Puan Rasha (Ummu Muhammad) isteri kepada As Syahid Dr. Abdul Aziz Ar Rantisi telah dapat hadir di dalam satu program di Stadium Malawati, Shah Alam pada Ahad 22.3.09. Beliau kemudiannya memberi penyampaian dan amanat kepada semua hadirin dengan suara yang begitu bersemangat tanpa ada kelihatan tanda-tanda kesedihan di atas pemergian suaminya lima tahun yang lepas. Ini sungguh membuktikan keteguhan iman beliau dan kesabaran yang cukup tinggi yang hanya mengharapkan redha Allah swt.
Dr Abdul Aziz Ar Rantisi telah syahid pada 17 April 2004. Setiap kehebatan seorang suami pasti ada pendorong yang tidak lain tidak bukan isterinya yang bernama Puan Rasha (Ummu Muhammad). Mari kita sama-sama selami akan ketabahan hidup beliau sebagai seorang isteri kepada pejuang yang hebat ini.
Bagaimana titik perkenalan puan dengan as-Syahid?
Saya seorang gadis yang telah tamat pendidikan menengah dan ketika itu saya bukanlah pendokong utama kepada gerakan Islam tetapi saya menyokong ke arahnya, tidak seperti sahabat-sahabat yang sebaya dengan saya yang menjadi pendokong utama kepada gerakan Islam.
Saya sangat berkeinginan untuk menyempurnakan pengajian di universiti tetapi kedua ibu bapa saya membantah kerana niat saya adalah untuk ke Mesir bagi meneruskan pengajian saya.Semasa Abu Muhammad (Dr. Rantisi) masuk meminang saya, saya dapati padanya terdapat sifat-sifat yang menjadi idaman gadis-gadis, lebih-lebih lagi kerjayanya sebagai seorang doktor. Beliau tidak pernah menyakiti atau melukai saya walaupun hanya dengan satu kalimah dan beliau sentiasa menjaga kebenaran, oleh itu beliau menjadi amat istimewa di kalangan masyarakat.
Apakah cabaran, mehnah dan tribulasi yang dihadapi oleh as-Syahid?
Saya telah bersedia dengan masalah penahanannya samada pada intifadah pertama atau kedua, perkara ini pastilah amat sukar bagi saya pada permulaannya tetapi apa yang membuatkan saya teguh dan cekal ialah keimanan bahawa Allah s.w.t yang telah mentakdirkannya sebegitu. Sesungguhnya gerakan ini adalah tanggungjawab kita samada beliau bersama atau tidak.
Ketika percubaan membunuh beliau pada 10.6.2003, ketika itu saya sedang bekerja, saya menjadi kaku dan segala kerja saya terhenti lalu saya memohon untuk pulang ke rumah. Saya yakin adalah sukar untuk sampai ke Hospital Shifa' yang dipenuhi dengan ramai orang dan saya telah bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang akan berlaku.Harus kita ketahui sesungguhnya jalan yang dilalui oleh Abu Muhammad (as-Syahid) sepanjang kehidupan jihadnya selama lebih 30 tahun adalah semata-mata mencari keredhaan Allah s.w.t. Hanya dengan itu akan tercapai kebahagiaan yang hakiki.Jalan ini bukanlah jalan yang dihampar dengan permaidani merah. Ia penuh dengan halangan dan pengorbanan tetapi matlamat mulia yang diimpikan menjadikan manusia itu jauh daripada rasa rendah diri dan hina dengan apa yang dibawa. Ini adalah sunnatullah dalam dakwah semenjak Saidina Adam a.s. sehinggalah ke hari ini.
Bagaimanakah cara Dr. Rantisi dalam mendidik anak-anak?
Dalam kemuncak kesibukannya, walaupun dikritik dan ditekan oleh pelbagai pihak termasuk media, sewaktu beliau di rumah, jika ada sesuatu yang ingin diambil dan masuk ke bilik, apabila terlihat cucunya atau menantunya ataupun salah seorang daripada anak-anaknya maka cepat-cepat beliau tersenyum dan bertanya khabar akan keadaan mereka.
Beliau amat mengambil berat walaupun perkara yang kecil kepada setiap orang yang bersamanya sepertimana telah saya jelaskan tadi bahawa beliau sangat menjaga hubungan silaturahim walaupun hanya berhubung melalui telefon. Tambahan pula beliau adalah seorang yang amat menyayangi kanak-kanak terutama cucunya yang seramai 14 orang.
Anak beliau Ahmad 21 tahun, yang terlibat dalam operasi pembunuhan tersebut amat menyerupai ayahnya samada dari segi luaran mahupun dalaman. Dia bercita-cita mengikut jejak langkah bapanya. Ahmad juga seorang pemuda yang amat menjaga kesatuan bersama rakan-rakannya serta sentiasa menekankan sifat tawadu' dan kepercayaan kepada diri sendiri.
Bagaimana penerimaan Dr. Rantisi tentang berita syahidnya Syeikh Ahmad Yasin?
Dr. Rantisi amat terkesan dengan kesyahidan pemimpin yang juga sahabatnya. Perkara ini dapat dilihat dengan jelas ketka majlis memperingati as-Syahid Syeikh Ahmad Yasin. Saya lihat beliau menangis ketika mana disebut nama sahabat beliau itu. Beliau merasakan amat berat untuk memikul tanggungjawab meneruskanperjuangan yang amat penting dan berat ini. Akhirnya, beliau bersetuju meneruskan hadaf perjuangan beliau dan para sahabatnya.
Adakah Dr. Rantisi terkesan dengan operasi pembunuhan Syeikh Ahmad Yasin?
Saya teringat kata-katanya pada majlis peringatan tersebut, dia tidakmenyalahkan Sharon atas tindakan biadap tersebut tetapi sebagai seorang insan seperti Syeikh Ahmad Yasin, jika beliau tidak dibunuh beliau akan tetap mati.
Sesiapa yang tidak mati dengan mata pedang, pasti akan mati juga dengan sebab lain, sebab kematian itu berbagai-bagai dan mati itu hanyalah satu. Saya tidak akan lupa kalimah suami saya dan ia amat mempengaruhi diri saya katanya, Wahai Syeikh! Kami pasti akan menyusuli setelah pemergianmu?.
Apakah wasiat Dr. Rantisi kepada puan sekeluarga sebelum pemergiannya?
Sepanjang kehidupan beliau iaitu berjuang dan berjihad lebih dari 30 tahun, beliau adalah seorang mujahid, penyuluh ke jalan Allah samada dari segi muamalaat, akhlak, jihad, ibadat, kemasyarakatan, politik dan perhubungan adalah merupakan satu wasiat yang paling besar buat kami... kami akan berpegang dengan didikan beliau, Insya-Allah.
Bagaimana penerimaan puan terhadap berita kesyahidan Dr Rantisi?
Perasaan yang sama sepertimana isteri orang lain kehilangan suami.. Walaupun saya telah kehilangan suami tetapi saya tidak kehilangan iman dan pendirian saya terhadap Allah s.w.t, maka ini adalah suatu kelebihan pemberian Allah s.w.t.
Setelah beliau keluar dari rumah, beberapa minit kemudian saya terdengar beberapa letupan (tembakan) ketika itu, saya yakin bahawa letupan itu ditujukan kepada suami saya. Beberapa ketika kemudian saya bertambah yakin apabila mendengar radio, Suara Aqsa, pada waktu itu berkumandang azan Isya' dan kemudiannya mengumumkan tembakan yang berlaku ke atas kereta beliau di mana beliau sendiri serta pengiringnya telah syahid. Lidah saya ketika itu mengulang-ulang kalimah Alhamdulillah kemudian saya terus berwudu' dan mendirikan solat Isya'. Saya berdoa kepada Allah agar menetapkan pendirian saya dan anak-anak dan Allah s.w.t sendiri telah memberi jaminan akan memperkenankan doa hambanya apabila berdoa..
Adakah Dr. Rantisi sendiri merasakan bahawa dirinya telah dekat dengan syahid?
Tidak ada apa-apa tanda ke arah itu dan persediaan beliau adalah setiap saat, masa, jam dan seluruh hidupnya adalah menjadikan Rasulullah s.a.w sebagai contoh ikutan terbaik. Setiap pekerjaan yang dilakukannya dibina atas asas taqwa kepada Allah, ikhlas serta menggunakan masa dengan sebaik-baiknya. Beliau mengamalkan Islam secara sempurna dan memberikan setiap yang berhak akan haknya.
Setiap para syuhada' akan ada tanda-tanda kemuliaannya. Maka apakah karamah Dr. Rantisi?Darah as-Syahid terus mengalir keluar walaupun setelah 20 jam selepas beliau syahid, haruman kasturi menyelimuti seluruh jasad beliau. Di samping itu, kami sekeluarga merasakan bahawa Allah telah memberikan keteguhan hati dan ketabahan kepada kami selepas beliau syahid. Akhirnya, senyuman yang tergambar jelas di bibirnya bagi saya itu adalah karamah as-Syahid.
Bagaimana kehidupan Dr. Rantisi sebagai seorang bapa, suami, datuk dan pejuang?
As-Syahid merupakan seorang berperibadi Islam yang unggul. Beliau mencontohi Rasulullah s.a.w samada dari segi akhlak, hubungan masyarakat, kekeluargaan dan perjuangannya di mana kesemua ini pada as-Syahid adalah satu ibadah, samada mentaati ibunya, pergaulan bersama isterinya, memuliakan anak-anak, gurauan bersama cucu-cucunya dan bersikap tegas terhadap kuffar serta musuh Islam. Manakala di pejabatnya beliau bersifat tawadu' dengan sesiapa yang bermuamalah dengannya.
Sikap atau sifat as-Syahid yang tidak akan puan lupakan?
Keseluruhan kehidupan suami saya adalah sikap yang tidak dapat dilupakan selamanya tetapi di sana ada satu situasi yang saya ingin kongsi bersama.
Ketika saya sedang mengemas rumah dengan tidak sengaja televisyen yang saya angkat terjatuh dan menyebabkan ia tidak berfungsi lagi. Saya rasa amat bersalah di atas peristiwa tersebut kerana selepas keluarnya Dr. Rantisi dari tahanan memang sukar untuk kami membeli barang-barang rumah yang baru. Tanpa saya sedari, beliau datang kepada saya dan bertanya sebab kerisauan hati saya. Apabila saya menceritakan segalanya lantas beliau berkata, tiap-tiap sesuatu ada ajalnya yang telah Allah tetapkan, apa yang dikehendakiNya maka pasti akan berlaku, kata beliau dalam keadaan tersenyum.
Bagaimanakah saat-saat terakhir Dr. Rantisi bersama keluarga, apakah kalimah terakhir as-Syahid dan bagaimana keadaan diri beliau pada hari syahidnya beliau?
Saat akhir hidup beliau, tidak nampak perubahan yang ketara ketika bersama kami. Beliau sentiasa memberikan setiap yang berhak itu akan haknya walaupun beliau dalam keadaan sibuk...tentang hal-hal keluarga dan perkahwinan anak kami, iaitu Ahmad yang turut terkorban bersama ayahnya, mengenai persiapan perkahwinan, tempat tinggal dan sebagainya beliau kelihatan sangat gembira. Kalimah terakhir ketika beliau bersama kami ialah.."Tuhanku, masukkan aku ke syurga mu.Inilah kemuncak impianku.."
Apakah cita-cita Dr. Rantisi?
Cita-cita beliau ialah dapat bertemu dengan Allah dalam keadaan syahid dan tidak ada yang lebih dari itu.
Bagaimana kehidupan as-Syahid ketika mana mengiringi kesyahidan Syeikh Ahmad Yasin?
Saya memang tidak akan menyangka bahawa hidup beliau boleh berubah kerana sesungguhnya beliau sememangnya tahu hadaf hidupnya dan jalan terakhir yang akan di laluinya iaitu jalan Istisyhad (mempersiap diri untuk syahid) dan Jihad.
Apa yang ingin puan katakan kepada muslimat Palestin yang sedang menunggu giliran syahidnya suami, bapa dan anak-anak mereka?
Saudari-saudariku yang dikasihi: Sesungguhnya peranan wanita bukan sekadar yang kamu sumbangkan sekarang sahaja, bahkan peranan kita adalah bersama para lelaki dan Rasulullah s.a.w yang mulia telah bersabda : "Setiap kamu adalah ketua, dan setiap ketua pasti akan dipertanggungjawabkan ke atas orang bawahannya.. dan wanita itu adalah dipertanggungjawabkan di rumah suaminya dan ia akan dipersoalkan akan apa yang di bawahnya".Sesungguhnya telah terakam contoh terbaik wahai saudari-saudariku yang dikasihi di lembaran-lembaran terdahulu, maka peranan kamu setelah syahidnya suami ataupun anakmu, ialah menyempurnakan peranan kamu dalam kehidupan mereka. Semoga Allah menetapkan pendirian dan menjaga serta menghimpunkan kamu bersama siapa yang kamu sayangi di bawah payung rahmatNya.
Kalimah taujihaat untuk pemerintah negara-negara Arab, pemuda-pemudi Palestin khasnya dan pemuda-pemudi Arab umumnya?
"Dan peliharalah dirimu (dari azab yang terjadi) pada hari yang pada waktu itu kamu semua dikembalikan kepada Allah. Kemudian masing-masing diri diberi balasan yang sempurna terhadap apa yang telah dikerjakannya, sedang mereka sedikitpun tidak dianiaya." (QS al-Baqarah : 281)
Untuk muda-mudi ingin saya katakan kepada mereka: Pulanglah kepada panduan asal kamu. Kembalilah semula kepada rasa izzah dan kemuliaan kamu. Kembalilah kepada Islam, berpegang teguhlah dengan kitab Allah dan jadikanlah ia sebagai perlembagaan hidup
assalamualaikum..
ReplyDeletewah, sy sungguh suka dan terharu membaca artikel ni. menyemarakkan semangat jihad.
sy memohon izin ustaz copy artikel ini untuk sy paste kan di blog sy...
Dipersilakan...
ReplyDelete