Thursday, May 28, 2009

Tuntutan Mut'ah


Islam membela hak-hak wanita semasa berkahwin dan selepas perceraian. Justeru, tuduhan bahawa Islam menindas kaum wanita adalah tidak benar. Antara hak seseorang wanita yang diceraikan suaminya ialah tuntutan Mut'ah yang boleh dibuat di Mahkamah Syariah.

Mut'ah ialah sejumlah harta yang wajib diberikan oleh suami kepada bekas isterinya yang pernah disetubuhi. Firman Allah bermaksud: "Kepada wanita-wanita yang diceraikan (hendaklah diberikan oleh suaminya) mut'ah menurut yang makruf sebagai suatu kewajipan bagi orang yang bertaqwa" (al-Baqarah 241).

Mut'ah adalah sesuatu pemberian yang bermanfaat sama ada berbentuk pakaian, barangan atau wang sesuai dengan keadaan dan kedudukan suami. Kadar mut'ah tidak ditentukan, ia bergantung kepada keredaan dan persetujuan suami isteri. Namun, sekiranya wujud pertelingkahan dalam menentukan kadar, maka Mahkamah Syariah akan menggunakan budi bicaranya untuk menetapkan kadar tersebut yang bersesuaian dengan kemampuan suami.

Monday, May 25, 2009

'Hantaran' Perkahwinan


Minggu depan cuti sekolah. Seperti kebiasaannya, bila tiba sahaja musim cuti sekolah, maka ramailah yang akan makan 'nasi minyak'. Bila menyentuh tentang perkahwinan, maka perbincangan tentang hantaran perkahwinan tidak boleh diabaikan.

Prinsip ajaran Islam itu mudah dan sederhana. Wang hantaran bukanlah sesuatu yang wajib diberikan kepada pengantin perempuan tetapi ianya dibenarkan di dalam Islam sebagai bantuan kewangan untuk majlis perkahwinan dengan syarat selagi tidak melampau. Maksud melampau ialah sehingga membebankan bakal pengantin atau mereka yang berkaitan. Contohnya hingga terpaksa berhutang untuk menyediakan jumlah hantaran tersebut.

Berbeza dengan mas kahwin yang merupakan satu pemberian wajib daripada seorang suami kepada isterinya. Malahan isteri dibenarkan menolak permintaan suami pada 'malam pertama' sekiranya bayaran mas kahwin masih belum diberikan.

Maskahwin adalah pemberian yang wajib diberi oleh suami kepada isterinya dengan sebab perkahwinan. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud : "Berikanlah kepada orang-orang perempuan itu maskahwin mereka ". ( Surah An-Nisaa' - Ayat 4 ) , Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud : "Carilah untuk dijadikan maskahwin walaupun sebentuk cincin yang diperbuat daripada besi ." ( Riwayat Bukhari ) .

Dari hadith di atas nyatalah bahawa mas kahwin boleh dijadikan daripada apa sahaja asalkan benda itu berguna dan berfaedah sama ada berupa wang, barang atau sesuatu yang bermanafaat sebagaimana diberitakan Rasulullah s.a.w. pernah mengahwinkan seorang lelaki yang tiada memiliki sesuatu pun untuk dijadikannya maskahwin, lalu Rasulullah s.a.w. bertanya kepada lelaki itu, adakah pada engkau (hafaz ) sedikit daripada ayat Al-Qur'an, lelaki itu menyahut bahawa ia mengingati beberapa surah kemudian Rasulullah s.a.w. pun mengahwinkan lelaki itu dengan bermaskahwinkan surah yang diajarkan kepada perempuan yang bakal menjadi isterinya.

Maskahwin itu tidak dihadkan oleh syarak banyak atau sedikit, jadi untuk menentukan banyak atau sedikitnya itu terpulanglah kepada dua pihak di atas persetujuannya dan berdasarkan taraf atau darjat pengantin tersebut dan hukum syarak tidak menggalakkan maskahwin yang terlalu tinggi yang menyebabkan kesukaran bagi pihak lelaki.

Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: "Sebaik-baik maskahwin ialah yang lebih rendah ". ( Riwayat Abu Daud ) , Dan sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: "Sesungguhnya yang besar berkat nikah ialah yang sederhana belanjanya ". ( Riwayat Ahmad )

Bahagian Mahar:

a) Mahar Misil. Iaitu Mahar yang dinilai mengikut maskahwin saudara-saudara perempuan yang telah berkahwin lebih dahulu dan hendaklah yang dinilai sama dengan maskahwin keluarganya yang paling dekat sekali seperti kakak, ibu saudaranya dan seterusnya disamping menilaikan keadaan perempuan itu sendiri dari segi kecantikan, kekayaan, pelajaran dan sebagainya.

b) Mahar Musamma. Iaitu maskahwin yang telah ditetapkan dan telah dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak dengan tidak memandang kepada nilai maskahwin saudara-saudara perempuan itu.

TREND MELETAKKAN HANTARAN YANG TINGGI

Dalam situasi masyarakat sekarang, telah berlaku satu fenomena yang kontra. Pemberian wajib (mahar) diletakkan dalam jumlah yang terlalu sedikit sedangkan pemberian 'hantaran' yang harus diletakkan dalam jumlah yang tinggi. Wang hantaran inilah yang menjadi masalah kepada kaum lelaki sekarang untuk berkahwin. Masyarakat seolah-olah berlumba untuk meletakkan Wang hantaran paling tinggi kepada anak gadis mereka. Sikap sebegini dilarang oleh agama.

Perkahwinan tidak lain adalah perlaksanaan sunnah azali dan perlaksanaan kewajipan robbani. Kerana itu memasukkan hal-hal yang memberatkan dan yang berlebihan ke dalam mas kahwin /belanja kahwin/hantaran perkahwinan atau lainnya, merupakan perbuatan yang menyimpang dari ketentuan agama. Masyarakat kita hari ini semakin hari semakin memberatkan dan menyulitkan perkahwinan dengan meletakkan hantaran perkahwinan yang tinggi. Jika ditakdirkan wanita tersebut mempunyai kelayakan ijazah tinggi, maka lagi tinggilah belanjanya. Bagi keluarga dan mungkin wanita itu sendiri, beranggapan bahawa dengan belanja yang tinggi, masyarakat akan memandangnya dengan nilai 'value' yang tinggi.

Apabila sudah ramai muslim yang berfikir dan bertindak sedemikian, mereka seperti "membudayakan" kebiasaan meminta maskahwin yang berlebih-lebihan sebagaimana yang berlaku dalam zaman jahiliyyah. Akibatnya banyak kaum pemuda yang tidak mampu mendirikan rumah tangga, penyakit moral bertambah luas dan akhirnya banyak sekali lelaki dan wanita yang hidup merana disebabkan oleh" krisis perkahwinan".

Wednesday, May 20, 2009

Nilai Keutamaan Dalam Masyarakat


Tidak berapa lama lagi, kita akan melangkah ke Bulan Rejab.... dan sebagaimana biasa kita akan merayakan peristiwa Isra' Mikraj dengan meriah sebagaimana tahun-tahun yang lepas. Masyarakat kita amat sinonim dengan sambutan sempena hari-hari kebesaran tertentu.

Baru-baru ini, ketika sambutan maulidur rasul yang diadakan secara besar-besaran di seluruh Malaysia, terlintas di benak fikiran tentang ‘nilai keutamaan’ di sebalik sambutan ulang tahun keputeraan nabi Muhammad saw itu. Apa tidaknya… lebih seratus ribu orang membuat perarakan di Dataran Merdeka dan bersolawat kepada nabi saw dengan penuh bersemangat… namun, apakah penghayatan terhadap sambutan tersebut telah dijelmakan melalui pelaksanaan sunnah nabi saw dalam kehidupan atau sambutan dan perayaan yang diadakan itu hanyalah sebagai suatu adat tahunan semata-mata?

Sesuatu yang lebih malang lagi apabila kedapatan segelintir mereka yang begitu bersemangat memuji nabi saw dengan ‘solawat’ dan ‘perarakan’ langsung tidak menghiraukan kewajipan untuk menunaikan solat apabila telah masuk waktunya. Manakah yang lebih sunnah…. Menunaikan solat atau bersolawat kepada nabi?. Jawapannya tentu sekali kedua-duanya sunnah iaitu solat dan solawat itu sunnah… namun, manakah di antara kedua-duanya itu yang lebih utama? Justeru, apakah memadai memuji nabi dan berseronok dengan perayaan menyambut ulang tahun kelahiran nabi tanpa menghidupkan sunnah nabi yang ‘wajib’ dalam kehidupan. Kalau begitu, apakah solawat kepada nabi hanya boleh dianggap sebagai ‘retorik‘ semata-mata?!

Bukan menjadi suatu kesalahan untuk menyambut perayaan maulidur rasul, bahkan tradisi ini wajar diteruskan kerana ia membawa manfaat dan kebaikan yang banyak. Sambutan dan perayaan tersebut membawa kita untuk semakin ingat kepada nabi saw dan menghayati perjuangan hidup baginda. Namun, sesuatu yang perlu diberi penekanan ialah sambutan tersebut tidaklah terhenti pada ‘adat’ menyambutnya semata-mata, akan tetapi bagaimanakah penghayatan kepada sambutan itu dapat dijelmakan melalui tindakan dan perbuatan untuk menjadikan nabi saw sebagai sebenar-benar contoh dalam kehidupan seharian. Firman Allah dalam surah al-Ahzab ayat 21 bermaksud: “Sesungguhnya bagi kamu pada diri Rasulullah saw itu contoh tauladan yang terbaik…”.

Sehubungan dengan itu, masyarakat Melayu Islam hendaklah berusaha untuk menilai kembali dari sudut ‘keutamaan’ dalam kehidupan ini. Menjadi suatu kerugian yang amat dahsyat apabila nilai keutamaan diabaikan. Akibatnya seseorang itu bersungguh-sungguh melakukan sesuatu yang kurang penting dengan meninggalkan sesuatu yang lebih penting dan utama. Contoh mudahnya ialah betapa ramai masyarakat kita yang berduyun-duyun untuk ke masjid menunaikan solat sunat hari raya, namun dalam masa yang sama terdapat dalam kalangan mereka yang sewenang-wenangnya meninggalkan kefardhuan solat lima waktu. Manakah yang lebuh utama… solat raya atau solat subuh? Kalau penekanan terhadap penilaian keutamaan difokuskan, sudah tentu mereka yang berjamaah menunaikan solat sunat hari raya tidak akan melepaskan peluang berjamaah menunaikan solat lima waktu kerana keyakinan yang mendalam bahawa solat fardhu lima waktu itulah yang lebih utama.

Akan tetapi, akibat tidak memahami keutamaan, atau sengaja tidak mahu faham, maka banyak perkara yang dilakukan di dalam masyarakat Islam tidak bertepatan dengan ‘keutamaan’ mengikut kehendak syarak. Prof Sheikh Yusuf al-Qaradawi dalam kitabnya ‘fi fiqh al-awlawiyyat’ telah menyatakan betapa sikap umat Islam dalam dunia Islam pada hari ini yang begitu ‘dangkal’ dari sudut memahami dan menunaikan keutamaan dalam masyarakat dan Negara.

Prof Sheikh Yusuf al-Qaradawi telah membawakan contoh betapa akibat tidak memahami keutamaan menyebabkan dunia Islam pada hari ini telah memberikan fokus yang lebih kepada aspek hiburan dan sukan melebihi aspek pendidikan dan pertumbuhan fikiran. Beliau berkata: “Sesiapa yang cuba mengamati gerak kehidupan di sekeliling masyarakat kita, sama ada dalam urusan kerohanian atau pun kebendaan, pemikiran atau pun sosial, ekonomi, politik dan sebagainya, pasti akan mendapati bahawa asas penilaian yang mereka guna untuk melakukan penilaian keutamaan terhadap sikap dan tindakan mereka sudah rapuh, pincang dan tidak seimbang lagi… perkara-perkara yang berkenaan dengan kesenian dan hiburan lebih diutamakan daripada urusan berkaitan dengan ilmu dan pendidikan…”. (sila rujuk fi fiqh al-awlawiyyat oleh al-Qaradawi, halaman 14-15)

Justeru, ganjaran serta sokongan yang begitu hebat dan padu diberikan kepada dunia hiburan dalam pelbagai bentuk sama ada wang ringgit, material dan sebagainya. Pelbagai anugerah pula diadakan dari semasa ke semasa untuk memberikan pengiktirafan kepada mereka yang terlibat dalam industri hiburan. Akan tetapi, dalam masa yang sama, sokongan terhadap para ilmuwan tidak ‘sehebat’ mana sekiranya dibandingkan dengan galakan dan sokongan terhadap insan seni. Orang terkenal yang menjadi pujaan masyarakat bukanlah para alim-ulama dan para ilmuwan, tetapi orang yang menjadi pujaan mereka ialah para artis, bintang filem, ahli sukan dan sebagainya. Manakala akhbar, majalah, televisyen dan radio juga memainkan peranan penting dengan lebih menonjolkan aspek hiburan daripada aspek keilmuan. Sehubungan dengan itu, ruangan khusus dalam akhbar utama negara memfokuskan perbincangan tentang artis dan dunia hiburan dengan begitu mendalam, namun ruangan khusus tidak pula disediakan untuk membincangkan dengan mendalam tentang ilmu dan ulama.

Selagi penilaian ‘keutamaan’ masih rapuh dalam diri individu, masyarakat dan Negara, maka selagi itulah impian untuk mewujudkan masyarakat ‘minda kelas pertama’ sebagaimana yang telah diwar-warkan oleh kerajaan akan hanya tinggal sebagai impian dan angan-angan sahaja. Oleh itu, marilah sama-sama berusaha untuk membuat perubahan ke arah yang lebih ‘utama’ dalam kehidupan.

Tuesday, May 19, 2009

Jangan Hidupkan Aircond


Bukalah tingkap terlebih dahulu sebaik memasuki kereta anda dan jangan sama sekali menghidupkan pendingin hawa. Berpandukan kepada kajian yang dijalankan, dashboard, sofa, pewangi udara menghasilkan Benzene, sejenis toksin yang menyebabkan kanser (carcinogen - ia dapat dikenalpasti melalui bau yang terhasil dari haba bahan plastik di dalam kereta).
Disamping menyebabkan kanser, ia juga bertindak sebagai racun bagi tulang, menyebabkan anemia dan mengurangkan sel darah putih. Tindakan ini jika dibiar berlarutan akan menyebabkan Leukemia, meningkatkan risiko menghadapi kanser di samping punca keguguran.
Kadar pendedahan Benzene yang dibenarkan ialah 50 mg bagi setiap kaki persegi. Kereta jika diparkir di kawasan bebumbung dengan tingkap tertutup menghasilkan 400-800 mg Benzene. Jika dibiarkan dikawasan yang terdedah dengan tingkap yang tertutup pada suhu 60 darjah fahrenheit, tahap Benzene boleh meningkkat sehingga 2000-4000 mg, iaitu 40 kali dari tahap yang dibenarkan... dan penumpang di dalamnya akan menyedut toksik yang berlebih2an secara tidak sedar.
Cara yang dicadangkan untuk mengelakkan perkara ini dari berterusan ialah dengan membuka tingkap dan pintu terlebih dahulu untuk memberi udara di dalam beredar keluar. Benzene adalah sejenis toksik yang boleh mencemar buah pinggang dan hati, dan sukar pula bagi tubuh manusia untuk menyahkeluarkan toksik tersebut .

Friday, May 15, 2009

Wanita & Faraid

Hukum faraid atau hukum pusaka Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w telah merombak sistem pemilikan harta benda masyarakat Arab Jahiliyyah. Islam telah menjelaskan secara terperinci melalui Al-Quran tentang bahagian tiap-tiap ahli waris dengan tujuan mewujudkan keadilan di dalam masyarakat. Malangnya, meskipun demikian, sampai sekarang persoalan pembahagian harta pusaka menjadi penyebab timbulnya keretakan hubungan keluarga.

Ternyata, di samping cinta kepada harta menjadi sebab keretakan hubungan keluarga, ia juga disebabkan oleh sikap kurang peduli umat Islam terhadap pengetahuan ilmu faraid untuk diamalkan dengannya. Sikap kurang peduli sesetengah umat Islam terhadap ilmu faraid ini, amat-amat dikesali, lebih-lebih lagi apabila sebelum sempat mereka mengenali sistem pusaka menurut Islam ini, mereka telah terpedaya pula dengan dakyah barat yang menegaskan bahawa Islam tidak berlaku adil terhadap kaum wanita dalam hal pembahagian harta menurut hukum faraid.

Dakyah ini sangat mengelirukan kerana semenjak kedatangan Islam, Islam telah memastikan hak kaum wanita dalam pusaka. Ini sangat-sangat berbeza dengan keadaaan Arab Jahiliyyah yang tidak membenarkan wanita mendapat apa-apa bahagian dalam harta pusaka. Malah kaum wanita itu sendiri menjadi harta pusaka pula bagi saudara lelaki suami wanita yang sudah meninggal dunia itu. Manakala kaum wanita di dalam Islam pula, Allah s.w.t telah menetapkan hak mereka melalui firmanNya di dalam surah An-Nisaa’, ayat 7, maksudnya: Bagi laki-laki ada hak bahagian daripada harta peninggalan ibu bapa dan kerabatnya dan bagi wanita ada hak bahagian pula daripada harta peninggalan ibu bapa dan kerabatnya, baik sedikit atau banyak menurut bahagian yang telah ditetapkan.

Jelasnya, dakyah barat hanya merupakan dakwaan yang kosong. Jika dikaji dakyah ini, kita akan sedar bahawa merekalah sebenarnya yang ingin memperdayakan serta menzalimi kaum wanita. Mereka sangat bakhil dalam memberi nafkah kepada kaum wanita sehingga budaya mereka mengharuskan kaum wanita bekerja walaupun di tempat-tempat hiburan, kelab malam dan bar walaupun ia bermakna wanita itu akan menjadi sebagai pemuas nafsu mereka. Allah berfirman di dalam surah Al-An’aam, ayat 119: maksudnya: Dan sesungguhnya kebanyakan daripada manusia benar-benar hendak menyesatkan orang lain dengan hawa nafsu mereka tanpa pengetahuan. Sesungguhnya Tuhan mu, Dialah yang lebih mengetahui orang yang melampaui batas.

Sekiranya diperhatikan setiap urusan yang mempunyai hubung kait dengan wanita di dalam Islam, maka akan di dapati bahawa kaum wanita itu tidak dipertanggungjawabkan untuk mencari nafkah walaupun untuk dirinya sendiri, sama ada sebelum atau sesudah berkahwin. Sekiranya seseorang wanita itu belum berkahwin, maka ayahnyalah yang bertanggungjawab atas nafkahnya dan sekiranya dia sudah berkahwin, maka suaminyalah yang bertanggungjawab atas nafkahnya, walaupun dia sendiri merupakan seorang yang kaya dan suaminya seorang yang miskin. Malah sekiranya suaminya itu tidak memiliki wang untuk memberi nafkah kepada isteri, maka dia haruslah meminjam dari orang lain dan tidak dibenarkan untuk mengambil wang isterinya yang kaya itu kecuali sekiranya diizinkan.
Oleh sebab itulah, kaum wanita sebenarnya bercukupan sama ada sebelum atau sesudah berkahwin kerana wanita itu sentiasa dilindungi di dalam Islam sama ada oleh ayah atau suami atau anak-anak lelaki atau pakcik-pakcik dan saudara-saudara lelakinya.

Wednesday, May 13, 2009

Kenali Ilmu Faraid


Ilmu faraid dikenali juga sebagai mawarith, yang bererti harta peninggalan si mati yang akan dibahagikan kepada ahli warisnya. Ilmu faraid ialah suatu ilmu dengannya dapat diketahui orang yang menerima pusaka dan orang yang tidak dapat menerima pusaka dan kadar yang patut diterima oleh tiap-tiap waris dan cara pembahagiannya. Dengan ibarat yang lain ilmu faraid itu ialah beberapa kaedah yang diambil dari ilmu fiqah dan hisab, dengannya diketahui mengenai ketentuan bahagian orang yang mempunyai hak terhadap harta yang ditinggalkan simati dan bahagian masing-masing daripada waris itu.

Asas hukum faraid adalah keadilan kerana turunnya ayat Mawarith adalah untuk mengelak ketidakadilan yang berlaku dalam masyarakat. Jabir bin Abdullah meriwayatkan bahawa dia sedang bersama Rasulullah s.a.w. apabila seorang perempuan Ansar datang bersama dua orang anak perempuannya. Perempuan itu berkata ``Ya Rasulullah, ini adalah anak Thabit bin Qais yang telah mati syahid dalam perang Uhud. Bapa saudara mereka telah mengambil semua harta pusaka mereka dan tiada apa yang tinggal lagi untuk mereka.'' Maka turunlah ayat yang menentukan bahagian-bahagian yang berhak diterima oleh ahli waris daripada harta pusaka.

Dengan sebab itu, dalam pembahagian harta pusaka Islam, faraid adalah jalan terakhir yang akan diambil setelah tiada persepakatan diperoleh di kalangan waris.

Secara ringkas daripada kefahaman dan penerangan ayat surah al-Nisa' (ayat 11, 12 & 176) dan hadith Nabi Muhammad s.a.w. maka dapatlah dibuat rumusan dan kesimpulan iaitu ada beberapa perkara yang perlu dilunas, diselesai, ditunai dan dibayar atau disempurnakan terlebih dahulu sebelum pembahagian harta secara faraid dapat dibuat. Perkara-perkara itu ialah :-

- Hak yang berkaitan dengan zat harta itu sendiri iaitu zakat, gadaian dan nazar.
- Perbelanjaan bagi mengurus jenazah si-mati seperti kain kapan, keranda, upah mengusung, upah memberi mandi, upah menggali kubur dan perkara berhubung dengan pengurusan jenazah.
- Hutang piutang yang bersangkutan dengan tanggungan si-mati seperti upah haji jika si-mati semasa hayatnya berkemampuan untuk mengerjakan haji tetapi tidak menunaikannya.
- Wasiat yang tidak lebih daripada satu pertiga daripada keseluruhan hartanya tetapi bukan kepada ahli waris.

- Setelah disempurnakan segala perkara di atas, baki kepada harta itu bolehlah dijadikan faraid dan dibahagikan kepada semua ahli waris yang berhak.

Tuesday, May 12, 2009

Buku Baru


Inilah gambar muka surat depan buku yang baru diterbitkan .... minta maaf scanner ada masalah so keluar gambar hitam putih takde colour

Thursday, May 7, 2009

Terhakisnya Nilai Kasih Sayang


Nilai Kasih Sayang Dalam Masyarakat Melayu
Oleh: Mohd Sukki Othman (Ustaz Shauqi)


Masyarakat Melayu memang secara tradisinya merupakan masyarakat yang amat menitik-beratkan persaudaraan dan kasih sayang sesama anggota masyarakat. Hal ini telah dibuktikan melalui amalan kerjasama dan gotong-royong yang terpupuk sejak sekian lama. Sehubungan dengan itu, sekiranya diimbas dalam kehidupan masyarakat Melayu pada zaman lampau, maka unsur-unsur seperti gotong-royong amat terserlah dalam pelbagai aktiviti yang dilakukan.

Kerjasama dan gotong-royong dijalinkan ketika berlangsungnya kenduri kahwin, pembinaan surau, membersihkan persekitaran kampung dan sebagainya. Sesuatu yang sudah diterima dan diamalkan dalam kalangan masyarakat ialah ‘muafakat membawa berkat’. Bukan sekadar itu sahaja, malahan di atas dasar kasih sayang dan persaudaraan juga membawa kepada sifat prihatin kepada orang lain. Maka tidak hairanlah apabila seseorang itu boleh menegur anak jiran yang dilihat melakukan sesuatu yang salah atau yang bercanggah dengan nilai budaya masyarakat dan bercanggah dengan pegangan agama. Menganggap anak jiran sebagai anak sendiri menjadi suatu perkara yang boleh diterima dalam masyarakat. Semua ini datangnya daripada kasih sayang yang terjalin dalam masyarakat Melayu ketika itu.

Sebenarnya persaudaraan dan kasih sayang seumpama ini memang sudah sedia maklum dituntut untuk dilaksanakan menurut ajaran Islam. Bahkan mengenai persoalan jiran, hadis nabi saw yang sahih telah menyatakan bahawa : ‘Jibril as sentiasa mengingatiku tentang jiran sehingga aku menyangka bahawa mereka boleh mewarisi harta pusaka’. Hadis ini menunjukkan betapa hubungan akrab yang wajib dijalinkan dengan jiran. Begitu juga nilai kasih sayang terpapar melalui hadis nabi saw yang bermaksud: ‘tidak sempurna iman seseorang apabila tidur dalam keadaan kekenyangan sedangkan jiran berada dalam kelaparan sedang ia mengetahuinya’.

Di samping itu, nabi saw juga mengaitkan nilai kasih sayang itu dengan unsure penting yang boleh melahirkan keimanan kepada Allah. Seterusnya dengan unsure keimanan tersebut akan memudahkan laluan memperoleh syurga Allah swt. Nabi saw bersabda yang bermaksud: “Kamu tidak boleh masuk syurga selagi kamu tidak beriman, dan kamu tidak dianggap beriman selagi tidak berkasih sayang sesama kamu...”. Daripada sini, jelaslah betapa nilai persaudaraan, kasih sayang, prihatin sesama masyarakat melayu yang terbina sejak sekian lama merupakan hasil ajaran Islam yang suci murni.

Namun, sesuatu yang amat menyedihkan yang berlaku mutakhir ini ialah nilai kasih sayang dan persaudraan yang terjalin dalam kalangan masyarakat Melayu kian pudar dan terhakis. Ini berikutan pengaruh kebendaan, pentingkan diri sendiri dan pelbagai lagi aspek negatif yang kian menular dalam masyarakat Melayu yang bukan sahaja menghakis budaya Melayu, bahkan mencemarkan nilai ajaran Islam yang murni. Apa tidaknya, sesetengah orang dalam masyarakat Melayu pada hari ini sanggup melakukan apa sahaja demi kepentingan dan survival ‘perut’, ‘nafsu’ dan ‘material’ semata-mata. Justeru, nilai kasih sayang dan persaudaraan kian dilontar jauh-jauh. Nabi saw telah mengaitkan sikap ini dengan penyakit yang dinamakan ‘wahan’ iaitu ‘cinta dunia’ dan ‘benci kepada kematian’.

Dalam konteks masyarakat Melayu kini, seseorang tidak lagi boleh menegur anak jirannya yang melakukan maksiat dan kemungkaran dalam masyarakat. Konsep ‘anak aku adalah anak aku’ dan ‘anak kamu adalah anak kamu’ kian menjadi jadi-jadi. Lalu dengan alasan ‘jangan jaga tepi kain orang’, maka segala apa yang dilakukan langsung tidak boleh ditegur sebaliknya sekiranya dinasihati akan keluarlah kemarahan dan seumpamanya. Bukan sekadar itu sahaja, malahan ada yang menyatakan ‘kubur masing-masing, tak perlu ambil tahu apa yang aku buat’. Sikap sebegini sudah tentu menjejaskan nilai kasih sayang dan persaudaraan dalam masyarakat. Sebaliknya ia hanya akan mewujudkan permusuhan dan kebencian.

Aktiviti dalam masyarakat juga kian terhakis terutama dari sudut nilai kerjasama dan gotong royong. Sebagai contohnya, semakin tidak wujud lagi konsep tolong-menolong dan bantu-membantu dalam aktiviti kenduri. Amalan mendirikan khemah bersama, menyusun kerisi, masak berama-ramai, ‘bentara’ yang bertugas pada hari kenduri pun kian pupus. Semuanya kini bergantung kepada catering. Ya, memang ia sesuatu yang lebih memudahkan, tetapi ia mengakibatkan terhakisnya nilai gotong royong dan kerjasama dalam masyarakat.

Dalam peringkat politik pula, sesuatu yang amat memalukan terjadi apabila berlakunya perebutan jawatan yang begitu ketara dalam parti politik Melayu. Jawatan bukan lagi dianggap sebagai amanah untuk dipikul, tetapi ia direbut untuk mendapatkannya. Mengapa beria-ia sangat untuk mendapatkan jawatan… tak lain dan tak bukan ianya berkaitan dengan kepentingan ‘perut’ dan peribadi semata-mata. Sehubungan dengan itu, ‘politik wang’ (rasuah) diamalkan dengan berleluasa untuk merebut jawatan. Akhirnya timbullah permusuhan dan seumpamanya yang sudah tentu menghancurkan semangat persaudaraan dan kasih sayang. Bukan itu sahaja, perbuatan seumpama ini jelas dilaknat dan dikutuk oleh Allah swt sebagaimana nabi saw yang bersabda mafhumnya: “Pemberi rasuah dan penerimanya di dalam neraka”.

Tidak ada jalan dan cara lain untuk mengatasi segala masalah dan kemelut yang berlaku dalam masyarakat Melayu kini melainkan dengan kembali menghayati dan mempraktikkan ajaran Islam secara keseluruhannya. Bahkan, orang Melayu akan kembali hebat dari segala segi apabila berpandukan kepada ajaran Islam. Dalam hal ini, Saidina Umar al-Khattab telah menyatakan : ‘Kita suatu bangsa yang dimuliakan oleh Allah apabila kita berpegang dengan ajaran Islam, akan tetapi sekiranya kita mencari kemuliaan dengan selain daripada ajaran Islam, Allah akan menghina kita”.

Ummu Waraqah Binti Naufal


Ummu Waraqah Binti Naufal Wanita Ansar Yang Syahid di Rumah
Oleh: Mohd Sukki Othman (Ustaz Shauqi)

Beliau ialah Ummu Waraqah Binti Abdullah Bin al-Harith Bin 'Uwaimir Bin Naufal. Beliau lebih terkenal dengan nama Ummu Waraqah Binti Naufal iaitu dinasabkan kepada moyangnya yang bernama Naufal. Tidak diketahui tahun kelahiran dan kewafatannya secara tepat, namun ahli sejarah telah bersependapat bahawa beliau meninggal dunia pada zaman pemerintahan Khalifah Umar Bin al-Khattab. Justeru, dapat diketahui bahawa beliau hidup pada zaman Rasulullah, zaman pemerintahan Khalifah Abu Bakar, dan zaman pemerintahan Umar al-Khattab. Telah dinyatakan dalam kitab al-Tabaqat al-Kubra bahawa beliau telah syahid pada tahun 22 Hijrah.

Ummu Waraqah merupakan seorang wanita di kalangan Ansar. Beliau merupakan antara wanita Ansar terawal yang beriman dengan risalah yang dibawa oleh Rasulullah saw dan berbai'ah dengan nabi ketika nabi berhijrah ke Madinah. Apabila memeluk Islam, beliau berpegang bersungguh-sungguh dengan agama Islam serta mendalami ilmu agama. Bukan sekadar itu sahaja, bahkan beliau juga merupakan seorang wanita yang banyak menghafaz ayat-ayat al-Quran.

Keunggulan peribadi Ummu Waraqah dapat dilihat apabila Rasulullah SAW sendiri pernah menziarahinya. Ziarah Rasulullah itu adalah sebagai penghormatan kepada Ummu Waraqah yang mempunyai keimanan yang mantap kepada Allah serta memiliki ilmu agama yang tinggi. Ummu Waraqah bukan sahaja mempelajari ilmu secara teori semata-mata, tetapi beliau juga berusaha mempraktikkannya sedaya mungkin sehingga beliau berusaha untuk ke medan jihad melawan musuh dalam peristiwa Peperangan Badar, dengan tidak mengetepikan tanggung jawab dalam rumahtangga.

Pada tahun kedua Hijrah, Ummu Waraqah telah mendengar berita bahawa akan berlaku pertembungan di antara orang Islam dengan tentera Musyrikin. Lalu beliau bergegas menemui Rasulullah untuk meminta keizinan untuk turut serta dalam usaha jihad tersebut, sekurang-kurangnya sebagai orang yang akan membantu merawat tentera yang cedera, menghulurkan bantuan makanan dan minuman dan memberikan apa jua pertolongan kepada tentera Islam semasa peperangan berlangsung.

Telah disebut di dalam kitab al-Isobah, bahawa Ummu Waraqah telah berkata kepada Rasulullah: 'Wahai Rasulullah, sekiranya engkau memberikan keizinan kepadaku untuk turut serta, nescaya aku dapat memberikan bantuan dan rawatan kepada tentera yang cedera, dan semoga Allah mengurniakan syahid kepadaku'. Lalu jawab Rasulullah: 'Wahai Ummu Waraqah, duduklah di rumahmu, sesungguhnya Allah akan mengurniakan syahid di rumahmu'. Semenjak hari itu, Rasulullah telah menggelarkan Ummu Waraqah sebagai 'syahidah' iaitu orang yang syahid. Ketika Rasulullah mengajak para sahabat menziarahi Ummu Waraqah, baginda berkata, 'mari kita menziarahi al-syahidah'.

Kehebatan Ummu Waraqah juga dapat dilihat dalam beberapa perkara iaitu:
1. Beliau merupakan wanita pertama dalam Islam yang diberi keizinan untuk dilaungkan azan dari dalam rumahnya.
2. Beliau wanita pertama yang menjadi imam solat kepada wanita di Madinah.
3. Beliau wanita pertama dalam Islam yang digelar 'al-syahidah'.

Ummu Waraqah telah meminta keizinan daripada Rasulullah untuk menjadikan rumahnya sebagai musolla, dan dilaungkan azan dari musolla di rumahnya itu. Rasulullah telah memberikan keizinan, justeru terdapat muazzin yang dikhususkan untuk melaungkan azan dari musolla di rumah Ummu Waraqah pada setiap kali masuk waktu solat fardhu. Keadaan ini berterusan sehinggalah Ummu Waraqah meninggal dunia.

Rasulullah saw mengetahui bahawa Ummu Waraqah merupakan seorang wanita yang cerdik, banyak menghafaz ayat al-Quran dan alim dalam ilmu agama. Justeru, Rasulullah menyuruh Ummu Waraqah untuk menjadi imam kepada ahli keluarganya di kalangan wanita. Bukan itu sahaja, apabila muazzin mengumandangkan azan dari musolla rumah Ummu Waraqah, wanita-wanita yang tinggal berhampiran dan mendengar seruan azan tadi, akan datang menunaikan solat jamaah yang diimami oleh Ummu Waraqah.

Telah timbul persoalan apakah Ummu Waraqah turut menjadi imam kepada lelaki kerana muazzin yang melaungkan azan itu merupakan seorang lelaki. Al-Syarbasi melalui kitabnya 'Yas'alunaka fi al-Din wa al-Hayat' telah menyatakan bahawa muazzin tersebut hanya melaungkan azan, kemudian beliau akan pergi ke masjid dan menunaikan solat bersama-sama jamaah lelaki. Syeikh Ahmad al-Syarbasi juga menyatakan bahawa Ummu Waraqah mengimami solat di rumahnya yang tidak disertai oleh mana-mana lelaki ajnabi.

Usia Ummu Waraqah semakin lanjut, dan anak-anaknya semakin meningkat dewasa. Lalu anak-anak perempuannya berkahwin dan mengikut suami masing-masing dan tidak tinggal lagi bersamanya. Sehubungan dengan itu, Ummu Waraqah telah mengambil seorang hamba lelaki dan seorang hamba wanita untuk menguruskan rumahnya. Ummu Waraqah telah menjanjikan kepada hamba-hambanya bahawa mereka akan merdeka dan terlepas daripada belenggu perhambaan selepas kematiannya.

Ummu Waraqah menaruh sepenuh kepercayaan kepada kedua-dua orang hamba tersebut. Beliau tidak melayan mereka sebagai seorang hamba, sebaliknya melayan mereka dengan penuh kebaikan. Akan tetapi hamba-hamba tersebut agak kecewa kerana mereka mengharapkan untuk mendapatkan pembebasan segera dengan kematian Ummu Waraqah, namun Ummu Waraqah masih lagi bernafas dan lanjut usianya. Lalu kedua-dua orang hamba tersebut telah merancang untuk membunuh Ummu Waraqah dengan harapan untuk mendapat kemerdekaan daripada perhambaan dengan kadar segera. Setelah berjaya membunuh Ummu Waraqah dengan menjerut pakaian di lehernya, kedua-dua hamba tersebut terus melarikan diri sebagai orang yang merdeka.

Pada keesokannya harinya, Saidina 'Umar al-Khattab yang telah biasa mendengar azan berkumandang dari rumah Ummu Waraqah telah tertanya-tanya ke mana hilangnya suara bacaan al-Quran Ummu Waraqah yang sudah tidak kedengaran sejak semalam. Lantas Saidina Umar mengarahkan seseorang untuk pergi ke rumah Ummu Waraqah bertanyakan keadaannya. Utusan Saidina Umar kembali kepadanya dengan berita bahawa rumah Ummu Waraqah berkunci dan tiada sesiapa pun menjawab apabila dipanggil. Saidina Umar mengesyaki sesuatu perkara buruk telah berlaku, lalu beliau sendiri segera pergi ke rumah Ummu Waraqah untuk menyiasat apa yang berlaku.

Apabila Saidina Umar berjaya memasuki rumah Ummu Waraqah, beliau amat terkejut kerana mendapati Ummu Waraqah telah meninggal dunia. Lalu Saidina Umar pun berkata: 'Allahu Akbar, benarlah Rasulullah saw yang telah menggelarkan Ummu Waraqah sebagai al-syahidah!. Kemudian Saidina Umar pun menaiki mimbar dan mengisytiharkan tentang syahidnya Ummu Waraqah dan memerintahkan agar dua orang hamba yang membunuh Ummu Waraqah dicari segera untuk menerima pembalasan dan hukuman.

Gerakan memburu dua orang pembunuh tersebut dijalankan, akhirnya mereka berdua dapat ditangkap dan dibawa ke hadapan Saidina Umar. Setelah siasatan dijalankan, kedua-dua hamba tersebut telah membuat pengakuan bahawa mereka telah membunuh Ummu Waraqah. Kedua-dua hamba tersebut pun dijatuhkan hukuman di atas kesalahan dan jenayah pembunuhan itu.

Sesungguhnya pemergian Ummu Waraqah meninggalkan pengajaran dan pengiktibaran yang banyak di sepanjang kehidupannya. Beliau menjadi contoh kepada wanita Islam sebagai seorang yang mempunyai pengetahuan yang mendalam dalam agama, dan memberikan sumbangan dengan mengajarkan ilmu kepada wanita-wanita lain selain turut menjadi imam solat kepada wanita di Madinah. Tambahan daripada itu, beliau juga merupakan seorang yang amat komited dengan perjuangan Islam dan sentiasa mengimpikan untuk mendapat syahid di jalan Allah.

Buku Baru Terbit



Buku ana yang terbaru sudah pun diterbitkan. Maklumat mengenai buku tersebut adalah seperti yang berikut:


Judul buku: Tokoh Pejuang Muslimah Zaman Nabi

Penerbit: Mahzum Book Services

Penulis: Mohd Sukki Othman (Ustaz Shauqi)

Harga: RM12 (151 muka surat)


Sesiapa yang hendak menndapatkan buku ini, boleh hubungi saya di alamat email: shauqi02@yahoo.com (Minta maaf tak dapat nak scan kulit buku untuk dimuatkan di sini sebab ada masalah scanner).