Thursday, May 7, 2009

Terhakisnya Nilai Kasih Sayang


Nilai Kasih Sayang Dalam Masyarakat Melayu
Oleh: Mohd Sukki Othman (Ustaz Shauqi)


Masyarakat Melayu memang secara tradisinya merupakan masyarakat yang amat menitik-beratkan persaudaraan dan kasih sayang sesama anggota masyarakat. Hal ini telah dibuktikan melalui amalan kerjasama dan gotong-royong yang terpupuk sejak sekian lama. Sehubungan dengan itu, sekiranya diimbas dalam kehidupan masyarakat Melayu pada zaman lampau, maka unsur-unsur seperti gotong-royong amat terserlah dalam pelbagai aktiviti yang dilakukan.

Kerjasama dan gotong-royong dijalinkan ketika berlangsungnya kenduri kahwin, pembinaan surau, membersihkan persekitaran kampung dan sebagainya. Sesuatu yang sudah diterima dan diamalkan dalam kalangan masyarakat ialah ‘muafakat membawa berkat’. Bukan sekadar itu sahaja, malahan di atas dasar kasih sayang dan persaudaraan juga membawa kepada sifat prihatin kepada orang lain. Maka tidak hairanlah apabila seseorang itu boleh menegur anak jiran yang dilihat melakukan sesuatu yang salah atau yang bercanggah dengan nilai budaya masyarakat dan bercanggah dengan pegangan agama. Menganggap anak jiran sebagai anak sendiri menjadi suatu perkara yang boleh diterima dalam masyarakat. Semua ini datangnya daripada kasih sayang yang terjalin dalam masyarakat Melayu ketika itu.

Sebenarnya persaudaraan dan kasih sayang seumpama ini memang sudah sedia maklum dituntut untuk dilaksanakan menurut ajaran Islam. Bahkan mengenai persoalan jiran, hadis nabi saw yang sahih telah menyatakan bahawa : ‘Jibril as sentiasa mengingatiku tentang jiran sehingga aku menyangka bahawa mereka boleh mewarisi harta pusaka’. Hadis ini menunjukkan betapa hubungan akrab yang wajib dijalinkan dengan jiran. Begitu juga nilai kasih sayang terpapar melalui hadis nabi saw yang bermaksud: ‘tidak sempurna iman seseorang apabila tidur dalam keadaan kekenyangan sedangkan jiran berada dalam kelaparan sedang ia mengetahuinya’.

Di samping itu, nabi saw juga mengaitkan nilai kasih sayang itu dengan unsure penting yang boleh melahirkan keimanan kepada Allah. Seterusnya dengan unsure keimanan tersebut akan memudahkan laluan memperoleh syurga Allah swt. Nabi saw bersabda yang bermaksud: “Kamu tidak boleh masuk syurga selagi kamu tidak beriman, dan kamu tidak dianggap beriman selagi tidak berkasih sayang sesama kamu...”. Daripada sini, jelaslah betapa nilai persaudaraan, kasih sayang, prihatin sesama masyarakat melayu yang terbina sejak sekian lama merupakan hasil ajaran Islam yang suci murni.

Namun, sesuatu yang amat menyedihkan yang berlaku mutakhir ini ialah nilai kasih sayang dan persaudraan yang terjalin dalam kalangan masyarakat Melayu kian pudar dan terhakis. Ini berikutan pengaruh kebendaan, pentingkan diri sendiri dan pelbagai lagi aspek negatif yang kian menular dalam masyarakat Melayu yang bukan sahaja menghakis budaya Melayu, bahkan mencemarkan nilai ajaran Islam yang murni. Apa tidaknya, sesetengah orang dalam masyarakat Melayu pada hari ini sanggup melakukan apa sahaja demi kepentingan dan survival ‘perut’, ‘nafsu’ dan ‘material’ semata-mata. Justeru, nilai kasih sayang dan persaudaraan kian dilontar jauh-jauh. Nabi saw telah mengaitkan sikap ini dengan penyakit yang dinamakan ‘wahan’ iaitu ‘cinta dunia’ dan ‘benci kepada kematian’.

Dalam konteks masyarakat Melayu kini, seseorang tidak lagi boleh menegur anak jirannya yang melakukan maksiat dan kemungkaran dalam masyarakat. Konsep ‘anak aku adalah anak aku’ dan ‘anak kamu adalah anak kamu’ kian menjadi jadi-jadi. Lalu dengan alasan ‘jangan jaga tepi kain orang’, maka segala apa yang dilakukan langsung tidak boleh ditegur sebaliknya sekiranya dinasihati akan keluarlah kemarahan dan seumpamanya. Bukan sekadar itu sahaja, malahan ada yang menyatakan ‘kubur masing-masing, tak perlu ambil tahu apa yang aku buat’. Sikap sebegini sudah tentu menjejaskan nilai kasih sayang dan persaudaraan dalam masyarakat. Sebaliknya ia hanya akan mewujudkan permusuhan dan kebencian.

Aktiviti dalam masyarakat juga kian terhakis terutama dari sudut nilai kerjasama dan gotong royong. Sebagai contohnya, semakin tidak wujud lagi konsep tolong-menolong dan bantu-membantu dalam aktiviti kenduri. Amalan mendirikan khemah bersama, menyusun kerisi, masak berama-ramai, ‘bentara’ yang bertugas pada hari kenduri pun kian pupus. Semuanya kini bergantung kepada catering. Ya, memang ia sesuatu yang lebih memudahkan, tetapi ia mengakibatkan terhakisnya nilai gotong royong dan kerjasama dalam masyarakat.

Dalam peringkat politik pula, sesuatu yang amat memalukan terjadi apabila berlakunya perebutan jawatan yang begitu ketara dalam parti politik Melayu. Jawatan bukan lagi dianggap sebagai amanah untuk dipikul, tetapi ia direbut untuk mendapatkannya. Mengapa beria-ia sangat untuk mendapatkan jawatan… tak lain dan tak bukan ianya berkaitan dengan kepentingan ‘perut’ dan peribadi semata-mata. Sehubungan dengan itu, ‘politik wang’ (rasuah) diamalkan dengan berleluasa untuk merebut jawatan. Akhirnya timbullah permusuhan dan seumpamanya yang sudah tentu menghancurkan semangat persaudaraan dan kasih sayang. Bukan itu sahaja, perbuatan seumpama ini jelas dilaknat dan dikutuk oleh Allah swt sebagaimana nabi saw yang bersabda mafhumnya: “Pemberi rasuah dan penerimanya di dalam neraka”.

Tidak ada jalan dan cara lain untuk mengatasi segala masalah dan kemelut yang berlaku dalam masyarakat Melayu kini melainkan dengan kembali menghayati dan mempraktikkan ajaran Islam secara keseluruhannya. Bahkan, orang Melayu akan kembali hebat dari segala segi apabila berpandukan kepada ajaran Islam. Dalam hal ini, Saidina Umar al-Khattab telah menyatakan : ‘Kita suatu bangsa yang dimuliakan oleh Allah apabila kita berpegang dengan ajaran Islam, akan tetapi sekiranya kita mencari kemuliaan dengan selain daripada ajaran Islam, Allah akan menghina kita”.

No comments:

Post a Comment