Monday, November 16, 2009

Umpama Wangian Kasturi


Oleh: Mohd Sukki Othman (Ustaz Shauqi)
(artikel ini telah disiarkan di Majalah Solusi, edisi 13)
Sabda Rasulullah bermaksud:

Belajarlah al-Qur’an serta bacalah, kerana perumpamaan al-Qur’an bagi orang yang mahu belajar, membaca, dan melaksanakannya adalah seperti satu bekas yang dipenuhi dengan wangian kasturi yang baunya menyebar pada setiap tempat, dan perumpamaan orang yang mahu mempelajarinya dan ia lupa (mengamalkannya), maka di hatinya seperti ada satu bekas wangian kasturi yang masih tertutup.
(Hadis riwayat al-Tirmidhi)

Dalam hadis ini, Nabi Muhammad s.a.w. telah membawakan satu bidalan dan perumpamaan tentang kelebihan mereka yang beristiqamah dalam membaca dan mengamalkan isi kandungan al-Qur’an. Mereka yang mempelajari al-Qur’an, beristiqamah dalam membacanya dan beramal dengan isi kandungannya telah diumpamakan oleh Rasulullah s.a.w. dengan bekas minyak wangi yang dipenuhi dengan kasturi dan baunya yang harum dapat dihidu di setiap tempat.

Gambaran yang diutarakan oleh Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam di dalam hadis ini amat menarik sekali kerana ia mempunyai kaitan yang amat rapat dengan kesukaan manusia iaitu sesuatu yang wangi dan harum. Semua orang suka kepada sesuatu yang wangi dan harum serta tidak suka kepada sesuatu yang busuk. Itulah fitrah manusia. Sesungguhnya apabila seseorang itu membaca al-Qur’an, keberkatan bacaannya itu umpama kasturi yang wangi dan harum yang akan dapat di’nikmati’ oleh orang yang mendengarnya (Lihat al-Mubarakfuri, 8/153).

Contoh jelas harumnya bacaan ayat-ayat suci al-Quran dapat dihayati melalui kisah Umar al-Khattab yang memeluk Islam. Walaupun pada asalnya Saidina Umar begitu beria-ia hendak membunuh nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wasallam, namun apabila beliau mendengar bacaan ayat-ayat suci al-Quran, hatinya terus terpikat dengan keindahan ayat-ayat suci al-Quran tersebut. Begitulah betapa indah dan harumnya bacaan ayat-ayat suci al-Quran.

Kisah Umar Memeluk Islam

Pada suatu hari, ketika Umar al-Khattab berbincang dan berdiskusi dengan para pemimpin dan ketua-ketua puak Quraisy di Dar al-Nadwah, tentang dakwah yang telah dibawa oleh Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam, Umar kelihatan amat marah dan begitu kuat menentang dakwah Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam. Baginda Rasulullah didakwa sebagai seorang yang membawa perpecahan dalam masyarakat, baginda dilihat sebagai seorang yang memecah-belahkan hubungan di antara ayah dan anak, suami dan isteri serta segala perpecahan yang berlaku dalam kalangan saudara mara.

Perasaan marah yang melua-luap itu telah membuatkan Umar bangun dan berjalan menuju ke rumah al-Arqam Bin Abi al-Arqam. Tujuan Umar ke sana adalah dengan niat untuk membunuh Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam. Ketika dalam perjalanan untuk membunuh Rasulullah, Umar terserempak dengan seorang lelaki dari Bani Zuhrah. Lalu berlakulah dialog di antara mereka berdua. Antara dialog tersebut ialah:

Lelaki Bani Zuhrah: Ke mana engkau hendak pergi wahai Umar? Aku lihat engkau begitu marah sekali!
Umar: Aku hendak pergi membunuh Muhammad!
Lelaki Bani Zuhrah: Bagaimana engkau nak membunuh Muhammad, sedangkan adik engkau Fatimah dan suaminya Zaid pun sudah mengikuti agama Muhammad dan meninggalkan agama engkau!
Umar: Betulkah kata-katamu itu?
Lelaki Bani Zuhrah: Betul dan aku tidak berbohong.
Umar: Kalau benar katamu itu iaitu mereka mengikuti agama Muhammad, aku akan bunuh mereka dengan cara yang kejam!

Umar dengan perasaan yang amat marah bergegas ke rumah adiknya Fatimah. Sekiranya benar sebagaimana yang dikata oleh lelaki Bani Zuhrah itu, maka ia tidak akan membiarkan adiknya dan iparnya itu begitu sahaja, sebaliknya akan dibunuhnya mereka berdua terlebih dahulu. Apabila Umar sampai ke rumah adiknya Fatimah, beliau mendapati pintu rumahnya agak terbuka sedikit. Ketika Umar ingin meluru masuk ke dalam rumah adiknya itu, beliau terdengar suara yang membaca ayat-ayat tertentu yang tidak difahaminya. Pada ketika itu Khabbab sedang mengajar bacaan ayat-ayat al-Quran kepada Fatimah dan Sa’id. Apabila menyedari kehadiran Umar, Khabbab berasa takut lalu bersembunyi.

Umar terus masuk ke dalam rumah dan menemui adiknya Fatimah dan adik iparnya Sa’id. Lalu Umar bertanya: apakah ayat yang aku dengar tadi? Lantas Fatimah pun mengambil lembaran al-Quran dan menyatakan kepada Umar bahawa tiada apa yang didengarnya. Lalu Umar pun berkata kepada sepasang suami isteri itu: “Aku mendengar bahawa kamu berdua telah mengikut agama Muhammad!”. Lalu Umar menampar dengan sekuat hati muka adik iparnya Sa’id sehingga mengalir darah dimukanya. Fatimah bingkas bangun untuk mempertahankan suaminya, lalu ditampar pula oleh Umar sehingga melukakannya.

Perstiwa ini telah menguji keimanan Fatimah dan suaminya Sa’id. Lalu dengan tegas mereka berdua berkata kepada ‘Umar: “Ya, kami telah memeluk Islam dan kami juga telah beriman kepada Allah dan rasulNya, oleh itu buatlah apa sahaja yang kamu suka terhadap kami!.” Dalam suasana darah yang masih mengalir di muka Fatimah dan Sa’id, dan jawapan mereka berdua yang menyatakan tentang keimanan mereka tanpa sebarang ragu dan takut telah memberikan kesan di hati ‘Umar.

Lalu Umar pun berkata kepada adiknya dengan suara yang sedikit lembut: “Berikan kepadaku helaian yang mengandungi bacaan yang aku dengar tadi yang dibawa oleh Muhammad itu.” Fatimah berkata: “Kami bimbang kamu akan membuat sesuatu kepada helaian al-Quran ini.” Jawab Umar: “Jangan takut, aku tak akan melakukan sesuatu yang tidak baik.”

Kemudian Fatimah pun memberikan lembaran yang mengandungi ayat al-Quran tersebut kepada Umar setelah memintanya untuk mandi dan membersihkan dirinya terlebih dahulu. Umar pun membaca ayat-ayat tersebut:

Maksudnya: “Taa’ Haa, Kami tidak menurunkan Al-Quran kepadamu (Wahai Muhammad) supaya engkau menanggung kesusahan, Hanya untuk menjadi peringatan bagi orang yang takut melanggar perintah Allah, (Al-Quran) diturunkan daripada (Tuhan) yang menciptakan bumi dan langit yang tinggi, Iaitu (Allah) Ar-Rahman, Yang bersemayam di atas Arasy.” (Surah Taha , ayat 1-5)

Setelah selesai membacanya, Umar pun berkata: “Betapa cantik dan mulianya ayat-ayat ini”!. Apabila mendengar kata-kata Umar, Khabbab pun keluar dari persembunyian dan mengucapkan tahniah kepada Umar dan ia pun memberitahu bahawa nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam pernah berdoa memohon kepada Allah agar dibuka pintu hidayah pada salah seorang daripada dua Umar. Apabila Umar mendengarnya, hatinya semakin tertarik dengan Islam dan dia meminta Khabbab untuk memberitahu di manakah lokasi nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wasallam agar beliau dapat berjumpa dengan Rasulullah dan menyatakan keislamannya kepada baginda.

Begitulah ‘harum’nya ayat-ayat suci al-Quran sehingga dapat mengubah Saidina Umar daripada seorang musuh dan penentang Islam kepada seorang sahabat nabi yang menggunakan keseluruhan hidupnya untuk memperjuangkan serta meninggikan kalimah Allah.

Umpama Bekas Wangian Kasturi

al-Muzhir telah menyatakan bahawa sesiapa yang membaca al-Qur’an, akan sampailah keberkatan itu ke rumahnya dan kepada para pendengar, lalu ketenangan dan pahala itu akan dapat diperolehi sejauh sampainya suara bacaan itu, seperti bekas winyak wangi yang dipenuhi dengan kasturi, apabila dibuka penutupnya nescaya wangiannya itu akan sampai ke segenap tempat di sekitarnya.

Oleh itu, bayangkanlah betapa wangi dan harumnya persekitaran rumah apabila sentiasa dikumandangkan ayat-ayat suci al-Quran dan diamalkan segala isi kandungannya. Begitu juga ketenangan dan keberkatan akan diperoleh apabila seseorang itu menjadikan al-Quran sebagai bacaan yang diamalkan setiap hari.

Manakala bagi mereka yang mempelajari al-Qur’an tetapi tidak membaca dan tidak beramal dengannya, maka keberkatan itu tidak akan sampai kepada dirinya juga kepada orang lain seperti bekas winyak wangi yang dipenuhi dengan kasturi yang tidak dibuka penutupnya nescaya wangian itu tidak akan sampai kepada sesiapa sekalipun. Justeru, mempelajari al-Quran sahaja tidak mencukupi selagi ia tidak disusuli dengan membacanya dan beramal dengan isi kandungannya. Pepatah Arab ada menyatakan: ”Ilmu tanpa amalan bak pohon yang tiada berbuah”. Ringkasnya, penggunaan bidalan dan perumpamaan dalam hadis ini telah berjaya memberikan perasaan kerinduan kepada orang-orang mukmin untuk sentiasa berdamping dengan al-Qur’an.

1 comment:

  1. Pelatihan Solat Mudah
    Membuka cakrawala dan melatih anda secara langsung tahap-tahap menerima khusyu' dalam solat, menjernihkan jiwa anda, meraih ketenangan sempurna (thuma'ninah) dan pengalaman puncak (peak experience) yang mampu menghalau segala rasa cemas dan nervous.

    Banyak orang beranggapan bahawa solat khusyuk hanya dapat diraih oleh para wali atau para kaum sufi sahaja. Padahal Solat khusyuk itu mudah.

    Sebagaimana terdapat dlm Al-Qur’an, seharusnya setiap orang yang beriman ketika solat mereka dalam keadaan khusyuk. Banyak manfaat solat hanya dapat kita perolehi jika kita melakukan dengan khusyuk. Salah satunya solat akan membentuk peribadi mulia. Solat khusyuk dapat memberi kebaikan secara langsung kepada diri kita, keluarga, pekerjaan dan persekitaran

    Kursus Khusyuk Itu Mudah menggunakan kaedah pendekatan yang mudah difahami dan telah terbukti keberhasilannya. Dibimbing secara langsung oleh Ustaz Abu Sangkan, penulis buku best seller PELATIHAN SHALAT KHUSYU’, peserta akan diajak untuk meraih solat khusyuk dengan cepat.

    Jangan lepaskan peluang ini untuk mengikuti Kursus Khusyuk Itu Mudah dan laluilah nikmat hari-hari penuh kedamaian
    Daftar Segera – Tempat Terhad
    Tarikh: 21 – 22 November 2009 (Sabtu dan Ahad)
    Yuran: RM250
    HUBUNGI: SOLAT CENTER MALAYSIA:
    019 267 9294, 019 624 1965, 019 262 7304, kualalumpur@shalatcenter.com

    ReplyDelete