Tuesday, July 28, 2009

Menangani Masalah Khilafiyyah


Tadi ada seorang sahabat telefon saya untuk berbincang mengenai masalah yang berlaku di suraunya iaitu perpecahan yang ketara dalam kalangan jamaah sehingga ada yang mengambil sikap untuk tidak datang berjemaah di surau. Punca masalah tersebut ialah berlegar pada masalah khilafiah. Contohnya , apabila imam membaca doa qunut semasa solat subuh, maka terdapat dalam kalangan jemaah yang menyatakan bahawa perbuatan imam itu tidak wajar kerana bercanggah dengan sunnah nabi.

Jelas sekali, apa yang berlaku menunjukkan betapa tidak fahamnya segelintir umat Islam terhadap masalah khilafiyyah. Sepatutnya isu seumpama ini tidak timbul lagi dalam suasana umat Islam menghadapi ancaman yang lebih besar dari musuh-musuh Islam. Ubat kepada masalah ini ialah ilmu iaitu hendaklah menuntut ilmu dengan lebih luas dan jangan taksub dan fanatik pada guru-guru tertentu sahaja. Sabda nabi bermaksud: "Sesiapa yang Allah kehendaki kebaikan padanya, maka akan difahamkannya perkara agama".

Justeru, dinukilkan di sini sebahagian dari tulisan Ust Saleh Hj Ahmad yang bertajuk "Khilaf Ulama Dalam Hukum Fiqh: Sebab dan Adab-Adabya" terbitan Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang sebagai rujukan dan panduan.

KAEDAH MENANGANI MASALAH KHILAFIYYAH

Suatu perkara yang perlu diketahui bahawa hukum-hukum fiqh ada yang disepakati para imam mujtahidin, ada yang hanya disepakati di kalangan ulama’-ulama’ mazhab berkenaan sahaja, ada yang berlaku khilaf di antara imam-imam mujtahidin dan ada juga berlaku khilaf di kalangan ulama’-ulama’ dalam mazhab yang sama.

Oleh yang demikian, umat Islam harus menerima kenyataan di atas kerana khilaf dalam perkara ijtihad dan hukum yang berasaskan kepada dalil-dalil zanni adalah suatu perkara yang tabi’iy bahkan pasti berlaku sebagaimana yang dinyatakan dalam sebab-sebab khilaf sebelum ini. Seruan untuk menyatukan mazhab-mazhab fiqh adalah suatu yang lucu, justeru memaksa orang lain meleburkan atau mengorbankan pandangan ijtihadnya untuk berada dalam satu mazhab sahaja.

Ini tidak mungkin bahkan ianya bercanggah dengan konsep dan tuntutan ijtihad kerana seorang yang mampu berijtihad dan beramal dengan hukum yang dihasilkan oleh ijtihadnya bahkan tidak harus ia bertaqlid atau berpaling dari mazhabnya kepada pendapat orang lain. Sementara orang awam pula wajib bertaqlid kepada mana-mana mazhab dan pendapat ulama’ mujtahidin yang menjadi pilihannya.

ADAB AL-IKHTILAF

Sebagai seorang muslim, kita perlu menghayati akhlak-akhlak Islamiyyah dalam semua keadaan sebagaimana yang diajar kepada kita oleh Islam dalam al-Quran dan al-Sunnah. Adapun adab atau etika dalam berhadapan dengan masalah-masalah khilafiyyah khususnya bagi kita yang bukan ulama’ mujtahidin perlu sekali diberi penekanan agar tidak menimbulkan porak peranda dan kecelaruan dalam masyarakat.

Justeru itu penulis merasakan penting perkara ini diberi perhatian sewajarnya.

1. Setiap orang mesti membersihkan dirinya dari sebarang sentiment ta’asub mazhab secara buta tuli kerana mazhab bukanlah sebagai factor memecahbelahkan Islam dan bukan sebagai agama-agama yang menasakhkan Syariat Islam, bahkan ia merupakan sebagai aliran pentafsiran dan pemahaman Syariah. Ia juga merupakan metod dan kaedah
dan kaedah penyelidikan dan kajian ilmiah dalam mengistinbat hukum. Kesemuanya bertujuan untuk mengetahui hukum-hukum yang diturunkan oleh Allah s.w.t.

2. Kita tidak harus merasa sempit dada dengan sebab wujud perbezaan mazhab kerana perbezaan dalam pemahaman dan istinbat adalah suatu perkara lumrah dan tabi’iy bagi akal manusia, maka sudah pasti akan berbeza dalam istinbat dan fahaman. Bahkan kita boleh berbangga dengan perbezaan ilmu fiqh yang ditinggalkan kepada kita sebagai suatu perbendaharaan fiqh yang amat berharga. Ia juga merupakan sebagai bukti betapa berkembang subur dan hidupnya fiqh, betapa luasnya pemikiran para fuqaha’ kita yang agong dalam melaksanakan kewajipan mereka memberi khidmat kepada Syariat Islam yang mulia.

3. Kita wajib menghargai segala usaha yang dicurahkan oleh ulama’- ulama’ mujtahidin dalam berbagai mazhab ini. Kita menghormati dan beradab dengan mereka dan kita percaya bahawa mereka akan diberi pahala sama ada betul ataupun salah, seterusnya kita berdoa untuk kebaikan mereka.

4. Kita tidak harus memaksa orang lain menerima pandangan kita dalam masalah khilafiyyah.

5. Kita tidak harus menentang amalan-amalan khilafiyyah yang tidak sesuai dengan pandangan mazhab yang kita anuti. Sebaliknya kita hendaklah menentang amalan-amalan yang bercanggah dengan hukum- hukum yang disepakati para ulama’. Ini berdasarkan kaedah fiqhiyyah:
“ لاينكر المختلف فيه وإنما ينكر المجمع عليه “
Maksudnya : “Tidak atau jangan dibantah sesuatu hukum yang berlaku khilaf di kalangan fuqaha’. Dan sesungguhnya yang perlu dibantah ialah perkara munkar yang disepakati ulama’ atas pengharamannya”

6. Kita mesti beradab dengan ulama’ yang berbeza pandangan dengan kita, jangan celupar mulut melempar tuduhan kalimah bid’ah dalalah ke atas amalan-amalan yang khilafiyyah.

7. Jangan menuduh orang yang mengamalkan amalan yang kita tidak sependapatnya sebagai sesat, pembuat bida’ah, khurafat dan sebagainya kerana masing-masing ada hujah dan alasan yang perlu kita hormati.

8. Kita jangan terpengaruh dengan pendekatan sebahagian anak muda yang berlagak alim besar menghentam ulama’-ulama’ silam yang tidak sealiran dengan mereka, sambil menyeru masyarakat menentang amalan-amalan yang sudah mantap dalam masyarakat sedangkan amalan itu khilaf ulama’ padanya. Lebih dahsyat dari itu terdapat sebahagian mereka yang biadap menyeru supaya membakar kitab-kitab tua atau jawi lama kerana menurut pandangan mereka kitab-kitab tersebut menyesatkan. Subhanallah.

9. Kita sebagai seorang pendakwah, guru atau imam harus bijak dalam menangani masalah khilafiyyah. Amat bodoh kalau seseorang pendakwah membangkitkan perkara yang remeh-temeh dan khilafiyyah dalam ceramah-ceramahnya kerana ini boleh menimbulkan perpecahan dalam masyarakat dan tuduh-menuduh antara satu sama lain.

10. Sebagai seorang pendakwah, kita perlu memfokuskan syarahan dan pengajaran kepada persoalan pokok yang perlu kita berganding bahu dalam membangun atau meruntuhnya. Sepertimana yang diungkapkan oleh Syaikh Abd al-Rasyid Ridha:
“ نتعاون فيما اتفقنا عليه ويعذر بعضنا بعضا فيما اختلفنا فيه “
Maksudnya : “Saling bantu-membantu di antara kita dalam menegakkan perkara yang kita sepakati dan saling bertolak ansur dan bermaafan di antara kita dalam perkara khilafiyyah”.

11. Mengelak dari melakukan masalah yang dipertikaikan memang digalakkan berdasarkan kaedah fiqhiyyah
الخروج من الخلاف مستحب
( Keluar dari khilaf itu digalakkan)


BEBERAPA CONTOH MASALAH KHILAFIYYAH

1. Membaca doa Qunut.
2. Sembahyang sunat qabliah Maghrib.
3. Sembahyang sunat qabliah Jumaat.
4. Talqin mayat setelah dikebumikan.
5. Bacaan al-Qur’an dan tahlil dihadiahkan pahalanya kepada si mati.
6. Fidyah sembahyang.
7. Berwirid secara jama’ah selepas sembahyang fardhu.
8. Batal wuduk dengan sebab sentuhan lelaki dengan perempuan
yang harus dikahwini.
9. Membaca Usalli atau melafazkan niat sebelum takbir.
10. Bilangan rakaat sunat tarawih 20 atau 8
11. Membaca surah Yasin pada malam Jumaat
12. Maulid al-Rasul s.a.w.
13. Membaca Sayyidina dalam Salawat.
14. Imam berdoa lepas solat jama’ah dan makmum mengaminkannya.
15. Aqiqah dengan kambing sahaja.
16. Menyapu muka selepas memberi salam dan membaca:
“ أشهد أن لا إله الاهو الرحمن الرحيم، اللهم أذهب عنى لهم والحزن “
“ بسم الله الذى لا إله الاهو الرحمن الرحيم، اللهم أذهب عنى لهم والحزن “

KESIMPULAN

Perbahasan masalah khilafiyyah ini tidak wajar diperbesarkan dan saling menyalahkan antara satu sama lain, lebih-lebih lagi menghukum bid’ah, khurafat dan kafir. Ini kerana khilaf dalam masalah furu’ suatu yang tidak dapat dielakkan. Apa yang penting bagi umat Islam ialah berganding bahu menegakkan Syariat Islam dalam diri, rumahtangga, masyarakat dan negara. Seterusnya memerangi kemaksiatan dan kemungkaran yang disepakati dan bekerja keras menegakkan yang ma’ruf yang diijma’ ulama’ di samping berlapang dada dan bertolak ansur ketika menghadapi perkara-perkara khilafiyyah dalam semangat persaudaraan Islam dan kesatuan ummah.

Saturday, July 25, 2009

Selamat Datang Bulan Syaaban


Oleh: Mohd Sukki Bin Othman (Ust Shauqi)


Sedar tak sedar kita kini sudah berada pada bulan Syaaban 1430 Hijrah. Masa berlalu dirasakan begitu pantas sekali. Ini juga bermakna umur kita semakin meningkat dan sewajarnya kita sentiasa bermuhasabah iaitu sudahkah kita melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan oleh Allah kepada kita dengan sempurna, dan sudahkah kita bersedia dengan amalan-amalan yang akan dibawa menemui Allah?

Bulan Syaaban menyusul selepas daripada bulan Rejab. Manakala selepas itu, akan datang pula bulan yang mengandungi penuh rahmat iaitu bulan Ramadhan al-Mubarak. Namun, Apabila tibanya bulan Rejab dan Syaaban, kita seringkali mendengar hadis-hadis mengenai mengenai bulan-bulan ini akan dibaca dan diajar secara meluas. Antaranya ialah hadis:“Rejab bulan Allah, Sya`aban bulanku dan Ramadhan bulan umatku”. Hadis ini adalah hadis munkar dan kebanyakan ulama' menyatakan bahawa ia adalah hadis palsu. Apabila membicarakan tentang bulan Syaaban, maka sewajarnya kita merujuk kepada riwayat-riwayat yang sahih dan yang diterima oleh para ulamak agar kita tidak termasuk dalam golongan 'pak turut' yang hanya melakukan sesuatu tanpa ilmu pengetahuan. Sedangkan Islam itu sendiri adalah agama ilmu, maka sewajarnyalah apa yang hendak dilakukan mestilah berteraskan kepada ilmu.

Menurut Prof Dr Yusuf al-Qaradhawi, tidak ada suatu pun keistimewaan pada pertengahan bulan Syaaban (nisfu Syaaban) sebagaimana yang digembar-gemburkan oleh masyarakat pada hari ini. Sebaliknya peristiwa besar yang berlaku pada pertengan bulan Syaaban ialah peristiwa yang berlaku pada tahun kedua hijrah iaitu peralihan kiblat daripada Baitul Maqdis ke Kaabah iaitu daripada Masjid al-Aqsa ke Masjid al-Haram. Perkara itu telah dirakamkan oleh Allah s.w.t. di dalam Surah al-Baqarah ayat 144 yang bermaksud:"Kerapkali kami melihat engkau (wahai Muhammad) berulang-ulang menadah ke langit, maka kami benarkan engkau berpaling mengadap kiblat yang engkau sukai, oleh itu palingkanlah muka kearah al-Masjidil Haram (tempat letaknya kaabah) dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah mukamu ke arahnya…"

Selain daripada peristiwa tersebut, sesuatu yang sahih daripada nabi pada bulan Syaaban ini ialah nabi saw memperbanyakkan berpuasa sunat sebagai suatu persediaan menyambut ketibaan Ramadhan al-Mubarak. Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim Aisyah r.a menyatakan bahawa:

"Adalah Rasulullah saw sering berpuasa hingga kami menyangka bahawa baginda akan berpuasa berterusan. Dan baginda sering berbuka (tidak berpuasa) sehingga kami menyangka baginda akan berbuka (tidak berpuasa) seterusnya. Aku tidak pernah melihat baginda berpuasa sebulan penuh kecuali pada bulan Ramadan, dan aku tidak pernah melihat baginda berpuasa sunat dalam sebulan yang lebih banyak daripada puasanya di bulan Syaaban."

Usamah bin Zaid pula menceritakan; "Saya telah bertanya kepada Rasulullah saw, wahai Rasulullah saya tidak pernah menyaksikan banyaknya puasa tuan pada lain-lain bulan seperti di bulan Syaaban", lalu Baginda menjawab, "Itulah bulan (Syaaban) di mana ramai manusia lalai mengenainya iaitu di antara bulan Rejab dan Ramadan, ini adalah bulan di mana segala amalan diangkat kepada Tuhan Pemilik Sekalian Alam. Oleh itu saya (Baginda) amat suka kiranya amalan saya diangkat ketika saya sedang berpuasa.'' (Hadis riwayat Imam Ahmad dan Nas'aei).

Justeru, daripada hadis-hadis di atas, kita mendapati bahawa nabi saw amat mengambil berat untuk memperbanyakkan puasa pada bulan Syaaban. Di samping itu, sesiapa yang masih berhutang puasa pada Ramadhan yang sebelumnya seperti wanita yang meninggalkan puasa kerana 'datang bulan', maka inilah waktu yang sesuai untuk mempastikan agar segala 'hutang' dilunaskan sebelum tibanya bulan Ramadhan. Sebagai mencontohi sunnah nabi, kita juga sewajarnya memperbanyakkan berpuasa sunat pada bulan Syaaban yang mulia ini.

Di samping berpuasa, kita juga boleh memperbanyakkan amalan-amalan sunat yang lain untuk memepertingkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah dan sebagai suatu persediaan untuk memperbanyakkan lagi amalan pada bulan Ramadhan. Antara amalan yang boleh dilakukan selain daripada berpuasa ialah membaca al-Quran, bertaubat, beristighfar, berzikir, memperbanyakkan solat sunat, bersedekah bagi menolong meringankan penderitaan fakir miskin atau anak-anak yatim, melakukan amalan kebajikan, memohon keampunan untuk ibu-bapa, memohon restu kehadrat Allah s.w.t. bagi keselamatan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat dan sebagainya.

Persoalan seterusnya yang selalu timbul dalam masyarakat kita ialah amalan pada malam nisfu syaaban. Biasanya pada malam nisfu syaaban, masjid-masjid dan surau-surau akan merayakan malam tersebut dengan amalan-amalan tertentu. Di beberapa tempat di negara kita, pada malam nisfu syaaban, orang ramai biasanya berkumpul di masjid-masjid dan mereka membaca surah yasin bersama, kemudian melakukan solat sunat dua rakaat dengan niat panjang umur, solat sunat dua rakaat lagi dengan niat agar menjadi kaya dan tidak tergantung pada orang lain, dan sebagainya. Setelah itu, mereka membaca doa yang panjang, iaitu doa yang dikhususkan bacaannya pada malam tersebut.

Menurut al-Qadhi Abu Bakar Ibnul Arabi , tidak ada satu hadis sahih mengenai keutamaan malam nisfu syaaban, dan semua hadis mengenainya bertaraf dhaif yang tidak boleh diamalkan. Walau bagaimanapun terdapat hadis mengenai fadilat malam nisfu syaaban yang dianggap Hasan oleh sebahagian ulamak, walau ia telah didhaifkan oleh sebahagian ulamak lain. Hadis tersebut ialah: “Allah melihat kepada hamba-hambaNya pada malam nisfu Syaaban, maka Dia ampuni semua hamba-hambaNya kecuali musyrik (orang yang syirik) dan yang bermusuh (orang benci membenci) (Riwayat Ibn Hibban, al-Bazzar dan lain-lain). Al-Albani mensahihkan hadis ini dalam Silsilah al-Ahadis al-Sahihah.

Hadis ini tidak mengajar kita apakah bentuk amalan pada malam berkenaan. Oleh itu, amalan-amalan tertentu pada malam tersebut (sekiranya dianggap sebagai satu kemestian dan wajib seperti ‘mesti’ membaca Yasin sebanyak tiga kali, dan menunaikan solat-solat tertentu sempena nisfu syaaban) adalah bukan ajaran Nabi s.a.w. Menurut Prof. Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam kitabnya 'Fatawa Mu'asirah', “Tidak pernah diriwayatkan daripada Nabi s.a.w. dan para sahabat bahawa mereka berhimpun di masjid pada untuk menghidupkan malam nisfu Syaaban, membaca do`a tertentu dan solat tertentu seperti yang kita lihat pada sebahagian negeri orang Islam. Bahkan di sebahagian negeri, orang ramai berhimpun pada malam tersebut selepas maghrib di masjid. Mereka membaca surah Yasin dan solat dua raka`at dengan niat panjang umur, dua rakaat yang lain pula dengan niat tidak bergantung kepada manusia, kemudian mereka membaca do`a yang tidak pernah dipetik dari golongan salaf (para sahabah, tabi`in dan tabi’ tabi`in). Ianya satu do`a yang panjang, yang menyanggahi nusus (al-Quran dan Sunnah) juga bercanggahan dan bertentang maknanya".

Inilah juga pendapat majoriti ulamak seperti Sayyid Sabiq, Prof Mutawalli Sya'rawi, Dr Abdul Karim Zaidan dan sebagainya. Begitu juga dengan doa khusus yang dibaca pada malam nisfu Syaaban, ianya bercanggah dengan nas al-Quran dan Hadis. Inilah pendapat yang dikemukakan oleh Prof. Dr. Yusof al-Qaradhawi.

Justeru, daripada pandangan-pandangan ulamak yang dikemukakan di atas, adalah menjadi suatu kewajipan kepada kita untuk memahami dengan sejelas-jelasnya agar kita tidak termasuk dalam golongan yang membuat sesuatu amalan itu secara membuta-tuli. Ini bukanlah bermakna bahawa kita tidak boleh melakukan amalan pada malam nisfu syaaban, akan tetapi kita tidak boleh melakukan amalan-amalan yang tidak diasaskan oleh nabi dan yang bercanggah dengan hukum syarak seperti menunaikan solat sunat khusus untuk panjang umur pada malam nisfu syaaban.

Namun, untuk membaca ayat-ayat al-Quran tertentu seperti Yasin dan seumpamanya, maka ia boleh dilakukan tetapi dengan syarat kita tidak ‘mewajibkan’ bacaan Yasin sebanyak 3 kali dan seumpamanya. Alangkah baiknya juga kalau pada malam itu juga diisi dengan program pengajian ilmu agar pemahaman terhadap ajaran Islam semakin meningkat dari semasa ke semasa.

Justeru, amalan-amalan sunat seperti membaca al-Quran, berzikir, solat sunat, berpuasa dan yang seumpamanya hendaklah dilaksanakan bukan sahaja pada malam nisfu syaaban, akan tetapi kita hendaklah beristiqamah melaksanakan amalan-amalan kebajikan tersebut pada bila-bila masa sahaja siang ataupun malam. Sesungguhnya apabila kita dapat melaksanakan sesuatu amalan dengan penuh keikhlasan dan amalan tersebut bertepatan dengan hukum syara', maka kita akan tergolong daripada umat Islam yang menuju ke arah kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Perbanyakkanlah amalan sunat di bulan Syaaban sebagai suatu persediaan menyambut kedatangan bulan Ramadhan al-Mubarak!.

Wednesday, July 22, 2009

Gerhana Matahari 22 Julai 2009


Gerhana matahari separa akan dapat dilihat di Malaysia secara minimum pagi ini. Gerhana matahari separa itu, yang amat sukar dicerap dengan mata kasar, akan berlaku pada 8.23 pagi dan berakhir pada 9.48 pagi. “Bagaimanapun hanya lebih kurang 17.8 peratus sahaja kawasan permukaan matahari akan ditutupi oleh bulan semasa gerhana separa itu berlaku,” kata Ketua Unit Penyelidikan Sains Angkasa (UPSA) ANGKASA. Kawasan utara semenanjung merupakan kawasan yang terbaik untuk mencerap gerhana matahari separa itu. Dalam abad ini, penduduk Malaysia akan dapat menikmati gerhana matahari separa pada 15 Januari 2010, 9 Mac 2016 dan 26 Disember 2019 . Kejadian gerhana itu berikutan berlakunya fenomena gerhana matahari penuh, yang merupakan gerhana matahari terpanjang di abad ini.

Fenomena gerhana matahari adalah suatu fenomena yang jarang-jarang berlaku iaitu satu kali atau dua kali dalam satu tahun kalendar. Gerhana matahari terbahagi kepada 4 jenis, iaitu gerhana penuh, gerhana annulus (cincin), gerhana hibrid (penuh+cincin) dan gerhana separa (sebahagian). Gerhana separa merujuk peringkat awal atau akhir suatu gerhana matahari, atau bahagian bumi yang masih dapat melihat gerhana, tetapi tidak akan dapat melihat gerhana matahari fasa penuh atau cincin.Gerhana penuh matahari pada 22 Julai 2009 merupakan gerhana yang paling lama untuk abad ke 21. Bill Kramer dalam laman webnya menyebut:"The eclipse passes over the Chinese cities of Chengdu, Suining, Chonging, Wuhan, Xiaogan, Hangzhou, and Shanghai by which time the duration of the eclipse is over five minutes of totality. Leaving Shanghai the path continues into the ocean encountering islands such as Toshima and Akusaki south of Japan and eventually the Marshall islands.The maximum eclipse duration of 6 minutes and 43 seconds occurs far off the coast in the Pacific Ocean." Namun bagi penduduk Malaysia, mereka hanya berpeluang menyaksikan gerhana tersebut dalam fasa separa dalam peratus maksimum yang kecil antara 3% hingga 18% sahaja dari kebanyakan bandar-bandar utama di Malaysia.

Monday, July 20, 2009

Israk Mikraj


Malam ini jam 11 malam, temui saya dalam Bicara Israk Mikraj secara 'live' di IKIM.fm

Secara ringkasnya, Israk dan Mikraj merupakan satu perjalanan kilat Rasulullah s.a.w. pada sebahagian malam atas kekuasaan dan kehendak Allah dari Masjidilharam ke Masjidil Aqsa, kemudian naik ke langit sampai ke Sidratulmuntaha, bahkan ke Mustawa dan sampai di bawah Arasy Allah dengan menembusi tujuh lapisan langit, lalu kembali semula ke Mekah pada malam yang sama.

Peristiwa Israk dan Mikraj berlaku mengikut beberapa riwayat pada malam 27 Rejab tahun kesebelas kerasulan Baginda dan berlaku setahun sebelum hijrahnya Rasulullah s.a.w. ke kota Madinah.

Peristiwa ini bersabit dengan firman Allah s.w.t di dalam surah Al-Isra’ ayat yang pertama maksudnya: Maha suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidilharam (di Mekah) ke Masjidil Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

Pada paginya, Rasulullah s.a.w. termenung, memikirkan bagaimanakah baginda dapat memberitahu umat manusia tentang peristiwa tersebut, kerana ia adalah sesuatu yang di luar kemampuan manusia. Sedangkan perjalanan ke Baitulmaqdis sahaja mengambil masa hampir sebulan, inikan pula dalam satu malam.

Begitu pun Rasulullah s.a.w. menyahut cabaran Abu Jahal agar dikumpulkan manusia untuk memberitahu mereka tentang peristiwa perjalanan Rasulullah s.a.w. ke Masjidil Aqsa. Apabila manusia telah berkumpul, dan Rasulullah s.a.w. menceritakan mereka tentang perjalanan baginda ke Masjidil Aqsa dalam satu malam, ramai daripada mereka yang tidak percaya. Malah, mereka yang lemah imannya juga mendustakan Rasulullah s.a.w. Namun, dalam masa yang sama, mereka yang sudah kuat imannya, bertambah kukuh lagi keimanan, seperti Sayidina Abu Bakar As-Siddiq r.a.

Keberanian Rasulullah s.a.w. memaklumkan kepada umat manusia tentang perjalanan Baginda tersebut, memberikan iktibar kepada umat Islam masa kini supaya perlu bersabar dan terus menunjukkan akhlak yang baik, walaupun ditentang oleh mereka yang tidak beriman dan tidak memahami Islam.

Sudah menjadi lumrah, mereka yang tidak memahami Islam akan mempunyai pandangan serong dan silap faham terhadap Islam. Tetapi, contohi Rasulullah s.a.w. Walaupun baginda diperli, dikeji dan didustai kerana menyampaikan berita Israk, Rasulullah s.a.w. tetap bersabar dan menunjukkan akhlak yang baik.

Maka, sebagai orang Islam yang tinggal di negara majmuk seperti Malaysia ini, ada kalanya kita menghadapi silap faham daripada mereka yang bukan Islam. Kita perlu tunjukkan akhlak yang baik serta bersabar dan terangkan kepada mereka tentang ajaran Islam yang sebenar, yang menggalakkan keharmonian dan juga kemakmuran.

Kita juga perlu tunjukkan bahawa kewujudan kita di negara ini, di tempat kerja, di sekolah dan di rumah, membawa kesejahteraan bagi orang di sekeliling kita. Sesungguhnya, orang Islam yang baik adalah juga rakyat, pekerja, majikan, pelajar dan ahli keluarga yang baik.

Di dalam perjalanan yang begitu istimewa ini, terlalu banyak yang dilihat oleh Baginda Rasulullah s.a.w. dan begitu banyak pelajaran yang dapat kita peroleh. Antara pelajaran yang harus kita renungkan bersama adalah manusia harus sentiasa memerhatikan hubungannya dengan Allah, dan sentiasa menilai kembali dan berusaha memperelokkan hubungan tersebut.

Hubungan dengan Allah s.w.t. ini mestilah wujud tatkala ditimpa kesusahan dan ujian mahupun di kala mendapat kesenangan dan kemudahan. Ini kerana hanya Allah sahajalah yang berkuasa dan mampu memberikan pertolongan, menghilangkan segala kesedihan, dukacita dan kesusahan kepada diri kita.

Menyingkap kembali peristiwa Israk dan Mikraj ini, Nabi telah ditimpa beberapa kesulitan sebelum terjadi Israk dan Mikraj. Dalam keadaan demikian, datang perintah untuk Israk dan Mikraj, iaitu untuk berhadapan dengan Allah s.w.t. Ini memberi pengajaran kepada kita agar mendekatkan diri kepada Allah sewaktu didatangi musibah dan pelbagai permasalahan dalam kehidupan.

Caranya ialah kita sentiasa beristiqamah, terus-menerus melaksanakan semua perintah-Nya dan menjauhi semua larangan-Nya dan bukan menjadi orang taat hanya pada waktu susah dan melupakan Allah pada waktu senang.

Kehidupan kita yang ingin berjuang untuk kebaikan pasti akan dipenuhi dengan cabaran dan dugaan. Ia tidak akan sentiasa mudah tetapi kita akan berhadapan dengan kesusahan terlebih dahulu.

Namun, semua yang berlaku itu demi untuk mengukur dan menilai keimanan kita di dalam hati. Adakah kita sanggup menghadapinya dengan penuh ketabahan dan kesabaran atau kita tergolong dalam golongan yang mudah berputus harapan? Firman Allah s.w.t. di dalam surah Al-Insyirah ayat 5 dan 6., Ertinya: Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu bahawa) Sesungguhnya tiap-tiap kesukaran ada disertai kemudahan, (sekali lagi ditegaskan): sesungguhnya tiap-tiap kesukaran ada disertai kemudahan.

Seperti yang ditunjukkan Allah s.w.t. kepada Nabi-Nya yang tercinta, bahawa Allah tidak akan membiarkan hamba-Nya yang ikhlas dan benar berjuang keseorangan. Ia akan dibantu Allah s.w.t. Ia akan diberikan kegembiraan oleh Allah s.w.t. Bahkan Allah s.w.t. akan mengangkat darjat dan kedudukannya.

Pengajaran yang besar juga daripada Isra’ dan Mikraj ini ialah kewajipan untuk menjauhi perkara mungkar dan maksiat. Semasa peristiwa Israk dan Mikraj, Baginda Rasulullah s.a.w. telah ditunjukkan keadaan neraka dan ahlinya.

Baginda melihat pelbagai bentuk penyeksaan dahsyat yang sedang dialami oleh berbagai kaum akibat daripada segala macam bentuk kejahatan yang pernah mereka lakukan. Misalnya Nabi diperlihatkan kepada satu kaum yang memecahkan sendiri kepala mereka dengan batu besar, setelah pecah ia kembali seperti sedia kala.

Nabi, juga melihat seksaan bagi pemakan riba, penzina, pengumpat, yang suka memfitnah dan lain-lain lagi. Ini semua memberi iktibar kepada kita yang hidup di dunia ini, agar tidak melakukan segala perbuatan yang mungkar dan tercela, tidak kira apa bentuknya sekalipun kerana seksaan yang disediakan Allah s.w.t. amatlah dahsyat.

Selain itu, Perintah solat merupakan suatu bentuk ibadah yang begitu penting di dalam kehidupan seseorang hamba Allah s.w.t. Kewajipan solat begitu istimewa dibandingkan dengan kewajipan yang lain seperti puasa, zakat dan haji. Ini kerana kewajipan solat diterima langsung oleh Nabi s.a.w. daripada Allah sewaktu bertemu Allah pada malam Mikraj tanpa perantaraan malaikat Jibrail.

Ini menunjukkan keistimewaan dan kelebihan solat berbanding ibadah-ibadah lain, dan solat juga amalan yang paling awal dihisab di akhirat kelak.

Thursday, July 16, 2009

Asal Usul Pulau Pinang


Oleh : Dr Suhaila

Dalam ceramah anjuran SEFSI, USM semalam, Prof Ahmad Murad Merican menjelaskan bahawa sebenarnya Pulau Pinang bukanlah dibuka oleh Francis Light. Orang yang bertanggungjawab membuka Pulau Pinang atau nama asalnya Tanjung Penaga ialah Tok Jenaton yang berasal dari Pagar Ruyong. Rupanya fakta sejarah yang kita pelajari selama ini tentang sejarah Pulau Pinang adalah menyeleweng dari fakta sebenar.

Tok Jenaton pernah datang mengadap Sultan Kedah bersama dengan para pengikutnya yang terdiri dari kalangan orang Batak dengan membawa bersamanya hadiah naskah al-Quran tulisan tangan. Maka dengan itu, Sultan Kedah telah menghadiahkannya sebuah kawasan di sekitar Minden, Pulau Pinang. Kubur Tok Jenaton juga masih ada di Minden ketika ini.

Penyimpangan fakta sejarah yang dimuatkan dalam buku-buku teks sudah barang tentu merupakan akibat daripada sejarah yang dinilai dan hanya dilihat dari perspektif bangsa yang menjajah itu sahaja. Bukan sekadar menjajah tanahair, malah mereka juga turut cuba menjajah minda penduduknya. Mereka cuba memperlihatkan peranan mereka sebagai pencetus tamadun orang lain. Namun pada hakikatnya, sejak sebelum kedatangan kuasa penjajah itu, penduduk di Pulau Pinang (Tanjung Penaga) ini sudah mempunyai tamadun yang tersendiri, dan telah bertapak kukuh dengan bersendikan agama Islam.

Terdapat banyak orang Arab yang datang menetap di Tanjung Penaga. Malah di katakan Masjid Batu Uban telah wujud sekian lamanya serta berperanan penting menyebarkan syiar Islam. Batu Uban juga dikatakan sebagai Daerah Ulama di mana terdapat ramai ulama Islam yang tinggal menetap di situ.

Menariknya sejarah Pulau Pinang jika dikaji dengan teliti, berlandaskan fakta sebenar.

Tuesday, July 14, 2009

Benarkah Francis Light Yang Membuka Pulau Pinang?


Oleh Raja Syahrir Abu Bakar (dengan dibuat pengubahsuaian)


Profesor Dr. Ahmad Murad Merican, pensyarah di Jabatan Pengurusan dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Petronas berkata: “Saya telah mengkaji sejarah pembukaan Pulau Pinang sejak akhir tahun 1990-an lagi dan kaedah (mengkaji) yang saya gunakan adalah sama dengan sejarawan lain.“Apa yang saya dapati, pulau (Pinang) itu telah didiami oleh Dato’ Jenaton Bin Raja Labu sejak tahun 1749,” tegasnya. Justeru beliau mendakwa, catatan sejarah bahawa Pulau Pinang dibuka oleh kelasi Inggeris, Francis Light pada 1786 tidak boleh diterima.
Menurutnya, sejarah itu adalah ‘resipi’ British yang menidakkan pembukaan Pulau Mutiara tersebut oleh orang Melayu. Ahmad Murad memberitahu, Dato’ Jenaton berasal dari Pagar Ruyung di Sumatera, Indonesia, sebelum beliau berpindah pula ke Batu Bara yang juga terletak di Sumatera. Menurutnya, pasangan Dato’ Jenaton dengan isteri pertamanya, Ambun Suri dari Pagar Ruyung tidak dikurniakan anak.
“Kemudian, apabila berhijrah ke Baru Bara, Dato’ Jenaton berkahwin pula dengan Tuan Gadih atau Cik Puang, anak pembesar di sana dan dikurniakan seorang anak,” tambahnya. Ahmad Murad mendakwa, selepas berhijrah dan membuka Pulau Pinang pada tahun 1749, Dato' Jenaton melalui perkahwinan ketiganya dengan seorang wanita berketurunan Arab-China, seterusnya dikurniakan dengan empat orang cahaya mata.
Namun, satu perkara yang dikesalkan Ahmad Murad dan seorang lagi pengkaji sejarah Pulau Pinang serta salasilah Dato’ Jenaton, Fazil Shuhaimi Talib, nama isteri ketiga individu yang membuka Pulau Pinang seperti didakwa mereka itu sehingga kini masih belum ditemui. “Namun kita akan terus mengkaji dan mendapatkan nama individu wanita, isteri ketiga Dato Jenaton itu kerana beliau merupakan asal-usul keturunan Dato’ Jenaton di Malaysia, termasuk kami,” ujar Fazil.
Ahmad Murad dan Fazil yang juga sepupunya boleh dikatakan dua ‘orang kuat’ dalam mencari, melengkap dan memperbetulkan sejarah Dato’ Jenaton, seterusnya membawa kepada penubuhan sebuah persatuan tidak berdaftar dinamakan Jawatankuasa Keluarga Dato' Jenaton pada tahun 2002. Berdasarkan salasilah, mereka berdua merupakan generasi keenam waris Dato’ Jenaton hasil perkahwinan dengan isteri ketiganya di Pulau Pinang sekitar pertengahan 1950-an.

Monday, July 13, 2009

Fenomena Natrah


NATRAH MAAROF atau Bertha Hertogh, 72 meninggal dunia Khamis lalu yang mana kehidupannya sudah menjadi sebahagian daripada ingatan kolektif bangsa Melayu. Peristiwa yang dikenali Rusuhan Natrah akan sentiasa diingat oleh orang Melayu pada masa akan datang. Walaupun ia berlaku pada 12 Disember 1950 di Singapura kerana kekecewaan orang Melayu apabila beliau dimurtadkan sudah berlalu hampir 59 tahun, tetapi ia akan tetap tercatat dalam memori bangsa untuk diwariskan pada generasi akan datang.

Selepas Rusuhan Natrah itu, apa saja perkembangan mengenai dirinya, apabila diketahui tetap menarik perhatian orang Melayu. Maka kini walaupun beliau sudah tiada lagi, tetapi kehidupannya akan terus dikenang kerana kepiluan hidupnya apabila dipaksa meninggalkan daripada menjadi seorang Melayu kembali kepada Belanda menyakitkan bukan saja kepada diri dan keluarga angkatnya, tetapi juga seluruh bangsa.

Sekurang-kurangnya terdapat empat dimensi yang berkaitan dengan keseluruhan hidupnya. Pertama, dimensi Melayu dalam konteks Nusantara. Kedua, agama Islam yang menjadi jati diri bangsa Melayu. Ketiga, dimensi perjuangan bangsa untuk mendapatkan kemerdekaan daripada penjajah Barat. Keempat, psikologi bangsa Melayu yang mempunyai sifat terbuka dan menerima bangsa lain, tetapi pada waktu sama mampu bertindak serius apabila hak jati diri mereka dicabar.

Natrah tidak mempunyai darah Melayu. Beliau yang lahir pada 24 Mac 1937 adalah anak Belanda tulen bernama Bertha, anak kepada Sarjan Adrianus Petrus Hertogh dan ibunya, Adeline. Maknanya, Natrah adalah anak keluarga penjajah yang lahir di tanah jajahan kerana ayahnya berkhidmat dalam tentera Belanda untuk memastikan Indonesia terus dijajah.

Natrah juga bukan lahir di Tanah Melayu. Tetapi dilahirkan di Tjimahi, Jawa, ketika itu sebahagian daripada Hindia Timur Belanda. Tetapi dalam tahun-tahun 30-an, Hindia Timur Belanda dan Tanah Melayu walaupun menjadi tanah-tanah jajahan Belanda dan Inggeris dianggap sebagai tanah air serumpun bersama.

Kedatangan Jepun mengubah hidup Natrah. Demi keselamatannya, beliau diserahkan oleh ibunya dan neneknya Nor Louise kepada Che Aminah Mohamed tanpa pengetahuan bapanya.
Pada masa kacau-bilau itu, perkara ini adalah suatu yang biasa. Dapat terus hidup adalah suatu yang sudah cukup patut dihargai terutama bagi penjajah Belanda dan Inggeris yang sedang lari daripada kemaraan Jepun.

Sejak diserahkan kepada keluarga Melayu itu, maka bermulalah Bertha berubah jati diri daripada seorang Belanda kepada Melayu. Namanya menjadi Natrah dan dia dididik sebagai seorang Islam selama lapan tahun. Bagi orang Melayu, anak angkat adalah seperti anak sendiri. Anak angkat keluarga Melayu seharusnya menjadi orang Melayu.

Lebih-lebih lagi apabila pada 15 November 1945, Natrah dibawa ke Kampung Banggol, Kemaman, Terengganu melalui Singapura. Maknanya kalau Natrah terus berada di sini, maka beliau menjadi orang Melayu dan warganegara Malaysia.

Semasa perang Jepun itu, banyak anak-anak daripada pelbagai keturunan dan agama, sama ada Inggeris, Belanda, Cina atau Jepun terselamat apabila mereka diambil sebagai anak angkat orang Melayu. Mereka membesar sebagai orang Melayu dan Islam. Tidak ada masalah dengan mereka.

Tetapi terhadap Natrah, bapanya yang dibebaskan daripada tawanan Jepun kembali ke Bandung mencari Natrah pada tahun 1945. Beliau tidak dapat menerima bahawa Natrah menjadi Melayu.

Hakikatnya ialah Hertogh adalah tentera penjajah yang bernasib baik selamat dalam perang di tanah jajahan. Kalaulah dia terbunuh dalam perang itu, maka tidak timbul Natrah hendak dikembalikan.

Begitu juga Natrah bernasib baik selamat selepas diserahkan oleh ibu dan neneknya kepada keluarga Melayu. Bukan soal dia menjadi Melayu atau Belanda. Hakikatnya dia terselamat dan dipelihara oleh keluarga angkatnya seperti anak sendiri.

Tetapi pada tahun 1950, Tanah Melayu berada dalam penjajahan Inggeris. Atas bantuan pihak berkuasa Inggeris, bapa Natrah dapat mengeluarkan Natrah daripada keluarga Melayu.

Dalam rayuan Che Aminah pada 28 Julai 1950, keluarga angkatnya itu menang. Untuk memastikan Natrah terus menjadi Melayu, beliau dinikahkan dengan Cikgu Mansor Adabi pada Ogos 1950. Mansor Adabi bukanlah calang-calang orang. Beliau adalah antara anak muda Melayu terpelajar yang timbul pada zaman itu untuk turut menyumbang kepada perjuangan kemerdekaan bangsa.

Bahagia

Ketika itu Mansor berusia 18 tahun, dan Natrah 14 tahun. Mereka hidup di Singapura dan berbahagia. Tetapi kebahagiaan mereka dirampas oleh mahkamah penjajah yang tidak menghiraukan kehendak Natrah itu sendiri.

Maka pada 12 Disember 1950 hakim memutuskan Natrah dikembalikan menjadi Belanda. Dia diperintah supaya kembali kepada ibu kandung, perkahwinannya dengan Mansor dibatalkan dan agamanya dimurtadkan.

Natrah meraung-raung di mahkamah mahu kekal berada dengan keluarga angkatnya dan mahu terus menjadi isteri Mansor. Natrah tidak mahu kembali kepada keluarga kandungnya.

"Saya beragama Islam. Saya tidak mahu pergi ke Belanda,'' kata Natrah di mahkamah sambil memeluk suaminya.

Tetapi dia tidak boleh buat apa-apa. Orang Melayu juga tidak mempunyai sebarang keupayaan. Singapura dan Tanah Melayu masih dijajah Inggeris. Apa yang hanya boleh dilakukan oleh masyarakat Melayu di Singapura ialah melancarkan rusuhan.

Dalam hal ini, tentunya Utusan Melayu yang ketika itu akhbar utama orang Melayu memainkan peranan menyiarkan laporan mengenai perbicaraan dan mahkamah serta ulasan-ulasan bagi meluahkan perasaan orang Melayu.

Maka akhirnya, Natrah dibawa juga ke Belanda, dimurtadkan, ditukarkan namanya kembali kepada Bertha dan pada 20 April 1956 berkahwin dengan Johan Gerardus Wolkenfelt.

Suaminya yang sah dari segi Islam tetapi dipisahkan secara paksa oleh Mahkamah kolonial Inggeris berkahwin dengan Zaiton Juhari setelah ketiadaan Natrah. Beliau aktif dalam Malayan Law Journal sejak tahun 1961 dan menjadi Pengarah Urusan jurnal itu sehingga tahun 1987. Beliau meninggal dunia pada 15 Oktober 1988 di Singapura.

Bagi keluarga angkat Natrah, beliau tetap anaknya. Begitu juga bagi masyarakat Melayu. Walaupun banyak tahun berlalu, ada saja keinginan dari kalangan masyarakat Melayu untuk mengetahui apa yang sedang berlaku pada Natrah.

Orang Melayu berasa pilu dengan peristiwa Natrah itu. Natrah dan keluarga-keluarganya, baik angkat atau kandung adalah mangsa.

Begitu juga dengan mereka yang terbunuh dan cedera dalam Rusuhan Natrah. Lapan belas terbunuh dan 173 cedera apabila tentera menembak para perusuh yang terdiri daripada orang Melayu di Singapura.

Kesemua mereka, dan juga masyarakat Melayu adalah kesemuanya mangsa kepada sistem penindasan kolonialisme dan imperialisme Inggeris, Belanda dan Jepun.
Sumber: Mingguan Malaysia 12 Julai 2009

Thursday, July 9, 2009

Puisi Cinta


Dengan cinta, yang pahit jadi manis,
tembaga jadi emas ;
dengan cinta, keladak jadi jernih,
kesakitan jadi penawar ;
dengan cinta, penjara jadi taman,
tanpanya taman terbiar ;
Dengan cinta, batu jadi cair,
tanpanya, lilin jadi sekeras logam ;
Dengan cinta, sakit bertukar sihat,
dan bala menjadi rahmat;
Dengan cinta, yang mati jadi hidup,dan raja menjadi hamba.
Cinta dan cinta....
Cinta kepada siapa
Cinta untuk siapa
Cinta dari siapa
Cintakan manusia
Cintakan dunia
Cintakan alam fana
Cinta bersifat sementara
Cinta bahagia
Cinta Yang Maha Esa
Cinta RasulNya
Cinta sesama saudara
Atas iman yang mekar
Tidak kan pernah pudar
Hidup dunia kian hambar
Akhirat jua terus segar

Monday, July 6, 2009

Edah Wanita Yang Bercerai


Oleh : Ustaz Shauqi

Tafsir ayat 228 surah al-Baqarah:

Maksud ayat: “Dan isteri-isteri yang diceraikan itu hendaklah menunggu dengan menahan diri mereka (dari berkahwin) selama tiga kali suci (dari haid). dan tidaklah halal bagi mereka menyembunyikan (tidak memberitahu tentang) anak yang dijadikan oleh Allah dalam kandungan rahim mereka, jika betul mereka beriman kepada Allah dan hari akhirat. dan suami-suami mereka berhak mengambil kembali (rujuk akan) isteri-isteri itu dalam masa edah mereka jika suami-suami bertujuan hendak berdamai. dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajipan yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang sepatutnya (dan tidak dilarang oleh syarak); Dalam pada itu orang-orang lelaki (suami-suami itu) mempunyai satu darjat kelebihan atas orang-orang perempuan (isterinya). dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana”.

Dalam ayat ini, Allah menjelaskan bahawa wanita-wanita yang diceraikan oleh suami mereka, tempoh menunggu (edah) yang dikenakan kepada mereka sebelum mereka dapat berkahwin semula ialah tiga quru’ iaitu tiga kali suci atau tiga kali haid. Tujuan edah bagi wanita adalah untuk mempastikan bahawa ‘rahim’ mereka bersih supaya tidak wujud kecelaruan dalam menentukan nasab anak.

Justeru, haram bagi seseorang wanita menyembunyikan ‘kandungan’ di dalam rahimnya bagi membolehkannya berkahwin lain tanpa menunggu habisnya edah bagi orang yang hamil. Allah SWT mengetahui apa jua perlakuan manusia, maka hendaklah seseorang itu bersikap jujur dan amanah sekiranya ia benar-benar beriman kepada Allah SWT dan beriman kepada Hari Akhirat.

Dalam tempoh edah bagi talak raj’ie, suami berhak untuk rujuk kembali dengan isteri yang telah diceraikan itu. Hal ini kerana syarak amat menggalakkan agar ikatan perkahwinan itu dapat dikekalkan sedaya mungkin. Sehubungan dengan itu, perkara ‘halal’ yang paling dibenci oleh Allah ialah talak. Akan tetapi apabila habisnya tempoh edah, maka rujuk tidak dibenarkan lagi melainkan mereka berkahwin semula dengan akad yang baharu.

‘Rujuk’ amat digalakkan sekiranya berniat baik untuk mengembalikan keharmonian rumahtangga. Akan tetapi sekiranya ‘rujuk’ itu berniat dengan yang tidak baik seumpama hendak menganiayai isteri seperti ‘menggantungnya tidak bertali’ maka perbuatan itu adalah haram dan berdosa di sisi Allah. Oleh itu, syarat ‘rujuk’ mestilah dengan tujuan dan kehendak yang baik.

Ayat di atas juga mengingatkan tentang tanggung jawab yang perlu ditunaikan sama ada dari pihak suami mahu pun dari pihak isteri. Namun, tanggung jawab memimpin keluarga dan rumahtangga adalah merupakan amanah yang wajib dipikul oleh suami. Oleh itu, suami juga wajib memberikan nafkah yang wajib kepada isteri berupa makan-minum, pakaian dan tempat tinggal.

Manakala isteri pula bertanggung jawab untuk menjadi ‘pembantu’ dan teman setia kepada suami. Tugasnya lebih tertumpu kepada memelihara kehormatan, menjaga rumah dan mendidik anak-anak. Di samping itu, isteri juga boleh membantu suami untuk keluar bekerja dengan melakukan pekerjaan yang sesuai dengan fitrah wanita sekiranya keadaan amat memerlukan. Namun begitu, adab-adab dan akhlak wajib dipelihara ketika keluar dari rumah seperti menutup aurat, tidak bergaul bebas dan tidak mewujudkan suasana yang boleh menimbulkan fitnah.

Pengajaran Ayat

Wajibnya edah bagi wanita yang bercerai adalah disebabkan perkara-perkara berikut:
- Untuk memastikan ‘rahim’ wanita itu benar-benar ‘bersih’.
- Memelihara kehormatan wanita
- Memelihara nikmat hidup berumahtangga.
- Berfikir akibat selepas perceraian.
- Memberikan peluang untuk kembali hidup sebagai suami isteri
- Berfikir tentang masa depan anak-anak.

Tempoh edah adalah seperti yang berikut:
- Bercerai sebelum sempat bersetubuh – tiada edah.
- Talak bagi wanita yang masih didatangi haid – tiga kali suci / haid
- Wanita yang tidak mempunyai haid seperti kanak-kanak yang belum baligh atau wanita yang sudah putus haid (menopause) – 3 bulan
- Wanita hamil – sehingga melahirkan anak
- Edah bagi suami yang meninggal dunia – 4 bulan 10 hari

Maksud perkataan (( quru’)) dalam ayat di atas:
Maksud ‘quru’ dari segi bahasa ialah suci dan haid. Oleh itu para fuqaha’ berbeza pendapat tentang edah wanita yang diceraikan.
- Pendapat ulama’ mazhab Maliki, Syafei: quru’ bermaksud ‘suci’ daripada haid. Pandangan ini dipegang oleh Ibnu ‘Umar, Aisyah, Zaid Bin Thabit dan salah satu pandangan dalam mazhab Hanbali.
- Pendapat Abu Hanifah dan Imam Ahmad (salah satu pandangan) : quru’ bermaksud haid. Pendapat ini juga dipegang oleh Umar, Ibnu Mas’ud, Abu Musa, Abu Darda’ dan selainnya.

Bagaimanakah terhasilnya ‘rujuk’?
- Ulama’ aliran mazhab Syafei : terhasilnya rujuk semasa edah dengan perkataan yang sarih seperti ‘aku rujuk dengan kamu’, atau kinayah yang ada niat seperti ‘aku nikah dengan kamu’. Rujuk tidak terhasil dengan perbuatan seperti bersetubuh.
- Jumhur ulama’ : terhasilnya rujuk semasa edah sama ada melalui perkataan atau pun perbuatan

Perkahwinan menuntut agar suami dan isteri melaksanakan tanggung jawab dan amanah masing-masing agar keharmonian dan keamanan di dalam rumahtangga dapat diperoleh. Kebahagian akan diperoleh sekiranya dapat mewujudkan kehidupan dan muamalah yang baik dalam keluarga.