Monday, November 23, 2009

Salam 'Iduladha - Menghayati Semangat Pengorbanan


Oleh: Mohd Sukki Bin Othman (Ustaz Shauqi)

Pada hari Jumaat ini tanggal 10 Zulhijjah 1430 Hijrah bersamaan 27 November 2009 Masihi, umat Islam di Malaysia akan sama-sama merayakan Hari Raya 'Idul Adha atau lebih dikenali sebagai 'Hari Raya Haji' atau 'Hari Raya Korban'. Aidiladha disebut sebagai Hari Raya Korban adalah ekoran ibadah 'korban' yang disyariatkan pada hari tersebut iaitu dengan menyembelih haiwan seperti kambing, lembu, kerbau atau unta.

Penyembelihan korban dilakukan setelah selesai solat 'Idul Adha pada 10 Zulhijjah dan masih diteruskan pada hari-hari Tasyrik iaitu pada 11,12, dan 13 Zulhijjah. Kaedah pembahagian daging korban ialah sepertiga disedekahkan kepada fakir miskin, sepertiga untuk jiran dan sahabat handai walaupun kaya, dan sepertiga lagi adalah untuk kegunaan orang yang melakukan korban. Daging korban disunatkan agar diberi dan disedekahkan secara mentah tanpa dimasak.

Ibadah korban telah disyariatkan pada tahun kedua hijrah. Antara tujuan ibadat ini dilakukan ialah untuk mengingati semangat pengorbanan agung yang telah dilakukan oleh Nabi Ibrahim a.s. dan anaknya Nabi Ismail a.s.. Nabi Ibrahim a.s. telah mendapat wahyu melalui mimpinya bahawa Allah s.w.t. memerintahkannya untuk menyembelih anaknya Ismail. Ini merupakan perintah yang amat berat bagi nabi Ibrahim, apatah lagi Ismail merupakan anak kesayangannya yang dilahirkan setelah baginda melewati usia lanjut, hasil perkongsian hidupnya dengan Hajar.

Namun, kekuatan iman dan semangat pengorbanan yang tinggi yang dimiliki oleh nabi Ibrahim menyebabkan baginda bertekad dengan sepenuh hati untuk melaksanakan perintah Allah ini. Allah s.w.t. telah merakamkan dalam al-Quran kata-kata nabi Ibrahim kepada anaknya, dalam surah al-Saffat ayat 102 yang bermaksud: "Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpiku, bahawa aku (diperintahkan) untuk menyembelihmu, maka apakah pendapatmu". Walaupun Nabi Ismail a.s. ketika itu masih muda, tetapi baginda tidak teragak-agak dalam memberikan persetujuan terhadap perintah Allah ini. Allah telah menyatakan dalam al-Quran tentang jawapan yang diberikan oleh nabi Ismail kepada bapanya, dalam surah al-Saffat ayat 102 yang bermaksud: "Wahai ayahku! Jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu, insya-Allah, ayah akan mendapati (menyaksikan sendiri) daku dari orang yang sabar"

Berbekalkan semangat pengorbanan yang tinggi kepada Allah, Nabi Ibrahim a.s. dan nabi Ismail a.s. bersedia untuk melaksanakan perintah Allah ini. Lalu, Nabi Ibrahim a.s. pun meletakkan pisau yang tajam di leher anaknya untuk menyembelihnya. Pada saat itu juga, Allah s.w.t menunjukkan Kekuasaan dan KeagunganNya dengan menggantikan nabi Ismail dengan kibasy untuk disembelih oleh nabi Ibrahim a.s.

Bermula dari sejarah inilah, ibadah korban dilaksanakan. Nabi Muhammad s.a.w. meneruskan ibadah korban ini, dan ia menjadi satu amalan Islam yang dilaksanakan pada setiap hari raya Aidiladha dan pada hari-hari Tasyrik. Firman Allah dalam surah al-Kawthar ayat 2 bermaksud: "… tunaikanlah solat kerana Tuhan-Mu semata-mata dan sembelihlah korban (sebagai tanda bersyukur)".

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmidhi dan al-Hakim, Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Tidak melakukan seorang anak Adam sesuatu amalan pada hari raya Adha yang lebih disukai oleh Allah Taala daripada menumpahkan darah (menyembelih korban). Sesungguhnya binatang korban itu akan datang pada hari kiamat nanti dengan tanduk, bulu dan kukunya. Dan sesungguhnya darahnya jatuh di sisi Allah pada satu tempat kemuliaan lebih dahulu dari jatuh kebumi. Maka berkiralah diri kamu dengan korban".

Ibadah korban yang dilakukan pada hari raya haji dan pada hari-hari Tasyrik ini bukanlah semata-mata untuk menyembelih binatang dan disedekahkan dagingnya kepada fakir miskin, akan tetapi ia juga merupakan simbolik ke arah semangat pengorbanan dan semangat jihad yang perlu ada pada diri setiap individu muslim. Orang yang akan memperoleh keredhaan Allah, dan yang akan mencapai kecemerlangan di dunia dan di akhirat ialah mereka yang sanggup berkorban masa, tenaga, wang ringgit dan jiwa raga di jalan Allah s.w.t.

Akan tetapi, yang menjadi persoalannya ialah mengapakah terdapat di kalangan umat Islam yang sanggup melakukan ibadah korban dengan menumpahkan darah binatang yang disembelih sebagai tanda taat kepada Allah, namun tidak sanggup 'berkorban' dalam mentaati perintah Allah dalam perkara yang berkait dengan hukum hakam agama yang lain? Mengapakah masih terdapat di kalangan umat Islam yang tidak melaksanakan perintah Allah seperti menunaikan solat lima waktu dengan sempurna, menutup aurat, menghadiri majlis-majlis ilmu yang diadakan di masjid dan surau dan sebagainya? Mengapakah juga masih terdapat di kalangan umat Islam yang bergelumang dengan maksiat dan perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah seperti menipu, rasuah, judi, dan sebagainya?

Justeru, dengan semangat pengorbanan yang ada di musim perayaan Aidiladha ini, marilah sama-sama kita bermuhasabah dan menilai kembali tindak tanduk dan perbuatan kita seharian agar ia selari dengan kehendak dan ajaran islam. Kita hendaklah bersedia melakukan pengorbanan semata-mata mencari keredhaan Allah. Korbankanlah waktu yang ada dengan dimanfaatkan untuk mentaati segala perintah dan suruhan Allah. Korbankanlah juga keinginan nafsu syahwat yang mendorong ke arah kejahatan, dengan meninggalkan segala larangan Allah.

Musuh utama kepada pengorbanan yang hendak dilakukan ialah syaitan dan hawa nafsu. Ia berusaha menipu manusia dengan perasaan sayang yang berlebihan kepada wang ringgit, takut rugi atau membuang masa apabila melakukan sesuatu kebajikan dan amalan soleh, dan bermacam-macam godaan dan tipu dayanya lagi. Allah berfirman dalam surah al-Fatir ayat 6, maksudnya: "Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh bagimu, maka anggaplah ia musuh. Kerana sesungguhnya syaitan-syaitan itu hanya mengajak golongannya supaya menjadi penghuni neraka yang menyala-nyala".

Mudah-mudahan, 'Idul Adha pada tahun ini memberikan sinar pengorbanan yang sejati pada diri setiap individu muslim. Kita akan berusaha apa sahaja demi melakukan pengorbanan dalam mencari keredhaan Allah dan kebahagiaan yang hakiki di dunia dan di akhirat. Firman Allah dalam surah al-Nisa’, ayat 175 bermaksud: "Adapun orang yang beriman kepada Allah dan berpegang teguh kepada agamanya, maka Allah akan memasukkan mereka ke dalam rahmat yang besar darinya (Syurga). Dan limpah kurnianya yang tidak terkira, dan Allah akan menunjukkan mereka ke jalan yang lurus (agama Islam) untuk sampai kepadaNya (Allah)"

Friday, November 20, 2009

Saranan Bekas Murid Sekolah Mubaligh Kristian Kemboja

Saya menerima surat dari bekas murid sekolah mubaligh Kristian, Kemboja yang tinggal di Malaysia... dan beliau turut serta memberi sumbangan untuk program Korban di Kemboja yang saya laksanakan pada tahun ini. Jadi, saya sertakan isi kandungan surat yang beliau tulis untuk renungan kita bersama...



Monday, November 16, 2009

Umpama Wangian Kasturi


Oleh: Mohd Sukki Othman (Ustaz Shauqi)
(artikel ini telah disiarkan di Majalah Solusi, edisi 13)
Sabda Rasulullah bermaksud:

Belajarlah al-Qur’an serta bacalah, kerana perumpamaan al-Qur’an bagi orang yang mahu belajar, membaca, dan melaksanakannya adalah seperti satu bekas yang dipenuhi dengan wangian kasturi yang baunya menyebar pada setiap tempat, dan perumpamaan orang yang mahu mempelajarinya dan ia lupa (mengamalkannya), maka di hatinya seperti ada satu bekas wangian kasturi yang masih tertutup.
(Hadis riwayat al-Tirmidhi)

Dalam hadis ini, Nabi Muhammad s.a.w. telah membawakan satu bidalan dan perumpamaan tentang kelebihan mereka yang beristiqamah dalam membaca dan mengamalkan isi kandungan al-Qur’an. Mereka yang mempelajari al-Qur’an, beristiqamah dalam membacanya dan beramal dengan isi kandungannya telah diumpamakan oleh Rasulullah s.a.w. dengan bekas minyak wangi yang dipenuhi dengan kasturi dan baunya yang harum dapat dihidu di setiap tempat.

Gambaran yang diutarakan oleh Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam di dalam hadis ini amat menarik sekali kerana ia mempunyai kaitan yang amat rapat dengan kesukaan manusia iaitu sesuatu yang wangi dan harum. Semua orang suka kepada sesuatu yang wangi dan harum serta tidak suka kepada sesuatu yang busuk. Itulah fitrah manusia. Sesungguhnya apabila seseorang itu membaca al-Qur’an, keberkatan bacaannya itu umpama kasturi yang wangi dan harum yang akan dapat di’nikmati’ oleh orang yang mendengarnya (Lihat al-Mubarakfuri, 8/153).

Contoh jelas harumnya bacaan ayat-ayat suci al-Quran dapat dihayati melalui kisah Umar al-Khattab yang memeluk Islam. Walaupun pada asalnya Saidina Umar begitu beria-ia hendak membunuh nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wasallam, namun apabila beliau mendengar bacaan ayat-ayat suci al-Quran, hatinya terus terpikat dengan keindahan ayat-ayat suci al-Quran tersebut. Begitulah betapa indah dan harumnya bacaan ayat-ayat suci al-Quran.

Kisah Umar Memeluk Islam

Pada suatu hari, ketika Umar al-Khattab berbincang dan berdiskusi dengan para pemimpin dan ketua-ketua puak Quraisy di Dar al-Nadwah, tentang dakwah yang telah dibawa oleh Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam, Umar kelihatan amat marah dan begitu kuat menentang dakwah Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam. Baginda Rasulullah didakwa sebagai seorang yang membawa perpecahan dalam masyarakat, baginda dilihat sebagai seorang yang memecah-belahkan hubungan di antara ayah dan anak, suami dan isteri serta segala perpecahan yang berlaku dalam kalangan saudara mara.

Perasaan marah yang melua-luap itu telah membuatkan Umar bangun dan berjalan menuju ke rumah al-Arqam Bin Abi al-Arqam. Tujuan Umar ke sana adalah dengan niat untuk membunuh Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam. Ketika dalam perjalanan untuk membunuh Rasulullah, Umar terserempak dengan seorang lelaki dari Bani Zuhrah. Lalu berlakulah dialog di antara mereka berdua. Antara dialog tersebut ialah:

Lelaki Bani Zuhrah: Ke mana engkau hendak pergi wahai Umar? Aku lihat engkau begitu marah sekali!
Umar: Aku hendak pergi membunuh Muhammad!
Lelaki Bani Zuhrah: Bagaimana engkau nak membunuh Muhammad, sedangkan adik engkau Fatimah dan suaminya Zaid pun sudah mengikuti agama Muhammad dan meninggalkan agama engkau!
Umar: Betulkah kata-katamu itu?
Lelaki Bani Zuhrah: Betul dan aku tidak berbohong.
Umar: Kalau benar katamu itu iaitu mereka mengikuti agama Muhammad, aku akan bunuh mereka dengan cara yang kejam!

Umar dengan perasaan yang amat marah bergegas ke rumah adiknya Fatimah. Sekiranya benar sebagaimana yang dikata oleh lelaki Bani Zuhrah itu, maka ia tidak akan membiarkan adiknya dan iparnya itu begitu sahaja, sebaliknya akan dibunuhnya mereka berdua terlebih dahulu. Apabila Umar sampai ke rumah adiknya Fatimah, beliau mendapati pintu rumahnya agak terbuka sedikit. Ketika Umar ingin meluru masuk ke dalam rumah adiknya itu, beliau terdengar suara yang membaca ayat-ayat tertentu yang tidak difahaminya. Pada ketika itu Khabbab sedang mengajar bacaan ayat-ayat al-Quran kepada Fatimah dan Sa’id. Apabila menyedari kehadiran Umar, Khabbab berasa takut lalu bersembunyi.

Umar terus masuk ke dalam rumah dan menemui adiknya Fatimah dan adik iparnya Sa’id. Lalu Umar bertanya: apakah ayat yang aku dengar tadi? Lantas Fatimah pun mengambil lembaran al-Quran dan menyatakan kepada Umar bahawa tiada apa yang didengarnya. Lalu Umar pun berkata kepada sepasang suami isteri itu: “Aku mendengar bahawa kamu berdua telah mengikut agama Muhammad!”. Lalu Umar menampar dengan sekuat hati muka adik iparnya Sa’id sehingga mengalir darah dimukanya. Fatimah bingkas bangun untuk mempertahankan suaminya, lalu ditampar pula oleh Umar sehingga melukakannya.

Perstiwa ini telah menguji keimanan Fatimah dan suaminya Sa’id. Lalu dengan tegas mereka berdua berkata kepada ‘Umar: “Ya, kami telah memeluk Islam dan kami juga telah beriman kepada Allah dan rasulNya, oleh itu buatlah apa sahaja yang kamu suka terhadap kami!.” Dalam suasana darah yang masih mengalir di muka Fatimah dan Sa’id, dan jawapan mereka berdua yang menyatakan tentang keimanan mereka tanpa sebarang ragu dan takut telah memberikan kesan di hati ‘Umar.

Lalu Umar pun berkata kepada adiknya dengan suara yang sedikit lembut: “Berikan kepadaku helaian yang mengandungi bacaan yang aku dengar tadi yang dibawa oleh Muhammad itu.” Fatimah berkata: “Kami bimbang kamu akan membuat sesuatu kepada helaian al-Quran ini.” Jawab Umar: “Jangan takut, aku tak akan melakukan sesuatu yang tidak baik.”

Kemudian Fatimah pun memberikan lembaran yang mengandungi ayat al-Quran tersebut kepada Umar setelah memintanya untuk mandi dan membersihkan dirinya terlebih dahulu. Umar pun membaca ayat-ayat tersebut:

Maksudnya: “Taa’ Haa, Kami tidak menurunkan Al-Quran kepadamu (Wahai Muhammad) supaya engkau menanggung kesusahan, Hanya untuk menjadi peringatan bagi orang yang takut melanggar perintah Allah, (Al-Quran) diturunkan daripada (Tuhan) yang menciptakan bumi dan langit yang tinggi, Iaitu (Allah) Ar-Rahman, Yang bersemayam di atas Arasy.” (Surah Taha , ayat 1-5)

Setelah selesai membacanya, Umar pun berkata: “Betapa cantik dan mulianya ayat-ayat ini”!. Apabila mendengar kata-kata Umar, Khabbab pun keluar dari persembunyian dan mengucapkan tahniah kepada Umar dan ia pun memberitahu bahawa nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam pernah berdoa memohon kepada Allah agar dibuka pintu hidayah pada salah seorang daripada dua Umar. Apabila Umar mendengarnya, hatinya semakin tertarik dengan Islam dan dia meminta Khabbab untuk memberitahu di manakah lokasi nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wasallam agar beliau dapat berjumpa dengan Rasulullah dan menyatakan keislamannya kepada baginda.

Begitulah ‘harum’nya ayat-ayat suci al-Quran sehingga dapat mengubah Saidina Umar daripada seorang musuh dan penentang Islam kepada seorang sahabat nabi yang menggunakan keseluruhan hidupnya untuk memperjuangkan serta meninggikan kalimah Allah.

Umpama Bekas Wangian Kasturi

al-Muzhir telah menyatakan bahawa sesiapa yang membaca al-Qur’an, akan sampailah keberkatan itu ke rumahnya dan kepada para pendengar, lalu ketenangan dan pahala itu akan dapat diperolehi sejauh sampainya suara bacaan itu, seperti bekas winyak wangi yang dipenuhi dengan kasturi, apabila dibuka penutupnya nescaya wangiannya itu akan sampai ke segenap tempat di sekitarnya.

Oleh itu, bayangkanlah betapa wangi dan harumnya persekitaran rumah apabila sentiasa dikumandangkan ayat-ayat suci al-Quran dan diamalkan segala isi kandungannya. Begitu juga ketenangan dan keberkatan akan diperoleh apabila seseorang itu menjadikan al-Quran sebagai bacaan yang diamalkan setiap hari.

Manakala bagi mereka yang mempelajari al-Qur’an tetapi tidak membaca dan tidak beramal dengannya, maka keberkatan itu tidak akan sampai kepada dirinya juga kepada orang lain seperti bekas winyak wangi yang dipenuhi dengan kasturi yang tidak dibuka penutupnya nescaya wangian itu tidak akan sampai kepada sesiapa sekalipun. Justeru, mempelajari al-Quran sahaja tidak mencukupi selagi ia tidak disusuli dengan membacanya dan beramal dengan isi kandungannya. Pepatah Arab ada menyatakan: ”Ilmu tanpa amalan bak pohon yang tiada berbuah”. Ringkasnya, penggunaan bidalan dan perumpamaan dalam hadis ini telah berjaya memberikan perasaan kerinduan kepada orang-orang mukmin untuk sentiasa berdamping dengan al-Qur’an.

Wednesday, November 11, 2009

Istiqamah Umpama Asiyah Isteri Firaun


Oleh: Mohd Sukki Othman (Ustaz Shauqi)
(artikel ini telah disiarkan di Majalah Solusi, edisi 11)

Firman Allah S.W.T.:

Maksudnya:
Dan Allah mengemukakan satu mithal perbandingan (yang menyatakan tidak ada mudharatnya) kepada orang mukmin (berhubung rapat dengan orang-orang kafir kalau tidak terjejas keadaan imannya), iaitu: hal isteri Firaun, ketika dia berkata: “Wahai Tuhanku! binalah untukku sebuah rumah disisimu dalam syurga, dan selamatkanlah aku dari Firaun dan perbuatannya (yang kufur dan buas), serta selamatkanlah aku dari kaum yang zalim. (al-Quran, al-Tahrīm 66:11)

Apabila disebut sahaja nama Firaun, maka semua sudah mengetahui betapa beliau merupakan seorang manusia yang zalim dan menentang Allah. Bahkan, beliau juga telah mengaku dirinya sebagai ‘tuhan’ . Sehubungan dengan itu, beliau menentang dengan keras dakwah yang disampaikan oleh Nabi Musa as.

Namun, sesuatu yang amat ‘mengejutkan’ ialah kebatilan Firaun itu ditentang oleh isterinya sendiri yang mengetahui betapa Firaun merupakan seorang manusia yang sesat lagi zalim. Isteri Firaun amat mengenali suaminya itu, lalu dengan mudah dia menolak ‘ketuhanan’ yang diakui oleh Firaun. Sebaliknya isteri Firaun itu beriman kepada Allah dan amat komited mempertahankan aqidahnya kepada Allah.

Menurut al-Shaukani, Allah S.W.T. telah menjadikan isteri Firaun sebagai suatu bidalan dan perumpamaan bertujuan untuk memberi perangsang dan semangat kepada orang yang beriman agar mereka tetap beristiqamah dalam ketaatan kepada Allah S.W.T., serta berpegang kuat dengan ajaran agama dan bersabar dalam menghadapi apa jua cabaran dan rintangan. Walaupun Asiah isteri Firaun ini berada dalam suasana kekufuran yang dicetuskan oleh suaminya Firaun, namun keimanan yang teguh dan kental telah menyelamatkan dirinya daripada kegelapan kekufuran tersebut.

Keimanan kepada Allah merupakan sesuatu yang amat bernilai dan berharga. Hal ini adalah kerana natijah bagi orang yang beriman ialah syurga yang disediakan untuknya di akhirat. Oleh yang demikian, sesuatu nikmat dan kebahagiaan itu bukanlah boleh didapati secara mudah dan senang. Ia memerlukan kepada pengorbanan dan usaha yang berterusan. Bak kata pepatah… “berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakitlah dahulu, bersenang-senang kemudian”.

Orang yang ingin berjaya di dunia ini pun perlukan pengorbanan, apatah lagi kejayaan yang diimpikan di akhirat!. Sehubungan dengan itu, nabi SAW telah menyatakan kepada seseorang yang mengajukan kepada nabi persoalan tentang apakah amalan yang terbaik dengan sabda baginda: “katakanlah: aku beriman kepada Allah, kemudian hendaklah kamu beristiqamah!”.

Rintangan Dan Cabaran

Dalam kehidupan ini, sesuatu kemanisan dan kebaikan tidak akan dapat dicapai dengan mudah melainkan melalui cabaran dan dugaan. Sebagai contohnya ialah seorang pelajar yang ingin berjaya dalam peperiksaan, mahu tidak mahu, dia hendaklah ‘bersengkang’ mata menelaah pelajaran untuk mencipta kejayaan. Tanpa sebarang cabaran dan rintangan, maka kejayaan itu sukar diperoleh.

Begitu juga kalau dilihat pada seorang kanak-kanak yang baru belajar untuk berjalan. Bukan mudah baginya untuk menapak kaki ke hadapan setapak demi setapak. Baru aja hendak melangkah, ia terus jatuh tersungkur ke hadapan. Namun, kesabaran dan kecekalan yang ada pada dirinya untuk terus berjalan, maka ia tidak pernah mengenal putus asa… segala kesakitan yang dialami ditempuh dengan penuh kecekalan dan semangat. Akhirnya kanak-kanak tersebut boleh berjalan.

Apatah lagi dalam menghadapi kehidupan di dunia ini, banyak sekali cabaran dan dugaan yang akan dihadapi dan ditempuhi untuk menuju kejayaan. Orang yang beriman hendaklah bersabar dalam melaksanakan ketaatan dan menjauhi sebarang maksiat demi sebuah kebahagiaan di dunia dan di akhirat.

Siapakah Isteri Firaun?

Menurut al-Qurtubi dan Ibnu ‘Ashur, nama isteri Firaun ialah Āsiyah binti Muzāhim dan sebahagian daripada ahli-ahli tafsir telah mengatakan bahawa beliau ialah emak saudara kepada Nabi Musa a.s.. Beliau tetap mempertahankan keimanannya kepada Allah S.W.T. dan kepada Nabi Musa a.s. walaupun suaminya Firaun adalah merupakan musuh Allah S.W.T. Dengan keimanannya itu, dia diseksa oleh Firaun hinggalah meninggal dunia.

Menurut al-Tabari dalam kitab tafsirnya, sebagai ganjaran terhadap ketabahan isteri Firaun itu dalam mempertahankan aqidah, doanya telah diperkenankan oleh Allah dengan dibina baginya sebuah mahligai di syurga. Penggunaan bidalan dalam ayat ini adalah bertujuan menanamkan sifat tabah dan cekal dalam meningkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah.

Istiqamah

Istiqamah merupakan sesuatu yang amat sukar, namun ia amat bermakna dalam kehidupan seseorang. Firman Allah dalam surah al-Fussilat ayat 30 bermaksud: “Sesungguhnya orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: "Tuhan Kami ialah Allah", kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul (beristiqamah), akan turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham): "Janganlah kamu bimbang (dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berdukacita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu”.

Jadikanlah diri kita seumpama isteri Firaun yang tetap beristiqamah dalam ketaatan kepada Allah walau terpaksa berhadapan dengan kezaliman dan kekejaman suaminya sendiri. Walaupun beristiqamah itu sukar, namun kemanisannya amat terasa. Renungilah pepatah Melayu yang tak lekang dek zaman: “Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian”. Moga istiqamah dalam ketaatan sebagai hamba Allah akan membawa kecemerlangan hidup di dunia dan di akhirat.

Friday, November 6, 2009

Ibarat Kebun Yang Subur


Oleh: Mohd Sukki Othman (Ustaz Shauqi)
(artikel ini telah disiarkan di Majalah Solusi, edisi 10)

Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 265:

Dan bandingan orang yang membelanjakan hartanya kerana mencari keredhaan Allah dan kerana meneguhkan (iman dan perasaan ikhlas) yang timbul dari jiwa mereka, adalah seperti sebuah kebun di tempat yang tinggi, yang ditimpa hujan lebat, lalu mengeluarkan hasilnya dua kali ganda. Kalau ia tidak ditimpa hujan lebat maka hujan renyai-renyai pun (cukup untuk menyiraminya). Dan (ingatlah) Allah sentiasa melihat akan apa yang kamu lakukan. al-Qur’an, al-Baqarah 2: 265

Manusia dan Harta

Suka kepada harta merupakan tabiat semulajadi manusia. Firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala dalam surah Ali ‘Imran ayat 14 bermaksud: “Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, Iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu syurga)”.

Firman Allah Ta‘ala yang lain dalam surah al-Fajr ayat 20 bermaksud: ”Kamu pula sayangkan harta secara bersungguh-sungguh!”. Walaupun sifat tamak sudah menjadi tabiat semulajadi manusia, namun ia hendaklah diasuh dan dididik supaya menjadi positif. Sifat tersebut sewajarnya dijadikan sebagai motivasi untuk bekerja dan berusaha dengan bersungguh-sungguh mencari rezeki secara halal serta membelanjakannya di jalan Allah SWT.

Mencari harta kekayaan itu suatu keperluan dalam kehidupan, malahan memang umat Islam disuruh mencari kekayaan selama mana ia selari dengan kehendak Islam bagi memenuhi tuntutan untuk melaksanakan tugas membiayai keperluan hidup sendiri, keluarga bahkan untuk membangunkan ummah.

Harta amat penting bagi kehidupan manusia untuk menuju ke jalan yang diredai Allah. Contohnya ialah, kita amat memerlukan harta apabila hendak mengerjakan haji, dan mengeluarkan zakat. Sehubungan itu, Islam tidak menegah manusia mencari habuan untuk kehidupan di dunia tetapi janganlah pula dilupai mengenai bekalan di akhirat.

Hal ini jelas dinyatakan Allah melalui Firman-Nya yang bermaksud, Carilah apa-apa yang telah dikurniakan Allah untuk kebahagiaan di akhirat dan janganlah pula lupa untuk habuan kamu di dunia. (al-Qasas: 77).

Namun, sesuatu yang perlu diingatkan juga ialah harta kekayaan tidak akan membawa erti tanpa ada keberkatan. Dengan adanya keberkatan, harta atau rezeki yang sedikit akan dirasakan seolah-olah banyak dan mencukupi. Sebaliknya walaupun hartanya banyak tetapi tidak ada keberkatan, akan dirasakan sempit dan susah. Justeru, harta yang berkat ialah harta yang dibelanjakan di jalan Allah SWT.

Kebun Yang Subur

Bidalan dalam Surah al-Baqarah ayat 265 di atas ditujukan khusus kepada orang beriman yang menafkahkan dan mengeluarkan harta mereka semata-mata untuk mencapai keredaan Allah S.W.T. Menafkahkan harta serta membelanjakannya di jalan Allah S.W.T. merupakan antara elemen terpenting yang menunjukkan sifat ketaatan yang bersemadi di dalam jiwa seseorang kehadrat Ilahi.

Hati yang dipenuhi dengan keimanan sahajalah yang akan membuatkan seseorang itu akan mengeluarkan hartanya demi mencapai keredaan Allah S.W.T. Hati seorang mukmin yang disuburkan melalui amalan sedekah adalah ibarat tanah subur yang disirami hujan, lalu mengeluarkan hasil yang banyak dan berlimpah-ruah (sila lihat Sayyid Qutb, Fi zilal Al-Qur’an, Dār al-Shurūq, Beirut, 1992, jil. 1, hlm. 309)

Orang yang membelanjakan hartanya dengan penuh keikhlasan ini diumpamakan dengan kebun yang berada di dataran tinggi yang sentiasa menerima siraman hujan. Kebun yang berada di dataran yang tinggi biasanya mempunyai tanah yang subur kerana keadaan tempatnya yang tinggi itu akan mudah memperolehi udara dan cahaya matahari yang cukup, sekaligus akan menghasilkan buah-buahan yang baik dan bermutu (sila lihat Al-Zuhaili, Wahbah, al-Tafsir al-munir, Dār al-Fikr al-Mucāşir, Beirut, 1991, jil. 3, hlm. 53).

Ibnu Kathir melalui kitab tafsirnya pula telah menukilkan pandangan Ibnu ‘Abbās dan al-Dhahhāk yang menyatakan bahawa keadaan kebun di dataran tinggi itu tentunya mempunyai sungai yang sentiasa mengalir yang sekaligus mengairi kebun tersebut. Begitulah betapa indah dan cantiknya gambaran kebun yang dinyatakan bagi menggambarkan kelebihan mereka yang membelanjakan harta di jalan Allah.

al-Zamakhsharī dalam tafsirnya telah menyatakan bahawa bidalan ini telah menunjukkan bahawa sedekah yang dikeluarkan itu adalah laksana hujan, sekiranya sedekah itu banyak maka ia seperti hujan yang lebat, sekiranya sedikit ia seperti hujan renyai-renyai.

Kesimpulannya ialah orang yang mengeluarkan hartanya di jalan Allah S.W.T. dengan harapan untuk mencapai keredaan Ilahi, akan berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk meneruskan amalan tersebut. Sekiranya mereka dikurniakan rezeki yang banyak, mereka akan mengeluarkan harta mereka dengan banyak, begitu juga sekiranya mereka dikurniakan rezeki yang sedikit, mereka tetap akan menginfakkannya walaupun sedikit.

Amalan orang yang beriman ini sangatlah baik dan digalakkan oleh Islam dan ia samalah seperti tanah kebun yang subur yang pasti akan mengeluarkan hasil sama ada disirami hujan dengan lebat atau sedikit. Sehubungan dengan itu, wajar kita bertanya diri kita apakah kita mahu menjadi seumpama kebun yang subur dengan membelanjakan harta di jalan Allah atau menjadi kebun yang kering-kontang yang langsung tidak mendatangkan hasil?!. Tepuk dada, Tanya iman!.

Timbul pula satu persoalan…. Walaupun mengetahui keistimewaan dan kurniaan yang banyak bagi mereka yang membelanjakan harta di jalan Allah, namun mengapakah masih terdapat mereka yang masih bakhil dan kedekut terutamanya dalam kalangan orang Islam itu sendiri? Untuk menyelesaikan masalah ini, setiap individu perlu bermuhasabah dan bertanya diri sendiri persoalan-persoalan berikut:

- adakah harta yang dimiliki adalah hak mutlak kita atau hak mutlak Allah SWT?
- Adakah membelanjakan harta di jalan Allah akan menyebabkan harta kita semakin berkurangan atau semakin bertambah ekoran keberkatan yang dikurniakan Allah?
- Adakah harta yang dikumpul di atas dunia ini akan berkekalan selamanya dan boleh di bawa sekali ke liang lahad?
- Adakah harta yang dimiliki boleh menjamin kebahagiaan seseorang sekiranya tidak ada keberkatan pada harta tersebut?
- Apakah yang paling penting dalam kehidupan seseorang demi menjamin kebahagiaan di akhirat kelak?

Sekiranya persoalan-persoalan di atas dapat dijawab dengan penuh rasional dan keinsafan, sudah tentu kita akan berusaha memanfaatkan harta yang dimiliki sebaik mungkin dengan membelanjakannya di jalan Allah demi kecemerlangan dunia dan akhirat. Kata-kata Ibrahim Adham boleh dijadikan panduan iaitu: “Letakkanlah Dinar dan Dirham (wang ringgit) itu di atas tangan dan janganlah meletakkannya di dalam hati”.