Monday, June 22, 2009

Penyakit Rasuah


Oleh: Mohd Sukki Othman (Ustaz Shauqi)


Istilah rasuah bukan lagi asing dalam kalangan masyarakat kita pada hari ini. Walaupun kadang-kala pelbagai nama digunakan untuk menggantikan istilah rasuah seperti ‘duit kopi’, ‘hadiah’, ‘wang belanja’, ‘sogok’, dan sebagainya, namun perbuatan seperti itu tetap menggambarkan betapa ianya sesuatu yang bukan sahaja bercanggah dan menyalahi undang-undang, bahkan ia merupakan perkara yang amat terkutuk dan haram di sisi Islam.

Rasuah merupakan penyakit sosial bersifat sejagat yang boleh berlaku di mana-mana dan boleh menjejaskan kelicinan perjalanan jentera pentadbiran sesebuah negara dan berupaya membinasakan sesebuah pemerintahan.

Ia boleh disamakan dengan penyakit kanser yang apabila telah menyerang maka sukar untuk diubati dan apabila gejala rasuah menjadi budaya, ia akan sukar dibanteras malah akan melumpuhkan sistem pentadbiran awam mahupun swasta. Di sesetengah negara, rasuah dikatakan menjadi darah daging dalam sektor awam dan swasta hingga mengakibatkan negara itu kerugian lebih berbilion dolar setahun.

Kita sering-kali mendengar terdapat bangunan yang sudah siap dibina, tetapi sudah pun retak. Bukan sekadar retak.... malahan runtuh menyembah bumi. Begitu juga kalau untuk mendapat sesuatu ‘projek’ hendaklah disertakan dengan ‘duit pelincir’. Penjualan bahan-bahan lucah dan haram begitu berleluasa walau pun kadang-kala penjualan tersebut agak ‘terbuka’ dan boleh dihidu sesiapa sahaja dan pelbagai contoh lain lagi yang amat banyak kalau hendak dinyatakan di sini.

Akan tetapi, yang pastinya ialah semua perkara tersebut adalah rasuah yang diharamkan. Mana tidaknya, akibat rasuah, bangunan menjadi retak walau baru siap dibina dan ia sudah tentu boleh menyebabkan nyawa manusia berada dalam bahaya. Begitu juga sesuatu projek itu tidak akan dapat dilaksanakan dengan baik dan cekap kerana yang memperoleh projek tersebut ialah mereka yang tidak berkelayakan. Akan tetapi, apabila rasuah diberi, maka sesuatu yang pada asalnya tidak layak terus menjadi layak.. Akibat rasuah juga, segelintir peniaga yang menjual barangan ‘haram’ yang menatijahkan rosaknya minda masyarakat terus berleluasa.

Rasuah sudah menjadi ‘darah daging’ bagi sesetengah orang. Kadang-kala seseorang itu merasakan hidupnya tidak akan sempurna tanpa rasuah kerana itulah yang menjadi punca rezekinya. Walau dalam masa yang sama , ia merasa jijik terhadap perkara haram yang lain seperti daging babi dan sebagainya. Mengapakah masih ada ‘mentaliti’ yang begitu ‘alergik’ terhadap makanan haram seperti daging babi, tetapi dalam masa yang sama tidak ‘alergik’ terhadap sumber rezeki yang haram seperti rasuah ini? Sedangkan haramnya daging babi tidaklah seteruk haramnya rasuah!

Islam sebagai agama yang diredai oleh Allah sejak dari awal lagi memberikan garis panduan dalam mencari harta dan kekayaan. Rasuah sememangnya sudah jelas diharamkan, namun apabila sesuatu peraturan dalam Islam itu tidak dipatuhi dan dijadikan budaya murni dalam kehidupan, maka ia menyebabkan agama Islam telah dicalarkan imejnya oleh golongan yang tidak bertamadun dan yang tidak mempunyai maruah diri sepertimana mereka yang terlibat dengan amalan rasuah ini.

No comments:

Post a Comment