Thursday, February 26, 2009

Merebut Faedah Daripada Krisis Kegawatan Ekonomi



Kegawatan ekonomi yang melanda dunia umumnya dan Malaysia khasnya pastilah membawa bersamanya seribu kepahitan dan penderitaan kepada sebahagian dari penduduk di dunia ini. Pada mereka yang pertama kali terjebak ke dalam krisis ini tentulah sukar mencari jalan keluar. Namun disebalik kepahitan ini, terdapat faedah-faedah yang tersembunyi, yang jika di manfaatkan akan memberi beberapa kebaikan di masa-masa akan datang.

Antaranya:

1-Betapa pentingnya mempunyai tabungan pendapatan untuk kegunaan di kala kecemasan kehilangan punca pendapatan.Tabungan ini mestilah dalam bentuk tunai atau harta mudah cair seperti emas. Pakar ekonomi dan pakar psikologi bersetuju minimum untuk seorang pekerja menyimpan untuk menghadapi kemungkinan kehilangan pekerjaan adalah 6 bulan gaji kasar. Contohnya jika seorang memperolehi gaji kasar bulanan RM 2000.00, beliau harus menyimpan sebanyak RM 12,000.00 manakala jika isterinya bergaji sebanyak RM 1,000.00 maka simpanannya sebanyak RM 6000.00. Ini kerana kesan psikologi yang hebat akan dihadapi oleh pekerja yang hilang pekerjaan adalah untuk 6 bulan pertama.Dalam tempoh masa ini beliau tidak dapat berfikir bagaimana untuk memulakan penghidupan baru. Selepas 6 bulan bagi manusia yang normal beliau pasti akan menerima kenyataan dan dapat berusha untuk meneruskan kehidupan.

2- Bagi mereka yang mempunyai kelebihan pendapatan, inilah masa untuk memaksimakan keuntungan wang simpanan. Bank Negara telah memotong kadar pinjaman bank ke tahap yang paling minima sekarang ini. Kesan langsungnya faedah simpanan di masa akan datang akan turut jatuh. Tujuan Bank Negara adalah untuk menggalak rakyat melabur daripada terus menyimpan dalam akaun simpanan bank. Antara pelaburan yang di cadangkan adalah membeli saham-saham di pasaran bursa malaysia. Saham mewah seperti TNB,TELECOM,TABUNG HAJI PLANTATION,SIME DARBY dan lain sektor yang teguh telah mengalami kejatuhan antara 30 - 60%.

Inilah masa untuk membeli dan menyimpannya. Saham-saham mewah ini bukan saja menjanjikan kenaikan harga yang stabil bila kegawatan ekonomi ini berakhir, tapi juga merupakan antara sector-sektor perniagaan yang tidak pernah gagal membayar dividen kepada pemegang sahamnya. Di samping itu saham-saham amanah juga telah mengalami kejatuhan yang hampir maksimum. Keadaan pasaran saham dan keadaan ekonomi negara adalah saling berkaitan rapat. Bila ekonomi pulih pasaran sahamlah antara sektor yang paling cepat berkembang begitulah sebaliknya. Bagaimanapun bagi mereka yang berkemampuan adalah digalakkan mendapat nasihat dari pakar untuk memulakannya.

3-Bagi mereka yang bercita-cita untuk menceburi bidang perniagaan, inilah masanya untuk memulakan perniagaan secara kecil-kecilan.Tujuannya bukanlah untuk pendapatan sampingan semata-mata tapi adalah langkah permulaan untuk perniagaan. Ramai yang ingin menceburi bidang ini tapi malu untuk memulakannya. Atas alasan kegawatan ekonomi perasaan malu tentu dapat di buang lagi pula masyarakat akan lebih sedia menerima lantaran kesan kegawatan ini. Punca utama ramai orang tidak memulakan perniagaan adalah malu. Hindarkan malu mulakannya, insyaalah bila kegawatan berakhir kita telah memperolehi suatu yang paling istimewa dalam perniagaan iaitu pengalaman dan pelanggan tetap.

3-Kegawatan ekonomi juga adalah alasan terbaik bagi mereka untuk memulakan suatu yang baru dalam kehidupan. Berubah kepada sesuatu yang positif dalam kehidupan. Dari menghabiskan masa berbual kosong di kedai kopi ke majlis-majlis ilmu di masjid dan surau. Dari mengunjungi tempat pelancongan mewah kepada mengunjungi ibu bapa ,saudara dan keluarga-keluarga terdekat untuk mengeratkan silatulrahim. Masa untuk menginsaf diri dengn mengambil iktibar dari rakan-rakan karib dan saudara-saydara terdekat yang telah hilang pekerjaan. Mungkin suatu hari kita juga tidak terkecuali.

4-Bagi mereka yang membeli harta seperti rumah dan kereta secara riba, inilah masanya untuk membiayainya semula secara islam. Dengan kadar keuntungan yang paling rendah inilah masanya untuk mengunci (lock) untuk jangka masa panjang. Halal dan menguntungkan. Bagi yang sudah mempunyai pembiayaan islamic bolehlah menyemak semula mungkin dahulunya kita 'lock' kadar keuntungan yang agak tinggi, inilah masanya untuk membiayai semula. Dlm konteks ini rasanya pembiayaan islamic antara 8 tahun keatas adalah dicadangkan disemak semula.

5-Antara pengajaran yang dapat diambil dari kegawatan ekonomi ini adalah dengan memerhatikan sektor yang kebal dari kegawatan seperti sektor kerajaan, industri makanan utama, barang-barang keperluan pengguna, emas, pakaian biasa dll. Jadi jika untuk memulakan perniagaan atau menasihati keluarga untuk mendapatkan pekerjaan utamakan sektor2 ini. Jika boleh elakkan sektor yang berisiko tinggi seperti barang-barang mewah dll.

Moga dengan sedikit info ini dapat membantu masyarakat lebih memahami erti kegawatan ekonomi ini. Apapun ini adalah ujian dari Allah. Pada yang selamat banyakkan kesyukuran dan pada saudara-saudara kita yang telah hilang pendapatan banyakkan kesabaran.

Sumber: http://www.barakahprima.blogspot.com/

Wednesday, February 25, 2009

Persoalan Email Berantai



Akhir-akhir ini timbul kembali persoalan mengenai email berantai yang makin berleluasa di era internet ini. Iaitu suatu nasihat yang dikirim pada seseorang dengan syarat supaya penerima email tersebut me'forwardkan' mesej nasihat itu kepada orang lain ... 9 @ 10 @ 20 orang untuk mendapatkan rezeki yang akan datang secara tiba-tiba atau dalam tempoh waktu yang tertentu setelah menghantar email tersebut.

Cerita bab email berantai ni dah lama. Ia bermula dengan surat berantai yang kononnya datang dari masjid nabawi. Dalam surat tu menyatakan bahawa sorang pak syeikh mimpi jumpa nabi dan nabi suruh banyakkan solat, puasa, solawat, etc. Lalu di hujung surat tu dia kata sapa yg sebarkan surat ini kepada 20 orang maka dia dapat rezeki yg tak disangka-sangka tapi kalau tak sebar, dia akan dapat bencana. Kemudian di era teknologi ni...orang tak guna surat lagi tapi orang guna email dan sms berantai dengan pelbagai nasihat dan versi yg pelbagai.Tapi setiap email atau sms yg dihantar mesti ada syarat dihujungnya iaitu kena hantar pada org lain untuk dapat rezeki dsbnya...kalau tak hantar maka dapat bala bencana.

Surat / email / sms berantai itu bercanggah dengan akidah dan ia haram untuk disebarkan. Surat berantai itu pada mulanya ditulis oleh seseorang bertujuan untuk menyesatkan kepercayaan umat Islam kepada Allah. Memang dia menceritakan tentang selawat, solat, haji, zakat , kebesaran Allah, etc tetapi apa yang dia nak sampaikan sebenarnya bukan mesej itu sebaliknya mesej kena percaya pada surat itu ada kuasa, lalau sesiapa yang menghantar mesej itu pada orang lain akan mendapat rezeki segera, sebaliknya siapa yang tidak menyebarkannya akan menerima bencana...ini sesuatu yang syirik dan boleh menjejaskan akidah bagi sesiapa yang mempercayainya. Hal ini kerana surat / email /sms tidak mempunyai kuasa apa-apa. Yang menentukan segalanya hanyalah Allah swt.

Oleh itu , jangan kita tertipu dengan tipu daya yang seumpama ini yang hanya akan menjuruskan umat Islam ke arah krisis keyakinan kepada Allah swt yang Maha Berkuasa dan Penentu segalanya, wallahu'alam.

Tuesday, February 24, 2009

Bantah PPSMI




1. Pengendalian Persidangan Meja Bulat anjuran Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) yang cuba mendapatkan pandangan tentang PPSMI telah dilaksanakan secara “tidak adil” dan “laporannya” dalam akhbar juga “mengelirukan”. Tiga daripada lima orang pembentang bukannya berbicara tentang PPSMI tetapi tentang kepentingan menguasai bahasa Inggeris yang tidak pun dinafikan oleh kami. Kami bimbang akan kemunculan watak-watak “pembesar” seperti dalam cerita “Maharaja dengan Baju Barunya” yang hanya mengiyakan bahawa baju raja cantik walaupun raja sebenarnya tidak berbaju. Lagipun semasa hendak mengubah ke bahasa Inggeris dahulu tiada meja bulat pun dan tidak pun ditimbulkan tentang kesan ekonomi perbukuan bahasa Melayu. Apakah meja bulat ini hanya untuk mengaburi mata orang ramai saja kerana pengerusinya tidak dapat membuat kesimpulan secara objektif dan tepat. (Contoh pertemuan 27 Ogos 2008 yang lalu – rujuk The Star dan Utusan Malaysia 28.8.08 dan catatan wakil ASASI di www.prihatin.net).

2. Bagaimana pemimpin kerajaan boleh mempertahankan tindakan yang terang-terang melanggar Akta? Tindakan ini dilakukan secara sembunyi-sembunyi. Kononnya dua mata pelajaran tetapi ternyata kini bahawa sebenarnya lebih 80% kursus di sekolah menengah dan IPT telah diajar dalam bahasa Inggeris. Ini adalah benar dan bukannya andaian palsu. Apabila ini sudah berlaku maka Akta mungkin akan dipinda atas alasan fait accompli dan hancurlah bahasa Melayu. Soalan “adakah kita mahu meneruskan PPSMI atau tidak” sebenarnya samalah maknanya dengan soalan “adakah kita mahu meneruskan usaha menghancurkan bahasa Melayu dalam bidang sains dan teknologi?” (rujuk Siri Bicara Bahasa Bil.15, 2002 terbitan PLM & DBP). Kami sedia berdebat tentang kehancuran bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara ini.

3. Kajian yang “lebih” jujur dan tidak berkepentingan oleh pelbagai pihak termasuk oleh Prof. Emeritus Datuk Dr. Isahak Haron dan kajian Prof. Dr. Norhashimah Jalaluddin di bawah payung UKM-DBP misalnya menunjukkan mereka yang di bandar dan mereka yang dari keluarga yang berpendapatan tinggi mendapat manfaat dari PPSMI manakala majoriti pelajar luar bandar lebih terdera. Dengan PPSMI jurang antara bandar dan luar bandar semakin melebar. Yang menjadi mangsa pasti majoritinya Melayu kerana mereka kira-kira 70% penduduk luar bandar dan ini amat tidak adil kerana mereka dinafikan pendidikan berkualiti.

4. Tujuan seluruh usaha ini ialah untuk meningkatkan penguasaan BI pelajar. Tetapi ini telah dilakukandengan meminggirkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan budaya tinggi. Penyelesaian ini seperti kata pepatah Melayu, lain yang luka lain yang dibebat. Tidak pernah dibuktikan di mana-mana di dunia, mengajar sains dan matematik boleh meningkatkan penguasaan bahasa. Pelaksanaan PPSMI di negara bekas jajahan British di Afrika dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Perancis di negara bekas jajahan Perancis di Afrika tidakpun memajukan negara tersebut, malah tinggal mundur dan miskin walaupun bahasa negara termaju digunakan. Hanya Amerika Syarikat, Britain, Australia dan New Zealand wajar melaksanakan PPSMI.

5. Kemungkinan besar tindakan ini untuk menutup kegagalan Kementerian dalam usaha mencari kaedah yang sesuai untuk mengajar bahasa Inggeris. Tegasnya Kementerian mestilah mencari kaedah mengajar bahasa Inggeris yang sesuai dan berkesan.

6. Kerajaan mestilah belajar dari pengalaman. Dalam tahun 60-an Kerajaan telah “mengusir” keluar tulisan jawi daripada bilik darjah. Akibatnya 40 tahun kemudian akhbar tulisan jawi menjadi tidak lagi berdaya maju, menjadi sisipan saja kepada akhbar tulisan rumi. Sekarang kerajaan sekali lagi “mengusir” keluar bahasa Melayu daripada bilik darjah “sains dan teknologi”. Kemungkinan besar 40 tahun lagi akhbar berbahasa Melayu tidak akan berdaya maju dan akan menjadi sisipan saja kepada akhbar Inggeris dan Mandarin. Pada waktu itu bahasa Melayu bukan lagi bahasa ilmu dan budaya tinggi. Sejarah akan mendera kita lagi.

7. Gesaan kami agar pihak berkuasa mengembalikan Dasar Pelajaran Kebangsaan yang telah berjaya dan dipersetujui bersama-sama. Kembalikanlah kewibawaan bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara ini sebagai penghantar sains, matematik dan teknologi di sekolah rendah, sekolah menengah dan di IPT. Jika pertukaran dilakukan di peringkat sekolah rendah sahaja, dan/atau sehingga di sekolah menengah sahaja, akan hanya merupakan tindakan “melepas batuk di tangga”. Bahasa Melayu tetap hancur di negaranya sendiri. Kesan negatif akibat PPSMI telah melarat-larat dengan keghairahan pemimpin besar dan kecil sehingga menghina dan memperkecil bahasa rasmi/bahasa kebangsaan dalam semua aspek kehidupan di negara ini sebagai bahasa rasmi, ilmu dan perhubungan di negara ini sehingga DBP pun seolah-olah sudah “mati” dan tidak berwibawa lagi.

8. Malaysia bukan England, bukan Amerika, bukan India, bukan Taiwan, bukan Singapura. Malaysia adalah Malaysia yang dahulunya Persekutuan Tanah Melayu yang sejarahnya bermula sejak sebelum kerajaan Melayu Melaka lagi. Kembalikanlah bahasa Melayu dalam sistem pendidikan negara kita seperti sebelum tahun 2003. Kepemimpinan Melalui Teladan. Hormatilah keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang negara, (Rukun Negara ke-3 dan ke-4).
DENGAN INI KAMI BADAN-BADAN BUKAN KERAJAAN YANG BERIKUT (SEBAHAGIAN BESARNYA MEMANG MEMBANTAH PPSMI SEJAK URA-URA HENDAK DILAKSANAKAN PADA TAHUN 1996 DAHULU LAGI (LIHAT ASRAF, MANIFESTO BUDAYA PUPUS BAHASA PUPUSLAH BANGSA, 1996, PLM:KL DAN BUKU MENGAPA KAMI BANTAH SAINS DAN MATEMATIK DALAM BAHASA INGGERIS, ABDULLAH HASSAN, PTM:KL) MENDESAK LAGI SEKALI SUPAYA PPSMI YANG DILAKSANAKAN SEKARANG INI DIBERHENTIKAN SERTA-MERTA DAN KEMBALI KEPADA DASAR SEBELUM 2003.

  • PERSATUAN LINGUISTIK MALAYSIA (PLM)
  • KUMPULAN PRIHATIN
  • ANGKATAN BELIA ISLAM MALAYSIA (ABIM)
  • AKADEMI SAINS ISLAM MALAYSIA (ASASI)
  • MAJLIS PROFESOR SAINS DAN TEKNOLOGI UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA
  • WADAH PENCERDASAN UMAT (WADAH)
  • PERSATUAN PENTERJEMAH MALAYSIA (PPM)
  • PERS.KEBANGSAAN PELAJAR ISLAM MALAYSIA (PKPIM)
  • INSTITUT ALAM TAMADUN MELAYU,UKM (ATMA)
  • PERS. PENULIS NASIONAL (PENA)
  • PERS.EKSEKUTIF & USAHAWAN BUMIPUTERA MALAYSIA (PESUMA)
  • PERS.BEKAS PELAJAR ITM (PBP-ITM)
  • PERS.SULUH BUDIMAN (PSB)
  • PERS.MAHASISWA ISLAM TIMUR TENGAH (PBMTT)
  • PERS. PENGAJIAN MELAYU MALAYSIA (PPMM)
  • PERS. SENIMAN MALAYSIA (SENIMAN)
  • GABUNGAN PERS.PENULIS NASIONAL MALAYSIA (GAPENA)
  • TERAS PENGUPAYAAN MELAYU (TERAS)
  • GABUNGAN PELAJAR MELAYU SEMENANJUNG (GPMS)
  • PERT.TINDAKAN WANITA ISLAM (PERTIWI)
  • PERS.ALUMNI SEKOLAH ALAM SHAH (PASAS)
  • KESATUAN SEKERJA DBP
  • PERSATUAN PENULIS KUALA LUMPUR (KALAM)
  • PERSATUAN PENULIS JOHOR (PPJ)
  • PERSATUAN PENULIS MUAR
  • PERS. ULAMA MALAYSIA PULAU PINANG (PUMPP)
  • GABUNGAN MAHASISWA DARULAMAN (PERSADA)
  • GABUNGAN MAHASISWA BERSATU PERAK (BERSATU)
  • KESATUAN GURU MELAYU MALAYSIA BARAT(KGMMB)
  • PERSATUAN SAINS KEADAAN PEPEJAL (PSKP)
  • PERS.BIOLOGI GUNAAN MALAYSIA
  • PERS.SAINS MATEMATIK MALAYSIA
  • MAJLIS PROFESOR SAINS DAN TEKNOLOGI UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA
  • KESATUAN PELAJAR ISLAM PERAK (KPIP)
  • KESATUAN PELAJAR ISLAM JOHOR (KPIJ)
  • GAMIS
  • PERSATUAN PENDIDIK INSAN NEGERI SEMBILAN (PPINS)
  • IKATAN PENGKAJIAN ISLAM PAHANG (IKATAN)
  • PERSATUAN KEBAJIKAN DAN PENDIDIKAN ISLAM WILAYAH PERSEKUTUAN DAN SELANGOR DARUL EHSAN (PEPIAS)
  • PERSATUAN KEBAJIKAN DAN PENDIDIKAN ISLAM NEGERI KEDAH (PERSIDA)
  • PERSATUAN KEBAJIKAN ISLAM SARAWAK (PERKEPIS)
  • KESATUAN PELAJAR ISLAM MELAKA (KPIM)
  • PERSATUAN PEMBIMBING PELAJAR ISLAM KELANTAN (PPIK)
  • PERSATUAN PEMBIMBING PELAJAR ISLAM PULAU PINANG (PEMBIMBING)
  • PERSATUAN KEBAJIKAN PELAJAR ISLAM WILAYAH PERSEKUTUAN (PPIWP)
  • PERSATUAN SEJARAH MALAYSIA (PSM)
  • PERSATUAN BAHASA MELAYU UNIVERSITI MALAYA (PBMUM)

Monday, February 23, 2009

Istighfar



Esok Selasa 24 Feb 2009 pukul 7.30 pagi, Insya allah saya akan ke udara di TV1 live segmen Nur Islam... Perbincangan akan tertumpu kepada persoalan istighfar .

Istighfar sering diertikan dengan permohonan ampun kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala atas dosa atau kesalahan yang dilakukan. Lazimnya jika seseorang melakukan kesalahan dan kemudian menyesal akan perbuatannya itu, maka istighfar yang disertai dengan niat taubat yang ikhlas akan dilafazkan dengan harapan agar dosa atau kesalahan yang dilakukan akan diampunkan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

Jika dilihat pada pengertian istighfar, maka tiada perbezaan antara istighfar dan taubat. Dari satu sudut, istighfar dan taubat mempunyai maksud yang sama iaitu kembali kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Keduanya mempunyai persamaan dalam permohonan untuk menghapuskan apa yang tidak sepatutnya (dosa).

Hakikat istighfar dalam Islam adalah menundukkan jiwa, hati dan fikiran kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala sambil memohon ampun dari segala dosa. Allah Subhanahu wa Ta‘ala memerintahkan hamba-hambaNya supaya beristighfar sebagaimana firmanNya di dalam al-Qur’an:Tafsirnya: “Dan hendaklah engkau memohon ampun kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah adalah amat Pengampun, lagi amat Mengasihi” (Surah an-Nisaa:106) .

Dalam ayat yang lain pula, Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman: Tafsirnya: “Dan pohonlah ampun bagi dosamu, serta bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu pada waktu pagi dan petang.”
(Surah al-Mu’min:55)

Allah Subhanahu wa Ta‘ala juga menganjurkan kepada hamba-hambaNya agar sentiasa beristighfar bukan saja untuk diri sendiri malahan juga untuk orang-orang yang beriman, lelaki mahupun perempuan. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala: Tafsirnya: “Dan mintalah ampun kepadaNya bagi salah silap yang engkau lakukan, dan bagi dosa orang-orang yang beriman (lelaki dan perempuan).” (Surah Muhammad: 19) .

Walaupun istighfar adalah sunat, namun perintah Allah Subhanahu wa Ta‘ala pada ayat-ayat di atas menunjukkan adanya penegasan bahawa istighfar merupakan satu tuntutan agama yang tidak boleh dilupakan. Oleh itu adalah menjadi kewajipan bagi umat Islam untuk sentiasa beristighfar bukan saja sebagai tuntutan yang perlu dipenuhi malahan untuk merebut fadhilat istighfar sebagaimana yang disebut dalam al-Qur’an dan hadis-hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wassalam.

Fadhilat Beristighfar :

Banyak fadhilat atau kelebihan yang dikurniakan Allah Subhanahu wa Ta‘ala bagi mereka yang mengamalkan istighfar. Ini merupakan peniup semangat agar hamba-hambaNya akan tekun melakukan istighfar.

Allah Subhanahu wa Ta‘ala ada menerangkan mengenai dengan fadhilat beristighfar pada beberapa ayat di dalam al-Qur’an, antaranya, Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman: Tafsirnya: “Dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhan kamu (dari perbuatan syirik), kemudian hendaklah kamu rujuk kembali taat kepadaNya, supaya Dia memberi kamu nikmat kesenangan hidup yang baik (di dunia) hingga ke suatu masa yang tertentu, dan (di akhirat pula) Dia akan memberi kepada kamu tiap-tiap seorang yang mempunyai kelebihan (dalam sebarang amal saleh) akan pahala kelebihan itu.” (Surah Hud: 3) .

Ayat di atas menerangkan bahawa antara kelebihan istighfar dan taubat ialah Allah akan memberi nikmat dengan kurniaanNya yang berupa keluasan rezeki dan kesenangan hidup serta tidak menimpakan azab kepada orang-orang yang beristighfar dan bertaubat kepadaNya.

Allah Subhanahu wa Ta‘ala juga menjanjikan syurga bagi mereka yang memohon keampunan kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan menyesali atas segala perbuatannya sebagaimana dalam firmanNya: Tafsirnya: “Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka - dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah - dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya). Orang yang demikian sifatnya, balasannya ialah keampunan dari Tuhan mereka, dan syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka pula kekal di dalamnya, dan demikian itulah sebaik-baik balasan bagi orang yang beramal.” (Surah al-Imran: 135-136) .

Menurut Qatadah Rahimahullah: “Al-Qur’an menunjukkan kepada kamu tentang penyakit bagi kamu dan penyembuh (ubat) bagi kamu. Adapun penyakit bagi kamu adalah dosa dan penyembuh (ubat) bagi kamu adalah istighfar”.

Berkata Sayyidina Ali Radhiallahu ‘anhu: “Satu keajaiban pada siapa yang binasa (kerana dosa), namun bersamanya penyelamat”. Ditanyakan kepadanya: “Apa dia (penyelamat itu)?” Beliau menjawab: “Istighfar”.

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wassalam juga ada menerangkan tentang fadhilat istighfar, antaranya; Dalam sebuah hadis qudsi, Anas bin Malik Radhiallahu ‘anhu meriwayatkan bahawa dia mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wassalam bersabda: Maksudnya: “Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman: “Wahai anak Adam, jika engkau berdoa dan berharap padaKu, nescaya Aku mengampuni dosa-dosamu yang ada padamu dan Aku tidak peduli. Wahai anak Adam, jika dosamu mencapai awan sekalipun, kemudian engkau meminta ampun padaKu, nescaya Aku ampunkan engkau dan Aku tidak peduli. Wahai anak Adam, jika engkau datang padaKu membawa dosa sepenuh bumi sekalipun, lalu engkau mendatangiKu tanpa menyekutukanKu dengan sesuatu, Aku akan mendatangimu dengan keampunan yang sepenuhnya”.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi) .

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Busr Radhiallahu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alahi wassalam bersabda: Maksudnya: “Bersabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wassalam: “Alangkah beruntungnya sesiapa yang mendapati di dalam lembarannya (amalannya), bahawa amal istighfar (nya) begitu banyak.” (Hadis riwayat Ibnu Majah) .

Hadis di atas jelas menunjukkan bahawa mereka yang sering mengamalkan istighfar akan mendapat keuntungan kerana besarnya kelebihan yang terdapat dalam lafaz istighfar. Keuntungan ini merupakan rahmat Allah Subhanahu wa Ta‘ala kepada hamba-hambaNya serta ganjaran atas ketaatan mereka kepadaNya.

Al-Aghar al-Muzani Radhiallahu ‘anhu meriwayatkan, bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wassalam bersabda: Maksudnya: “Sesungguhnya tertutup hatiku, dan sesungguhnya aku memohon ampun kepada Allah setiap hari sebanyak seratus kali.” (Hadis riwayat Muslim) .

Dalam sebuah hadis yang lain pula, Ibnu Abbas Radhiallahu ‘anhu meriwayatkan:
Maksudnya: “Bersabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wassalam: “Sesiapa yang selalu beristighfar, nescaya Allah akan menjadikan baginya kemudahan bagi setiap kesempitan, kesenangan bagi setiap kesedihan dan memberinya rezeki tanpa diduga olehnya”.” (Hadis riwayat Abu Daud) .

Dari ayat-ayat al-Qur’an dan hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wassalam di atas, maka dapat diambil kesimpulan bahawa fadhilat istighfar itu antaranya adalah:

1) Memperoleh keampunan dari Allah Subhanahu wa Ta‘ala atas segala dosa yang dilakukan samada sengaja atau tidak.
2) Menyenangkan hati dari kegelisahan dan gundah gulana kerana dosa yang dilakukan.
3) Mendekatkan diri kepada Allah Subhanhu wa Ta‘ala kerana istighfar bukan hanya terbatas kepada permohonan ampun saja tapi juga sebagai bukti ketaatan kepada Allah Subhanahu Ta‘ala dan untuk mencapai keredhaanNya.
4) Memperolehi perlindungan dari Allah Subhanahu wa Ta‘ala daripada tipu daya serta hasutan syaitan kerana menghiasi lidah dengan istighfar merupakan salah satu perkara yang dibenci oleh syaitan.
5) Memelihara diri dari melakukan dosa atau kesalahan yang belum dilakukan kerana dengan istighfar dapat membersihkan hati dari lalai dan lupa akan tanggungjawab terhadap apa yang diperintahkan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan apa yang dilarangNya.
6) Memperoleh keutamaan dan anugerah dari Allah Subhanahu wa Ta‘ala berupa nikmat bagi sesiapa yang mengamalkannya seperti diberi kelapangan, kesenangan, kesihatan serta rezeki yang melimpah.

Sumber: Brunei Darussalam Mufti’s Office

Thursday, February 19, 2009

Menangani Masalah Keruntuhan Akhlak


Malam ini, saya terlibat sebagai panel forum Bicara ad-deen IKIM.fm bertempat di Sungai Buloh, Selangor. Tajuk yang akan dibincangkan ialah berkisar tentang akhlak. Jadi, di sini disertakan sedikit perkongsian melalui artikel akhlak yang sempat disiapkan. wassalam

Menangani Masalah Keruntuhan Akhlak


Oleh: Mohd Sukki Othman (Ustaz Shauqi)

Hampir setiap hari terpampang di dada-dada akhbar dan di kaca televisyen perihal keruntuhan akhlak terutamanya yang berlaku di kalangan remaja. Keruntuhan akhlak yang berlaku telah mengundang pelbagai salah laku jenayah seperti zina, rogol, minum arak, mencuri dan sebagainya. Sangat menyedihkan apabila kita dimaklumkan bahawa jenayah juvana semakin meningkat, ada di antara pelajar yang masih belum menamatkan pengajian telah pun menggugurkan anak luar nikah, gejala dadah yang semakin menjadi-jadi dan lain-lain berita yang amat mendukacitakan dan menghiris jiwa. Masalah sosial ini nampaknya semakin serius dari semasa ke semasa. Justeru, ia memerlukan perhatian dan tindakan segera daripada pelbagai lapisan masyarakat sama ada individu, keluarga, masyarakat dan negara bagi menangani masalah ini daripada terus merebak, sekiranya dibiarkan, ia akan memusnah dan menghancurkan bangsa dan negara. Sebenarnya tidak ada masalah yang tidak boleh selesai, sebaliknya semua masalah ada penyelesaiannya sekiranya kita menangani masalah tersebut dengan serius kerana ‘setiap penyakit ada ubatnya’.

Menangani masalah keruntuhan akhlak merupakan perkara yang seharusnya diberi perhatian secara yang bersungguh-sungguh. Usaha perlu dilakukan agar masyarakat kita kembali menghayati dan mempraktikkan akhlak yang mulia dalam kehidupan seharian mereka. Sebenarnya, apakah yang dimaksudkan dengan akhlak ?. Akhlak ialah perkataan Arab yang telah diberikan definisi oleh Kamus Dewan sebagai budi pekerti, kelakuan dan tabiat. Menurut istilah, akhlak membawa maksud segala tingkah laku dan perbuatan yang sudah menjadi adat kebiasaan pada diri seseorang. Dalam Islam, akhlak adalah merupakan intipati bagi segala ibadat. Tanpa akhlak, ibadat hanyalah merupakan adat resam dan gerak laku yang tidak mempunyai nilai dan faedah. Oleh itu, akhlak mulia yang terpancar daripada seseorang itu adalah merupakan tanda dan hasil daripada iman yang sebenar.

Dalam membincangkan soal akhlak ini, Islam sejak sekian lama telah menyediakan penyelesaian bagi masalah ini, bahkan persoalan akhlak merupakan antara persoalan utama yang diketengahkan oleh ajaran Islam yang disampaikan melalui nabi Muhammad s.a.w. Akhlak yang mulia adalah menjadi matlamat asas bagi risalah Islam. Nabi Muhammad s.a.w telah bersabda dalam sebuah hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari maksudnya : « Sesungguhnya aku (Muhammad) diutuskan adalah untuk menyempurnakan akhlak yang mulia ». Nabi Muhammad s.a.w sendiri telah mempamerkan akhlak yang terbaik yang boleh dijadikan sebagai contoh oleh setiap lapisan masyarakat. Allah s.w.t telah berfirman dalam al-Quran, Surah al-Qalam ayat 4 maksudnya: “Sesungguhnya engkau (Muhammad) mempunyai budi pekerti yang baik”.

Akhlak mempunyai pengaruh yang besar ke atas diri individu dan masyarakat. Akhlak yang mulia dapat menyempurnakan keperluan masyarakat manusia, iaitu kebahagiaan. Jika setiap individu muslim berakhlak mulia, maka sudah pasti masyarakat itu akan dilimpahi dengan keadilan, kesejahteraan dan keamanan. Kepentingan akhlak dalam masyarakat diakui juga kepentingannya oleh masyarakat barat dan masyarakat orang bukan Islam seperti ungkapan yang telah dinyatakan oleh Wilson iaitu bekas Presiden Amerika Syarikat, beliau berkata : "... jika tamadun kita tidak diselamatkan dengan unsur moral, ia tidak akan dapat bertahan dengan kebendaannya. Ia juga tidak mungkin selamat kecuali jika semangat agama menjalar pada seluruh liang romanya…hal inilah yang harus menjadi perlumbaan untuk mencapainya oleh institusi-institusi politik kita, pada hartawan kita dan setiap individu yang takut kepada tuhan dan cintakan negara ». Bekas pemimpin India iaitu Mahatma Gandhi pernah berkata : « Sesungguhnya agama dan akhlak tidak boleh dipisahkan…agama menyuburkan akhlak seumpama air yang menyuburkan tanaman ». Jelasnya, faktor agama merupakan faktor yang paling penting dalam menangani masalah keruntuhan akhlak.

Kita jangan mudah menuding jari ke arah sesiapa dengan menyalahkan pihak-pihak tertentu sahaja dalam menangani masalah keruntuhan akhlak yang berlaku pada hari ini. Sebaliknya, semua pihak bertanggungjawab untuk kembali kepada Islam dan mencari penyelesaiannya kerana setiap orang akan dipersoalkan oleh Allah di Akhirat kelak sama ada mereka telah menunaikan amanah yang telah dipertanggungjawabkan kepada mereka atau pun tidak. Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud: “ Setiap daripada kamu adalah pemimpin, dan kamu bertanggungjawab terhadap sesiapa yang berada di bawah pimpinan kamu”

Tanggungjawab untuk menangani masalah sosial ini adalah tanggung jawab semua meliputi setiap individu, keluarga, masyarakat dan negara. Individu yang mukallaf (akil baligh) mesti berusaha untuk mewujudkan akhlak mulia dalam diri. Ini dapat dihasilkan sekiranya dia memahami tuntutan berakhlak mulia dalam Islam. Untuk memahami tuntutan ini, dia hendaklah berusaha bersungguh-sungguh untuk menimba ilmu pengetahuan yang berkaitan. Dalam persoalan ini, Imam al-Ghazali (1058-1111 M) telah menyatakan bahawa cara pembentukan akhlak yang paling berkesan ialah dengan penyucian hati.


Cara yang paling berkesan untuk menyucikan hati ialah dengan menanamkan keyakinan yang sepenuhnya terhadap muraqabah (pengawasan) Allah terhadap diri kita walau di mana sahaja berada. Ulama’-ulama’ salaf pernah menyarankan agar setiap kali sebelum tidur, hendaklah dibisikkan dalam hati, ‘Allah bersamaku, Allah melihat segala perbuatanku’. Apabila seseorang individu tersebut sentiasa merasai pengawasan Allah terhadap dirinya pada setiap waktu dan ketika, maka akan terpancarlah akhlak yang baik dari dirinya, kerana dia tidak akan sanggup untuk melakukan perkara-perkara maksiat sedangkan dalam masa yang sama dia menyedari Allah memerhatikan tingkah lakunya. Di samping itu, setiap individu juga mesti pandai memilih kawan iaitu berkawan dengan seseorang yang baik, jujur serta bertaqwa kepada Allah. Kajian mendapati bahawa antara faktor utama keruntuhan akhlak ialah pengaruh kawan dan rakan yang jahat.

Manakala Ibu bapa pula, menjadi kewajipan kepada mereka untuk mendidik serta memberikan kefahaman kepada anak-anak mereka tentang kepentingan berakhlak mulia. Mereka bertanggungjawab untuk menyemai kepada anak-anak sejak daripada kecil dengan sifat amanah, benar, hormat, berbuat baik kepada orang lain dan sebagainya. Dalam masa yang sama, ibu bapa bertanggungjawab untuk mendidik betapa bahayanya akhlak yang buruk seperti mengeluarkan perkataan lucah dan cacian, bercakap bohong, panjang tangan, meniru budaya barat, hiburan yang melampau, pergaulan bebas dan sebagainya. Pada zaman awal Islam, ibubapa sering membuat perjanjian dengan anak-anak mereka agar berakhlak mulia walau di mana sahaja berada. Sebagai contohnya ialah kisah perjanjian di antara Syeikh Abdul Qadir Jailani dengan ibunya.

Syeikh Abdul Qadir Jailani telah menceritakan: “Sejak kecil, aku telah membuat perjanjian dengan keluargaku untuk bercakap benar. Suatu hari, aku bermusafir dari Mekah ke Baghdad untuk menimba ilmu, lalu ibuku telah memberikan kepadaku 40 dinar sebagai wang perbelanjaan dan aku dikehendaki untuk bercakap benar walaupun dengan sesiapa jua. Ketika dalam perjalanan, tiba-tiba muncul sekumpulan perompak lalu mereka merompak rombongan yang aku sertai. Lalu datang seorang perompak kepadaku, lalu bertanya: “Apa yang kamu ada?”. Aku menjawab bahawa aku mempunyai 40 dinar. Dia hairan dengan sikap jujurku, lalu dia membawaku bertemu dengan ketua perompak. Ketua perompak pun bertanya tentang apa yang ada padaku, lalu aku menjawab dengan jawapan yang sama juga. Ketua perompak itu kehairanan dengan jawapanku lalu bertanya: “Apa yang membuatkan kamu bercakap benar?”. Jawabku: “Aku telah berjanji dengan ibuku untuk bercakap benar, oleh itu aku takut untuk menkhianati janji”.

Tiba-tiba ketua perompak itu berasa gementar sambil berteriak: “Awak takut untuk mengkhianati janji dengan ibumu, sedangkan aku tidak takut mengkhianati janji Allah?!!”. Kemudian ketua perompak mengarahkan agar dikembalikan barang-barang yang dirompak daripada rombonganku seraya berkata: “Aku bertaubat kepada Allah di hadapan kamu”. Lalu semua perompak itu mengikut jejak langkah ketuanya dengan bertaubat kepada Allah, hasil daripada keberkatan bersikap jujur dan benar”.

Tanggungjawab masyarakat dan negara pula dalam menangani masalah keruntuhan akhlak ini ialah dengan prihatin dan peka dengan persekitaran sekeliling. Anggota masyarakat sewajarnya sentiasa bekerjasama serta berusaha untuk membasmi sebarang kegiatan maksiat yang berlaku di kawasan masing-masing. Kempen ‘maksiat sifar’ juga perlu diadakan dari semasa ke semasa bagi menyedarkan anggota masyarakat tentang bahaya keruntuhan akhlak. Pihak berkuasa pula hendaklah berusaha mencari jalan yang terbaik untuk menguatkuasakan undang-undang yang lebih berkesan bagi menangani masalah sosial ini. Nabi s.a.w bersabda maksudnya: "Sesiapa daripada kamu yang melihat kemungkaran, hendaklah dia ubah dengan tangan (kuasa), sekiranya tidak mampu, hendaklah mengubahnya dengan lisan, sekiranya tidak mampu juga, hendaklah mengubahnya dengan hati. Mengubah dengan hati itu adalah selemah-lemah iman”.

Kesimpulannya, setiap pihak mesti melaksanakan amanah dan tanggung jawab menangani masalah keruntuhan akhlak ini dengan penuh keimanan dan ketaqwaan kepada Allah. Kesan positif daripadanya akan lahirlah generasi-generasi muda-mudi yang cemerlang dari sudut akhlak yang sudah tentu akan membimbing negara yang tercinta ini ke arah kemakmuran dan kesejahteraan.

Amalkan Ma'thurat Setiap Hari


Al-Ma’thurat merupakan wirid dan doa harian yang diamalkan oleh Baginda Rasulullah SAW. Ia dikumpul dan disusun oleh al-Imam As-Syahid Hasan Al-Banna berdasarkan dalil-dalil yang sahih dan berdasarkan amalan yang dilakukan oleh Rasulullah SAW.

Wirid, doa, zikir dan istighfar di dalam Al-Ma’thurat jika dibaca secara konsisten dan istiqamah akan memantapkan jiwa dan dapat mendidik hati agar sentiasa merindui Allah SWT di samping akan memberi kelapangan hidup dan kesihatan jasmani. Orang yang mengamalkan zikir Al-Ma’thurat akan merasakan perbezaan dari hari-hari yang tidak dimulakan dengannya. Begitulah antara kekuatan doa dan wirid di dalam Al-Ma’thurat.

Bagi seorang mukmin masanya tidak boleh berlalu begitu sahaja. Di waktu pagi dan petang ia hendaklah sentiasa bertasbih, beristighfar, bertahmid dan berdoa kepada Allah SWT dengan zikir yang ma’thur (yang berasal dari Nabi SAW)

Firman Allah SWT di dalam Surah Qaaf ayat 39 , Bermaksud : ‘ Maka bersabarlah kamu terhadap apa yang mereka katakan dan bertasbihlah sambil memuji Tuhan mu sebelum terbit matahari dan sebelum terbenamnya ’

KELEBIHAN BACAAN AL-MA’THURAT

Antara kelebihan membaca Al-Ma’thurat ialah :

1. Ia dimulai dengan ucapan ‘Aku bermohon perlindungan Allah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui dari gangguan syaitan yang direjam’.

2. Bacaan Al-Fatihah di dalam Al-Ma’thurat merupakan bacaan yang agung. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : "Demi Allah yang nyawaku di tangan Nya, belum ada surah yang diturunkan di dalam Taurat, Injil, Zabur atau Furqan yang menandinginya. Dialah ‘Al-Sab’ul Mathani dan Quran yang agung yang diturunkan kepadaku".


3. Membaca surah al-Baqarah dalam zikir Ma’thurat juga memperolehi pahala yang besar. Sabda Rasulullah SAW bermaksud : "Sesiapa membaca sepuluh ayat dari Surah al-Baqarah di awal siang nescaya ia tidak akan didekati syaitan sehingga petang, jika dibaca di waktu malam pula nescaya syaitan tidak akan mendekatinya sehingga ke pagi. Tidak akan dilihatnya apa-apa yang buruk menimpa keluarganya atau hartanya ".


4. Membaca ayat Kursi juga akan menghindarkan diri dari gangguan syaitan. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : "Sesiapa membaca sepuluh ayat dari ayat-ayat surah al-Baqarah, ayat Kursi, dua ayat selepasnya dan hujung surah al-Baqarah nescaya syaitan tidak akan masuk ke dalam rumahnya sehinggalah ke pagi".

5. Di samping itu, doa-doa yang dimuatkan dalam al-Ma'thurat itu merupakan doa daripada nabi saw yang sewajarnya kita turut amalkan dalam kehidupan kita pada hari ini.

Tuesday, February 17, 2009

Proton MPV Exora


Proton hari ini memilih nama Proton Exora untuk model pertama kenderaan pelbagai gunanya (MPV) yang boleh ditempah mulai Sabtu ini. Nama itu dipilih 251,763 nama hasil pertandingan membabitkan penyertaan orang ramai yang dilancarkan pembuat kereta nasional itu.

PETALING JAYA, Feb 17 (Bernama) -- Proton Holdings Bhd plans a monthly production of 3,000 to 3,500 units of its first multi-purpose vehicle (MPV) named Exora beginning next month."We have already started the preliminary production and full production will start next month leading to launch in April," said managing director Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir after the official announcement of the MPV name here today.
He said total investment in the MPV was RM450 million, including RM60 million to RM70 million allocated to modify the plant in Shah Alam as development of the model started from zero and it will be the first Malaysian designed MPV.Asked why the MPV is being produced at the Shah Alam plant and not in Tanjung Malim, Syed Zainal Abidin said: "We are trying to optimise by putting minimum investment and modification to our medium volume factory in Shah Alam."Given the expenditure today, the company took the opportunity to make the decision to build in Shah Alam," he said.
Powered by 1.6-litre CamPro engine, the new Exora will open for booking from Feb 21 at all 293 Proton Edar and EON sales offices nationwide. It is priced at below RM80,000 and the booking fee is set at RM1,000.The Exora is based on the name of the Ixora flower.Syed Zainal Abidin said delivery of the MPV will be in April for those who book this Saturday.
Asked on the response for the new Exora, Proton Holdings' chairman Datuk Mohd Nadzmi Mohd Salleh said: "Even though the country is hit by the global financial crisis, the response for national cars is still very good."He said having a second car was the local trend as "the Malaysian family is quite big and this vehicle is a requirement in the market".Being designed for family, the model will be affordable, spacious and comfortable, he added.
On Proton's plan to export the new Exora, Mohd Nadzmi said the company will start exporting the new MPV to Thailand and Indonesia in July but initially the model will be for domestic market.He said Proton is excited with the opportunity as MPV was a new segment for the company and 60 percent of the Indonesian market is under the MPV segment.Asked why the name of the new MPV is not Malaysian flavour, Mohd Nadzmi said: "As we progress in time, the car industry is a global industry. We cannot be to nationalistic in terms of our outlook."For long-term survival, Proton has to look overseas because the local market is too small, he said.

Monday, February 16, 2009

NUSAYBAH BINTI KA’AB - Keberaniannya Mengatasi Lelaki


Oleh: Mohd Sukki Othman (Ustaz Shauqi)

Jarang sekali dapat menemui wanita hebat sepertinya dalam sejarah. Keimanannya yang mantap serta keberaniannya yang amat tinggi jarang dimiliki oleh seseorang wanita sepertinya, malahan keberanian dan keperkasaannya mengatasi kegagahan lelaki. Beliau menerima cahaya Islam apabila yakin dan berpuas hati dengan ajaran yang dibawa oleh Rasulullah.

Seterusnya, beliau bersama suami dan dua orang anak lelakinya pergi ke ’Aqabah untuk berbai’ah dengan Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam. Beliau berjihad di jalan Allah tanpa rasa gentar dan takut. Lalu, beliau menyertai peperangan dan pernah mengalami luka yang banyak dan putus sebelah tangannya. Namun semua itu tidak pernah memutuskan semangatnya untuk terus berjuang menegakkan keadilan.

Dalam hidupnya, bukan sahaja ditumpukan kepada mendidik anak-anaknya ke arah keadilan, kebenaran, keberanian, dan teguh mempertahankan keimanan yang mendalam terhadap Allah semata-mata, bahkan beliau turut sama berganding bahu dengan golongan lelaki ke medan perang dan bertempur dengan musuh-musuh Islam dengan penuh keberanian. Siapakah wanita yang hebat ini? Beliau ialah Ummu ‘Umarah, iaitu Nusaybah Binti Ka’ab.

Latar Belakang Nusaybah

Nama penuh beliau ialah Nusaybah (dalam kitab al-Isabah, nama beliau disebut sebagai Nasibah) Binti Ka’ab Bin ‘Amru, Bin ‘Auf, dan lebih dikenali sebagai Ummu ‘Umarah. Nusaybah berkahwin kali pertama pada zaman Jahiliah dengan Zaid Bin ‘Asim al-Mazini. Dengan Zaid, beliau memperoleh dua orang anak iaitu Abdullah dan Hubaib. Apabila suaminya Zaid meninggal dunia, beliau berkahwin pula kali kedua dengan Ghaziah Bin ‘Amru al-Mazini, dan memperoleh dua orang anak yang bernama Tamim dan Khaulah.

Nusaybah merupakan di antara golongan Ansar yang terawal memeluk Islam. Selepas Perjanjian Aqabah Pertama, Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam mengutuskan Mus’ab Bin ‘Umair ke Madinah al-Munawwarah untuk mengajar penduduk Madinah tentang Islam dan al-Quran. Nusaybah amat tertarik dengan dakwah dan ajaran Islam, lalu tanpa berlengah terus memeluk Islam.

Apabila Mus’ab pulang ke Makkah, bersamanya ialah sebilangan umat Islam Ansar yang turut serta untuk ke Makkah menunaikan haji. Antara yang turut serta dalam rombongan ini ialah Nusaybah Binti Ka’ab. Selepas menunaikan haji, Nusaybah bersama orang Islam Ansar yang lain telah berbai’ah dengan Rasulullah untuk mempertahankan Islam dalam Perjanjian Aqabah yang Kedua.

Mengikut apa yang diceritakan oleh Muhammad Bin Ishak yang diriwayatkan daripada Ka’ab Bin Malik, katanya: “Kami telah berjanji dengan Rasulullah untuk bertemu di al-’Aqabah pada hari Tasyrik. Selepas selesai kami mengerjakan haji dan tepat pada malam yang dijanjikan itu, kami pun keluar menuju ke tempat yang dijanjikan untuk menemui Rasulullah. Kami keluar secara perlahan-lahan dan bersembunyi, dan jumlah kami ialah tujuh puluh tiga orang lelaki dan dua orang perempuan iaitu Nusaybah Binti Ka’ab dan Asma’ Binti ‘Amru Bin ‘Adiy.” (rujuk kitab Fiqh Sirah oleh Dr. Said Ramadhan al-Buti)

Berbai’ah

Apabila selesai Rasulullah berbai’ah dengan golongan lelaki dengan berjabat tangan, Rasulullah menghampiri dua wanita yang turut serta dalam perjanjian Aqabah itu, lalu Rasulullah berbai’ah dengan mereka secara lisan tanpa berjabat tangan. (rujuk kitab Nisa’ Ra’idat oleh ‘Iffat Wisal Hamzah) . Ummu ‘Umarah menceritakan peristiwa ini dengan katanya: “Golongan lelaki berjabat tangan dengan Rasulullah pada malam Perjanjian ‘Aqabah… apabila tinggal aku dan Ummu Mani’ (Asma’ Binti ‘Amru) sahaja lagi yang belum berbai’ah (dengan berjabat tangan), suamiku Ghaziah memanggil Rasulullah dengan menyatakan bahawa dua orang wanita yang turut hadir ingin berbai’ah (dengan berjabat tangan)

Lalu Rasulullah memberitahu bahawa baginda telah pun berbai’ah dengan wanita yang hadir sebagaimana baginda berbai’ah dengan golongan lelaki, dan Rasulullah bersabda: “Sesungguhnya aku tidak berjabat tangan (bersalaman) dengan wanita.” (rujuk kitab Nisa’ Hawla al-Rasul karangan Muhammad Musa Ramadhan)

Perjuangan dan Jihad Nusaybah

Ibnu Saad telah menyatakan di dalam kitabnya Tabaqat bahawa: “Ummu ‘Umarah telah telah menghadiri malam perjanjian Aqabah dan berbai’ah dengan Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam. Beliau juga turut serta dalam Peperangan Uhud, Perjanjian Hudaibiah, Umrah Qadha, Peperangan Hunayn, dan Peperangan Yamamah…” Nusaybah dan para wanita yang lain turut sama ke medan Uhud untuk membantu merawat luka tentera-tentera Islam yang mendapat kecederaan. Nusaybah memerhatikan perjalanan peperangan Uhud dengan hati yang lega kerana pada peringkat awalnya, tentera Islam begitu mudah dapat mengalahkan tentera musyrikin.

Namun, sesuatu yang tidak diduga berlaku apabila pasukan pemanah telah lupa arahan Rasulullah dan turun daripada bukit untuk bersama tentera yang lain di bawah, menyebabkan pihak musuh telah berpatah balik dan melakukan serangan hendap. Tentera Islam menjadi kucar-kacir akibat serangan hendap tersebut. Ada di antara mereka yang bertempiaran lari. Hanya tinggal lebih kurang sepuluh orang sahaja yang masih berada berhampiran Rasulullah untuk mempertahankan baginda daripada serangan musuh.

Pada saat genting ini, Nusaybah dengan penuh semangat keberanian mara ke hadapan dan turut sama berjuang menentang musuh yang menjadikan Rasulullah sebagai sasaran. Turut sama mempertahankan Rasulullah pada saat genting ini ialah suami Nusaybah dan dua anak lelakinya.
Tatkala ramai yang bertempiaran lari, Nusaybah sekeluarga begitu berani mara untuk berjuang menentang musuh. Mereka berjuang bermati-matian mempertahankan Islam sebagaimana janji yang telah dimeterai pada Perjanjian Aqabah yang Kedua. Anak Nusaybah iaitu Abdullah Bin Zaid telah mendapat luka di lengan kirinya, namun dia tidak memperdulikan luka yang mengalir itu, sebaliknya terus berjuang.

Apabila Rasulullah ternampak Abdullah mendapat luka, baginda pun melaungkan kepada Abdullah: ‘balutlah lukamu wahai Abdullah…’. Nusaybah mendengar laungan Rasulullah itu, lantas beliau pergi kepada anaknya dan membalut luka anaknya seraya berkata, ‘lekas segera bangun wahai anakku, dan tentanglah musuhmu’. Rasulullah berasa terpegun dengan tindakan Nusaybah lantas bersabda: ‘jarang sekali orang yang mempunyai kekuatan sepertimu wahai Ummu ‘Umarah’. Dalam peperangan tersebut, Nusaybah mendapat kecederaan dan luka. Lalu Rasulullah memanggil Abdullah dan menyatakan, ‘wahai anak Ummu ‘Umarah, bantulah ibumu, balutlah lukanya’. Nusaybah berpaling ke arah Rasulullah seraya berkata, ‘berdoalah untuk kami agar dapat mengiringimu ke syurga’.

Lalu Rasulullah pun berdoa: ‘Ya Allah, jadikanlah mereka temanku di dalam syurga’. Nusaybah berasa amat gembira dengan doa Rasulullah itu, justeru beliau menyatakan, ‘Demi Allah, aku tidak peduli apa sahaja yang akan menimpaku di atas dunia ini’.

Begitulah hebatnya wanita yang dikenali sebagai Ummu Umarah ini yang mengibarkan panji-panji Islam. Beliau tidak gentar berjuang mempertahankan Islam dan membela Rasulullah Sallallahu ’alaihi wasallam, walaupun beliau luka dan mendapat kecederaan dalam perang Uhud sebanyak 12 tempat di tubuhnya. Seterusnya selepas Peperangan Uhud, Nusaybah terus berjihad bersama-sama Rasulullah. Beliau telah menyertai Rasulullah ketika di Hudaibiah, Khaibar, Umrah Qadha’, Peperangan Hunayn dan Bai’ah al-Ridwan.

Ketika munculnya Musailamah al-Kazzab yang mendakwa sebagai nabi di Yamamah, Rasulullah mengutuskan anak Nusaybah iaitu Hubaib Bin Zaid untuk menyampaikan surat Rasulullah kepada Musailamah. Musailamah bertanya kepada Hubaib, “Adakah aku ini utusan Allah?.” Jawab Hubaib: “Tidak!.” Lalu Musailamah bertanya lagi, apakah kamu menyaksikan bahawa Muhammad itu utusan Allah?, maka dengan tegas Hubaib menjawab: “Ya, aku menyaksikan bahawa Muhammad itu utusan Allah!.” Lantas Musailamah bertindak kejam terhadap Hubaib dengan memotong-motong tubuhnya sehingga dia meninggal dunia.

Ketika mengetahui bahawa anaknya Hubaib terbunuh, Nusaybah berazam untuk membunuh Musailamah. Lalu, dia turut serta bersama anaknya Abdullah dalam peperangan Yamamah. Namun takdir telah menentukan yang membunuh Musailamah bukannya Nusaybah tetapi anaknya Abdullah yang menuntut bela di atas kematian saudaranya Hubaib . Nusaybah menceritakan, “Tangan aku terpotong pada hari peperangan Yamamah, padahal aku sangat berhajat untuk membunuh Musailamah. Tiada sesiapa yang dapat melarangku daripada melakukannya sehinggalah aku melihat anakku Abdullah bin Zaid mengusap pedangnya dengan pakaiannya, lalu aku bertanya kepadanya: “Engkaukah yang membunuhnya (Musailamah)?.” Dia menjawab “Ya.” Kemudian aku bersujud kepada Allah kerana bersyukur.

Begitulah secebis kisah Nusaybah yang menonjolkan kehebatan dan keberanian seorang wanita yang sanggup melakukan apa sahaja demi mencapai keredhaan Allah dan Rasul-Nya.

Friday, February 13, 2009

Persatuan Ulama' Selar Sisters In Islam


Persatuan Ulama Malaysia cawangan Pulau Pinang (PUMPP) menyelar penganjuran program Musawah yang membawa agenda Islam Liberal ke Malaysia dan mempertikaikan prinsip-prinsip asas Islam

Program Musawah adalah 'Global Movement for Equality and Justice in the Muslim Family' anjuran pendukung kuat fahaman sesat Islam Liberal di Malaysia iaitu Sisters in Islam (SIS).

Yang di Pertua Persatuan Ulama Malaysia Dr Wan Salim Wan Mohd Nor berkata pertemua Musawah itu dilihat berhasrat mempertikaikan pelbagai prinsip-prinsip Islam khususnya dalam hukum syariah berkaitan wanita dan kekeluargaan yang dipersetujui dan diterima oleh kesepakatan ulamak muktabar.

Perjumpaan ini katanya bakal dihadiri oleh pelbagai tokoh Liberal Muslim yang dipertikaikan oleh ulamak Islam muktabar iaitu antaranya Muhammad Khalid Masud, iaitu pengerusi Majlis Ideologi Islamik dari Pakistan, Farida Bennani dari Morocco, Sana Benachour (Tunisia), Hussein Muhammad (Indonesia), Ziba Mir-Hosseini (Britain), Zainah Anwar (Malaysia), Siti Musdah Mulia (Indonesia) dan Nur Rofia (Indonesia) dan aktivis bukan Islam seperti Cassandra Balchin (UK) dan lain-lain.

Kata Dr Wan, 200 Liberalis Muslim telah dijemput dari 40 buah negara dan berkumpul di hotel mewah (bertaraf lebih lima bintang) The Prince Hotel, Kuala Lumpur pada hari ini bagi menghadiri mesyuarat lima hari tersebut.

"Perjumpaan tertutup ini juga tidak membenarkan penyertaan dari pihak luar selain dari jemputan tertutup mereka. PUMPP melihat perjumpaan dengan dana besar ini berkemungkinan disokong oleh kepentingan Barat dengan tujuan meliberalkan Islam dan mengharapkan pihak penguatkuasa dapat menyiasat punca sumber-sumber dana membiayai program terbabit.

"Perjumpaan ini juga akan memberi persepsi yang negatif kepada Malaysia yang bakal digambarkan sebagai negara yang mengamalkan undang-undang Syariah yang mendiskriminasi wanita, terutamanya apabila perjumpaan ini bakal dibawa perhatian kepada wakil Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dengan kehadiran Professor Yakin Erturk (The United Nations Special Rapporteur on Violence Against Women) yang akan merasmikan perjumpaan tersebut," katanya dalam satu kenyataannya kepada Harakahdaily.

PUM PP katanya juga menyelar kehadiran pimpinan negara bagi merasmikan program tersebut seolah-oleh tidak merujuk terlebih dahulu kepada pihak autoriti agama dalam negara seperti JAKIM dan Majlis Fatwa Kebangsaan.

"Kertas kerja dan bengkel-bengkel yang bakal dibentangkan semasa perjumpaan dilihat berhajat untuk menginterpretasikan semula al Quran dan Hadith dari sudut pandang wanita yang selama ini dikatakan bias pada lelaki.

"Musawah juga bakal mengenengahkan isu hak samarata antara lelaki dan perempuan dalam kekeluargaan Islam melalui hukum-hakam seperti poligami, faraid, ketaatan isteri, izin keluar rumah, aurat wanita, dan sebagainya. Hukum-hakam ini bakal dipertikaikan dengan melanggar segala Syari'at yang dibawa oleh al-Qur'an dan al-Sunnah," kata Dr Wan.

PUM PP katanya berharap kumpulan-kumpulan dan masyarakat bukan Islam tidak terpengaruh dengan propaganda kumpulan liberal Islam ini dan tidak campur tangan dalam urusan Aqidah dan prinsip-prinsip ajaran Islam sepertimana Islam mengajar penganutnya untuk tidak campur tangan dan menghormati dalam ajaran agama-agama lain sepertimana penegasan al Quran.

"Kita menyelar pelaksanaan program ini dan dilihat bakal merosakkan lagi aqidah umat Islam di Malaysia seterusnya membawa perpecahan kepada umat Islam dan memberi persepsi yang salah kepada Islam kepada semua pihak, termasuk masyarakat dunia yang hadir dan melihat perkembangan di Malaysia," katanya

Profesor bidang teologi temui hidayah


APA sudah jadi pada awak? Itulah reaksi awal yang diutarakan kepada Khadijah 'Sue' Watson sebaik mereka mengetahui beliau memeluk Islam. Apa tidaknya, seorang yang sebelum ini disegani sebagai seorang pastor, pengurus gereja, mubaligh dan memiliki ijazah sarjana dalam bidang teologi kira-kira lima bulan lalu sanggup berpaling tadah kepada agama yang sememangnya dibenci oleh mereka yang mengagungkan Nabi Isa itu.

Akui Khadijah lagi dalam laman web Islamonline.net kesemuanya berubah sebaik perkenalan beliau dengan seorang wanita yang pernah bekerja di Arab Saudi dan kemudiannya mengucap dua kalimah syahadah.

"Sudah tentulah bertemu dengan wanita Muslim, soalan yang membuak-buak hendak ditanyakan ialah bagaimanakah layanan Islam terhadap kaum wanita. Saya tidak menyangka dengan jawapan yang diberikan. Malah soalan pertama itu menguja saya untuk terus mengutarakan soalan-soalan berkaitan Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW".

Teman baru Khadijah berjanji untuk membawa beliau ke pusat Islam, di mana di situlah segala persoalan yang menyentak mindanya boleh diperoleh dengan lebih jelas dan sempurna. Pun begitu, Khadijah sentiasa berdoa agar kunjungan beliau itu sentiasa dilindungi Nabi Isa, apa lagi beliau difahamkan bahawa agama Islam adalah agama yang jahat dan agama daripada syaitan.

"Sebaik berada di sana, apa yang saya sangka dan anggapan buruk tentang Islam jauh meleset. Sepanjang berada di situ, langsung tidak berlaku pendekatan yang menakut-nakutkan, tiada paksaan, tiada manupulasi psikologi dan tidak juga pengaruh bawah sedar. Malah tambah mengejutkan, mereka mengajak saya mempelajari al-Quran di rumah, bertentangan dengan pengajian kitab Injil.

"Ia sesuatu yang sukar dipercayai dan pelik! Pada pertemuan itu juga mereka memberi saya beberapa buah buku dan mereka mengalu-alukan sebarang soalan. Pada malam itu, saya mentelaah semua buku-buku pemberian beberapa kenalan di pusat Islam itu. Hakikatnya, itulah kali pertama saya membaca buku berkaitan Islam yang ditulis oleh orang Islam itu sendiri. Ini kerana sebelum ini buku-buku berkaitan Islam yang menjadi bahan rujukan dan kajian kami adalah tulisan orang Kristian.

"Keesokan harinya, saya menghabiskan tiga jam di pejabat pusat Islam bertanyakan pelbagai soalan. Situasi ini berlarutan hampir setiap hari selama seminggu. Ketika itu saya sudah membaca hampir 12 buah buku dan barulah saya sedar mengapa umat Islam adalah penganut yang paling sukar untuk dimurtadkan.

Kenapa?

Ini kerana tidak ada apa yang boleh ditawarkan kepada mereka. Di dalam Islam, hubungan yang terjalin di antara hamba dan Penciptanya adalah terus, malah mereka tidak memerlukan orang tengah atau perantara untuk memohon keampunan-Nya serta jaminan keselamatan di akhirat kelak waima, apa hajat jua sekalipun.

Pada saat itu satu sahaja pokok persoalan yang berkecamuk di minda Khadijah. Siapa itu Allah yang disembah oleh orang Islam. Kami diajar di dalam agama Kristian bahawa tuhan umat Islam itu adalah tuhan yang lain ataupun tuhan palsu.

Sedangkan hakikatnya, Allah yang disembah orang Islam itulah Dialah Yang Maha Esa, Maha Berkuasa dan Maha Mengetahui.

Seperkara yang cuba dijelaskan oleh Khadijah ialah bahawasanya perkataan Trinity sebenarnya tidak ditemui sama ada di dalam kitab Injil atau daripada mana-mana kitab terjemahan malah juga daripada kitab asli bahasa Greek atau Ibrani (Hebrew). Sekali lagi persoalan saya tertumpu kepada Nabi Muhammad SAW.

Siapa gerangannya si penama Muhammad ini? Khadijah difahamkan bahawa orang Islam tidak menyembah Muhammad sebagaimana yang dilakukan orang Kristian terhadap Nabi Isa.

Muhammad juga bukan perantara malah adalah perbuatan menyembah Muhammad itu adalah ditegah. Sebenarnya, Muhammad itu ialah Nabi dan Rasul serta penutup segala nabi. Malah sehingga kini selepas 1418 tahun, tidak ada lagi nabi selepas Baginda Rasulullah SAW.

Sementara itu, sebagai seorang pengikut Kristian, Khadijah akui pelaksanaan menyembah Tuhan Isa mempunyai hubungan rapat dan aspek penting sebagai tanda kesetiaan bergelar seorang pengikut.

Lantaran itu, apabila mengetahui bahawa ibadat solat yang wajib dilaksanakan ke atas setiap yang mengakui Muslim, ia telah menimbulkan semacam keterujaan dalam diri Khadijah untuk mengetahui apa yang disembah oleh mereka sehingga solat dianggap sebagai tiang agama. Apatah lagi mereka (orang Islam) itu tidak menyembah kepada mana-mana objek seperti agamanya menyembah kepada patung Nabi Isa.

Selama ini, pemahaman Khadijah, orang Islam tunduk dan sujud kepada Kaabah di mana di situlah dipercayai tempat tuhan palsu mereka. Hakikatnya, segala pergerakan di dalam ibadat solat itu adalah daripada Allah. Malahan apa yang dibacakan semuanya adalah memuji-Nya.

Lebih mengejutkan Khadijah, untuk melaksanakannya juga diwajibkan untuk mengambil wuduk yang bukannya ciptaan manusia tetapi langsung daripada Allah.

Akhirnya, Khadijah mengakui kebenaran Islam. Malah pengajiannya dalam bidang teologi selama lapan tahun tidak dapat menyangkal bukti-bukti kekuasaan kuasa hebat Allah Yang Esa.
Pun begitu, Khadijah tidak serta merta memeluk agama Islam dengan alasan hatinya masih belum terbuka walaupun akal logiknya beranggapan sebaliknya. Walau bagaimanapun, Khadijah tetap terus berdoa, membaca kitab Injil serta pada masa sama menghadiri kelas-kelas kuliah ilmu di pusat Islam.

"Saya benar-benar mengharapkan petunjuk Allah. Bukannya mudah untuk bertukar agama. Sudah pastinya saya tidak mahu terlepas peluang untuk diselamatkan atau adakah benar menerusi agama Kristian saya akan terselamat? Sesungguhnya, sepanjang pencarian kebenaran itu, saya sentiasa diketemukan dengan pelbagai keajaiban Islam yang tidak pernah saya fikirkan.
Dua bulan kemudian, selepas sekali lagi berdoa memohon petunjuk Ilahi, saya dapat rasakan sesuatu kelainan yang menerpa dalam hati ini. Saya bingkas bangun dan pertama kali dalam hidup ini terpacul kata-kata, "Sesungguhnya aku mengakui tiada tuhan yang disembah melainkan Allah."

"Ada semacam ketenangan terasa seperti menyelinap dalam setiap inci pembuluh darah dan sejak itu sehinggalah sekarang aku tidak pernah menyesal dengan pilihan bergelar Muslim. Semua keputusan ini tidak datang tanpa ujian.

"Saya dipecat daripada mengajar di kolej pengajian kitab Injil, dipulau oleh bekas teman-teman sekuliah, profesor dan pastor, dipinggirkan oleh keluarga sebelah suami, disalah anggap oleh anak-anak yang sudah dewasa."

Khadijah akui, tanpa kepercayaan teguh dengan janji Allah, pastinya beliau sudah kecundang. Namun Khadijah begitu bersyukur kerana dengan berpegang kepada tali Islam dan sentiasa percaya semoga hidup dan matinya adalah kerana Allah.

Firman Allah yang bermaksud: Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam. Tiada sekutu bagi-nya dan demikian itulah yang diperintahkan kepadaku dan aku adalah orang yang pertama-tama menyerahkan diri (kepada Allah). (al-An'aam: 162-163)

Tuesday, February 10, 2009

Sambutan Hari Kekasih Boleh Jejas Aqidah


Oleh: Mohd Sukki Othman(Ustaz Shauqi)

Akhir-akhir ini budaya dan adab Melayu yang tersemat sejak sekian lama kian pudar dan terhakis. Tambah memilukan ialah adab Melayu yang kian terhakis tersebut adalah nilai murni yang terhasil daripada ajaran Islam yang suci. Apabila orang Melayu sudah melupai nilai dan ajaran Islam, maka sudah tentu segala kemuliaan bangsa akan lenyap dan hancur. Begitulah keadaannya dengan masyarakat Arab sebelum Islam, mereka dikenali sebagai masyarakat Jahiliyyah yang diselubungi dengan kehinaan. Apabila mereka menerima segala ajaran Islam, maka bangsa Arab dimuliakan Allah.

Namun, apabila mereka kembali melupai ajaran Islam untuk dipraktikkan dalam kehidupan, maka mereka kembali ditimpa dengan pelbagai kehinaan. Benarlah sebagaimana ucapan Saidina Umar al-Khattab yang menyatakan: “Kita adalah suatu bangsa dan golongan yang telah dimuliakan Allah apabila kita berpegang dengan ajaran Islam, akan tetapi sekiranya kita mencari kemuliaan dengan selain daripada Islam, sudah tentu Allah akan menimpakan kepada kita kehinaan!”.

Antara pencemaran agama dan budaya pada bulan Februari ini ialah sambutan Hari Kekasih atau dikenali sebagai Valentine’s Day. Sambutan Valentine’s Day ini kononnya adalah untuk menyemarakkan hubungan kasih sayang sesama manusia, lalu masyarakat Melayu tidak terkecuali begitu bersungguh-sungguh membuat persediaan untuk menyambut Hari Kekasih ini yang jatuh pada tanggal 14 Februari pada setiap tahun. Terdapat pasangan yang ingin berkahwin pula sengaja memilih tarikh 14 Februari yang dianggap tarikh ‘keramat’ ini untuk melangsungkan perkahwinan dengan harapan perkahwinan tersebut akan memperoleh ‘keberkatan’.

Budaya menyambut Hari Kekasih ini semakin popular dari semasa ke semasa. Anak-anak muda yang baru mencecah usia baligh pun sudah tahu apa itu Valentine, sedangkan pada masa yang sama mereka masih terpinga-pinga apabila ditanya tentang tarikh kelahiran Rasulullah s.a.w. Apabila menjelangnya bulan Februari, didapati iklan-iklan tentang sambutan Valentine's Day ini boleh didapati dimana-mana, yang sekaligus menyemarakkan jiwa remaja untuk menyambutnya. Media arus perdana juga tidak ketinggalan dalam menghidangkan promosi secara besar-besaran melalui iklan dan tayangan filem yang berkisar tentang perayaan ini.

Sebagai umat Islam, kita wajib mempersoalkan apakah Valentine's Day ini suatu bentuk perayaan yang boleh disambut atau pun tidak?. Umat Islam sewajarnya mengetahui bahawa beramal dan mengikut budaya dan agama selain daripada Islam, terutamanya di dalam meraikan hari-hari tertentu tanpa mengetahui latar belakang perayaan tersebut, sebenarnya akan menjerumuskan umat Islam kepada kehancuran. Ini kerana perkara-perkara seperti ini bukan sahaja menjejaskan akhlak orang Islam, malahan boleh menjejaskan keimanan dan akidah mereka.

Mengikut sejarah, Valentine atau nama sebenarnya St. Valentino merupakan seorang paderi paling berpengaruh di zaman pemerintahan Ratu Isabella dari Sepanyol. Kedudukannya dikatakan di tempat kedua selepas Paderi besar Pope. Ada beberapa versi yang mengaitkan paderi St. Valentino ini dengan sambutan Valentine's Day. Versi pertama ialah dia merupakan orang terpenting yang berperanan menumpaskan kerajaan Islam Cordova, Sepanyol. Jasanya itu dianggap sesuatu yang tidak boleh dilupakan dan sangat bermakna. Sehubungan dengan itu, tanggal 14 Februari ditetapkan sebagai cuti umum untuk merayakan kemenangan tersebut pada setiap tahun, sekaligus dapat mengenang jasa St. Valentino itu.

Menurut versi kedua pula, St. Valentino sebelum kejayaannya menumpaskan kerajaan Islam Sepanyol, dikatakan mempunyai dua orang kekasih. Kekasih pertama dikatakan beragama Islam, manakala yang kedua beragama Kristian berfahaman Protestan. Oleh kerana berlainan agama, St. Valentino terpaksa melupakan kekasih pertama dan menumpukan perhatian kepada kekasih kedua. Apabila beliau ditanya tentang bentuk ganjaran yang beliau inginkan berikutan kejayaannya mengalahkan umat Islam, St. Valentino terus menyatakan bahawa dia ingin berkahwin dengan kekasih keduanya itu. Perkara ini menimbulkan kegemparan di kalangan rakyat Cordova kerana Valentino merupakan paderi Katolik yang tidak boleh berkahwin dengan pengikut mazhab Protestan, apatah lagi paderi sememangnya tidak boleh berkahwin.

Ratu Isabella murka dengan hasrat St. Valentino itu, lantas memerintahkan agar beliau dipenjarakan. Namun, baginda tetap mahu mengingati jasa paderinya itu dengan menetapkan tarikh 14 Februari sebagai 'Hari Mengingati Kekasih' yang ditujukan khas untuk memperingati St. Valentino.

Versi yang seterusnya menyatakan bahawa pada tanggal 14 Februari 270 M, St. Valentino dibunuh kerana penentangannya terhadap penguasa Rome pada waktu itu iaitu Raja Claudius II (268 - 270 M). Ekoran daripada itu, St Valentino telah dianggap sebagai simbol ketabahan dan keberanian dalam menghadapi cabaran hidup, lalu untuk mengagungkannya, para pengikutnya telah menjadikan tarikh memperingati kematian St. Valentine sebagai 'upacara keagamaan'.

Berdasarkan sejarah asal-usul sambutan Valentine's Day ini, mengapakah masih terdapat umat Islam yang masih menganggap bahawa Hari Valentine itu begitu istimewa? Mengapakah masih terdapat umat Islam yang hanya mengikut budaya Barat secara membuta tuli dan semberono sedangkan mereka mengetahui siapakah sebenarnya St. Valentino itu?! Nabi saw bersabda dalam sebuah hadis sahih yang bermaksud: 'Sesiapa yang melakukan perbuatan yang menyerupai sesuatu kaum, maka ia turut termasuk bersama golongan tersebut.' Diharap agar kesilapan lalu tidak diulangi lagi, lantas masyarakat Islam harus sedar agar tidak lagi terlibat dalam sambutan yang bercanggah dengan Islam ini!
(Artikel ini telah disiarkan di majalah Milenia Muslim keluaran Februari 2009)

Friday, February 6, 2009

Kekejaman Yahudi


Negara haram Israel sudah lama menyekat ekonomi Gaza, semenjak kemenangan HAMAS pada pilihanraya umum Palestin pada Januari 2006 lalu. Semenjak itu, pelbagai usaha telah diambil oleh negara haram Israel serta sekutunya di Washington dan Eropah bagi menggulingkan kerajaan HAMAS yang dilantik rakyat Palestin secara demokratik. Mereka berusaha melaga-lagakan berbagai fraksi di Palestin, bahkan usaha-usaha perdamaian dalaman Palestin sangat dicemburui dan dibantah musuh-musuh Palestin ini. Perjanjian Makkah pada Disember 2006 yang termeterai untuk membentuk kerajaan campuran sangat tidak disenangi Amerika Syarikat (AS) dan Israel. Mereka, terutama AS melalui Condoleeza Rice dan Keith Dayton, kemudiannya mengapi-apikan isu perbezaan politik dan berjaya menghasut segelintir pihak berpengaruh di Palestin, seperti Mahmoud Abbas dan Muhammad Dahlan untuk bersekongkol dalam menjatuhkan kerajaan HAMAS secara penggulingan bersenjata.
Walaubagaimanapun, usaha-usaha ini telah dikesan oleh kerajaan HAMAS dan digagalkan dalam pertempuran berdarah antara HAMAS dan FATAH di Gaza pada Jun 2007 yang lalu. Akibatnya, pihak FATAH di Gaza mengaku kalah dan berundur ke Ramallah, lalu HAMAS menguasai Gaza secara mutlak. Ini memberi alasan bagi Israel untuk lebih mengetatkan sekatan ekonominya ke atas Gaza. Bahkan Israel berjaya mengajak Mesir yang menyempadani Gaza agar menutup sempadan Gaza-Mesir. Kemasukan rutin bantuan kemanusiaan dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut disekat dan dihadkan. Lalu bermulalah krisis kemanusiaan paling teruk dalam sejarah peradaban manusia akibat penindasan sesama manusia.
Jurang antara pemimpin FATAH di Tebing Barat dan HAMAS di Gaza semakin membesar apabila Mahmoud Abbas mengisytihar Gaza sebagai negeri pengganas dan pembelot serta enggan membincangkan soal perdamaian antara kedua pihak. Pihak Berkuasa Palestin (PA) di bawah Mahmoud Abbas membentuk kerajaan Tebing Baratnya sendiri dan melantik Salam Fayyad sebagai PM boneka. Mahmoud Abbas dan kerajaan baru ini terus mendapat sokongan moral dari AS dan Eropah. Bahkan, kerajaan tidak demokratik ini telah mendapat sokongan latihan dan kewangan berjuta dollar dari AS untuk menguatkan pasukan keselamatannya untuk menghapuskan jentera penentangan di Palestin. Dengan kekuatan baru ini, mereka telah bersekongkol dengan Israel untuk menghapuskan elemen-elemen penentangan di sekitar Tebing Barat. Mereka menutup dan merampas sekolah-sekolah dan asrama anak yatim, kompleks membeli belah, kedai-kedai serta mana-mana institusi yang boleh dikaitkan dengan HAMAS dan penentangan. Mereka turut memburu, menangkap, memenjara dan membunuh pemimpin-pemimpin dan pejuang-pejuang Palestin dan rakyat biasa di Tebing Barat yang mempunyai kaitan atau menunjukkan simpati terhadap HAMAS dan penentangan.
HAMAS yang mengecam tindakan ini bagaimanapun sentiasa berusaha untuk mengajak FATAH agar berunding untuk kepentingan masa depan Palestin. Berbagai usaha kesatuan semula telah diambil HAMAS dan beberapa pemimpin antarabangsa antaranya pemimpin dari Yemen dan Mesir, namun tidak menunjukkan sebarang hasil yang memberangsangkan. Pada masa yang sama, sekatan ekonomi di Gaza oleh Israel dan AS terus berlanjutan sehingga mencapai tahap kritikal dari sudut hak dan keperluan asasi manusia. Makanan, ubatan, tenaga elektrik, saliran semuanya mengalami kegawatan ke tahap kronik. Tujuannya, untuk menghukum rakyat Gaza yang memilih HAMAS sebagai kerajaan dan menjadikan rakyat berang kepada HAMAS yang cuba digambarkan membawa malang kepada rakyat.
Namun, berkat kesabaran HAMAS serta kesetiaan rakyat Gaza menyebabkan HAMAS terus popular di mata rakyat. HAMAS terus menekan Israel untuk menghentikan penindasannya dengan melancarkan roket-roket buatan tangan mereka ke bandar-bandar Israel. Akhirnya, dengan campurtangan Mesir, Israel dan Gaza telah mempersetujui sebuah genjatan senjata 6 bulan yang agak rapuh dari 19 Jun 2008 ke 19 Disember 2008, dengan syarat bekalan asasi dibenarkan masuk ke Gaza serta sempadan-sempadan Gaza ke dunia luar dibuka seperti biasa. Namun, ternyata Israel dan Mesir hanya berpegang kepada perjanjian tersebut secara minimal. Bahkan, sebulan sebelum tamatnya perjanjian genjatan senjata antara Gaza & Zionis, pihak Zionis telah menzahirkan secara terang-terangan bahawa ia tidak pernah menghormati genjatan senjata ini dengan melakukan beberapa serangan maut di Gaza disamping mengetatkan lagi sekatan ekonomi dan kawalan sempadan. Sepanjang genjatan senjata, Israel telah membunuh 40 nyawa rakyat Gaza, manakala tiada seorang pun rakyat Israel yang terbunuh. Malangnya, tindakan ganas Israel ini mendapat sokongan AS serta konco-konconya dengan alasan Israel berhak mempertahankan dirinya.

Penyembelihan besar-besaran di Gaza berlaku selepas tamatnya genjatan senjata ini. Serangan ini berlaku pada Sabtu 27 Disember 2008, 24 jam selepas lawatan menteri luar Israel, Tzipi Livni ke Kaherah, Mesir dalam pertemuannya dengan Presiden dan pegawai atasan Mesir. Dalam ucapan rasminya di hadapan media, Tzipi Livni mengancam untuk menjatuhkan HAMAS. Di situlah pengisytiharaan perang berlaku.24 jam kemudian, Israel telah melancarkan operasi serangan besar-besaran ke atas Gaza.
Pada Sabtu 27 Disember, tentera Israel telah membedil Gaza dengan serangan udara dan memobilisasikan tentera daratnya beserta kereta-kereta kebalnya ke sempadan Gaza-Israel. Tidak cukup dengan itu, negara pengganas itu telah mengerahkan 6,500 tentera simpanannya untuk bersiap sedia di sempadan Gaza. Serangan udara tersebut dimulakan pada tengah hari Sabtu, sebaik sahaja waktu anak-anak pulang dari sekolah. Sehingga hari ketiga, Israel telah membunuh seramai 364 orang rakyat Palestin dan mencederakan lagi 1650 orang; bahkan mereka membunuh 150 orang dalam masa kurang dari setengah jam. Ini adalah serangan udara paling berdarah yang pernah dilancarkan dalam sejarah konflik Palestin-Israel. Antara yang terbunuh dan cedera bukanlah semata-mata pejuang-pejuang dan pasukan keselamatan Palestin, bahkan rakyat biasa, wanita, anak-anak kecil, serta bayi . Fawzi Barhoum, seorang jurucakap kerajaan HAMAS di Gaza mengatakan, “Hari berdarah ini tidak pernah disaksikan Genting Gaza sebelum ini.”
Pihak hospital di Gaza, terutama Hospital Syifa’ (hospital terbesar di Gaza), tidak mampu menanggung pesakit yang sangat ramai yang datang berduyun-duyun. Kelengkapan hospital yang terbatas, banyak ambulan yang sudah tidak berfungsi dan tidak mampu diperbaiki, dan bekalan ubatan yang terhad, semuanya adalah angkara sekatan kejam besar-besaran ke atas Gaza. Namun, ramai pesakit yang bersikap murni meminta doktor-doktor mendahulukan orang-orang yang lebih memerlukan rawatan akibat serangan dahsyat tentera Zionis. Lebih mengerikan, hasil siasatan, doktor-doktor Palestin mendedahkan bahawa Israel telah menggunakan senjata-senjata yang telah diharamkan komuniti antarabangsa. Didapati mangsa-mangsa yang datang mendapatkan rawatan, walaupun cedera ringan, terus bertambah parah keadaannya dan mati secara tiba-tiba. Seorang doktor turut melaporkan menerima pesakit yang mengalami kekoyakan pada tulang dan kecacatan teruk pada anggota badan.
Beratus-ratus rakyat Palestin cuba menyelamatkan diri dengan menyeberang ke Mesir melalui sempadan di Rafah, namun pintu utama Mesir-Gaza itu terus ditutup dan dikawal ketat oleh tentera Mesir. Rakyat Gaza yang berjaya merobohkan sebahagian tembok sempadan dengan bulldozer bagaimanapun terus dihalau dan disekat oleh Mesir yang menggunakan kekerasan. Pilu juga menyaksikan bahawa negara Mesir turut bersekongkol dalam memerangkap dan menghukum rakyat Palestin di Gaza, daerah paling padat di dunia itu. Lebih teruk, Mesir menghalang pasukan pakar-pakar bedah Mesir yang bersemangat ingin membantu saudara mereka dari menyeberang ke Gaza. Mesir juga turut menghalang pendaratan pesawat dari Libya yang membawa peralatan dan ubat-ubatan yang sangat diperlukan di Gaza. Tindakan kerajaan Mesir ini teramat menyedihkan dan penuh tanda tanya tentang kesetiaannya kepada rumpun dan agamanya sendiri.
Israel, negara pengganas, memberi alasan bahawa serangan dahsyat ini kononnya hanya bertujuan menghentikan terus serangan roket pejuang Palestin ke atas bandar-bandar Israel, Inilah adalah pembohongan kerana HAMAS menyatakan kesediaan untuk meneruskan genjatan senjata sekiranya Israel membuka laluan sempadannya dan membenarkan bantuan kemanusiaan. Namun, Israel enggan menerima syarat tersebut. Ternyata bahawa tindakan Israel ini berikutan kebimbangannya terhadap kekuatan dan populariti HAMAS yang terus berkembang setelah pelbagai usaha kejam lagi jelek yang diambil Israel untuk menggulingkan HAMAS. Di samping itu, Israel juga dilihat ingin mengalihkan pandangan dunia dari isu Masjid Al-Aqsa yang ingin ditawan Zionis. Bahkan, sebuah pusat kajian antarabangsa milik AS untuk program timur tengah melihat tindakan Israel ini sebagai usaha melemahkan kerajaan HAMAS dan menaikkan Mahmoud Abbas yang semakin kehilangan popularity di kalangan rakyat Palestin sendiri.
Namun, masyarakat antarabangsa yang sentiasa mengikuti perkembangan isu Palestin sudah masak dengan alasan-alasan Israel dan sekutu-sekutunya. Kekerasan serta keganasan melampau semestinya tidak mungkin diterima manusia berakal dan berperikemanusiaan. Tidak masuk akal sama sekali untuk menggunakan kekuatan sophisticated dengan melampau ke atas pejuang nasional yang hanya bersenjatakan roket primitif dan batu. Bahkan sekatan ekonomi yang dipelopori Israel sehingga ke tahap menafikan kemanusiaan penduduk Gaza jelas menampakkan sifat kebinatangan negara pengganas ini yang mengabaikan sifat-sifat asasi manusia. Ini semua hanyalah kesempatan yang diambil oleh Israel di atas kelemahan persenjataan rakyat Palestin serta kelemahan kesatuan umat Islam seluruh dunia.

Tuesday, February 3, 2009

Krisis Kewangan Global; Apa yang rakyat perlu tahu


Ramai pakar ekonomi bersetuju bahawa putaran kegawatan ekonomi akan melanda dunia pada setiap 10 tahun. Sehingga kini belum ada kajian yang bersungguh-sungguh mengapa ianya menyerang dunia pada setiap 10 tahun. Bagaimanapun sebagai rakyat kita harus mengambil iktibar dan bersedia untuk menghadapinya. Kegawatan ekonomi umpama putaran kehidupan manusia, kerana selepas sahaja kegawatan kita akan melihat bagaimana empayar perniagaan yg besar telah runtuh dan timbul pula empayar-empayar baru.

Pada krisis ekonomi 1997 kita melihat perbalahan antara Dr Mahathir dan Anwar Ibrahim, jatuhnya Tan Sri Tajudin Ramli dengan Syarikat MAS, Tan Sri Halim Saad dengan Syarikat Renung, Datuk Teng Pek Kim dengan projek Bakun, Mirzan Mahathir dengan Syarikat perkapalan MISC dan lain-lain. Kemudian timbul pula selepas itu Tony Fernandez dengan Air Asia, Nazir Tun Razak dengan CIMB, Syed Mokthar dengan pelbagai rangkaian perniagaan dll.
Untuk rekod krisis ekonomi pada tahun 1987 dikaitkan dgn kemerosotan nilai hartanah, krisis ekonomi 1997 disebabkan spekulasi yg berlebihan dalam perdagangan nilai matawang dan krisis ekonomi 2008 dikaitkan dgn krisis kewangan global.

Apakah yg dimaksudkan dgn krisis kewangan global?

Ianya dikaitkan dgn keruntuhan bank-bank dan syarikat-syarikat pelaburan yg terkemuka dunia terutama yg telah hampir 100 tahun bertapak kukuh di Eropah dan USA. Mulanya ia berkaitan dengan sub-prime. Secara mudah sub prime dapat diterangkan seperti berikut:

Sebuah bank memberi pinjaman perumahan kepada pelanggan. Kadar riba adalah 12% (contoh), Kemudian bank tersebut akan mencagar pula rumah tersebut kepada syarikat pelaburan A dgn kadar riba 10%. Syarikat pelaburan A akan mencagar pula rumah tersebut kepada syarikat pelaburan B dgn kadar 12%, begitulah seterusnya.Dalam contoh ini sebuah rumah yang nilainya hanya RM 500,000 mungkin telah meningkat kepada RM 1,500,000 dan ianya akan terus meningkat jika banyak syarikat pelaburan meningkat. Oleh kerana USA merupakan pusat kewangan antarabangsa maka banyak syarikat pelaburan dari seluruh dunia datang melabur.

Krisis bermula apabila nilai harta perumahan jatuh menjunam. Ramai peminjam gagal membayar hutang. Bank menghadapi masaalah kutipan hutang, maka ianya mula menjangkiti sektor-sektor kewangan lain seperti syarikat kereta dan syarikat eksport import, bila ini berlaku ramai hilang pekerjaan, perbelanjaan harian merosot, kedai-kedai tidak dapat menjual barangan, industri kecil-kecilan akan mula terasa kesannya. Yang masih ada pekerjaan akan mula mengurangkan berbelanjaan, ekonomi negara akan mula menguncup, akhirnya semua rakyat akan merasa kesannya.

Sebagai Rakyat Apa yg perlu kita tahu sekarang ini

1-Banyak eksport barangan keluaran kita adalah ke pasaran USA. Krisis yg melanda USA sekarang ini menyebabkan banyak barangan kilang kita tidak ada pembeli. Kilang terpaksa ditutup. Hampir 200,000 pekerja akan hilang pekerjaan. Kesannya kuasa beli pasaran akan jatuh, banyak rumah dan kereta akan dilelong, bank akan mengetatkan syarat pinjaman, atas desakan akan banyak jenayah rompakan , kecurian dan penipuan.
2-Bila banyak perusahaan kilang dan industri ditutup di dunia ini, permintaan terhadap minyak akan jatuh. Secara automatik pendapatan negara akan merosot. Bila ini berlaku kerajaan akan kekurangan wang untuk berbelanja kemudahan awam. Jalan raya akan lambat diperbaiki dan industri kontraktor akan terjejas. Maka banyak perniagaan yg berkaitan dengannya akan runtuh.
3-Bila ramai kehilangan pekerjaan dan kilang-kilang terpaksa ditutup , kutipan cukai dan zakat akan merosot. Bantuan kepada yg susah terpaksa dikurangkan manakala golongan yang susah akan bertambah.
4-Rakyat yg mempunyai wang lebih suka menyimpan. Akibatnya tidak ada aktiviti-aktiviti ekonomi baru untuk membolehkan orang ramai mendapat pekerjaan.Contohnnya jika A ada RM 20000.00 beliau membuka restoran mungkin 4 orang pekerja telah ada pendapatan. Tapi A memilih untuk menyimpan wangnya maka aktiviti ekonomi akan jadi kosong.

Apa perlu kita lakukan untuk diri sendiri

1-Jika kita pekerja kilang, sektor pembinaan atau berkaitan dengannya, buat persiapan mental dan fizikal untuk menghadapinya. Jaga simpanan wang dan jangan membuat apa-apa pembelian selain dari keperluan hidup.
2-Kepada penghuni-penghuni taman perumahan mula mengukuhkan ciri-ciri keselamatan rumah dan lebih berhati-hati tentang rompakan dan kecurian.
3-Kepada pekerja sektor kewangan atau GLC mula membuat persiapan tentang kemungkinan skim perberhentian / persaraan awal.
4-Kepada yang masih mempunyai pekerjaan, kerjalah dengan ikhlas dan jujur. Majikan akan lebih mudah membuang pekerja pada masa kini
Sumber: Barakahprima