Baru-baru ini timbul isu orang bukan Islam membaca al-Quran... lalu pelbagai persepsi telah wujud dan ada NGO yang membuat laporan polis di atas alasan menghina al-Quran dan sebagainya. Persoalannya bolehkah orang bukan Islam membaca al-Quran?
Kadang-kala berlaku dalam masyarakat mereka yang cepat melenting dan memandang serong terhadap sesuatu perkara tanpa menilai sesuatu itu dengan lebih mendalam dan secara positif. Akibatnya apabila ada orang bukan Islam membaca al-Quran, maka mereka telah diugut dengan laporan polis, dikecam dan sebagainya. Bukankah perkara seumpama ini hanya akan mewujudkan jurang dan 'gap' di antara orang Islam dan bukan Islam? Dan apakah Islam itu milik orang 'Melayu' sahaja, yang tak boleh dikongsi oleh bangsa lain? Di manakah konsep 'rahmatan lil'alamin' yang sering kali diperkatakan?
Sepatutnya sebagai umat Islam, kita berasa bangga apabila wujudnya dalam kalangan bukan Islam yang mula 'berkenalan' dengan al-Quran dengan cuba membacanya walau pun bacaan mereka tak betul (orang melayu muslim baka pun ramai yg baca tak betul).... bahkan ia merupakan suatu permulaan yang baik untuk mereka mengenali Islam, dan sekurang-kurangnya mereka mula mempelajari kebenaran kitab suci al-Quran! Kalau mereka belum memeluk Islam sekalipun, sekurang-kurangnya mereka tidak bermusuh dengan kitab suci al-Quran dan ajaran Islam.
Betapa ramai orang bukan Islam di Timur dan Barat yang membaca dan mengkaji al-Quran akhirnya mengucap dua kalimah syahadah seumpama Dr Maurice Buchaille, Gary Miller dan lain-lain lagi. Bahkan kalau kita kembali kepada seerah nabi saw, kita akan dapati bahawa nabi saw selalu membacakan ayat-ayat sci al-Quran untuk diperdengarkan kepada orang kafir agar pintu hati mereka terbuka dan lembut dengan ajaran Islam.
Contoh mudah ialah bagaimana Islamnya Saidina Umar apabila beliau mendengar dan membaca al-Quran. Dinukilkan di sini cerita pengislaman Saidina Umar yang dinaqal dari buku saya yang akan diterbitkan sedikit masa lagi (bulan ini, Insya allah).
"Apabila Umar sampai ke rumah adiknya Fatimah, beliau mendapati pintu rumahnya agak terbuka sedikit. Ketika Umar ingin meluru masuk ke dalam rumah adiknya itu, beliau terdengar suara yang membaca ayat-ayat tertentu yang tidak difahaminya. Pada ketika itu Khabbab sedang mengajar bacaan ayat-ayat al-Quran kepada Fatimah dan Sa’id. Apabila menyedari kehadiran Umar, Khabbab berasa takut lalu bersembunyi.
Umar terus masuk ke dalam rumah dan menemui adiknya Fatimah dan adik iparnya Sa’id. Lalu Umar bertanya: apakah ayat yang aku dengar tadi? Lantas Fatimah pun mengambil lembaran al-Quran dan menyatakan kepada Umar bahawa tiada apa yang didengarnya.
Lalu Umar pun berkata kepada sepasang suami isteri itu: “Aku mendengar bahawa kamu berdua telah mengikut agama Muhammad!”
Lalu Umar menampar dengan sekuat hati muka adik iparnya Sa’id sehingga mengalir darah dimukanya. Fatimah bingkas bangun untuk mempertahankan suaminya, lalu ditampar pula oleh Umar sehingga melukakannya.
Perstiwa ini telah menguji keimanan Fatimah dan suaminya Sa’id. Lalu dengan tegas mereka berdua berkata kepada ‘Umar: “Ya, kami telah memeluk Islam dan kami juga telah beriman kepada Allah dan rasulNya, oleh itu buatlah apa sahaja yang kamu suka terhadap kami!.”
Dalam suasana darah yang masih mengalir di muka Fatimah dan Sa’id, dan jawapan mereka berdua yang menyatakan tentang keimanan mereka tanpa sebarang ragu dan takut telah memberikan kesan di hati ‘Umar.
Lalu Umar pun berkata kepada adiknya dengan suara yang sedikit lembut: “Berikan kepadaku helaian yang mengandungi bacaan yang aku dengar tadi yang dibawa oleh Muhammad itu.”
Fatimah berkata: “Kami bimbang kamu akan membuat sesuatu kepada helaian al-Quran ini.”
Jawab Umar: “Jangan takut, aku tak akan melakukan sesuatu yang tidak baik.”
Kemudian Fatimah pun memberikan lembaran yang mengandungi ayat al-Quran tersebut kepada Umar setelah memintanya untuk mandi dan membersihkan dirinya terlebih dahulu.
Umar pun membaca ayat-ayat tersebut:
Maksudnya: “Taa’ Haa, Kami tidak menurunkan Al-Quran kepadamu (Wahai Muhammad) supaya engkau menanggung kesusahan, Hanya untuk menjadi peringatan bagi orang yang takut melanggar perintah Allah, (Al-Quran) diturunkan daripada (Tuhan) yang menciptakan bumi dan langit yang tinggi, Iaitu (Allah) Ar-Rahman, Yang bersemayam di atas Arasy.” (Surah Taha , ayat 1-5)
Setelah selesai membacanya, Umar pun berkata: “Betapa cantik dan mulianya ayat-ayat ini”!. Apabila mendengar kata-kata Umar, Khabbab pun keluar dari persembunyian dan mengucapkan tahniah kepada Umar dan ia pun memberitahu bahawa nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam pernah berdoa memohon kepada Allah agar dibuka pintu hidayah pada salah seorang daripada dua Umar.
Apabila Umar mendengarnya, hatinya semakin tertarik dengan Islam dan dia meminta Khabbab untuk memberitahu di manakah lokasi nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wasallam agar beliau dapat berjumpa dengan Rasulullah dan menyatakan keislamannya kepada baginda
assalamualaikum ustaz...terima kasih kerana menulis artikel ni, sekurang-kurangnya, terbuka juga minda ini...syukran...
ReplyDeletesaya nk bertanya sedikit permasalahn di sini, mengenai penulisan al-Quran di zaman Rasulullah. sepanjang sy belajar, sy tidak pernah menjumpai kisah al-Quran ditulis pada zaman Nabi malah Nabi melarang para sahabat menulis al-Quran kerana dikhuatiri akan bercampur dengan hadis. (sy tidak tahu penulisan dizaman Nabi mungkin kerana ilmu yg amat sedikit ini dan kurang baca buku)..tetapi bila sy baca kisah Umar dengan adiknya fatimah ini seperti yang ustaz nyatakan...;
"Lalu Umar pun berkata kepada adiknya dengan suara yang sedikit lembut: “Berikan kepadaku helaian yang mengandungi bacaan yang aku dengar tadi yang dibawa oleh Muhammad itu."
maknanya helaian tersebut bermakna, helaian yang mengandungi ayat suci al-Quran.
harap ustaz dapat terangkan atau ceritakan lebih lanjut penulisan al-Quran di zaman Rasulullah.
syukran...;)
waalaikumussalam....
ReplyDeletesebenarnya nabi larang tulis hadis bukan larang tulis al-quran.... dengan sebab itu pada permulaan turunnya al-quran, ayat2 al-quran ditulis dipelepah2 tamar, di kulit2 dan sebagainya.
ohh....terima kasih..agak keliru sikit.syukran ustaz.
ReplyDeleteUstaz....ana bersetuju dengan pandangan ustaz berkaitan tajuk ini. Betapa ceteknya akal fikiran orang yang bertindak sedemikian. Mereka terlalu ghairah kononnya nak memperjuangkan Islam sedangkan mereka sendiri sebenarnya yang menghina Islam. Kita patut rasa malu kerana orang bukan Islam sanggup memetik ayat Al-Quran sebagai dalam ucapan sedangkan orang yang kononya memperjuangkan melayu dan Islam langsung tidak pedulikan Al-Quran...
ReplyDelete* Tazkiran Ustaz di Masjid KLCC jumaat lepas mengesankan. Ana kebetulan berada di sana.Teruskan berdakwah di muka bumi Allah ini..Terima kasih