Followers

Monday, June 29, 2009

Puasa Bulan Rejab


Ramai orang bertanya tentang kesahihan puasa sunat bulan Rejab. Sebenarnya, bulan Rejab termasuk dalam bulan-bulan haram iaitu Zulkaedah, Zulhijjah, Muharam dan Rejab. Oleh itu, secara umumnya, sunat berpuasa pada bulan Rejab ini apatah lagi sebagai persediaan untuk menyambut bulan Ramadhan tidak lama lagi.

Namun, anggapan sesetengah orang tentang fadhilat puasa bulan Rejab yang diwar-warkan sejak sekian lama.... kononnya ganjaran puasa bulan Rejab ini akan mendapat pahala yang amat banyak, adalah tidak sahih, bahkan banyak fadhilat-fadhilat tersebut disandarkan kepada hadis palsu. Ada orang menyatakan bahawa untuk mendapat fadhilat dengan 'sebenar' ialah hendaklah berpuasa 3 bulan berturut-turut iaitu Rejab, Syaaban dan Ramadhan. Anggapan seumpama ini juga adalah tidak benar.

Nabi sendiri tidak pernah berpuasa sebulan penuh kecuali pada bulan Ramadhan. Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim Aisyah r.a menyatakan bahawa: "Adalah Rasulullah saw sering berpuasa hingga kami menyangka bahawa baginda akan berpuasa berterusan. Dan baginda sering berbuka (tidak berpuasa) sehingga kami menyangka baginda akan berbuka (tidak berpuasa) seterusnya. Aku tidak pernah melihat baginda berpuasa sebulan penuh kecuali pada bulan Ramadan, dan aku tidak pernah melihat baginda berpuasa sunat dalam sebulan yang lebih banyak daripada puasanya di bulan Syaaban."

Usamah bin Zaid pula menceritakan; "Saya telah bertanya kepada Rasulullah saw, wahai Rasulullah saya tidak pernah menyaksikan banyaknya puasa tuan pada lain-lain bulan seperti di bulan Syaaban", lalu Baginda menjawab, "Itulah bulan (Syaaban) di mana ramai manusia lalai mengenainya iaitu di antara bulan Rejab dan Ramadan, ini adalah bulan di mana segala amalan diangkat kepada Tuhan Pemilik Sekalian Alam. Oleh itu saya (Baginda) amat suka kiranya amalan saya diangkat ketika saya sedang berpuasa.'' (Hadis riwayat Imam Ahmad dan Nas'aei).

Manakala hadis yang sering-kali diwar-warkan apabila datangnya bulan Rejab iaitu... “Rejab bulan Allah, Sya`aban bulanku dan Ramadhan bulan umatku”, adalah hadis munkar dan kebanyakan ulama' menyatakan bahawa ia adalah hadis palsu. Justeru, ia tidak sepatutnya disebarkan kerana ia tidak datang daripada nabi sebaliknya ia adalah hadis palsu yang direka.

Kesimpulannya, banyakkanlah ibadat pada bulan Rejab sama ada berpuasa, bersedekah, berzikir dan sebagainya.... namun ganjaran dan pahalanya terserah pada Allah... sekiranya ibadah-ibadah tersebut dilakukan dengan penuh keikhlasan, maka sudah tentu akan mendapat ganjaran yang banyak daripada Allah.

2 comments:

  1. Alhamdulillah, semoga dgn penjelasan utz dapat memberi kesedaran kpd kita dan janganlah kita berpegang kepala amalan2 yang tidak dilakukan olih junjunggan Nabi s.a.w. Semoga kita tidak tergolong didlm budaya ikut-ikutan yang tidak berlandaskn NAS2 tertentu. Allahhualam..

    ReplyDelete
  2. tapi adakah berdosa jika kita berpuasa terus rejab, syaaban dan ramadhan berturut?

    ReplyDelete