Thursday, September 17, 2009

Perayaan 'Idulfitri Menurut Islam


Oleh : Ustaz Shauqi


Semasa menjalani ibadah puasa di bulan Ramadhan, terdapat umat Islam yang tidak sabar-sabar menunggu kedatangan 1 Syawal. Golongan tua dengan persepsinya yang tersendiri terhadap hari raya, dan begitu juga dengan golongan muda dan kanak-kanak. Biasanya golongan tua dan yang sudah berumahtangga akan menjadikan hari raya ini sebagai hari yang penuh kegembiraan dengan segala peralatan rumah yang baru dan serba lengkap.

Ada yang sanggup berhutang demi memuaskan nafsu pada hari raya. Justeru, tidak hairanlah apabila berada di penghujung Ramadhan iaitu pada sepuluh hari yang terakhir, warga Islam di Malaysia biasanya akan sibuk dengan persiapan raya. Gedung-gedung pakaian, kedai perabot, dan supermarket akan dipenuhi dengan ribuan manusia yang membeli belah dan membuat persiapan untuknya.

Golongan muda pula biasanya akan menjadikan hari raya sebagai hari yang penuh sukaria dengan berkumpul bersama rakan taulan dan menonton wayang bersama. Ada pula yang mengambil kesempatan pada hari raya untuk pergi berkelah bersama teman-teman. Manakala kanak-kanak pula mempunyai agenda yang tersendiri pada hari raya iaitu dengan memikirkan cara yang terbaik untuk memperoleh ‘duit raya’ sebanyak mungkin.

Daripada senario yang berlaku pada hari raya Aidilfitri di Malaysia, jelas menunjukkan bahawa masyarakat Islam di Malaysia menjadikan hari raya sebagai hari yang penuh kegembiraan!. Namun, apa yang menjadi persoalannya ialah adakah kegembiraan pada hari raya disambut sebagai suatu kesyukuran di atas kemenangan dapat menjalani ibadah puasa atau semata-mata adat yang dirayakan pada setiap tahun? Apa yang lebih menyedihkan ialah terdapat golongan yang bukan sekadar menganggap hari raya sebagai suatu adat tahunan, tetapi melakukan perkara-perkara yang menyalahi syariat Allah. Dengan menggunakan alasan berada dalam masyarakat majmuk, maka terdapat umat Islam yang menyediakan minuman keras kepada para pengunjung rumah mereka di sepanjang musim raya!

Dalam keghairahan menyambut Hari Raya yang mulia adalah wajar ianya disambut mengikut lunas-lunas yang digariskan oleh syara‘ dan tidak dicampur- adukkan dengan perkara-perkara yang dilarang atau yang diharamkan oleh Islam. Perayaan dalam Islam tidak boleh disamakan dengan sambutan perayaan- perayaan yang lain. Hari raya Aidilfitri merupakan kurniaan Allah S.W.T. khusus kepada hamba- hambaNya yang beribadah dan berjuang melawan hawa nafsu di sepanjang bulan Ramadhan.

Dalam bahasa Arab, hari raya Aidilfitri disebut sebagai ‘Id al-Fitr. Perkataan 'Id bermaksud kembali, perayaan atau hari ulang tahun. Fitr pula bermakna berbuka atau makan minum, iaitu pada hari raya (tanggal 1 Syawal), umat Islam dikehendaki untuk berbuka dan haram berpuasa. Fitr juga bermaksud fitrah atau tabiat semulajadi. Maksudnya ialah ibadah puasa yang dilakukan oleh seseorang itu dalam bulan Ramadhan, disertai dengan ibadah-ibadah lainnya seperti solat tarawih pada malam-malam Ramadhan, bertadarus al-Quran, qiyamullai, zikrullah, berdoa, bersedekah dan sebagainya, akan melebur dan membersihkan segala dosa. Sehubungan dengan itu, pada hari tanggal 1 Syawal umat Islam akan kembali kepada fitrah sehingga keadaan diri mereka seolah-olah kembali bersih seperti bayi yang baru dilahirkan.

Oleh yang demikian, hari raya Aidilfitri ialah hari kemenangan bagi umat Islam yang telah berjaya menundukkan nafsu ammarah di sepanjang bulan Ramadhan. Apabila muncul anak bulan Syawal, diri mereka telah bersih daripada dosa dan mereka sepatutnya benar-benar menjadi orang yang bertakwa. Inilah matlamat ibadah puasa sebagaimana firman Allah S.W.T. menerusi ayat 183 yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman, diwajibkan puasa atas kamu sebagaimana diwajibkan atas umat-umat terdahulu sebelum kamu agar kamu bertakwa."

Akan tetapi, sesuatu yang menyedihkan yang berlaku dalam masyarakat kita ialah sambutan hari raya Aidilfitri lebih tertumpu dalam bentuk fizikal atau lahiriah sahaja, dan sesetengahnya tidak sesuai dengan roh pengajaran Islam. Setiap individu muslim wajib menilai kembali segala aktiviti yang telah berjalan pada hari raya selama ini. Ciri-ciri yang diambil daripada budaya luar Islam atau warisan budaya asing, yang tidak sesuai dengan aqidah dan syari'ah Islam hendaklah ditinggalkan. Makanan, juadah dan kuih-muih boleh disediakan pada hari raya, tetapi hendaklah dalam bentuk yang sederhana. Demikian juga dengan perhiasan rumah, pakaian untuk diri dan anak-anak mestilah sesuai dengan kemampuan ekonomi keluarga.

Hari raya Aidilfitri sekiranya disambut dengan adab-adab yang telah digariskan oleh syara’, sudah tentu ia bukan sahaja mendatangkan kegembiraan dan keseronokan, malahan perayaan tersebut akan diberkati dan diredhai oleh Allah S.W.T.

Antara adab menyambut hari raya Aidilfitri sebagaimana yang digariskan oleh syara’ ialah menghidupkan malam hari raya dengan melakukan amal-amal ibadah seperti mendirikan solat fardhu secara berjemaah, melakukan solat sunat, bertakbir, serta melakukan apa jua kebaikan dan kebajikan. Pada malam tersebut juga, hendaklah memperbanyakkan doa ke hadrat Ilahi. al-Imam al-Syafie telah menegaskan dalam kitabnya ‘al-Umm’ bahawa malam hari raya adalah di antara malam yang mudah diperkenankan doa oleh Allah.

Kemeriahan hari raya lebih dirasai apabila laungan takbir bergema. Firman Allah S.W.T. bermaksud : "Dan sempurnakanlah puasa kamu mengikut bilangan dalam bulan Ramadhan (29 hari atau30 hari) dan bertakbirlah (membesarkan Allah s.w.t.) atas petunjuk-Nya yang diberikan kepada kamu, semoga kamu bersyukur." (Surah al-Baqarah:185).
Namun, apa yang terjadi dalam masyarakat kita ialah takbir itu dilaungkan dalam keadaan sedih dan mendayu-dayu, sehinggakan ada yang menitiskan air mata kesedihan ketika takbir dilaungkan. Sepatutnya, takbir hendaklah dilaungkan dengan lebih bersemangat demi melahirkan kesyukuran dan mengagungkan Allah S.W.T. Allah memerintahkan agar diakui kebesaran dan keagunganNya melalui laungan takbir.

Pada pagi hari raya pula disunatkan mandi sebagaimana hadis yang dikeluarkan oleh Ibnu Majah dan diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abbas bahawa Rasulullah S.A.W mandi pada hari raya Fitrah dan hari raya Adha. Di samping itu, disunatkan juga memakai pakaian yang terbaik yang dimiliki, berwangian dan menghilangkan segala bauan yang tidak menyenangkan.

Sebelum keluar pergi ke masjid untuk menunaikan solat sunat hari raya Fitrah disunatkan makan dan minum terlebih dahulu kerana mengikut apa yang dilakukan Anas Radhiallahu ‘anhu, beliau berkata bahawa "Nabi S.A.W tidak keluar pada waktu pagi hari raya Fitrah sehingga Baginda makan (terlebih dahulu) beberapa biji tamar dan Baginda memakannya dalam bilangan yang ganjil.". (Hadis riwayat al-Bukhari dan Ahmad). Alangkah menyedihkan fenomena pada hari ini apabila umat Islam berduyun-duyun pergi menunaikan solat sunat hari raya, tetapi dalam masa yang sama mereka meninggalkan solat fardhu lima waktu!.

Amalan saling ziarah menziarahi pada hari raya merupakan tradisi yang disyariatkan di dalam Islam. Dalil yang menunjukkan pensyariatannya ialah sebagaimana yang telah diriwayatkan daripada Saidatina Aisyah bahawa beliau telah berkata yang bermaksud: "Rasulullah S.A.W masuk kepadaku, dan di sisiku ada dua orang anak perempuan yang menyanyi dengan nyanyian Bu‘ats. Lalu Baginda baring di atas hamparan dan memalingkan mukanya, dan kemudian Abu Bakar masuk, lalu mengherdikku dengan berkata: "Seruling syaitan di sisi (di tempat) Nabi S.A.W!" Rasulullah S.A.W. menghadap kepada Abu Bakar lalu berkata: "Biarkan mereka berdua itu." Melalui riwayat yang lain, Baginda menambah: "Wahai Abu Bakar, masing-masing kaum ada hari rayanya, dan hari ini adalah hari raya kita". (Hadis riwayat al-Bukhari)

Ibnu Hajar al-‘Asqalani menerangkan di dalam kitabnya Fath Al-Baari bahawa kedatangan atau masuknya Saidina Abu Bakar ke dalam rumah Rasulullah menunjukkan seolah-olah Saidina Abu Bakar datang sebagai pengunjung atau menziarahi Baginda.

Namun, amalan saling ziarah- menziarahi di antara satu sama lain seperti menziarahi orang tua, saudara-mara, kaum kerabat, jiran, para guru dan sahabat-handai sebenarnya tidak terbatas pada hari raya sahaja, tetapi ia perlulah dilakukan pada hari dan bulan lain yang sesuai dari semasa ke semasa, apatah lagi menziarahi ibu bapa, hendaklah dilakukan dengan lebih kerap dan janganlah menunggu untuk menziarahi mereka hanya pada hari raya sahaja.

Kanak-kanak pula perlu dididik agar mereka tidak mengunjungi rumah seseorang semata-mata untuk mendapatkan duit raya. Walaupun memberi sedekah amat digalakkan pada hari raya terutama pada kanak-kanak yang miskin, akan tetapi mereka sewajarnya dididik agar pergi beraya adalah untuk berziarah, bukannya untuk mendapatkan duit raya agar tidak timbul sikap membeza-bezakan rumah dalam melakukan kunjungan.

Dalam keghairahan menyambut hari raya Aidilfitri, perlu diingat supaya jangan sesekali lupa kepada kewajipan terhadap Allah S.W.T seperti mendirikan solat fardhu lima waktu. Sambutan hari raya sebenarnya bukanlah semata-mata kegembiraan atau keseronokan sahaja, tetapi yang lebih penting dan lebih utama ialah untuk mendapatkan keberkatan dan keredhaan Allah S.W.T. Oleh itu, hiasilah hari raya Aidilfitri pada tahun ini dengan sesuatu yang bertepatan dengan hukum syara’. Moga kegembiraan dan keseronokan yang dikecapi pada hari raya, akan juga dapat dikecapi pada hari Akhirat kelak!



No comments:

Post a Comment