Followers

Friday, May 15, 2009

Wanita & Faraid

Hukum faraid atau hukum pusaka Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w telah merombak sistem pemilikan harta benda masyarakat Arab Jahiliyyah. Islam telah menjelaskan secara terperinci melalui Al-Quran tentang bahagian tiap-tiap ahli waris dengan tujuan mewujudkan keadilan di dalam masyarakat. Malangnya, meskipun demikian, sampai sekarang persoalan pembahagian harta pusaka menjadi penyebab timbulnya keretakan hubungan keluarga.

Ternyata, di samping cinta kepada harta menjadi sebab keretakan hubungan keluarga, ia juga disebabkan oleh sikap kurang peduli umat Islam terhadap pengetahuan ilmu faraid untuk diamalkan dengannya. Sikap kurang peduli sesetengah umat Islam terhadap ilmu faraid ini, amat-amat dikesali, lebih-lebih lagi apabila sebelum sempat mereka mengenali sistem pusaka menurut Islam ini, mereka telah terpedaya pula dengan dakyah barat yang menegaskan bahawa Islam tidak berlaku adil terhadap kaum wanita dalam hal pembahagian harta menurut hukum faraid.

Dakyah ini sangat mengelirukan kerana semenjak kedatangan Islam, Islam telah memastikan hak kaum wanita dalam pusaka. Ini sangat-sangat berbeza dengan keadaaan Arab Jahiliyyah yang tidak membenarkan wanita mendapat apa-apa bahagian dalam harta pusaka. Malah kaum wanita itu sendiri menjadi harta pusaka pula bagi saudara lelaki suami wanita yang sudah meninggal dunia itu. Manakala kaum wanita di dalam Islam pula, Allah s.w.t telah menetapkan hak mereka melalui firmanNya di dalam surah An-Nisaa’, ayat 7, maksudnya: Bagi laki-laki ada hak bahagian daripada harta peninggalan ibu bapa dan kerabatnya dan bagi wanita ada hak bahagian pula daripada harta peninggalan ibu bapa dan kerabatnya, baik sedikit atau banyak menurut bahagian yang telah ditetapkan.

Jelasnya, dakyah barat hanya merupakan dakwaan yang kosong. Jika dikaji dakyah ini, kita akan sedar bahawa merekalah sebenarnya yang ingin memperdayakan serta menzalimi kaum wanita. Mereka sangat bakhil dalam memberi nafkah kepada kaum wanita sehingga budaya mereka mengharuskan kaum wanita bekerja walaupun di tempat-tempat hiburan, kelab malam dan bar walaupun ia bermakna wanita itu akan menjadi sebagai pemuas nafsu mereka. Allah berfirman di dalam surah Al-An’aam, ayat 119: maksudnya: Dan sesungguhnya kebanyakan daripada manusia benar-benar hendak menyesatkan orang lain dengan hawa nafsu mereka tanpa pengetahuan. Sesungguhnya Tuhan mu, Dialah yang lebih mengetahui orang yang melampaui batas.

Sekiranya diperhatikan setiap urusan yang mempunyai hubung kait dengan wanita di dalam Islam, maka akan di dapati bahawa kaum wanita itu tidak dipertanggungjawabkan untuk mencari nafkah walaupun untuk dirinya sendiri, sama ada sebelum atau sesudah berkahwin. Sekiranya seseorang wanita itu belum berkahwin, maka ayahnyalah yang bertanggungjawab atas nafkahnya dan sekiranya dia sudah berkahwin, maka suaminyalah yang bertanggungjawab atas nafkahnya, walaupun dia sendiri merupakan seorang yang kaya dan suaminya seorang yang miskin. Malah sekiranya suaminya itu tidak memiliki wang untuk memberi nafkah kepada isteri, maka dia haruslah meminjam dari orang lain dan tidak dibenarkan untuk mengambil wang isterinya yang kaya itu kecuali sekiranya diizinkan.
Oleh sebab itulah, kaum wanita sebenarnya bercukupan sama ada sebelum atau sesudah berkahwin kerana wanita itu sentiasa dilindungi di dalam Islam sama ada oleh ayah atau suami atau anak-anak lelaki atau pakcik-pakcik dan saudara-saudara lelakinya.

No comments:

Post a Comment