Oleh: Mohd Sukki Othman (Ustaz Shauqi)
Jarang sekali dapat menemui wanita hebat sepertinya dalam sejarah. Keimanannya yang mantap serta keberaniannya yang amat tinggi jarang dimiliki oleh seseorang wanita sepertinya, malahan keberanian dan keperkasaannya mengatasi kegagahan lelaki. Beliau menerima cahaya Islam apabila yakin dan berpuas hati dengan ajaran yang dibawa oleh Rasulullah.
Jarang sekali dapat menemui wanita hebat sepertinya dalam sejarah. Keimanannya yang mantap serta keberaniannya yang amat tinggi jarang dimiliki oleh seseorang wanita sepertinya, malahan keberanian dan keperkasaannya mengatasi kegagahan lelaki. Beliau menerima cahaya Islam apabila yakin dan berpuas hati dengan ajaran yang dibawa oleh Rasulullah.
Seterusnya, beliau bersama suami dan dua orang anak lelakinya pergi ke ’Aqabah untuk berbai’ah dengan Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam. Beliau berjihad di jalan Allah tanpa rasa gentar dan takut. Lalu, beliau menyertai peperangan dan pernah mengalami luka yang banyak dan putus sebelah tangannya. Namun semua itu tidak pernah memutuskan semangatnya untuk terus berjuang menegakkan keadilan.
Dalam hidupnya, bukan sahaja ditumpukan kepada mendidik anak-anaknya ke arah keadilan, kebenaran, keberanian, dan teguh mempertahankan keimanan yang mendalam terhadap Allah semata-mata, bahkan beliau turut sama berganding bahu dengan golongan lelaki ke medan perang dan bertempur dengan musuh-musuh Islam dengan penuh keberanian. Siapakah wanita yang hebat ini? Beliau ialah Ummu ‘Umarah, iaitu Nusaybah Binti Ka’ab.
Latar Belakang Nusaybah
Nama penuh beliau ialah Nusaybah (dalam kitab al-Isabah, nama beliau disebut sebagai Nasibah) Binti Ka’ab Bin ‘Amru, Bin ‘Auf, dan lebih dikenali sebagai Ummu ‘Umarah. Nusaybah berkahwin kali pertama pada zaman Jahiliah dengan Zaid Bin ‘Asim al-Mazini. Dengan Zaid, beliau memperoleh dua orang anak iaitu Abdullah dan Hubaib. Apabila suaminya Zaid meninggal dunia, beliau berkahwin pula kali kedua dengan Ghaziah Bin ‘Amru al-Mazini, dan memperoleh dua orang anak yang bernama Tamim dan Khaulah.
Nusaybah merupakan di antara golongan Ansar yang terawal memeluk Islam. Selepas Perjanjian Aqabah Pertama, Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam mengutuskan Mus’ab Bin ‘Umair ke Madinah al-Munawwarah untuk mengajar penduduk Madinah tentang Islam dan al-Quran. Nusaybah amat tertarik dengan dakwah dan ajaran Islam, lalu tanpa berlengah terus memeluk Islam.
Apabila Mus’ab pulang ke Makkah, bersamanya ialah sebilangan umat Islam Ansar yang turut serta untuk ke Makkah menunaikan haji. Antara yang turut serta dalam rombongan ini ialah Nusaybah Binti Ka’ab. Selepas menunaikan haji, Nusaybah bersama orang Islam Ansar yang lain telah berbai’ah dengan Rasulullah untuk mempertahankan Islam dalam Perjanjian Aqabah yang Kedua.
Mengikut apa yang diceritakan oleh Muhammad Bin Ishak yang diriwayatkan daripada Ka’ab Bin Malik, katanya: “Kami telah berjanji dengan Rasulullah untuk bertemu di al-’Aqabah pada hari Tasyrik. Selepas selesai kami mengerjakan haji dan tepat pada malam yang dijanjikan itu, kami pun keluar menuju ke tempat yang dijanjikan untuk menemui Rasulullah. Kami keluar secara perlahan-lahan dan bersembunyi, dan jumlah kami ialah tujuh puluh tiga orang lelaki dan dua orang perempuan iaitu Nusaybah Binti Ka’ab dan Asma’ Binti ‘Amru Bin ‘Adiy.” (rujuk kitab Fiqh Sirah oleh Dr. Said Ramadhan al-Buti)
Berbai’ah
Apabila selesai Rasulullah berbai’ah dengan golongan lelaki dengan berjabat tangan, Rasulullah menghampiri dua wanita yang turut serta dalam perjanjian Aqabah itu, lalu Rasulullah berbai’ah dengan mereka secara lisan tanpa berjabat tangan. (rujuk kitab Nisa’ Ra’idat oleh ‘Iffat Wisal Hamzah) . Ummu ‘Umarah menceritakan peristiwa ini dengan katanya: “Golongan lelaki berjabat tangan dengan Rasulullah pada malam Perjanjian ‘Aqabah… apabila tinggal aku dan Ummu Mani’ (Asma’ Binti ‘Amru) sahaja lagi yang belum berbai’ah (dengan berjabat tangan), suamiku Ghaziah memanggil Rasulullah dengan menyatakan bahawa dua orang wanita yang turut hadir ingin berbai’ah (dengan berjabat tangan)
Lalu Rasulullah memberitahu bahawa baginda telah pun berbai’ah dengan wanita yang hadir sebagaimana baginda berbai’ah dengan golongan lelaki, dan Rasulullah bersabda: “Sesungguhnya aku tidak berjabat tangan (bersalaman) dengan wanita.” (rujuk kitab Nisa’ Hawla al-Rasul karangan Muhammad Musa Ramadhan)
Perjuangan dan Jihad Nusaybah
Ibnu Saad telah menyatakan di dalam kitabnya Tabaqat bahawa: “Ummu ‘Umarah telah telah menghadiri malam perjanjian Aqabah dan berbai’ah dengan Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam. Beliau juga turut serta dalam Peperangan Uhud, Perjanjian Hudaibiah, Umrah Qadha, Peperangan Hunayn, dan Peperangan Yamamah…” Nusaybah dan para wanita yang lain turut sama ke medan Uhud untuk membantu merawat luka tentera-tentera Islam yang mendapat kecederaan. Nusaybah memerhatikan perjalanan peperangan Uhud dengan hati yang lega kerana pada peringkat awalnya, tentera Islam begitu mudah dapat mengalahkan tentera musyrikin.
Namun, sesuatu yang tidak diduga berlaku apabila pasukan pemanah telah lupa arahan Rasulullah dan turun daripada bukit untuk bersama tentera yang lain di bawah, menyebabkan pihak musuh telah berpatah balik dan melakukan serangan hendap. Tentera Islam menjadi kucar-kacir akibat serangan hendap tersebut. Ada di antara mereka yang bertempiaran lari. Hanya tinggal lebih kurang sepuluh orang sahaja yang masih berada berhampiran Rasulullah untuk mempertahankan baginda daripada serangan musuh.
Pada saat genting ini, Nusaybah dengan penuh semangat keberanian mara ke hadapan dan turut sama berjuang menentang musuh yang menjadikan Rasulullah sebagai sasaran. Turut sama mempertahankan Rasulullah pada saat genting ini ialah suami Nusaybah dan dua anak lelakinya.
Tatkala ramai yang bertempiaran lari, Nusaybah sekeluarga begitu berani mara untuk berjuang menentang musuh. Mereka berjuang bermati-matian mempertahankan Islam sebagaimana janji yang telah dimeterai pada Perjanjian Aqabah yang Kedua. Anak Nusaybah iaitu Abdullah Bin Zaid telah mendapat luka di lengan kirinya, namun dia tidak memperdulikan luka yang mengalir itu, sebaliknya terus berjuang.
Apabila Rasulullah ternampak Abdullah mendapat luka, baginda pun melaungkan kepada Abdullah: ‘balutlah lukamu wahai Abdullah…’. Nusaybah mendengar laungan Rasulullah itu, lantas beliau pergi kepada anaknya dan membalut luka anaknya seraya berkata, ‘lekas segera bangun wahai anakku, dan tentanglah musuhmu’. Rasulullah berasa terpegun dengan tindakan Nusaybah lantas bersabda: ‘jarang sekali orang yang mempunyai kekuatan sepertimu wahai Ummu ‘Umarah’. Dalam peperangan tersebut, Nusaybah mendapat kecederaan dan luka. Lalu Rasulullah memanggil Abdullah dan menyatakan, ‘wahai anak Ummu ‘Umarah, bantulah ibumu, balutlah lukanya’. Nusaybah berpaling ke arah Rasulullah seraya berkata, ‘berdoalah untuk kami agar dapat mengiringimu ke syurga’.
Lalu Rasulullah pun berdoa: ‘Ya Allah, jadikanlah mereka temanku di dalam syurga’. Nusaybah berasa amat gembira dengan doa Rasulullah itu, justeru beliau menyatakan, ‘Demi Allah, aku tidak peduli apa sahaja yang akan menimpaku di atas dunia ini’.
Begitulah hebatnya wanita yang dikenali sebagai Ummu Umarah ini yang mengibarkan panji-panji Islam. Beliau tidak gentar berjuang mempertahankan Islam dan membela Rasulullah Sallallahu ’alaihi wasallam, walaupun beliau luka dan mendapat kecederaan dalam perang Uhud sebanyak 12 tempat di tubuhnya. Seterusnya selepas Peperangan Uhud, Nusaybah terus berjihad bersama-sama Rasulullah. Beliau telah menyertai Rasulullah ketika di Hudaibiah, Khaibar, Umrah Qadha’, Peperangan Hunayn dan Bai’ah al-Ridwan.
Ketika munculnya Musailamah al-Kazzab yang mendakwa sebagai nabi di Yamamah, Rasulullah mengutuskan anak Nusaybah iaitu Hubaib Bin Zaid untuk menyampaikan surat Rasulullah kepada Musailamah. Musailamah bertanya kepada Hubaib, “Adakah aku ini utusan Allah?.” Jawab Hubaib: “Tidak!.” Lalu Musailamah bertanya lagi, apakah kamu menyaksikan bahawa Muhammad itu utusan Allah?, maka dengan tegas Hubaib menjawab: “Ya, aku menyaksikan bahawa Muhammad itu utusan Allah!.” Lantas Musailamah bertindak kejam terhadap Hubaib dengan memotong-motong tubuhnya sehingga dia meninggal dunia.
Ketika mengetahui bahawa anaknya Hubaib terbunuh, Nusaybah berazam untuk membunuh Musailamah. Lalu, dia turut serta bersama anaknya Abdullah dalam peperangan Yamamah. Namun takdir telah menentukan yang membunuh Musailamah bukannya Nusaybah tetapi anaknya Abdullah yang menuntut bela di atas kematian saudaranya Hubaib . Nusaybah menceritakan, “Tangan aku terpotong pada hari peperangan Yamamah, padahal aku sangat berhajat untuk membunuh Musailamah. Tiada sesiapa yang dapat melarangku daripada melakukannya sehinggalah aku melihat anakku Abdullah bin Zaid mengusap pedangnya dengan pakaiannya, lalu aku bertanya kepadanya: “Engkaukah yang membunuhnya (Musailamah)?.” Dia menjawab “Ya.” Kemudian aku bersujud kepada Allah kerana bersyukur.
Begitulah secebis kisah Nusaybah yang menonjolkan kehebatan dan keberanian seorang wanita yang sanggup melakukan apa sahaja demi mencapai keredhaan Allah dan Rasul-Nya.
No comments:
Post a Comment