Friday, September 18, 2009

Ziarah Kubur Pada Hari Raya


Oleh: Mohd Sukki Bin Othman (Ustaz Shauqi)

Hari raya Aidilfitri ialah hari kemenangan bagi umat Islam yang telah berjaya menundukkan nafsu ammarah di sepanjang bulan Ramadhan. Apabila muncul anak bulan Syawal, diri mereka telah bersih daripada dosa dan mereka sepatutnya benar-benar menjadi orang yang bertakwa. Inilah matlamat ibadah puasa sebagaimana firman Allah S.W.T. menerusi ayat 183 yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman, diwajibkan puasa atas kamu sebagaimana diwajibkan atas umat-umat terdahulu sebelum kamu agar kamu bertakwa."

Hari raya Aidilfitri sekiranya disambut dengan adab-adab yang telah digariskan oleh syara’, sudah tentu ia bukan sahaja mendatangkan kegembiraan dan keseronokan, malahan perayaan tersebut akan diberkati dan diredhai oleh Allah s.w.t. Justeru, kita hendaklah menjadikan hari raya sebagai suatu perayaan ibadat yang penuh dengan ketaatan dan ketakwaan kepada Allah s.w.t.

Dewasa ini, masyarakat Malaysia menyambut hari raya dengan penuh meriah dan menyeronokkan. Pada pagi raya, masyarakat Islam di negara kita berbondong-bondong pergi menziarahi kubur sanak saudara setelah selesai menunaikan solat sunat hari raya. Sesuatu yang perlu dibincangkan ialah apakah ziarah kubur pada hari raya merupakan amalan yang baik di dalam Islam atau sebaliknya? Dan apakah amalan-amalan tersebut dapat meningkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah?

Ziarah Kubur

Pada asasnya, menziarahi kubur itu merupakan sesuatu yang baik dan digalakkan di dalam Islam. Pada zaman permulaan Islam, Nabi Muhammad s.a.w melarang orang Islam menziarahi perkuburan. Larangan ini disebabkan kebimbangan timbulnya kepercayaan lama mereka kepada berhala atau sebarang lambang keberhalaan. Akan tetapi kemudiannya, Nabi s.a.w membenarkan umat Islam menziarahinya.

Justeru, tidak menjadi khilaf dalam kalangan ahli ilmu tentang keharusan bagi lelaki untuk menziarahi kubur, manakala bagi wanita pula, terdapat perselisihan pendapat tentang keharusan dan kewajaran mereka menziarahi kubur.

Menurut ulama’ aliran mazhab Hanafi, ziarah kubur adalah disunatkan kepada lelaki dan wanita. Rasulullah s.a.w. sendiri telah pergi menziarahi perkuburan Baqi’ dan mengucapkan salam kepada orang yang telah mati dengan doa baginda yang bermaksud: ‘Selamat sejahtera wahai penghuni rumah orang yang beriman, dan kami kelak Insya Allah akan menyusuli kamu’. Nabi s.a.w juga bersabda: "Dahulu saya pernah melarang kamu menziarahi kubur tetapi sekarang boleh kamu menziarahinya, kerana menziarahi kubur itu boleh mengingatkan kamu kepada kematian” (Hadis riwayat Imam Muslim), dan pada lafaz yang lain “(menziarahi kubur) mengingatkan kamu kepada akhirat."

Ziarah kubur afdhal dilakukan pada hari Jumaat, Sabtu, Isnin dan Khamis. Sunat menziarahinya serta berdoa dalam keadaan berdiri sebagaimana yang telah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. ketika menziarahi Perkuburan Baqi’. Disunatkan juga ketika menziarahi kubur membaca surah Yasin. Sunat juga dibaca ayat-ayat al-Quran yang lain seperti al-Fatihah, ayat Kursi, surah al-Takathur, surah al-Ikhlas dan sebagainya. (Sila rujuk al-Fiqh al-Islamiy wa Adillatuh oleh Dr. Wahbah Zuhailiy, jilid 2, halaman 540).

Manakala Jumhur fuqaha’ pula, mereka menyatakan bahawa ziarah kubur adalah sunat bagi lelaki dan makruh bagi wanita. Ziarah kubur bagi wanita dianggap makruh kerana jiwa wanita yang lembut akan menyebabkan emosi mereka mudah tersentuh dan seterusnya akan membawa kepada ratapan dan tangisan. Menurut ulama’ aliran mazhab Maliki, larangan (makruh) ini hanyalah kepada wanita muda, tetapi bagi wanita tua yang sudah tiada ada ‘keinginan ‘, maka hukumnya sama seperti lelaki. Ulama’ aliran mazhab Syafie menyatakan bahawa sunat memperbanyakkan ziarah kubur terutamanya menziarahi kubur orang soleh dan baik, dan hendaklah berdiri di hadapan kubur seumpama berdiri di hadapan orang yang hidup. (Sila rujuk al-Fiqh al-Islamiy wa Adillatuh, jilid 2, halaman 541-542).

Jelasnya, ziarah kubur adalah sesuatu perkara yang baik apatah lagi ia dapat mengingatkan kita tentang kematian dan hari akhirat yang merupakan pemangkin ke arah melaksanakan ketaatan kepada Allah dan menjauhi laranganNya. Namun, persoalannya ialah bagaimana pula dengan menziarahi kubur pada hari raya?. Sekiranya dilihat secara umumnya, ziarah kubur boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja kerana tidak ada nas yang melarang menziarahi kubur pada hari-hari tertentu. Begitu juga, masyarakat Islam tidak wajar mengkhususkan pada hari-hari tertentu sahaja seumpama hari raya untuk menziarahi kubur. Sebaliknya menziarahi kubur secara berterusan akan membawa kepada kebaikan pada umat Islam itu sendiri. Apa yang penting daripada ziarah kubur ialah dapat mengingati kematian dan hari akhirat.

Sehubungan dengan itu, apakah menziarahi kubur pada hari raya dapat mendatangkan kesan yang positif kepada umat Islam iaitu dapat mengingati kematian dan hari akhirat? Sekiranya jawapannya adalah ‘Ya’, maka amalan yang seumpama ini bolehlah diteruskan. Akan tetapi, sekiranya jawapan bagi persoalan ini adalah ‘Tidak’, maka ia perlu diselidiki dan diteliti. Apatah lagi, pada kebiasaannya, selepas menunaikan solat hari raya, masyarakat Islam secara beramai-ramai pergi ke kubur dan telah berlaku seolah-olah satu temasya perayaan di tanah perkuburan dengan pakaian yang berwarna-warni, hiruk-pikuk gelak ketawa setelah berjumpa sahabat handai dan sebagainya yang menafikan ingatan kepada kematian dan hari akhirat. Tambah menyedihkan lagi ialah apabila berlakunya percampuran dan pergaulan bebas di antara lelaki dan wanita di tanah perkuburan!. Amat malang apabila sesuatu yang diharapkan menjadi ibadat bertukar menjadi maksiat.

Oleh yang demikian, amalan menziarahi kubur pada hari raya boleh diteruskan sekiranya matlamat keimanan dan ketakwaan dapat dicapai. Masyarakat Islam juga harus sedar bahawa tidak ada suruhan khusus dalam Islam untuk menziarahi kubur pada pagi hari raya. Justeru, mereka hendaklah mencari waktu yang sesuai untuk menziarahinya agar sesuatu yang diharapkan menjadi ibadat tidak bertukar menjadi maksiat. Sekiranya pada pagi hari raya, terdapat ‘pesta’ di tanah perkuburan, maka sewajarnya kita mencari waktu-waktu lain untuk menziarahinya. Tidak semestinya menziarahi tanah perkuburan boleh dilakukan hanya pada pagi hari raya yang pertama sahaja, sebaliknya menziarahi kubur boleh dilakukan pada petang hari raya pertama, atau pada hari raya yang kedua, ketiga, keempat atau pada hari-hari lain yang difikirkan sesuai yang dapat mendatangkan keinsafan dalam diri.

2 comments:

  1. hari raya ni jangan main mercun, bahaya untuk kesihatan!! banyak lagi panduan kesihatan tentang hari raya kat sini - Hari Raya @ Info-Kesihatan-Anda

    ReplyDelete
  2. Selamat Hari Raya Aidilfitri & Selamat Bercuti dari kami di IMCurtain.com. Maaf Zahir dan Batin!

    p/s: Kami ingin mengajak para blogger semua untuk menyertai komuniti blogger kami di IMCurtain.com

    ReplyDelete