, dan akan dipanjangkan kepada majlis-majlis agama negeri untuk diwartakan. Selain Malaysia, amalan yoga telahpun diharamkan di Singapura dan Mesir, katanya.

Abdul Shukor berkata, pada peringkat ini, program kesedaran mengenai amalan itu akan diperluaskan ke seluruh negara melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Beliau turut menasihatkan masyarakat Islam supaya berhati-hati dan berwaspada dengan perkara-perkara yang boleh memesongkan akidah, serta perlu mengkaji secara mendalam mengenai sesuatu amalan sebelum melakukannya.

Beliau berkata terdapat banyak amalan lain dalam Islam yang boleh dilakukan bagi menjaga kesihatan dan mendapatkan ketenangan termasuk mengamalkan sembahyang dan berzikir. Yoga merupakan satu pakej senaman yang telah diamalkan sejak 3,000 tahun sebelum Masihi dan dikatakan boleh melambatkan penuaan, mengurangkan risiko kencing manis, lelah dan penyakit jantung.

— BERNAMA

Persaudaraan Dalam Ibadah Haji


Oleh: Mohd Sukki Othman (Ustaz Shauqi)


Ibadah haji mula difardhukan ke atas umat Islam pada tahun ke 5 atau ke 6 hijrah, iaitu apabila turunnya ayat al-Quran daripada surah Ali Imran ayat 97 yang bermaksud: “Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah bagi sesiapa yang mampu dan berkuasa sampai kepadanya, dan sesiapa yang kufur dan engkar terhadap kewajipan haji itu, maka sesungguhnya Allah Maha Kaya dan tidak berhajatkan sesuatu pun daripada sekalian makhluk”.

Dalam ayat 196 Surah al-Baqarah, Allah berfirman, maksudnya: “Dan sempurnakanlah ibadat haji dan umrah kerana Allah”. Sabda Rasulullah saw bermaksud: ‘Agama Islam itu dibina di atas lima perkara, bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan sesungguhnya Muhammad itu pesuruh Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, berpuasa Ramadhan, dan mengerjakan haji’ (Hadis riwayat Imam Bukhari). Dalam hadis yang lain, Rasulullah saw bersabda, mafhumnya: ‘Sesiapa yang memiliki harta benda dan kenderaan untuk menyampaikannya ke Baitullah, tetapi tidak mengerjakan haji, maka bila dia mati akan menjadi sebagai Yahudi atau Nasrani’.

Berdasarkan ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis di atas, maka para ulama’ bersepakat mengenai kewajipan menunaikan ibadat haji sekali dalam seumur hidup bagi orang yang berkemampuan. Para ulama’ juga bersepakat mengenai kufurnya orang yang engkar dan menolak kewajipan menunaikan fardhu haji.

Terdapat segelintir umat Islam dalam masyarakat kita yang sudah berkemampuan untuk menunaikan haji, tetapi tetap tidak menunaikannya. Sedangkan saban tahun, mereka ini pergi menunaikan ibadah umrah. Kadang-kala dalam setahun, mereka menunaikan dua atau tiga kali umrah, tetapi tetap tidak berkesempatan untuk menunaikan haji. Bila ditanya tentang haji, dengan selamba mereka menjawab, ‘belum sampai seru lagi!’.

Sama ada orang sebegini menyedari atau tidak bahawa umrah yang ditunaikan saban tahun itu adalah sunat sedangkan haji yang mereka sering tangguhkan perlaksanaannya itu adalah wajib!. Manakah yang perlu diutamakan, sunat atau wajib? Tepuk dada, Tanya iman!. Alasan yang menyatakan tidak sampai seru lagi, tidak dapat diterima sama sekali, kerana seruan haji ini telah dinyatakan di dalam al-Quran dan sunnah dengan begitu jelas dan terang. Sanggupkah mereka mati dalam keadaan Yahudi atau Nasrani, lantaran tidak menunaikan haji sedangkan sudah berkemampuan untuk menunaikannya?.

Nabi Muhammad s.a.w. telah menunaikan fardhu haji sekali sahaja semasa hayat baginda. Haji itu dinamakan Hajjatul Wada’ (haji perpisahan), kerana tidak berapa lama kemudian selepas itu Rasulullah pun wafat. Rasulullah telah berangkat dari Madinah pada hari Sabtu, 25 Zulkaedah tahun 10 Hijrah bersama isteri, para sahabat dan orang Islam yang lain. Rasulullah telah menyempurnakan amalan-amalan sunat ihram, memakai ihram dan berniat ihram di Zulhulaifah atau dikenali sebagai Bir Ali yang terletak lebih kurang 10 km dari Madinah. Setelah 9 hari dalam perjalanan, Rasulullah pun sampai di makkah pada tanggal 4 Zulhijjah. Setelah Rasulullah menyempurnakan ibadat haji, maka pada 14 Zulhijjah, Rasulullah telah berangkat meninggalkan Makkah menuju balik ke Madinah al-Munawwarah.

Ibadah haji mendatangkan banyak faedah kepada umat Islam. Firman Allah dalam surah al-Hajj ayat 27-28 bermaksud: ‘Dan serulah umat manusia untuk mengerjakan ibadat haji, nescaya mereka akan datang (ke Baitullah) dengan berjalan kaki dan menunggang unta yang kurus, yang datang dari pelbagai jalan (ceruk rantau) yang jauh. Supaya mereka menyaksikan berbagai-bagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu kerana pengurniaanNya kepada mereka binatang ternak (untuk dijadikan korban)’.

Ibadah haji juga membawa ikatan mahabbah dan persaudaraan yang kukuh dalam kalangan umat Islam tanpa mengira bangsa, keturunan dan warna kulit. Pada hakikatnya, ibadah haji merupakan muktamar atau perhimpunan umat Islam yang terbesar di dunia. Umat Islam saling berusaha menyebarkan ukhuwwah Islamiah dan aktiviti-aktiviti yang mendatangkan banyak manfaat. Inilah hikmahnya persaudaraan yang dipupuk oleh umat Islam sebagaimana yang dijelaskan oleh al-Quran bahawa orang yang beriman itu bersaudara.

Namun, apakah persaudaraan Islam yang didapati daripada ibadat haji itu benar-benar tersemat di dalam hati sanubari mereka yang menunaikannya?. Ini kerana, terdapat sebilangan umat Islam yang sudah beberapa kali menunaikan ibadah haji, tetapi tetap tidak dapat mengaplikasikan semangat persaudaraan dan kasih sayang sesama Islam.

Sebagaimana yang dimaklumi, ibadah haji wajib ditunaikan seumur hidup sekali sahaja. Apabila seseorang itu menunaikan ibadah haji untuk kali kedua, ketiga dan seterusnya, maka ibadah tersebut menjadi sunat. Kadang-kala berlaku dalam kalangan umat Islam yang beria-ia menunaikan haji pada setiap tahun, dan dalam masa yang sama melupakan hubungan persaudaraan dan kasih sayang yang sewajarnya dipupuk sesama umat Islam. Kedapatan di antara mereka yang langsung tidak memperdulikan saudara seagama yang berada dalam kesusahan dan yang memerlukan bantuan. Jadi, berbaloikah ibadah haji sunat yang ditunaikan itu, tetapi melupakan manefestasi dan falsafah haji yang menyeru ke arah persaudaraan dan kasih sayang?

Apalah gunanya ibadah yang ditunaikan, tetapi tidak juga dapat mengubah sikap yang terlalu mementingkan diri sendiri sahaja? Lupakah kita pada generasi para sahabat yang sanggup mati kehausan semata-mata mengutamakan sahabat yang lain terlebih dahulu, sebagaimana yang berlaku dalam peperangan Yarmouk?

Nabi saw bersabda dalam sebuah hadis yang sahih yang bermaksud: ‘Tidak sempurna iman seseorang kamu sehinggalah dia mengasihi bagi saudaranya apa yang dikasihi bagi dirinya sendiri’. Oleh itu, apalah salahnya bagi mereka yang sudah kerap menunaikan ibdah haji dan yang berkemampuan, sekiranya dapat membantu saudara seagama terutamanya waris dan kaum keluarganya yang terdekat yang belum menunaikan haji supaya dapat berbuat demikian. Sekurang-kurangnya itulah tanda kasih dan sayangnya bagi saudaranya sebagaimana yang dia kasihkan sesuatu yang baik bagi dirinya sendiri. Sekiranya perkara seumpama ini dapat dilaksanakan, maka ia akan dapat mengikis sikap pentingkan diri sendiri yang wujud pada diri seseorang itu.

Moga ibadah haji yang dilakukan pada tahun ini membawa sejuta pengharapan ke arah ikatan persaudaraan sesama Islam. Bantulah saudara sesama Islam yang tidak berkemampuan dan yang memerlukan pertolongan dengan apa-pa yang termampu sama ada dengan harta, wang ringgit, tenaga, doa dan sebagainya. Mudahan-mudahan juga awal Muharram yang disambut selepas berlalunya ‘bulan haji’, dapat menyuntik semangat yang lebih kukuh dan utuh dalam persaudaraan ini demi mencapai kebahagiaan hakiki di dunia dan di akhirat nanti.


Friday, November 21, 2008

Khutbah Jumaat


Pertembungan antara hak dan bathil telah berlaku dan akan terus berlaku.Umat islam yang membawa panji kebenaran sering menjadi sasaran serangan musuh.Serangan yang mereka lancarkan itu bukan sahaja berbentuk hujanan peluru yang dimuntahkan secara rambang kearah umat islam,bahkan yang lebih dahsyat dari itu.Serangan pemikiran yang telah mengorbankan jiwa-jiwa keislaman yang dahulunya subur dengan tauhid dan ibadat.

Hasil dari serangan tersebut,maka terbentuklah berbagai kelompok dalam masyarakat islam.Ada sebahagiannya yang memiliki iman dan ilmu keislaman yang mantap,ia masih mempertahankan jiwa dan pemikiran islamnya seperti yang digariskan oleh al-quran dan tak kurang juga yang tertewas dan akhirnya menyerah kalah lalu tenggelam dilautan kesesatan yang bercampur antara islam dan kekufuran.Keyakinan mereka kepada islam tidak seteguh seorang mukmin,kerana pemikirannya telah disogokkan dengan kehebatan duniawi yang ditaja oleh barat. Natijahnya ialah mereka mula berkiblatkan barat walau pun agama anutan mereka masih islam.Tamadun barat dirasakan terlalu sempurna,sedang islam dipandang sepi dan tidak punyai sesuatu yang boleh dibangga-banggakan.

Sungguhpun begitu,cahaya islam masih gagal dipadamkan,bahkan ia semakin menyinari alam ini.Kini timbul puteri-puteri yang dilahirkan dalam keluraga yang tidak pernah kenal kepada kisah ilahi membawa obor islam dipersada dakwah islamiah dimerata dunia islam dan bukan islam. Keimanan mereka terhadap kebenaran islam begitu kuat sehingga ada dikalangan mereka mampu menjadi pendakwah islam demi membawa keluarga dan ummat sekaliannya dari alam kesesatan.

Apakah sebab mereka sanggup meninggalkan agama asal nenek moyang mereka dan memeluk islam,walaupun terpaksa menempuh ranjau dan duri setelah memilih agama islam yang baru bagi mereka?.Bahkan sanggup pula menyampaikan islam kepada orang lain pula.

Marilah kita melihat sebab-sebabnya,mudah-mudahan ia akan menambahkan keyakinan serta kekaguman kita kepada agama islam yang tercinta ini.Melalui kajian didapati sebab utamanya ada dua perkara:

Pertama : Hilang kepercayaan terhadap agama asal
Kedua : Terpaut kepada kebenaran islam

Dalam konteks hilang kepercayaan terhadap agama asal, sebagai contoh : dikalangan pengikut agama kristian setelah mereka dapati berlakunya kes-kes seperti berikut:

* Skandal seks dikalangan paderi dan biarawati yang sangat tinggi di gereja.Mengikut seorang pakar psikologi daripada salah sebuah universiti di amerika adalah seramai 34 ribu atau 40% daripada biarawati di amerika syarikat diperkosa oleh rakan sejawat mereka iaitu paderi lelaki di gereja.

* Keraguan terhadap kesahihan sumber asal kristian. Didapati bahawa penulis-penulis kitab injil tidak hidup semuanya sezaman dengan nabi isa a.s. Mathew misalnya, walaupun ia hidup sezaman dengan nabi isa a.s,tetapi injil beliau ditulis 30 tahun selepas itu dan injil beliau ditulis di Armenia dan tulisan asalnya telah hilang sedangkan yang dipegang oleh penganutnya kristian hari ini ialah terjemahan dari teks yang kononnya asal. Injil Luke pula ditulis oleh Luke yang tidak pernah berjumpa dengan nabi isa a.s sebaliknya menuntut dengan Paul yang memusuhi nabi isa a.s.

* Kedapatan ramai paderi yang meninggalkan kristian dan menganut islam. Seperti Lim Jooi Soon dari melaka yang telah 13 tahun menjadi Mubaligh kristian,akhirnya memeluk islam setelah melihat perdebatan antara ahmad deedat dengan beberapa paderi kristian.

* Dan banyak lagi perkara yang menyebabkan mereka meninggalkan agama asal mereka dan menganut agama islam.

Perkembangan terkini menunjukkan islam semakin diminati dibarat dan ramai orang barat memeluknya kerana kesempurnaan yang terdapat didalam agama islam tidak terdapat didalam agama asal mereka.Antara komen mereka terhadap islam ialah:

Pertama : Islam agama yang mudah diamal,rasional dan praktis.
Mereka mendapati islam adalah agama yang tidak dicampuri dengan unsur-unsur karut.Ajarannya mudah difahami dan mempunyai alasan kukuh untuk diamalkan dan ia benar-benar agama dari tuhan.

Dalam masalah ketuhanan,tiada unsur paksaan bahkan islam memberi hak kepada akal untuk memikirkan kebenaran kewujudan dan keagungan tuhan.Mereka mendapati al-quran membentangkan kepada manusia terlebih dahulu bukti-bukti kekuasaan allah s.w.t agar akal dapat membuat pertimbangan tentang kewujudan allah s.w.t.Mereka melihat islam meraikan dia kebijaksanaan manusia.Dalam hal ini dapat kita lihat melalui firman allah s.w.t dalam surah Yunus ayat 5:

"Dialah yang menjadikan matahari bersinar-sinar (terang-benderang) dan bulan bercahaya,dan dialah yang menentukan perjalanan tiap-tiap satu itu (berpindah-randah) pada tempat-tempat peredarannya(masing-masing) supaya kamu dapat mengetahu bilangan tahun dan kiraan masa.Allah tidak menjadikan semuanya itu melainkan dengan adanya faedah dan gunanya yang sebenar.Allah menjelaskan ayat-ayatnya (tanda-tanda kebesarannya) satu persatu bagi kaum yang mahu mengetahui (hikmat sesuatu yang dijadikannya).

Kedua : Islam tidak memisahkan antara keperluan jasmani dan rohani.
Pengkaji islam dibarat melihat islam menunjukkan jalan kearah kesempurnaan rohani tetapi bukan dengan jalan menjauhi kehidupan meterial.Bahkan melalui jalan takwa kepada allah s.w.t dalam seluruh keperluan hidup,sebagaimana disebut didalam al-quran,allah s.w.t berfirman dalam surah al-baqarah ayat 201-202:

"Dan diantara mereka pula ada yang (berdoa dengan ) berkata : "Wahai tuhan kami, berilah kami kebaikan didunia dan kebaikan diakhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka". Mereka itulah yang akan mendapat bahagian yang baik dari apa yang telah mereka usahakan dan allah amat cepat hitungnya".

Mereka mendapati pula agama kristian hanya menekankan persoalan kerohanian,sedangkan tamadun barat terlalu menumpukan kepada aspek kebendaan semata-mata dan inilah punca akan berlaku keruntuhan tamadun didunia.Inilah sebab orang-orang barat merasakan agama asal mereka gagal memberi ketenangan jiwa pada mereka.

Ketiga : Islam menunjukkan jalan kehidupan yang sempurna.
Pengkaji islam dibarat melihat,islam adalah satu jalan hidup yang sempurna,meliputi semua lapangan hidup manusia.Islam memberikan bimbingan untuk setiap langkah kehidupan individu mahu pun masyarakat,meterial dan moral,ekonomi dan politik,hukum dan kebudayaan,nasional dan internasional. Mereka pula melihat agama asal mereka (Kristian) membatasi ruang lingkup agama itu hanya pada kehidupan individu,sedangkan peranan sosial dan kebudayaannya ditinggalkan.

Keempat : Universal dan kemanusiaan.
Pengkaji islam dibarat melihat risalah islam adalah untuk seluruh umat manusia.Tuhan dalam ajaran islam adalah tuhan seluruh alam.Mereka juga melihat nabi muhammad s.a.w adalah seorang rasul untuk seluruh alam semesta. Masyarakat barat juga melihat,didalam ajaran islam manusia itu semuanya sama, walaupun berlainan warna kulit,bahasa,keturunan dan kebangsaannya.

Kelima : Islam terpelihara dari perubahan.
Pengkaji islam dibarat melihat segala ajaran didalam islam yang terdapat dalam al-quran tetap ats dasar dan nasnya yang asal tanpa ada perubahan selama-lamanya. Profesor Reynold A.Nicholson telah menulis dalam bukunya yang bermaksud: Al-quran adalah suatu dokumen kemanusiaan yang luar biasa,menerangkan setiap detik hubungan muhammad dengan segala kejadian yang dihadapinya selama hidupnya,sehingga kita mendapat bahan yang unik dan tahan ujian keasliannya,sehingga kita dapat mengikuti perkembangan islam sejak permulaanya sampai sekarang.Semua itu tidak ada bandingan dalam agama-agama budha atau kristian,mahu pun dalam agama-agama lainnya.

Semua itu hanyalah sebahagian sahaja tanda-tanda yang dengan jelas dan kuat menunjukkan bahawa islam adalah agama yang paling sempurna bagi kemanusiaan dahulu, sekarang dan akan datang. Isu-isu inilah yang telah menarik beratus-ratus juta umat manusia kedalamnya.Mereka semua yakin bahawa islam adalah agama yang hak dan benar,jalan hidup yang lurus yang seharusnya dilalui oleh manusia. Hal itu akan tetap menarik mereka diwaktu-waktu yang akan datang.

George Benard Shaw berkata:
"Kalau mana-mana agama ada peluang memerintah England atau Eropah dalam masa seterus tahun akan datang maka ia adalah islam".

Semoga segala keterangan yang kita dengar pada ini menambahkan minat kita untuk terus bersama islam dan menyampaikannya kepada seluruh manusia didunia ini dengan penuh keyakinan dan kebanggaan.Semoga keyakinan kita terhadap islam akan menggerakkan kita untuk mengamalkan islam dalam setiap juzuk kehidupan kita. Dan inilah bukti keimanan kita kepada allah s.w.t dan syarat untuk menjadi orang yang beriman kepadanya.