Friday, March 27, 2009

Pengalaman Di China





Bergambar di hadapan hotel tempat menginap ketika berada di China

Restoran Muslim di sebelah hotel : "Muhammad Restaurant".

Antara pengalaman menarik di China ialah begitu mudah untuk mendapatkan makanan halal walaupun di kawasan majoriti penduduknya bukan beragama Islam. Dianggarkan di daerah Yiwu tidak sampai 5 % penduduk yang beragama Islam, namun terdapat banyak restoran muslim yang sama ada diusahakan oleh orang cina muslim sendiri atau orang Arab yang berhijrah ke situ. Yang lebih menarik lagi ialah rata-rata cina muslim yang ditemui pandai berbahasa Arab dan kebanyakan mereka berasal dari Utara China iaitu dari daerah Shin Jiang. Mereka memberitahu bahawa mereka belajar bahasa Arab di madrasah-madrasah di kampung halaman mereka. Satu lagi perkara yang agak menarik ialah tidak ada satu pun kedai-kedai cina yang bukan Islam iaitu yang beragama Buddha meletakkan tokong, colok dan sebagainya di hadapan atau di dalam kedai mereka. Ini terlalu berbeza dengan kedai cina beragama Buddha kat Malaysia yang boleh dikatakan majoriti meletakkan tokong dan coloknya di depan kedai di samping buah limau yang dijamu pada tokong dan sebagainya.

Semangat Pejuang Syahid


Puan Rasha (Ummu Muhammad) isteri kepada As Syahid Dr. Abdul Aziz Ar Rantisi telah dapat hadir di dalam satu program di Stadium Malawati, Shah Alam pada Ahad 22.3.09. Beliau kemudiannya memberi penyampaian dan amanat kepada semua hadirin dengan suara yang begitu bersemangat tanpa ada kelihatan tanda-tanda kesedihan di atas pemergian suaminya lima tahun yang lepas. Ini sungguh membuktikan keteguhan iman beliau dan kesabaran yang cukup tinggi yang hanya mengharapkan redha Allah swt.

Dr Abdul Aziz Ar Rantisi telah syahid pada 17 April 2004. Setiap kehebatan seorang suami pasti ada pendorong yang tidak lain tidak bukan isterinya yang bernama Puan Rasha (Ummu Muhammad). Mari kita sama-sama selami akan ketabahan hidup beliau sebagai seorang isteri kepada pejuang yang hebat ini.

Bagaimana titik perkenalan puan dengan as-Syahid?
Saya seorang gadis yang telah tamat pendidikan menengah dan ketika itu saya bukanlah pendokong utama kepada gerakan Islam tetapi saya menyokong ke arahnya, tidak seperti sahabat-sahabat yang sebaya dengan saya yang menjadi pendokong utama kepada gerakan Islam.

Saya sangat berkeinginan untuk menyempurnakan pengajian di universiti tetapi kedua ibu bapa saya membantah kerana niat saya adalah untuk ke Mesir bagi meneruskan pengajian saya.Semasa Abu Muhammad (Dr. Rantisi) masuk meminang saya, saya dapati padanya terdapat sifat-sifat yang menjadi idaman gadis-gadis, lebih-lebih lagi kerjayanya sebagai seorang doktor. Beliau tidak pernah menyakiti atau melukai saya walaupun hanya dengan satu kalimah dan beliau sentiasa menjaga kebenaran, oleh itu beliau menjadi amat istimewa di kalangan masyarakat.

Apakah cabaran, mehnah dan tribulasi yang dihadapi oleh as-Syahid?
Saya telah bersedia dengan masalah penahanannya samada pada intifadah pertama atau kedua, perkara ini pastilah amat sukar bagi saya pada permulaannya tetapi apa yang membuatkan saya teguh dan cekal ialah keimanan bahawa Allah s.w.t yang telah mentakdirkannya sebegitu. Sesungguhnya gerakan ini adalah tanggungjawab kita samada beliau bersama atau tidak.

Ketika percubaan membunuh beliau pada 10.6.2003, ketika itu saya sedang bekerja, saya menjadi kaku dan segala kerja saya terhenti lalu saya memohon untuk pulang ke rumah. Saya yakin adalah sukar untuk sampai ke Hospital Shifa' yang dipenuhi dengan ramai orang dan saya telah bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang akan berlaku.Harus kita ketahui sesungguhnya jalan yang dilalui oleh Abu Muhammad (as-Syahid) sepanjang kehidupan jihadnya selama lebih 30 tahun adalah semata-mata mencari keredhaan Allah s.w.t. Hanya dengan itu akan tercapai kebahagiaan yang hakiki.Jalan ini bukanlah jalan yang dihampar dengan permaidani merah. Ia penuh dengan halangan dan pengorbanan tetapi matlamat mulia yang diimpikan menjadikan manusia itu jauh daripada rasa rendah diri dan hina dengan apa yang dibawa. Ini adalah sunnatullah dalam dakwah semenjak Saidina Adam a.s. sehinggalah ke hari ini.

Bagaimanakah cara Dr. Rantisi dalam mendidik anak-anak?
Dalam kemuncak kesibukannya, walaupun dikritik dan ditekan oleh pelbagai pihak termasuk media, sewaktu beliau di rumah, jika ada sesuatu yang ingin diambil dan masuk ke bilik, apabila terlihat cucunya atau menantunya ataupun salah seorang daripada anak-anaknya maka cepat-cepat beliau tersenyum dan bertanya khabar akan keadaan mereka.

Beliau amat mengambil berat walaupun perkara yang kecil kepada setiap orang yang bersamanya sepertimana telah saya jelaskan tadi bahawa beliau sangat menjaga hubungan silaturahim walaupun hanya berhubung melalui telefon. Tambahan pula beliau adalah seorang yang amat menyayangi kanak-kanak terutama cucunya yang seramai 14 orang.

Anak beliau Ahmad 21 tahun, yang terlibat dalam operasi pembunuhan tersebut amat menyerupai ayahnya samada dari segi luaran mahupun dalaman. Dia bercita-cita mengikut jejak langkah bapanya. Ahmad juga seorang pemuda yang amat menjaga kesatuan bersama rakan-rakannya serta sentiasa menekankan sifat tawadu' dan kepercayaan kepada diri sendiri.

Bagaimana penerimaan Dr. Rantisi tentang berita syahidnya Syeikh Ahmad Yasin?
Dr. Rantisi amat terkesan dengan kesyahidan pemimpin yang juga sahabatnya. Perkara ini dapat dilihat dengan jelas ketka majlis memperingati as-Syahid Syeikh Ahmad Yasin. Saya lihat beliau menangis ketika mana disebut nama sahabat beliau itu. Beliau merasakan amat berat untuk memikul tanggungjawab meneruskanperjuangan yang amat penting dan berat ini. Akhirnya, beliau bersetuju meneruskan hadaf perjuangan beliau dan para sahabatnya.

Adakah Dr. Rantisi terkesan dengan operasi pembunuhan Syeikh Ahmad Yasin?
Saya teringat kata-katanya pada majlis peringatan tersebut, dia tidakmenyalahkan Sharon atas tindakan biadap tersebut tetapi sebagai seorang insan seperti Syeikh Ahmad Yasin, jika beliau tidak dibunuh beliau akan tetap mati.

Sesiapa yang tidak mati dengan mata pedang, pasti akan mati juga dengan sebab lain, sebab kematian itu berbagai-bagai dan mati itu hanyalah satu. Saya tidak akan lupa kalimah suami saya dan ia amat mempengaruhi diri saya katanya, Wahai Syeikh! Kami pasti akan menyusuli setelah pemergianmu?.

Apakah wasiat Dr. Rantisi kepada puan sekeluarga sebelum pemergiannya?
Sepanjang kehidupan beliau iaitu berjuang dan berjihad lebih dari 30 tahun, beliau adalah seorang mujahid, penyuluh ke jalan Allah samada dari segi muamalaat, akhlak, jihad, ibadat, kemasyarakatan, politik dan perhubungan adalah merupakan satu wasiat yang paling besar buat kami... kami akan berpegang dengan didikan beliau, Insya-Allah.

Bagaimana penerimaan puan terhadap berita kesyahidan Dr Rantisi?
Perasaan yang sama sepertimana isteri orang lain kehilangan suami.. Walaupun saya telah kehilangan suami tetapi saya tidak kehilangan iman dan pendirian saya terhadap Allah s.w.t, maka ini adalah suatu kelebihan pemberian Allah s.w.t.

Setelah beliau keluar dari rumah, beberapa minit kemudian saya terdengar beberapa letupan (tembakan) ketika itu, saya yakin bahawa letupan itu ditujukan kepada suami saya. Beberapa ketika kemudian saya bertambah yakin apabila mendengar radio, Suara Aqsa, pada waktu itu berkumandang azan Isya' dan kemudiannya mengumumkan tembakan yang berlaku ke atas kereta beliau di mana beliau sendiri serta pengiringnya telah syahid. Lidah saya ketika itu mengulang-ulang kalimah Alhamdulillah kemudian saya terus berwudu' dan mendirikan solat Isya'. Saya berdoa kepada Allah agar menetapkan pendirian saya dan anak-anak dan Allah s.w.t sendiri telah memberi jaminan akan memperkenankan doa hambanya apabila berdoa..

Adakah Dr. Rantisi sendiri merasakan bahawa dirinya telah dekat dengan syahid?
Tidak ada apa-apa tanda ke arah itu dan persediaan beliau adalah setiap saat, masa, jam dan seluruh hidupnya adalah menjadikan Rasulullah s.a.w sebagai contoh ikutan terbaik. Setiap pekerjaan yang dilakukannya dibina atas asas taqwa kepada Allah, ikhlas serta menggunakan masa dengan sebaik-baiknya. Beliau mengamalkan Islam secara sempurna dan memberikan setiap yang berhak akan haknya.

Setiap para syuhada' akan ada tanda-tanda kemuliaannya. Maka apakah karamah Dr. Rantisi?Darah as-Syahid terus mengalir keluar walaupun setelah 20 jam selepas beliau syahid, haruman kasturi menyelimuti seluruh jasad beliau. Di samping itu, kami sekeluarga merasakan bahawa Allah telah memberikan keteguhan hati dan ketabahan kepada kami selepas beliau syahid. Akhirnya, senyuman yang tergambar jelas di bibirnya bagi saya itu adalah karamah as-Syahid.

Bagaimana kehidupan Dr. Rantisi sebagai seorang bapa, suami, datuk dan pejuang?
As-Syahid merupakan seorang berperibadi Islam yang unggul. Beliau mencontohi Rasulullah s.a.w samada dari segi akhlak, hubungan masyarakat, kekeluargaan dan perjuangannya di mana kesemua ini pada as-Syahid adalah satu ibadah, samada mentaati ibunya, pergaulan bersama isterinya, memuliakan anak-anak, gurauan bersama cucu-cucunya dan bersikap tegas terhadap kuffar serta musuh Islam. Manakala di pejabatnya beliau bersifat tawadu' dengan sesiapa yang bermuamalah dengannya.

Sikap atau sifat as-Syahid yang tidak akan puan lupakan?
Keseluruhan kehidupan suami saya adalah sikap yang tidak dapat dilupakan selamanya tetapi di sana ada satu situasi yang saya ingin kongsi bersama.

Ketika saya sedang mengemas rumah dengan tidak sengaja televisyen yang saya angkat terjatuh dan menyebabkan ia tidak berfungsi lagi. Saya rasa amat bersalah di atas peristiwa tersebut kerana selepas keluarnya Dr. Rantisi dari tahanan memang sukar untuk kami membeli barang-barang rumah yang baru. Tanpa saya sedari, beliau datang kepada saya dan bertanya sebab kerisauan hati saya. Apabila saya menceritakan segalanya lantas beliau berkata, tiap-tiap sesuatu ada ajalnya yang telah Allah tetapkan, apa yang dikehendakiNya maka pasti akan berlaku, kata beliau dalam keadaan tersenyum.

Bagaimanakah saat-saat terakhir Dr. Rantisi bersama keluarga, apakah kalimah terakhir as-Syahid dan bagaimana keadaan diri beliau pada hari syahidnya beliau?
Saat akhir hidup beliau, tidak nampak perubahan yang ketara ketika bersama kami. Beliau sentiasa memberikan setiap yang berhak itu akan haknya walaupun beliau dalam keadaan sibuk...tentang hal-hal keluarga dan perkahwinan anak kami, iaitu Ahmad yang turut terkorban bersama ayahnya, mengenai persiapan perkahwinan, tempat tinggal dan sebagainya beliau kelihatan sangat gembira. Kalimah terakhir ketika beliau bersama kami ialah.."Tuhanku, masukkan aku ke syurga mu.Inilah kemuncak impianku.."

Apakah cita-cita Dr. Rantisi?
Cita-cita beliau ialah dapat bertemu dengan Allah dalam keadaan syahid dan tidak ada yang lebih dari itu.

Bagaimana kehidupan as-Syahid ketika mana mengiringi kesyahidan Syeikh Ahmad Yasin?
Saya memang tidak akan menyangka bahawa hidup beliau boleh berubah kerana sesungguhnya beliau sememangnya tahu hadaf hidupnya dan jalan terakhir yang akan di laluinya iaitu jalan Istisyhad (mempersiap diri untuk syahid) dan Jihad.

Apa yang ingin puan katakan kepada muslimat Palestin yang sedang menunggu giliran syahidnya suami, bapa dan anak-anak mereka?
Saudari-saudariku yang dikasihi: Sesungguhnya peranan wanita bukan sekadar yang kamu sumbangkan sekarang sahaja, bahkan peranan kita adalah bersama para lelaki dan Rasulullah s.a.w yang mulia telah bersabda : "Setiap kamu adalah ketua, dan setiap ketua pasti akan dipertanggungjawabkan ke atas orang bawahannya.. dan wanita itu adalah dipertanggungjawabkan di rumah suaminya dan ia akan dipersoalkan akan apa yang di bawahnya".Sesungguhnya telah terakam contoh terbaik wahai saudari-saudariku yang dikasihi di lembaran-lembaran terdahulu, maka peranan kamu setelah syahidnya suami ataupun anakmu, ialah menyempurnakan peranan kamu dalam kehidupan mereka. Semoga Allah menetapkan pendirian dan menjaga serta menghimpunkan kamu bersama siapa yang kamu sayangi di bawah payung rahmatNya.

Kalimah taujihaat untuk pemerintah negara-negara Arab, pemuda-pemudi Palestin khasnya dan pemuda-pemudi Arab umumnya?
"Dan peliharalah dirimu (dari azab yang terjadi) pada hari yang pada waktu itu kamu semua dikembalikan kepada Allah. Kemudian masing-masing diri diberi balasan yang sempurna terhadap apa yang telah dikerjakannya, sedang mereka sedikitpun tidak dianiaya." (QS al-Baqarah : 281)

Untuk muda-mudi ingin saya katakan kepada mereka: Pulanglah kepada panduan asal kamu. Kembalilah semula kepada rasa izzah dan kemuliaan kamu. Kembalilah kepada Islam, berpegang teguhlah dengan kitab Allah dan jadikanlah ia sebagai perlembagaan hidup

Ke Luar Negara


Baru-baru ni iaitu pada 16 Mac 2009 saya outstation ke Hangzhou dan Yiwu di China. Jadi, tak sempat nak update blog ini. Saya bertolak pada pukul 8 pagi dari LCCT menaiki Air Asia X dan perjalanan ke Hangzhou mengambil masa selama lebih kurang 5 jam dan sampai di airport Hangzhou lebih kurang pukul 1 tengahari. Then, daripada Hangzhou, saya menaiki kereta sewa ke Yiwu yang mengambil masa lebih kurang 2 jam. Saya kembali ke Malaysia pada 20 Mac, iaitu bertolak dari China pukul 2.50 pm dan sampai ke Kuala Lumpur lebih kurang pada pukul 8 malam.

Sampai aje di Malaysia, terus demam. Mungkin kerana perubahan cuaca yang ketara antara Malaysia dan China. Di China cuaca masih sejuk iaitu di sekitar 12-20 celcius, manakala kat tanahair, cuaca agak panas hingga mencecah 34 celcius. Alhamdulillah, kini dah beransur sihat dan baru sempat menjengok ke blog .

Saturday, March 14, 2009

Hidup Susah Tak Halang Untuk Cemerlang


Hidup tanpa peralatan canggih dan kemudahan sempurna bukan penghalang untuk seseorang menempa kejayaan. Malah kesukaran dan kekurangan itulah yang menjadi pendorong kepada usaha untuk mengubah nasib ke tahap lebih baik sambil membahagiakan ibu bapa.

Siapa sangka rumah yang kelihatan hampir roboh ini menyimpan sebutir permata berharga yang bakal menyinar suatu hari nanti.

Bahkan tidak seorang juga yang terfikir bahawa permata yang berlindung di rumah ini telah mencipta sejarah dengan memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan kelmarin. Nik Nur Madihah Nik Mohd. Kamal, 18, mencatat keputusan cemerlang 19 A1 dan satu A2.

Kejayaan pelajar dari Sekolah Menengah Agama Arab Maahad Muhammadi (Perempuan), Kota Bharu, Kelantan ini agak istimewa kerana dia adalah anak seorang nelayan berbanding pelajar cemerlang SPM sebelum ini yang datang dari keluarga yang agak senang.

Bagaimana timbulnya idea untuk mengambil 20 mata pelajaran dalam peperiksaan SPM tahun lepas?
NIK NUR MADIHAH: Sebelum ini jika dilihat kebanyakan pelajar cemerlang datang dari keluarga yang senang seperti anak guru, pegawai bank, oleh itu, timbul idea saya mahu buktikan kepada masyarakat bahawa anak nelayan juga mampu mencatatkan kejayaan yang cemerlang seperti orang lain. Jadi, saya mencabar diri sendiri supaya mencatat sejarah dengan 20A.

Apakah resipi kejayaan dan bagaimana saudari belajar sehingga mencatatkan keputusan cemerlang ini?
Keputusan ini adalah di luar jangkaan, saya sasarkan hanya 18A. Paling penting ialah banyak berusaha dan belajar secara strategik, sekiranya timbul masalah cepat bertanya kepada guru dan selebihnya bertawakal. Strategi yang saya maksudkan ialah memberi tumpuan sepenuhnya ketika belajar kerana saya tidak mempunyai jadual belajar yang khusus seperti orang lain. Saya belajar ketika terasa mahu belajar sahaja tetapi ia berterusan.

Siapakah di sebalik kejayaan ini dan bagaimana mereka membantu untuk kejayaan ini?
Ibu bapa dan guru-guru banyak memberi dorongan, tanpa mereka saya mungkin tidak mencapai kejayaan ini. Saya sebenarnya merahsiakan kepada ibu bapa bahawa saya mengambil 20 mata pelajaran dalam SPM sehinggalah keputusan peperiksaan percubaan keluar baru saya beritahu kedudukan sebenar dan mereka memberikan sokongan malah ayah memberi cabaran tambahan. Saya rahsiakan sebab saya mahu membuat kejutan. Jadi keputusan ini adalah sumbangan kecil saya kepada ibu bapa yang banyak berjasa untuk membesarkan saya.

Dorongan guru-guru di Sekolah Menengah Arab Maahad Muhammadi (Perempuan) bagaimana?
Amat baik, malah guru yang menyelia saya, Mohd. Razali Konok mencadangkan supaya saya berhubung dengan bekas pelajar terbaik SPM 2006, Siti Fatimah Mukhtar, selepas itu saya sentiasa berhubung dengannya untuk mendapatkan nasihat.

Sebagai anak nelayan, bagaimana kehidupan saudari?
Kehidupan kami sekeluarga amat sukar, kadang-kadang tidak ada makanan. Oleh itu, sejak tahun enam saya mengamalkan puasa sunat pada setiap hari Isnin dan Khamis. Secara purata saya akan membawa wang poket tidak sampai RM1 malah kadang-kadang tiada wang untuk makan di sekolah kerana wang yang diberikan oleh ayah hanya cukup untuk tambang bas ke sekolah kira-kira RM4 untuk pergi dan balik. Di sekolah saya hanya makan roti atau bawa bekal nasi goreng. Saya menerima semua ini dengan reda kerana faham ayah tidak mempunyai pendapatan tetap secara purata sekitar RM500 - RM700 sebulan.
Bagaimana saudari belajar dengan keadaan rumah yang sempit dan kurang selesa ini?
Saya belajar di ruang tamu, Alhamdulillah tiada gangguan kerana tiga adik saya sudah besar dan dua daripadanya tinggal di asrama.

Adakah saudari merasa rendah diri berbanding rakan-rakan lain yang lebih selesa dan mewah di sekolah?
Tidak, malah saya menjadikan ia satu cabaran untuk mengubah kehidupan keluarga kami.
Kehidupan yang sukar terutama ketika musim tengkujuh atau bot ayah rosak menjadikan saya lebih insaf untuk berusaha bersungguh-sungguh. Pada ketika ayah tidak dapat ke laut, kami hanya makan nasi berlauk telur goreng.

Kenapa tidak tinggal di asrama dan adakah saudari mendapat kemudahan biasiswa?
Kalau tinggal di asrama kos lebih tinggi, lagi pun saya lebih selesa dan tenang belajar di rumah kerana tiada gangguan walaupun rumah tidak sebesar mana. Saya tidak pernah mendapat biasiswa dari mana-mana agensi cuma sumbangan yang diberikan oleh guru-guru melalui Cikgu Razali sebanyak RM200 sebulan.
Adakah saudari mendapat tuisyen daripada pusat tuisyen di luar sekolah bagi mata pelajaran yang tidak diajar di sekolah?
Tidak, ayah tidak mampu. Saya beruntung kerana sekolah menyediakan guru lain untuk lapan mata pelajaran yang tidak diajar di sekolah, saya bersama rakan-rakan akan belajar subjek tersebut pada kelas tambahan ketika cuti hujung minggu tetapi bagi mata pelajaran sastera saya belajar sendiri dan tidak pernah mengikuti kelas secara formal. Lapan subjek ini, Pendidikan Agama Islam, Prinsip Akaun, Perdagangan, Ekonomi, Tasawur Islam, Geografi, Sains dan Sastera saya belajar ketika tingkatan lima.
Bagaimana dalam tempoh setahun saudari mempelajari semua subjek-subjek ini?
Seperti saya jelaskan tadi, banyak berusaha dan bertanya. Idea untuk menambah lagi mata pelajaran hanya timbul ketika tingkatan lima kerana pada tingkatan empat saya terpaksa menumpukan pada 24 mata pelajaran termasuk 12 subjek agama untuk peperiksaan Sijil Menengah Ugama (SMU).
Adakah saudari menjawab semua soalan mata pelajaran Sains dan Matematik seperti Fizik dan Kimia dalam bahasa Inggeris?
Ya, sebab lagi mudah dan ditekan oleh guru sejak awal lagi.
Apakah hobi dan cita-cita saudari?
Hobi saya ialah membaca, kalau ada masa lapang saya akan membaca terutama novel tulisan Faisal Tehrani. Saya bercita-cita untuk menjadi seorang ahli fizik, disebabkan tidak ramai orang Melayu menjadi ahli fizik.
Di mana mahu melanjutkan pelajaran?
Di luar negara tetapi tempat khusus atau universiti mana saya tidak kisah.

Monday, March 9, 2009

Salam Maulidurrasul



Selamat Menyambut Ulangtahun Keputeraan Nabi saw yang ke 1483 tahun. Moga Kita Dapat Mencontohi Keperibadian dan Akhlak yang dibawa oleh Rasulullah saw.

Tuesday, March 3, 2009

Akibat Berlumba








Kemalangan ini Berlaku di Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran dengan tol Simpang Pulai. Gambar-gambar ini sempat saya rakam sementara menunggu ketibaan kereta Bomba untuk memadamkan kebakaran. Perlanggaran berlaku melibatkan 3 buah kereta iaitu BMW, Toyota Caldina dan Proton Wira. Kelihatan dalam gambar yang terbakar itu ialah BMW. Perlanggaran berlaku akibat berlumba di jalan raya. Walaupun tidak berlaku kemalangan jiwa, namun suatu pengajaran yang dapat diambil ialah 'berakhlaklah di jalan raya". Apabila berlaku kemalangan seumpama ini, ia bukan hanya melibatkan mereka yang berlumba sahaja, tetapi orang ramai yang tergendala perjalanan ekoran terpaksa menunggu sehingga api dipadamkan.

Proton Exora


Keperluan Undang-Undang Jenayah Islam


Oleh ROOSFA HASHIM
Penulis adalah Pensyarah di Pusat Pengajian Umum, Universiti Kebangsaan Malaysia. roosfa@ukm.my

Buku Mengapa Perlu Kepada Undang-undang Jenayah Islam? oleh Mohd. Sukki Othman dan Mohamad Hadi Ahmad Talhah terbit dalam pasaran ketika masyarakat berdepan dengan pelbagai gejala jenayah. Keruntuhan moral akibat pelbagai gejala sosial telah mendorong pertambahan angka pelbagai kes jenayah.

Indeks jenayah 2005-2006 yang ditampilkan pada bahagian awal buku ini sedikit sebanyak memberi alasan kenapa buku ini wajar hadir dalam suasana masyarakat sekarang. Sepanjang tempoh tersebut, berlaku pertambahan dalam kes yang dicatatkan.

Pengarang memulakan perbincangan mereka dengan membentangkan falsafah dan dasar perundangan Islam, iaitu suatu topik yang umum dan memang telah diketahui oleh kebanyakan pembaca. Falsafah penghukuman dalam undang-undang Islam juga dibincangkan iaitu Islam menekankan konsep keadilan dan konsep pencegahan jenayah dalam masyarakat. Pelaksanaan undang-undang jenayah Islam selain menghukum penjenayah juga bertindak dalam memelihara nilai murni dalam masyarakat, iaitu memelihara agama, jiwa, akal, keturunan dan harta.

Pada prinsipnya, pelaksanaan undang-undang jenayah ialah bagi menunaikan tuntutan Allah SWT. Pelaksanaannya dilakukan sebagai tanda taat kepada Allah tanpa ragu atau mempersoalkannya kerana Allah yang Maha Pencipta lebih mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-Nya di dunia.

Pengarang menjawab persoalan yang menjadi judul buku ini, mengapa kita memerlukan pelaksanaan undang-undang jenayah Islam dalam bab kedua. Undang-undang jenayah Islam menurut pengarang mempunyai sifat ketinggian dan keadilan berbanding undang-undang ciptaan manusia yang ada ketikanya tunduk kepada manusia berkedudukan dan berkuasa.

Ahli falsafah Barat pernah mengakui undang-undang manusia bagaikan sarang labah-labah, serangga kecil sering tersangkut dan terperangkap sedangkan yang besar seperti gajah dapat merempuhnya dengan sombong.

Undang-undang jenayah Islam bukan sekadar menghukum atau suatu pembalasan tetapi juga berbentuk pencegahan sebuah masyarakat daripada kerosakan dan kemusnahan akibat salah laku jenayah.

Pengarang juga membincangkan perbezaan yang jelas antara undang-undang jenayah Islam dengan undang-undang ciptaan manusia. Undang-undang jenayah Islam datangnya daripada Allah yang Maha Mengetahui segala keperluan hamba-Nya, maka syariat yang diturunkan bersesuaian dengan fitrah manusia.

Dalam buku ini pengarangnya menekankan keyakinan mereka akan keberkesanan pelaksanaan undang-undang jenayah Islam dalam membanteras jenayah dengan memperlihatkan kegagalan undang-undang ciptaan manusia dalam menangani jenayah yang semakin kompleks pada hari ini.

Konsep dan pembahagian jenayah dalam Islam juga dibincangkan dalam buku ini. Dalam undang-undang jenayah Islam asas dalam mengiktibar sesuatu perbuatan jenayah bergantung pada sejauh mana perbuatan itu membawa kemudaratan kepada masyarakat, sama ada menggugat keselamatan dan mengancam keamanan, memecah perpaduan, mencabar sistem atau merosakkan akidah.

Penghakiman undang-undang jenayah juga melihat sejauh mana perbuatan individu itu membawa mudarat sehingga menggugat kepentingan individu yang dilindungi oleh syarak. Soal kepentingan individu melibatkan juga soal memelihara agama, jiwa, akal, keturunan, maruah dan harta.
Segala bentuk jenayah tanpa sebarang pengecualian boleh mengganggu kepentingan individu dan membahayakan masyarakat di mana jenayah itu dilakukan. Undang-undang moden buatan manusia meskipun mempunyai beberapa aspek yang menyamai prinsip undang-undang jenayah Islam namun jika diperhalusi, mempunyai banyak perbezaannya.

Undang-undang Islam menitikberatkan agama, jiwa, akal, keturunan dan harta. Jadi diperuntukkan hukuman mati bagi mereka yang murtad, sebat dan rejam bagi yang berzina, dan sebat bagi mereka yang minum arak. Aspek ini yang tidak terdapat dalam undang-undang moden ciptaan manusia yang melihatnya sebagai tidak berperi kemanusiaan dan zalim. Namun, hanya Allah yang Maha Mengetahui segala ketentuan yang telah Dia tetapkan.