Thursday, January 22, 2009

Bolehkah Bekerjasama Dengan Israel?


Oleh: Ustaz Shauqi

Penguasaan Yahudi terhadap Baitul Maqdis serta penguasaan mereka ke atas masjid-masjid di sana terutamanya Masjid al-Aqsa adalah merupakan suatu kezaliman yang nyata. Oleh itu, menjadi suatu kewajipan kepada umat Islam untuk berusaha bersungguh-sungguh demi menyelamatkan al-Quds dan masjid-masjid yang terdapat di dalamnya. Bahkan menjadi suatu kewajipan kepada umat Islam untuk membebaskan Palestin keseluruhannya daripada cengkaman Yahudi.

Hukum syariat Islam telah menyatakan bahawa sekiranya musuh berusaha mendapatkan serta menguasai bumi umat Islam, maka umat Islam di situ wajib berjihad mempertahankan tanah air mereka. Sekiranya penduduk di situ tidak mampu, maka menjadi kewajipan kepada seluruh umat Islam untuk berjihad membebaskan bumi umat Islam tersebut. Akan tetapi sekiranya umat Islam hanya duduk diam membisu tanpa berusaha untuk berjihad membebaskan masjid al-Aqsa dan persekitarannya, maka ini akan mengundang kemurkaan dari Allah.

Sekiranya seseorang muslim itu menziarahi atau berurusan dengan Israel sedangkan mereka masih lagi memerangi umat Islam, maka beliau boleh dikategorikan sebagai seorang yang mempunyai ciri-ciri munafik. Alasannya ialah sekiranya seseorang itu muslim sejati, sudah tentu beliau beriltizam dengan hukum-hakam Islam yang menghendaki agar memberi wala’ dan ketaatan kepada Allah, Rasul dan orang beriman. Muslim sejati juga sudah pasti akan memerangi mereka yang bertindak memerangi Islam di samping bertegas tidak berurusan dan bekerjasama dengan musuh-musuh itu. Seseorang muslim dianggap bekerjasama dan berurusan dengan Israel sekiranya mereka berjual-beli makanan, alat-alat senjata serta memperdagangkan barang-barang Israel di negara-negara umat Islam.

Jelasnya, perbuatan-perbuatan ini akan menggalakkan aktiviti ekonomi Israel dan secara tidak langsungnya telah memberi kekuatan kepada Israel untuk terus menguasai bumi umat Islam dengan secara zalim. Sesungguhnya seseorang muslim yang berurusan dan bekerjasama dengan Israel dianggap sebagai pengkhianat kepada Allah, Rasul-Nya serta orang beriman. Ini adalah berikutan Islam itu adalah amanah yang wajib dipelihara. Sekiranya bekerjasama dengan Israel yang memerangi Islam, tidak syak lagi bahawa itulah suatu pengkhianatan terhadap agama Islam. Inilah yang dinamakan munafik di dalam agama.

Perbuatan nifaq ( munafik ) serta mengkhianati Allah, Rasul dan orang beriman adalah sebesar-besar jenayah dan dosa. Kerjasama yang dilakukan oleh seseorang individu muslim dengan Negara Israel seperti menyeludup masuk bahan-bahan makanan dan senjata serta memperniagakan barang-barang Israel di negara-negara Arab dan negara umat Islam yang lain adalah merupakan jenayah dan pengkhianatan yang amat besar. Jenayah ini dianggap amat besar kerana individu tersebut boleh dikatakan terlibat dengan perisikan yang bertujuan menghancurkan Islam.

Unit perisikan Israel sudah tentu akan mengambil kesempatan di atas kerjasama dengan individu muslim tertentu untuk mengetahui kekuatan tentera Islam seperti bilangan anggota tentera, kubu-kubu pertahanan dan sebagainya. Individu muslim yang sanggup diperalatkan sebegitu rupa semestinya mengharapkan ganjaran wang yang banyak hasil kerjasama dengan Israel. Malangnya, kerana semangat material yang menguasai diri, telah menyebabkan seseorang itu menjadi penolong kepada musuh-musuh agama dan seterusnya mempunyai saham yang besar dalam usaha memerangi Allah dan orang beriman.

Pertolongan yang dilakukan oleh individu-individu tertentu terhadap Israel termasuk membeli barangan daripada syarikat-syarikat yang sudah dikenal pasti membiayai tentera-tentera Israel telah memungkinkan Israel terus menguasai bumi yang dirampas daripada tangan umat Islam. Sedangkan bumi tersebut adalah bumi suci umat Islam yang telah dipertahankan oleh umat-umat Islam terdahulu sehingga terpaksa menumpahkan darah-darah mereka dan mengorbankan nyawa-nyawa mereka.

Bumi suci umat Islam ini telah disebut oleh Allah swt di dalam al-Quran dan juga telah disebut oleh Rasulullah saw di dalam hadis baginda. Firman Allah dalam Surah al-Isra’ ayat pertama bermaksud: “ Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Masjid al-Haram ke Masjid al-Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami memperlihatkan kepadanya sebahagian daripada tanda-tanda ( Kebesaran ) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat”.

No comments:

Post a Comment