Saturday, January 3, 2009

Antara Muharam 1430H & Januari 2009


Oleh: Mohd Sukki Othman (Ustaz Shauqi)

Pada tahun ini, sambutan tahun baharu Hijrah dan tahun baharu Masihi boleh dikatakan disambut hampir serentak. Hal ini kerana jumlah hari yang membezakan sambutan di antara kedua-duanya hanyalah tiga hari sahaja. Apa tidaknya, sambutan 1 Muharam 1430 Hijrah jatuh pada tanggal 29 Disember 2008 iaitu lebih kurang tiga hari sebelum tibanya 1 Januari 2009. Namun, sesuatu yang sepatutnya dipersoalkan oleh generasi Melayu yang beragama Islam dan yang sudah terdidik dengan ajaran Islam yang suci murni ini ialah manakah sambutan yang lebih diutamakan?

Sudah tentu ramai yang akan mengatakan bahawa sambutan tahun 2009 lebih diutamakan dan lebih meriah berbeza dengan kedatangan 1430 Hijrah yang kadang-kala tidak disedari kehadirannya oleh sebilangan umat Islam sendiri! Hal ini bukanlah perkara baharu yang berlaku dalam masyarakat kita, bahkan hasil penjajahan pemikiran yang semakin kuat bertapak kukuh dalam jiwa individu Muslim dalam masyarakat kita menyebabkan perkara seumpama ini akan terus berlaku dan berlaku seolah tiada penghujungnya.

Sambutan Muharam dirasakan terlalu ‘boring’ kerana tiadanya percikan bunga api, tiada juga konsert hiburan dan tiada upacara ‘countdown’! Sebaliknya ia disambut dengan doa selamat, memohon keampunan kepada Allah swt serta ceramah dan forum agama. Sebaliknya, sambutan tahun baharu Masihi pula akan dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti yang meruntun nafsu untuk menyertainya! Bermula daripada perhimpunan besar-besaran muda-mudi dan remaja belia, kemudian diikuti dengan persembahan konsert dan percikan bunga api yang amat mempesonakan. Tambah menyeronokkan lagi ialah perhimpunan itu melibatkan percampuran antara lelaki dan perempuan serta pengkid dan pondan tanpa garis pemisahan!

Media massa dan elektronik pula seolahnya tidak memainkan peranan yang bersungguh-sungguh dan sewajarnya dalam mempromosikan perayaan Tahun Baharu Hijrah sekiranya hendak dibandingkan kesungguhan dalam mempromosikan sambutan tahun baharu Masihi. Sebagaimana yang dimaklumi bahawa peranan media massa dan elektronik dalam hal ini sangat besar bahkan ia boleh merubah minda masyarakat serta mendidik mereka ke arah yang lebih berakhlak dan bersopan dalam apa jua sambutan yang diraikan. Begitu juga peranan pihak pemerintah amat diharapkan dalam usaha membentuk jati diri bangsa ke arah yang lebih beretika dan bermaruah.

Masihkah kita ingat ketika berlakunya tsunami pada tanggal 26 Disember 2004, iaitu hanya empat hari sebelum disambut tahun baharu 2005? Pada waktu itu, kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Badawi telah mengumumkan bahawa segala sambutan tahun baharu yang berbentuk hiburan, konsert dan seumpamanya dibatalkan!. Justeru, apabila berlangsungnya sambutan tahun baharu pada ketika itu, ia disambut dengan penuh keinsafan, bertafakur mengingati mangsa bencana dan suasana ketenangan dapat dirasai di seluruh Malaysia.

Namun, bak kata pepatah, ku sangka panas hingga ke petang, tapi rupanya hujan di tengahari. Pada pada tahun-tahun berikutnya sambutan tahun baharu Masihi kembali gegak-gempita dengan hiburan dan konsert yang berteraskan budaya hedonisme barat di samping pembaziran bunga api yang menelan kos ribuan ringgit itu! Keinsafan hanya datang apabila diuji oleh Allah dengan bala bencana atau musibah yang besar. Akan tetapi apabila tiada lagi musibah, maka umat Melayu Islam sanggup menanggalkan ‘pakaian’ Islamnya dan tanpa segan silu melakukan perkara yang mengundang kemurkaan Allah. Itu belum lagi dilihat kepada kondom-kondom yang bertaburan di merata tempat setelah sambutan tahun baharu itu selesai yang ianya saban tahun dilaporkan di dada-dada akhbar. Semua ini sudah tentu mengundang gejala sosial dan perlakuan jenayah yang semakin meningkat dari semasa ke semasa.

Justeru, semua pihak hendaklah kembali memainkan peranan masing-masing untuk memperbetulkan keadaan seumpama ini. Ibu bapa hendaklah mengawasi anak-anak mereka daripada terjebak dalam aktiviti yang sia-sia serta yang melalaikan. Pastikanlah anak-anak tidak berpeleseran dan berkeliaran di waktu larut malam yang ianya sudah tentu akan mengundang situasi yang amat membimbangkan.

Media massa pula wajar memperhebatkan promosi terhadap tahun baharu Hijrah dengan diperbanyakkan filem, drama, diskusi, dan sebagainya yang memaparkan unsur ‘hijrah’ dan pengorbanan yang perlu ada pada diri setiap individu agar mereka lebih bersemangat untuk melaksanakan kewajipan agama, serta memperkukuhkan jati diri bangsa dan Negara. Sekiranya peranan dan perubahan tidak dilakukan dari sekarang ke arah membentuk generasi yang lebih gemilang dan berwawasan, maka janganlah diharap generasi akan datang akan lebih cemerlang daripada sekarang!.

No comments:

Post a Comment