Thursday, February 19, 2009

Menangani Masalah Keruntuhan Akhlak


Malam ini, saya terlibat sebagai panel forum Bicara ad-deen IKIM.fm bertempat di Sungai Buloh, Selangor. Tajuk yang akan dibincangkan ialah berkisar tentang akhlak. Jadi, di sini disertakan sedikit perkongsian melalui artikel akhlak yang sempat disiapkan. wassalam

Menangani Masalah Keruntuhan Akhlak


Oleh: Mohd Sukki Othman (Ustaz Shauqi)

Hampir setiap hari terpampang di dada-dada akhbar dan di kaca televisyen perihal keruntuhan akhlak terutamanya yang berlaku di kalangan remaja. Keruntuhan akhlak yang berlaku telah mengundang pelbagai salah laku jenayah seperti zina, rogol, minum arak, mencuri dan sebagainya. Sangat menyedihkan apabila kita dimaklumkan bahawa jenayah juvana semakin meningkat, ada di antara pelajar yang masih belum menamatkan pengajian telah pun menggugurkan anak luar nikah, gejala dadah yang semakin menjadi-jadi dan lain-lain berita yang amat mendukacitakan dan menghiris jiwa. Masalah sosial ini nampaknya semakin serius dari semasa ke semasa. Justeru, ia memerlukan perhatian dan tindakan segera daripada pelbagai lapisan masyarakat sama ada individu, keluarga, masyarakat dan negara bagi menangani masalah ini daripada terus merebak, sekiranya dibiarkan, ia akan memusnah dan menghancurkan bangsa dan negara. Sebenarnya tidak ada masalah yang tidak boleh selesai, sebaliknya semua masalah ada penyelesaiannya sekiranya kita menangani masalah tersebut dengan serius kerana ‘setiap penyakit ada ubatnya’.

Menangani masalah keruntuhan akhlak merupakan perkara yang seharusnya diberi perhatian secara yang bersungguh-sungguh. Usaha perlu dilakukan agar masyarakat kita kembali menghayati dan mempraktikkan akhlak yang mulia dalam kehidupan seharian mereka. Sebenarnya, apakah yang dimaksudkan dengan akhlak ?. Akhlak ialah perkataan Arab yang telah diberikan definisi oleh Kamus Dewan sebagai budi pekerti, kelakuan dan tabiat. Menurut istilah, akhlak membawa maksud segala tingkah laku dan perbuatan yang sudah menjadi adat kebiasaan pada diri seseorang. Dalam Islam, akhlak adalah merupakan intipati bagi segala ibadat. Tanpa akhlak, ibadat hanyalah merupakan adat resam dan gerak laku yang tidak mempunyai nilai dan faedah. Oleh itu, akhlak mulia yang terpancar daripada seseorang itu adalah merupakan tanda dan hasil daripada iman yang sebenar.

Dalam membincangkan soal akhlak ini, Islam sejak sekian lama telah menyediakan penyelesaian bagi masalah ini, bahkan persoalan akhlak merupakan antara persoalan utama yang diketengahkan oleh ajaran Islam yang disampaikan melalui nabi Muhammad s.a.w. Akhlak yang mulia adalah menjadi matlamat asas bagi risalah Islam. Nabi Muhammad s.a.w telah bersabda dalam sebuah hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari maksudnya : « Sesungguhnya aku (Muhammad) diutuskan adalah untuk menyempurnakan akhlak yang mulia ». Nabi Muhammad s.a.w sendiri telah mempamerkan akhlak yang terbaik yang boleh dijadikan sebagai contoh oleh setiap lapisan masyarakat. Allah s.w.t telah berfirman dalam al-Quran, Surah al-Qalam ayat 4 maksudnya: “Sesungguhnya engkau (Muhammad) mempunyai budi pekerti yang baik”.

Akhlak mempunyai pengaruh yang besar ke atas diri individu dan masyarakat. Akhlak yang mulia dapat menyempurnakan keperluan masyarakat manusia, iaitu kebahagiaan. Jika setiap individu muslim berakhlak mulia, maka sudah pasti masyarakat itu akan dilimpahi dengan keadilan, kesejahteraan dan keamanan. Kepentingan akhlak dalam masyarakat diakui juga kepentingannya oleh masyarakat barat dan masyarakat orang bukan Islam seperti ungkapan yang telah dinyatakan oleh Wilson iaitu bekas Presiden Amerika Syarikat, beliau berkata : "... jika tamadun kita tidak diselamatkan dengan unsur moral, ia tidak akan dapat bertahan dengan kebendaannya. Ia juga tidak mungkin selamat kecuali jika semangat agama menjalar pada seluruh liang romanya…hal inilah yang harus menjadi perlumbaan untuk mencapainya oleh institusi-institusi politik kita, pada hartawan kita dan setiap individu yang takut kepada tuhan dan cintakan negara ». Bekas pemimpin India iaitu Mahatma Gandhi pernah berkata : « Sesungguhnya agama dan akhlak tidak boleh dipisahkan…agama menyuburkan akhlak seumpama air yang menyuburkan tanaman ». Jelasnya, faktor agama merupakan faktor yang paling penting dalam menangani masalah keruntuhan akhlak.

Kita jangan mudah menuding jari ke arah sesiapa dengan menyalahkan pihak-pihak tertentu sahaja dalam menangani masalah keruntuhan akhlak yang berlaku pada hari ini. Sebaliknya, semua pihak bertanggungjawab untuk kembali kepada Islam dan mencari penyelesaiannya kerana setiap orang akan dipersoalkan oleh Allah di Akhirat kelak sama ada mereka telah menunaikan amanah yang telah dipertanggungjawabkan kepada mereka atau pun tidak. Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud: “ Setiap daripada kamu adalah pemimpin, dan kamu bertanggungjawab terhadap sesiapa yang berada di bawah pimpinan kamu”

Tanggungjawab untuk menangani masalah sosial ini adalah tanggung jawab semua meliputi setiap individu, keluarga, masyarakat dan negara. Individu yang mukallaf (akil baligh) mesti berusaha untuk mewujudkan akhlak mulia dalam diri. Ini dapat dihasilkan sekiranya dia memahami tuntutan berakhlak mulia dalam Islam. Untuk memahami tuntutan ini, dia hendaklah berusaha bersungguh-sungguh untuk menimba ilmu pengetahuan yang berkaitan. Dalam persoalan ini, Imam al-Ghazali (1058-1111 M) telah menyatakan bahawa cara pembentukan akhlak yang paling berkesan ialah dengan penyucian hati.


Cara yang paling berkesan untuk menyucikan hati ialah dengan menanamkan keyakinan yang sepenuhnya terhadap muraqabah (pengawasan) Allah terhadap diri kita walau di mana sahaja berada. Ulama’-ulama’ salaf pernah menyarankan agar setiap kali sebelum tidur, hendaklah dibisikkan dalam hati, ‘Allah bersamaku, Allah melihat segala perbuatanku’. Apabila seseorang individu tersebut sentiasa merasai pengawasan Allah terhadap dirinya pada setiap waktu dan ketika, maka akan terpancarlah akhlak yang baik dari dirinya, kerana dia tidak akan sanggup untuk melakukan perkara-perkara maksiat sedangkan dalam masa yang sama dia menyedari Allah memerhatikan tingkah lakunya. Di samping itu, setiap individu juga mesti pandai memilih kawan iaitu berkawan dengan seseorang yang baik, jujur serta bertaqwa kepada Allah. Kajian mendapati bahawa antara faktor utama keruntuhan akhlak ialah pengaruh kawan dan rakan yang jahat.

Manakala Ibu bapa pula, menjadi kewajipan kepada mereka untuk mendidik serta memberikan kefahaman kepada anak-anak mereka tentang kepentingan berakhlak mulia. Mereka bertanggungjawab untuk menyemai kepada anak-anak sejak daripada kecil dengan sifat amanah, benar, hormat, berbuat baik kepada orang lain dan sebagainya. Dalam masa yang sama, ibu bapa bertanggungjawab untuk mendidik betapa bahayanya akhlak yang buruk seperti mengeluarkan perkataan lucah dan cacian, bercakap bohong, panjang tangan, meniru budaya barat, hiburan yang melampau, pergaulan bebas dan sebagainya. Pada zaman awal Islam, ibubapa sering membuat perjanjian dengan anak-anak mereka agar berakhlak mulia walau di mana sahaja berada. Sebagai contohnya ialah kisah perjanjian di antara Syeikh Abdul Qadir Jailani dengan ibunya.

Syeikh Abdul Qadir Jailani telah menceritakan: “Sejak kecil, aku telah membuat perjanjian dengan keluargaku untuk bercakap benar. Suatu hari, aku bermusafir dari Mekah ke Baghdad untuk menimba ilmu, lalu ibuku telah memberikan kepadaku 40 dinar sebagai wang perbelanjaan dan aku dikehendaki untuk bercakap benar walaupun dengan sesiapa jua. Ketika dalam perjalanan, tiba-tiba muncul sekumpulan perompak lalu mereka merompak rombongan yang aku sertai. Lalu datang seorang perompak kepadaku, lalu bertanya: “Apa yang kamu ada?”. Aku menjawab bahawa aku mempunyai 40 dinar. Dia hairan dengan sikap jujurku, lalu dia membawaku bertemu dengan ketua perompak. Ketua perompak pun bertanya tentang apa yang ada padaku, lalu aku menjawab dengan jawapan yang sama juga. Ketua perompak itu kehairanan dengan jawapanku lalu bertanya: “Apa yang membuatkan kamu bercakap benar?”. Jawabku: “Aku telah berjanji dengan ibuku untuk bercakap benar, oleh itu aku takut untuk menkhianati janji”.

Tiba-tiba ketua perompak itu berasa gementar sambil berteriak: “Awak takut untuk mengkhianati janji dengan ibumu, sedangkan aku tidak takut mengkhianati janji Allah?!!”. Kemudian ketua perompak mengarahkan agar dikembalikan barang-barang yang dirompak daripada rombonganku seraya berkata: “Aku bertaubat kepada Allah di hadapan kamu”. Lalu semua perompak itu mengikut jejak langkah ketuanya dengan bertaubat kepada Allah, hasil daripada keberkatan bersikap jujur dan benar”.

Tanggungjawab masyarakat dan negara pula dalam menangani masalah keruntuhan akhlak ini ialah dengan prihatin dan peka dengan persekitaran sekeliling. Anggota masyarakat sewajarnya sentiasa bekerjasama serta berusaha untuk membasmi sebarang kegiatan maksiat yang berlaku di kawasan masing-masing. Kempen ‘maksiat sifar’ juga perlu diadakan dari semasa ke semasa bagi menyedarkan anggota masyarakat tentang bahaya keruntuhan akhlak. Pihak berkuasa pula hendaklah berusaha mencari jalan yang terbaik untuk menguatkuasakan undang-undang yang lebih berkesan bagi menangani masalah sosial ini. Nabi s.a.w bersabda maksudnya: "Sesiapa daripada kamu yang melihat kemungkaran, hendaklah dia ubah dengan tangan (kuasa), sekiranya tidak mampu, hendaklah mengubahnya dengan lisan, sekiranya tidak mampu juga, hendaklah mengubahnya dengan hati. Mengubah dengan hati itu adalah selemah-lemah iman”.

Kesimpulannya, setiap pihak mesti melaksanakan amanah dan tanggung jawab menangani masalah keruntuhan akhlak ini dengan penuh keimanan dan ketaqwaan kepada Allah. Kesan positif daripadanya akan lahirlah generasi-generasi muda-mudi yang cemerlang dari sudut akhlak yang sudah tentu akan membimbing negara yang tercinta ini ke arah kemakmuran dan kesejahteraan.

No comments:

Post a Comment