Friday, October 2, 2009

Fenomena Rumah Terbuka


Oleh: Ustaz Shauqi

Fenomena dalam menyambut hari raya dalam masyarakat kita akhir-akhir ini ialah dengan mengadakan ‘rumah terbuka’. Konsep rumah terbuka ini adalah sesuatu yang baik sekiranya dilaksanakan mengikut lunas-lunas dan ajaran Islam yang mulia. Namun, apabila ia dilaksanakan dengan mengabaikan tuntutan syarak, maka ia tidak lagi menjadi ibadat sebagaimana yang diharapkan.

Antara tujuan mengadakan ‘rumah terbuka’ ialah untuk menghidupkan amalan ziarah-menziarahi pada hari raya. Sebagaimana yang dimaklumi, amalan saling ziarah menziarahi pada hari raya merupakan tradisi yang disyariatkan di dalam Islam. Begitu juga menjamu jiran dan sahabat-handai dengan makanan dan jamuan merupakan sesuatu yang boleh dikategorikan sebagai sedekah.

Namun, kadang-kala berlaku, ‘rumah terbuka’ yang diadakan itu hanya menjemput golongan tertentu sahaja, yang mengakibatkan amalan ziarah-menziarahi tidak berkembang kepada golongan yang lain. Sesetengah orang pula tidak akan menziarahi rakan taulannya melainkan setelah dibuat ‘rumah terbuka’. Seolahnya amalan ziarah tertakluk kepada adanya rumah terbuka. Sekiranya tiada rumah terbuka, maka amalan ziarah tidak akan dilakukan pada hari raya. Sedangkan apa yang dikehendaki oleh Islam ialah, amalan ziarah-menziarahi itu hendaklah dilakukan bagi menghubungkan ikatan silaturrahim dan hubungan yang erat dalam kalangan umat Islam walaupun dengan ketiadaan ‘rumah terbuka’.

Apa yang lebih penting ialah amalan saling ziarah- menziarahi di antara satu sama lain seperti menziarahi orang tua, saudara-mara, kaum kerabat, jiran, para guru dan sahabat-handai sebenarnya tidak terbatas dengan adanya ‘rumah terbuka’ atau pada hari raya sahaja, tetapi ia perlulah dilakukan dari semasa ke semasa demi mengukuhkan ikatan ukhuwwah dan persaudaraan sesama kita.

Apatah lagi sekiranya ‘rumah terbuka’ yang diadakan telah menyebabkan berlakunya pembaziran, maka ia amat ditegah oleh ajaran Islam. Walaupun hidangan dan juadah yang disajikan semasa ‘rumah terbuka’ tentulah menyelera dan mengasyikkan kita yang melihatnya. Ketupat, lemang, rendang, biskut, kek dan banyak lagi merupakan nikmat dan rezeki yang Allah berikan kepada kita. Namun janganlah sampai membazir!

Akibat terlalu lahap makan dan minum, 'sang penyakit' mula menyerang kita tanpa kita ketahui. Sakit perut, darah tinggi, kencing manis dan sewaktu dengannya adalah penyakit yang selalu kita dengar dan perolehi sejak akhir-akhir ini. Cara pemakanan yang kurang teratur dan stabil adalah punca utama. Pepatah Arab ada mengatakan: "Perut itu pangkal (punca) penyakit dan berjaga-jaga (berpantang) itu pangkal penawar."

Berserdahanalah dalam setiap perkara yang kita lakukan. Sebaik-baik perkara ialah yang sederhana.

2 comments:

  1. Sememangnya itulah lumrah masyarakat kita. Tapi persoalan ditimbulkan bila kita nak berkunjung ke rumah rakan-rakan yang tidak mengadakan 'rumah terbuka' rasa segan pula kot-kot mereka tidak bersedia.Tapi kalau kita memberitahu lebih awal dan pada hari tidak bekerja, rasanya ia amat dialu-alukan oleh tuan rumah.Jangalah sampai depan pintu pagar, terus telefon dan kata nak datang rumah beraya. 'Masaklah' tuan rumah hendak bersiap.kalau rumah macam tongkang pecah, memang pecah tembelang laa...hahaha.Apa komen ustaz?(jumpa masa tutorial oum nanti)Selamat Hari Raya.Maaf Zahir Batin.

    ReplyDelete
  2. dalam ziarah yang penting silaturrahim dan ibadah.adab meraikan tetamu perlu dipraktikkan. tuan rumah perlu menerima tetamu seadanya dan layan tetamu sebaik yang mampu. si tetamu pulak terima seadanya keadaan dan kemampuan tuan rumah. terpulanglah apa yang dihidangkan.makan apa yg ada.cuma skrg dah canggih, nak dtg sms la. tuan rumah plak, dah tau musim raya, sentiasa la kemas rumah. pastikan bersih dan ada stok juadah.

    ReplyDelete