Tuesday, December 29, 2009

Adab Menyambut Tahun Baharu


Oleh
Mohd Sukki Othman(ustaz Shauqi)

artikel ini disiarkan dalam Majalah Milenia Muslim keluaran Januari 2010


Masa berlalu dengan begitu pantas. Hari berganti hari, bulan berganti bulan dan tahun berganti tahun. Sama ada sedar atau pun tidak, kini kita sudah pun hampir melangkah ke tahun baharu 2010 dan dua minggu sebelum menyambut tahun baharu masihi, umat Islam di seluruh dunia menyambut tahun baharu hijrah 1431. Tahun baharu disambut dengan begitu meriah disusuli dengan ’azam’ baru yang dibuat sempena dengan kedatangan tahun baharu ini. Namun, apabila sambutan tahun baharu dicemari dengan perbuatan yang tidak beradab, maka segala keazaman yang dibuat tidak memberikan sebarang makna dan nilai. Hal ini kerana azam yang baik mestilah dimulakan dengan perilaku dan adab yang baik dalam kehidupan.

Ketika sambutan tahun baharu hijrah, terdapat segelintir masyarakat yang sering mempertikaikan upacara sambutan yang dibuat dengan doa awal tahun dan doa akhir tahun. Mereka menyifatkan sambutan tersebut adalah sesuatu yang bid’ah dan bercanggah dengan sunnah nabi. Akan tetapi, mereka tidak pula menyatakan bid’ah terhadap sambutan tahun baharu masihi yang dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti yang meruntun nafsu seperti perhimpunan besar-besaran muda-mudi dan remaja belia, kemudian diikuti dengan persembahan konsert dan percikan bunga api yang amat mempesonakan.

Tambah ‘menyeronokkan’ lagi ialah perhimpunan itu melibatkan percampuran antara lelaki dan perempuan serta pengkid dan pondan tanpa garis pemisahan! Konsert hiburan yang melibatkan percampuran serta pergaulan bebas merupakan acara ‘wajib’ dalam sambutan tahun baharu masihi. Seolahnya, tidak akan wujud tahun baharu sekiranya tidak disambut dengan hiburan dan konsert yang berteraskan budaya hedonisme barat ini.

Manakala amalan yang biasa dilakukan sempena menyambut kedatangan awal muharram sempena tahun baharu hijrah ialah bacaan doa akhir tahun dan doa awal tahun. Walaupun terdapat perbincangan dan kekhilafan tentang bacaan doa ini, namun selagi ia merupakan doa yang tidak bercanggah dengan al-Quran dan al-Sunnah, maka ianya adalah sesuatu yang baik untuk umat Islam. Hal ini adalah kerana doa merupakan sesuatu yang sepatutnya dijadikan amalan harian sama ada pada awal tahun, pertengahan tahun, hujung tahun atau pada bila-bila masa sahaja.

Sabda nabi saw bermaksud : ‘Doa adalah senjata bagi orang yang beriman’. Dalam hadis lain disebut bahawa ‘doa adalah asas kepada ibadat’. Cuma, sekiranya doa tersebut tidak diambil daripada doa yang ma’thur daripada al-Quran dan sunnah, maka janganlah menyandarkan amalan tersebut kepada Rasulullah saw. Tambahan daripada itu, sambutan tahun baharu hijrah juga disulami dengan pelbagai program yang bermanfaat seperti forum, ceramah agama, qiamullail dan sebagainya. Sambutan tahun baharu seumpama ini yang diisi dengan program-program yang bermanfaat merupakan sesuatui yang wajar dikekalkan dan diperkemaskan lagi dari semasa ke semasa.

Namun, persoalannya, apakah sambutan tahun baharu hijrah sahaja perlu disambut dengan penuh beradab dan sopan… dan bagaimana pula dengan sambutan tahun baharu masihi ? Sesuatu yang amat mendukacitakan yang berlaku ialah apabila tibanya sambutan tahun baharu masihi, ia dicemari dengan sambutan bercirikan maksiat yang bukan sahaja bercanggah dengan ajaran Islam, tetapi tidak menepati adab-adab dan nilai-nilai masyarakat Melayu yang terkenal dengan akhlak dan budi pekerti yang baik.

Kebiasaannya, sambutan tahun baru Masihi disambut dengan begitu meriah, percikan bunga api yang berwarna- warni dan gegak gempita dengan pelbagai program yang diadakan sempena ‘countdown tahun baharu’. Konsert hiburan diadakan di pelbagai tempat di seluruh Negara. Stesen-stesen televisyen pun tidak melepaskan peluang menyemarakkan semangat ‘Satu Malaysia’ untuk sama-sama menyambut kedatangan tahun baru masihi itu dengan memeriahkan suasana sambutan tahun baharu dengan pelbagai program seperti tayangan filem-filem kesukaan ramai termasuk filem ‘box-office’ untuk santapan mata penonton dan sebagainya. Masyarakat Malaysia kini seolahnya tidak akan dapat menyambut tahun baru sekiranya tidak ada konsert dan hiburan!

Masyarakat Malaysia yang bertunjangkan kepada masyarakat Melayu Islam sudah semakin hilang identiti dan jati diri. Segala apa yang datang dari barat dianggap sesuatu yang baik, lalu dilaksanakan dengan penuh bangga. Budaya ‘hedonisme’ disanjung dengan begitu tinggi. Segala adab dan kesopanan dalam masyarakat makin dilupa dan dipinggirkan. Baharu sahaja sambutan tahun baharu hijrah disambut dengan dengan doa dan ingatan untuk bertakwa kepada Allah, namun sesuatu yang amat malang sekali berlaku adalah apabila datangnya sambutan tahun baharu masihi dua minggu selepas daripada itu, masyarakat kita kembali melakukan maksiat tanpa perasaan malu dan segan silu kepada Allah.

Justeru, sekiranya perkara seumpama ini terus berlaku, apakah mungkin masyarakat dan negara akan memperoleh rahmat dan berkat daripada Allah SWT ?. Sekiranya sambutan tahun baharu terus menerus disambut dengan mengetepikan persoalan adab dan tata-susila, apakah kita akan memperoleh sebuah negara yang baik yang memperoleh keampunan Allah ? Firman Allah dalam surah al-A’raf ayat 96 bermaksud : ‘Dan (Tuhan berfirman lagi): sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan’.

Sehubungan dengan itu, semua pihak sama ada ibu bapa, masyarakat, media massa dan kerajaan bertanggungjawab untuk berusaha mengembalikan ‘adab’ dalam sambutan tahun baharu agar tidak dicemari dengan perbuatan maksiat yang merugikan serta yang menghilangkan keberkatan. Ibu bapa hendaklah mengawasi anak-anak mereka daripada terjebak dalam aktiviti yang sia-sia serta yang melalaikan. Pastikanlah anak-anak tidak berpeleseran dan berkeliaran di waktu larut malam yang ianya sudah tentu akan mengundang situasi yang amat membimbangkan.

Media massa pula wajar memperhebatkan promosi terhadap sambutan tahun baharu yang bercirikan nilai-nilai Islam dan nilai-nilai murni dengan diperbanyakkan filem, drama, diskusi, dan sebagainya yang bermanfaat ke arah melaksanakan kewajipan agama, serta memperkukuhkan jati diri bangsa dan Negara. Sebagaimana yang dimaklumi bahawa peranan media massa dan elektronik dalam hal ini sangat besar bahkan ia boleh merubah minda masyarakat serta mendidik mereka ke arah yang lebih berakhlak dan bersopan dalam apa jua sambutan yang diraikan.

Begitu juga peranan pihak pemerintah dan kerajaan amat diharapkan dalam usaha membentuk jati diri bangsa ‘Satu Malaysia’ ke arah yang lebih beretika dan bermaruah. Kuasa dan amanah kepimpinan yang dipertanggung jawabkan kepada pemerintah hendaklah digunakan dengan sebaiknya ke arah mengembalikan adab dan nilai-nilai murni dalam masyarakat. Oleh yang demikian, sambutan tahun baharu hendaklah diisi dengan sesuatu yang penuh dengan adab dan beretika agar masyarakat Malaysia menjadi masyarakat yang hebat, bermaruah serta mempunyai jati diri yang unggul dan sejati.

Sunday, December 27, 2009

Forum Hijrah




Monday, December 14, 2009

Seminar di ISID, Indonesia











Pondok Modern Gontor










Kembara ke Indonesia 4-9 Dis 2009

Gontor, Ponorogo - Ke Gontor, Apa Yang Kau Cari?

Borobodur.... Mengapa manusia syirik?


Universitas Gadjah Mada - Sekolah Pasca Sarjana


Wisma Darussalam, Pondok Modern Gontor



Saturday, December 12, 2009

al-Fatihah...


al-Fatihah..... Sahabat yang sama-sama menuntut ilmu di bumi Jordan... telah kembali kerahmatullah dalam usia 35 tahun. Beliau menghembuskan nafas terakhirnya di Jordan ketika menjalankan tugas sebagai atase pendidikan di sana. Moga Allah merahmati dan mencucuri rahmat ke atas rohnya dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman. Takziah untuk keluarga beliau. Ikuti nukilan tentang Ustaz Arman dari saifulislam.com : http://saifulislam.com/?p=7232
Kisah Ustaz Arman yang jatuh sakit diceritakan oleh Ustaz Redzuan Khalil sahabat seperjuangan yang menuntut di Jordan dan kini menyambung Ph.D juga di Jordan:
Kisah bermula pada hari pertama menyambut Aidil Adha (26hb Nov, 2009) di Amman. Kami tidak menyertai program di sana kerana tinggal di Irbid. Malah di Irbid juga terdapat beberapa program yang kami turut serta. Pada hari Jumaat raya pertama, Pengarah MSD membuat rumah terbuka, ust Arman sekeluarga juga memenuhi jemputan. Tanda2 dia akan diserang strok telah mula kelihatan apabila disedari oleh Pengarah sendiri di mana tangan dan kaki sebelah kanan mulai kelihatan lemah. Walau bagaimanapun Arman tetap menggagahinya juga, malah Arman tetap juga bercadang untuk membuat rumah terbuka pada hari berikutnya iaitu hari Sabtu (27hb, Nov 2009)..

Pengarah menasihatkan agar Arman merujuk pihak doktor di hospital. Pagi Sabtu walaupun sibuk untuk menyiapkan menu hidangan untuk santapan tetamu Arman akur dan pergi merujuk doktor berkenaan perubahan fizikal yang berlaku. Tidak pula dimaklumkan apakah nasihat doktor kepada Arman ketika itu.

Selepas pulang dari hospital, tetamu mulai sibuk memenuhi rumah atas jemputan. Arman melayan para tetamu seperti biasa walaupun bimbang dengan perubahan kecergasan yang semakin lemah mula dirasakannya. Pada malam Ahad beliau semakin tidak bermaya dan hanya terlantar di atas katil. Malah terpaksa dipapah apabila ingin ke tandas. Dalam keadaan menahan sakit, Arman sempat berpesan kepada anak2 seramai 4 orang agar sentiasa berkelakuan baik dan menjaga Ummi dengan sebaiknya sekiranya ajal menjemput.

Atas bantuan beberapa orang pelajar kebetulan berada di rumah, Arman di dalam situasi kritikal diusung ke ambulan yang dipanggil datang ke rumah. Dia dimasukkan ke hospital pada pagi Selasa 1hb Dis. Pada hari berikutnya iaitu pada hari Rabu, beliau terus koma.

Merujuk kepada MRI, pihak doktor mendapati terdapat dua bahagian ketulan darah beku tersumbat di otak yang menyebabkan Arman koma sepenuhnya. tersumbat di 2 bhgn otak kanan dan kiri. otak kanan yang rosak teruk, membengkak. bila tersumbat, nerve pecah dan darah masuk ke ruang otak dan berlaku pembekuan.
Walau bagaimanapun, semangat Arman untuk hidup masih kuat, sekalipun beliau bergantung kepada mesin pernafasan. Doktor telah menghentikan pemberian ubat sementara waktu kerana Arman sering mengalami kekejangan. Oleh itu, setakat ini hanya ubat tidur diberikan agar Arman dapat berehat dengan tenang.

Hanya doa dari semua buat Arman mampu mengubah keadaan. Berbagai program dilakukan oleh para pelajar di Jordan sama ada secara rasmi mahu pun tidak rasmi mendoakan Arman melalui sembahyang hajat yang diadakan.
Namun, Allah lebih menyayanginya.... beliau telah dijemput oleh Allah untuk mengadapNya.... Beliau menemui ajal secara rasmi pada jam 12 mlm (waktu Jordan) mlm Sabtu. al-Fatihah.

Friday, December 11, 2009

Laporan Ibadah Korban Kemboja 1430 H


Alhamdulillah Ibadah Korban/Aqiqah & Sumbangan Kemboja 1430H telah selamat dilaksanakan di beberapa buah kampung di wilayah-wilayah yang mempunyai penduduk Islam dari tarikh 10-13 Zulhijjah. Antara wilayah yang dilaksanakan ibadah ini ialah:

1. Wilayah Kompot. (10 Zulhijjah)
2. Wilayah Kg Som (Untuk Pengagihan di Pekan Kg Som -Wakil mereka datang mengambil daging di tempat penyembelihan di Kompot yang dilaksanakan pada 10 Zulhijjah, manakala kampong-kampong kecil di Wilayah Kg Som telah dilaksanakan di kampong-kampong tersebut pada 13 Zulhijjah.
3. Wilayah Koh Koh.(Penyembelihan dilaksanakan pada 10 Zulhijjah di Kompot & Wakil mereka datang ke Kompot untuk mengambil daging)
4. Wilayah Kandal. (Pada 11, 12 & 13 Zulhijjah)
5. Wilayah Chhnang. (11 Zulhijjah)
6. Wilayah Takeo. (12 Zulhijjah)
7. Wilayah Speu. (13 Zulhijjah)

Alhamdulillah jumlah penyertaan amat menggalakkan iaitu sebanyak 58 ekor lembu dan 27 ekor kambing. Sumbangan untuk faqir & miskin juga telah disampaikan di beberapa buah kampong. Sumbangan untuk Guru telah berjaya mengumpul tajaan untuk 2 guru ijazah dan 4 guru Quran & Fardhu Ain untuk tempoh setahun. Pembinaan asrama di Wilayah Kg Som 80% telah siap dan dijangka siap sepenuhnya pada Januari 2010 ini.

KOMPLEKS PENDIDIKAN AKADEMI IMAM SYAFI'E DI KG KEH, WILAYAH KOMPOT, KEMBOJA.

Projek Pendidikan untuk Umat Islam Kemboja masih diteruskan dimana kami di Akademi Imam Syafi'e telah mengenalpasti tiga lokasi yang berpotensi untuk dibangunkan Kompleks Pendidikan iaitu di Wilayah Kompot, Wilayah Kandal & Wilayah Chnang.

Sebagai langkah permulaan kami telah memilih Kg Keh di Wilayah Kompot sebagai projek pertama kerana beberapa sebab berikut:
1. Tanah waqaf yang telah sedia ada seluas kurang lebih 4 ekar dengan masjid yang telah dibina.
2. Persetujuan telah pun diperolehi daripada Imam & Naib Imam Kg Keh sebagai pemegang amanah tanah waqat tersebut.
3. Kampong ini terletak dengan dikelilingi oleh kampong-kampong kecil lain yang majoriti penduduknya adalah Islam.
4. Para Ustaz yang bertugas disini juga diwajibkan mempunyai jadual kuliah mingguan di masjid-masjid di kampong-kampong di sekitarnya.
5. Wilayah Kompot hanya mempunyai sebuah Sekolah Menengah Agama iaitu Darul Aitam. Sekolah ini hanya dikhususkan untuk anak-anak Yatim.
6. Jarak yang hampir antara Kampong Keh dan tempat tinggal Penyelaras kami di Kemboja (Ustaz Sulaiman) memudahkan urusan pemantauan.
7. Pelajar-pelajar dari wilayah berhampiran seperti Kg Som dan Takeo berpeluang belajar di sini.

Monday, November 23, 2009

Salam 'Iduladha - Menghayati Semangat Pengorbanan


Oleh: Mohd Sukki Bin Othman (Ustaz Shauqi)

Pada hari Jumaat ini tanggal 10 Zulhijjah 1430 Hijrah bersamaan 27 November 2009 Masihi, umat Islam di Malaysia akan sama-sama merayakan Hari Raya 'Idul Adha atau lebih dikenali sebagai 'Hari Raya Haji' atau 'Hari Raya Korban'. Aidiladha disebut sebagai Hari Raya Korban adalah ekoran ibadah 'korban' yang disyariatkan pada hari tersebut iaitu dengan menyembelih haiwan seperti kambing, lembu, kerbau atau unta.

Penyembelihan korban dilakukan setelah selesai solat 'Idul Adha pada 10 Zulhijjah dan masih diteruskan pada hari-hari Tasyrik iaitu pada 11,12, dan 13 Zulhijjah. Kaedah pembahagian daging korban ialah sepertiga disedekahkan kepada fakir miskin, sepertiga untuk jiran dan sahabat handai walaupun kaya, dan sepertiga lagi adalah untuk kegunaan orang yang melakukan korban. Daging korban disunatkan agar diberi dan disedekahkan secara mentah tanpa dimasak.

Ibadah korban telah disyariatkan pada tahun kedua hijrah. Antara tujuan ibadat ini dilakukan ialah untuk mengingati semangat pengorbanan agung yang telah dilakukan oleh Nabi Ibrahim a.s. dan anaknya Nabi Ismail a.s.. Nabi Ibrahim a.s. telah mendapat wahyu melalui mimpinya bahawa Allah s.w.t. memerintahkannya untuk menyembelih anaknya Ismail. Ini merupakan perintah yang amat berat bagi nabi Ibrahim, apatah lagi Ismail merupakan anak kesayangannya yang dilahirkan setelah baginda melewati usia lanjut, hasil perkongsian hidupnya dengan Hajar.

Namun, kekuatan iman dan semangat pengorbanan yang tinggi yang dimiliki oleh nabi Ibrahim menyebabkan baginda bertekad dengan sepenuh hati untuk melaksanakan perintah Allah ini. Allah s.w.t. telah merakamkan dalam al-Quran kata-kata nabi Ibrahim kepada anaknya, dalam surah al-Saffat ayat 102 yang bermaksud: "Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpiku, bahawa aku (diperintahkan) untuk menyembelihmu, maka apakah pendapatmu". Walaupun Nabi Ismail a.s. ketika itu masih muda, tetapi baginda tidak teragak-agak dalam memberikan persetujuan terhadap perintah Allah ini. Allah telah menyatakan dalam al-Quran tentang jawapan yang diberikan oleh nabi Ismail kepada bapanya, dalam surah al-Saffat ayat 102 yang bermaksud: "Wahai ayahku! Jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu, insya-Allah, ayah akan mendapati (menyaksikan sendiri) daku dari orang yang sabar"

Berbekalkan semangat pengorbanan yang tinggi kepada Allah, Nabi Ibrahim a.s. dan nabi Ismail a.s. bersedia untuk melaksanakan perintah Allah ini. Lalu, Nabi Ibrahim a.s. pun meletakkan pisau yang tajam di leher anaknya untuk menyembelihnya. Pada saat itu juga, Allah s.w.t menunjukkan Kekuasaan dan KeagunganNya dengan menggantikan nabi Ismail dengan kibasy untuk disembelih oleh nabi Ibrahim a.s.

Bermula dari sejarah inilah, ibadah korban dilaksanakan. Nabi Muhammad s.a.w. meneruskan ibadah korban ini, dan ia menjadi satu amalan Islam yang dilaksanakan pada setiap hari raya Aidiladha dan pada hari-hari Tasyrik. Firman Allah dalam surah al-Kawthar ayat 2 bermaksud: "… tunaikanlah solat kerana Tuhan-Mu semata-mata dan sembelihlah korban (sebagai tanda bersyukur)".

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmidhi dan al-Hakim, Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Tidak melakukan seorang anak Adam sesuatu amalan pada hari raya Adha yang lebih disukai oleh Allah Taala daripada menumpahkan darah (menyembelih korban). Sesungguhnya binatang korban itu akan datang pada hari kiamat nanti dengan tanduk, bulu dan kukunya. Dan sesungguhnya darahnya jatuh di sisi Allah pada satu tempat kemuliaan lebih dahulu dari jatuh kebumi. Maka berkiralah diri kamu dengan korban".

Ibadah korban yang dilakukan pada hari raya haji dan pada hari-hari Tasyrik ini bukanlah semata-mata untuk menyembelih binatang dan disedekahkan dagingnya kepada fakir miskin, akan tetapi ia juga merupakan simbolik ke arah semangat pengorbanan dan semangat jihad yang perlu ada pada diri setiap individu muslim. Orang yang akan memperoleh keredhaan Allah, dan yang akan mencapai kecemerlangan di dunia dan di akhirat ialah mereka yang sanggup berkorban masa, tenaga, wang ringgit dan jiwa raga di jalan Allah s.w.t.

Akan tetapi, yang menjadi persoalannya ialah mengapakah terdapat di kalangan umat Islam yang sanggup melakukan ibadah korban dengan menumpahkan darah binatang yang disembelih sebagai tanda taat kepada Allah, namun tidak sanggup 'berkorban' dalam mentaati perintah Allah dalam perkara yang berkait dengan hukum hakam agama yang lain? Mengapakah masih terdapat di kalangan umat Islam yang tidak melaksanakan perintah Allah seperti menunaikan solat lima waktu dengan sempurna, menutup aurat, menghadiri majlis-majlis ilmu yang diadakan di masjid dan surau dan sebagainya? Mengapakah juga masih terdapat di kalangan umat Islam yang bergelumang dengan maksiat dan perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah seperti menipu, rasuah, judi, dan sebagainya?

Justeru, dengan semangat pengorbanan yang ada di musim perayaan Aidiladha ini, marilah sama-sama kita bermuhasabah dan menilai kembali tindak tanduk dan perbuatan kita seharian agar ia selari dengan kehendak dan ajaran islam. Kita hendaklah bersedia melakukan pengorbanan semata-mata mencari keredhaan Allah. Korbankanlah waktu yang ada dengan dimanfaatkan untuk mentaati segala perintah dan suruhan Allah. Korbankanlah juga keinginan nafsu syahwat yang mendorong ke arah kejahatan, dengan meninggalkan segala larangan Allah.

Musuh utama kepada pengorbanan yang hendak dilakukan ialah syaitan dan hawa nafsu. Ia berusaha menipu manusia dengan perasaan sayang yang berlebihan kepada wang ringgit, takut rugi atau membuang masa apabila melakukan sesuatu kebajikan dan amalan soleh, dan bermacam-macam godaan dan tipu dayanya lagi. Allah berfirman dalam surah al-Fatir ayat 6, maksudnya: "Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh bagimu, maka anggaplah ia musuh. Kerana sesungguhnya syaitan-syaitan itu hanya mengajak golongannya supaya menjadi penghuni neraka yang menyala-nyala".

Mudah-mudahan, 'Idul Adha pada tahun ini memberikan sinar pengorbanan yang sejati pada diri setiap individu muslim. Kita akan berusaha apa sahaja demi melakukan pengorbanan dalam mencari keredhaan Allah dan kebahagiaan yang hakiki di dunia dan di akhirat. Firman Allah dalam surah al-Nisa’, ayat 175 bermaksud: "Adapun orang yang beriman kepada Allah dan berpegang teguh kepada agamanya, maka Allah akan memasukkan mereka ke dalam rahmat yang besar darinya (Syurga). Dan limpah kurnianya yang tidak terkira, dan Allah akan menunjukkan mereka ke jalan yang lurus (agama Islam) untuk sampai kepadaNya (Allah)"

Friday, November 20, 2009

Saranan Bekas Murid Sekolah Mubaligh Kristian Kemboja

Saya menerima surat dari bekas murid sekolah mubaligh Kristian, Kemboja yang tinggal di Malaysia... dan beliau turut serta memberi sumbangan untuk program Korban di Kemboja yang saya laksanakan pada tahun ini. Jadi, saya sertakan isi kandungan surat yang beliau tulis untuk renungan kita bersama...



Monday, November 16, 2009

Umpama Wangian Kasturi


Oleh: Mohd Sukki Othman (Ustaz Shauqi)
(artikel ini telah disiarkan di Majalah Solusi, edisi 13)
Sabda Rasulullah bermaksud:

Belajarlah al-Qur’an serta bacalah, kerana perumpamaan al-Qur’an bagi orang yang mahu belajar, membaca, dan melaksanakannya adalah seperti satu bekas yang dipenuhi dengan wangian kasturi yang baunya menyebar pada setiap tempat, dan perumpamaan orang yang mahu mempelajarinya dan ia lupa (mengamalkannya), maka di hatinya seperti ada satu bekas wangian kasturi yang masih tertutup.
(Hadis riwayat al-Tirmidhi)

Dalam hadis ini, Nabi Muhammad s.a.w. telah membawakan satu bidalan dan perumpamaan tentang kelebihan mereka yang beristiqamah dalam membaca dan mengamalkan isi kandungan al-Qur’an. Mereka yang mempelajari al-Qur’an, beristiqamah dalam membacanya dan beramal dengan isi kandungannya telah diumpamakan oleh Rasulullah s.a.w. dengan bekas minyak wangi yang dipenuhi dengan kasturi dan baunya yang harum dapat dihidu di setiap tempat.

Gambaran yang diutarakan oleh Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam di dalam hadis ini amat menarik sekali kerana ia mempunyai kaitan yang amat rapat dengan kesukaan manusia iaitu sesuatu yang wangi dan harum. Semua orang suka kepada sesuatu yang wangi dan harum serta tidak suka kepada sesuatu yang busuk. Itulah fitrah manusia. Sesungguhnya apabila seseorang itu membaca al-Qur’an, keberkatan bacaannya itu umpama kasturi yang wangi dan harum yang akan dapat di’nikmati’ oleh orang yang mendengarnya (Lihat al-Mubarakfuri, 8/153).

Contoh jelas harumnya bacaan ayat-ayat suci al-Quran dapat dihayati melalui kisah Umar al-Khattab yang memeluk Islam. Walaupun pada asalnya Saidina Umar begitu beria-ia hendak membunuh nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wasallam, namun apabila beliau mendengar bacaan ayat-ayat suci al-Quran, hatinya terus terpikat dengan keindahan ayat-ayat suci al-Quran tersebut. Begitulah betapa indah dan harumnya bacaan ayat-ayat suci al-Quran.

Kisah Umar Memeluk Islam

Pada suatu hari, ketika Umar al-Khattab berbincang dan berdiskusi dengan para pemimpin dan ketua-ketua puak Quraisy di Dar al-Nadwah, tentang dakwah yang telah dibawa oleh Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam, Umar kelihatan amat marah dan begitu kuat menentang dakwah Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam. Baginda Rasulullah didakwa sebagai seorang yang membawa perpecahan dalam masyarakat, baginda dilihat sebagai seorang yang memecah-belahkan hubungan di antara ayah dan anak, suami dan isteri serta segala perpecahan yang berlaku dalam kalangan saudara mara.

Perasaan marah yang melua-luap itu telah membuatkan Umar bangun dan berjalan menuju ke rumah al-Arqam Bin Abi al-Arqam. Tujuan Umar ke sana adalah dengan niat untuk membunuh Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam. Ketika dalam perjalanan untuk membunuh Rasulullah, Umar terserempak dengan seorang lelaki dari Bani Zuhrah. Lalu berlakulah dialog di antara mereka berdua. Antara dialog tersebut ialah:

Lelaki Bani Zuhrah: Ke mana engkau hendak pergi wahai Umar? Aku lihat engkau begitu marah sekali!
Umar: Aku hendak pergi membunuh Muhammad!
Lelaki Bani Zuhrah: Bagaimana engkau nak membunuh Muhammad, sedangkan adik engkau Fatimah dan suaminya Zaid pun sudah mengikuti agama Muhammad dan meninggalkan agama engkau!
Umar: Betulkah kata-katamu itu?
Lelaki Bani Zuhrah: Betul dan aku tidak berbohong.
Umar: Kalau benar katamu itu iaitu mereka mengikuti agama Muhammad, aku akan bunuh mereka dengan cara yang kejam!

Umar dengan perasaan yang amat marah bergegas ke rumah adiknya Fatimah. Sekiranya benar sebagaimana yang dikata oleh lelaki Bani Zuhrah itu, maka ia tidak akan membiarkan adiknya dan iparnya itu begitu sahaja, sebaliknya akan dibunuhnya mereka berdua terlebih dahulu. Apabila Umar sampai ke rumah adiknya Fatimah, beliau mendapati pintu rumahnya agak terbuka sedikit. Ketika Umar ingin meluru masuk ke dalam rumah adiknya itu, beliau terdengar suara yang membaca ayat-ayat tertentu yang tidak difahaminya. Pada ketika itu Khabbab sedang mengajar bacaan ayat-ayat al-Quran kepada Fatimah dan Sa’id. Apabila menyedari kehadiran Umar, Khabbab berasa takut lalu bersembunyi.

Umar terus masuk ke dalam rumah dan menemui adiknya Fatimah dan adik iparnya Sa’id. Lalu Umar bertanya: apakah ayat yang aku dengar tadi? Lantas Fatimah pun mengambil lembaran al-Quran dan menyatakan kepada Umar bahawa tiada apa yang didengarnya. Lalu Umar pun berkata kepada sepasang suami isteri itu: “Aku mendengar bahawa kamu berdua telah mengikut agama Muhammad!”. Lalu Umar menampar dengan sekuat hati muka adik iparnya Sa’id sehingga mengalir darah dimukanya. Fatimah bingkas bangun untuk mempertahankan suaminya, lalu ditampar pula oleh Umar sehingga melukakannya.

Perstiwa ini telah menguji keimanan Fatimah dan suaminya Sa’id. Lalu dengan tegas mereka berdua berkata kepada ‘Umar: “Ya, kami telah memeluk Islam dan kami juga telah beriman kepada Allah dan rasulNya, oleh itu buatlah apa sahaja yang kamu suka terhadap kami!.” Dalam suasana darah yang masih mengalir di muka Fatimah dan Sa’id, dan jawapan mereka berdua yang menyatakan tentang keimanan mereka tanpa sebarang ragu dan takut telah memberikan kesan di hati ‘Umar.

Lalu Umar pun berkata kepada adiknya dengan suara yang sedikit lembut: “Berikan kepadaku helaian yang mengandungi bacaan yang aku dengar tadi yang dibawa oleh Muhammad itu.” Fatimah berkata: “Kami bimbang kamu akan membuat sesuatu kepada helaian al-Quran ini.” Jawab Umar: “Jangan takut, aku tak akan melakukan sesuatu yang tidak baik.”

Kemudian Fatimah pun memberikan lembaran yang mengandungi ayat al-Quran tersebut kepada Umar setelah memintanya untuk mandi dan membersihkan dirinya terlebih dahulu. Umar pun membaca ayat-ayat tersebut:

Maksudnya: “Taa’ Haa, Kami tidak menurunkan Al-Quran kepadamu (Wahai Muhammad) supaya engkau menanggung kesusahan, Hanya untuk menjadi peringatan bagi orang yang takut melanggar perintah Allah, (Al-Quran) diturunkan daripada (Tuhan) yang menciptakan bumi dan langit yang tinggi, Iaitu (Allah) Ar-Rahman, Yang bersemayam di atas Arasy.” (Surah Taha , ayat 1-5)

Setelah selesai membacanya, Umar pun berkata: “Betapa cantik dan mulianya ayat-ayat ini”!. Apabila mendengar kata-kata Umar, Khabbab pun keluar dari persembunyian dan mengucapkan tahniah kepada Umar dan ia pun memberitahu bahawa nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam pernah berdoa memohon kepada Allah agar dibuka pintu hidayah pada salah seorang daripada dua Umar. Apabila Umar mendengarnya, hatinya semakin tertarik dengan Islam dan dia meminta Khabbab untuk memberitahu di manakah lokasi nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wasallam agar beliau dapat berjumpa dengan Rasulullah dan menyatakan keislamannya kepada baginda.

Begitulah ‘harum’nya ayat-ayat suci al-Quran sehingga dapat mengubah Saidina Umar daripada seorang musuh dan penentang Islam kepada seorang sahabat nabi yang menggunakan keseluruhan hidupnya untuk memperjuangkan serta meninggikan kalimah Allah.

Umpama Bekas Wangian Kasturi

al-Muzhir telah menyatakan bahawa sesiapa yang membaca al-Qur’an, akan sampailah keberkatan itu ke rumahnya dan kepada para pendengar, lalu ketenangan dan pahala itu akan dapat diperolehi sejauh sampainya suara bacaan itu, seperti bekas winyak wangi yang dipenuhi dengan kasturi, apabila dibuka penutupnya nescaya wangiannya itu akan sampai ke segenap tempat di sekitarnya.

Oleh itu, bayangkanlah betapa wangi dan harumnya persekitaran rumah apabila sentiasa dikumandangkan ayat-ayat suci al-Quran dan diamalkan segala isi kandungannya. Begitu juga ketenangan dan keberkatan akan diperoleh apabila seseorang itu menjadikan al-Quran sebagai bacaan yang diamalkan setiap hari.

Manakala bagi mereka yang mempelajari al-Qur’an tetapi tidak membaca dan tidak beramal dengannya, maka keberkatan itu tidak akan sampai kepada dirinya juga kepada orang lain seperti bekas winyak wangi yang dipenuhi dengan kasturi yang tidak dibuka penutupnya nescaya wangian itu tidak akan sampai kepada sesiapa sekalipun. Justeru, mempelajari al-Quran sahaja tidak mencukupi selagi ia tidak disusuli dengan membacanya dan beramal dengan isi kandungannya. Pepatah Arab ada menyatakan: ”Ilmu tanpa amalan bak pohon yang tiada berbuah”. Ringkasnya, penggunaan bidalan dan perumpamaan dalam hadis ini telah berjaya memberikan perasaan kerinduan kepada orang-orang mukmin untuk sentiasa berdamping dengan al-Qur’an.

Wednesday, November 11, 2009

Istiqamah Umpama Asiyah Isteri Firaun


Oleh: Mohd Sukki Othman (Ustaz Shauqi)
(artikel ini telah disiarkan di Majalah Solusi, edisi 11)

Firman Allah S.W.T.:

Maksudnya:
Dan Allah mengemukakan satu mithal perbandingan (yang menyatakan tidak ada mudharatnya) kepada orang mukmin (berhubung rapat dengan orang-orang kafir kalau tidak terjejas keadaan imannya), iaitu: hal isteri Firaun, ketika dia berkata: “Wahai Tuhanku! binalah untukku sebuah rumah disisimu dalam syurga, dan selamatkanlah aku dari Firaun dan perbuatannya (yang kufur dan buas), serta selamatkanlah aku dari kaum yang zalim. (al-Quran, al-Tahrīm 66:11)

Apabila disebut sahaja nama Firaun, maka semua sudah mengetahui betapa beliau merupakan seorang manusia yang zalim dan menentang Allah. Bahkan, beliau juga telah mengaku dirinya sebagai ‘tuhan’ . Sehubungan dengan itu, beliau menentang dengan keras dakwah yang disampaikan oleh Nabi Musa as.

Namun, sesuatu yang amat ‘mengejutkan’ ialah kebatilan Firaun itu ditentang oleh isterinya sendiri yang mengetahui betapa Firaun merupakan seorang manusia yang sesat lagi zalim. Isteri Firaun amat mengenali suaminya itu, lalu dengan mudah dia menolak ‘ketuhanan’ yang diakui oleh Firaun. Sebaliknya isteri Firaun itu beriman kepada Allah dan amat komited mempertahankan aqidahnya kepada Allah.

Menurut al-Shaukani, Allah S.W.T. telah menjadikan isteri Firaun sebagai suatu bidalan dan perumpamaan bertujuan untuk memberi perangsang dan semangat kepada orang yang beriman agar mereka tetap beristiqamah dalam ketaatan kepada Allah S.W.T., serta berpegang kuat dengan ajaran agama dan bersabar dalam menghadapi apa jua cabaran dan rintangan. Walaupun Asiah isteri Firaun ini berada dalam suasana kekufuran yang dicetuskan oleh suaminya Firaun, namun keimanan yang teguh dan kental telah menyelamatkan dirinya daripada kegelapan kekufuran tersebut.

Keimanan kepada Allah merupakan sesuatu yang amat bernilai dan berharga. Hal ini adalah kerana natijah bagi orang yang beriman ialah syurga yang disediakan untuknya di akhirat. Oleh yang demikian, sesuatu nikmat dan kebahagiaan itu bukanlah boleh didapati secara mudah dan senang. Ia memerlukan kepada pengorbanan dan usaha yang berterusan. Bak kata pepatah… “berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakitlah dahulu, bersenang-senang kemudian”.

Orang yang ingin berjaya di dunia ini pun perlukan pengorbanan, apatah lagi kejayaan yang diimpikan di akhirat!. Sehubungan dengan itu, nabi SAW telah menyatakan kepada seseorang yang mengajukan kepada nabi persoalan tentang apakah amalan yang terbaik dengan sabda baginda: “katakanlah: aku beriman kepada Allah, kemudian hendaklah kamu beristiqamah!”.

Rintangan Dan Cabaran

Dalam kehidupan ini, sesuatu kemanisan dan kebaikan tidak akan dapat dicapai dengan mudah melainkan melalui cabaran dan dugaan. Sebagai contohnya ialah seorang pelajar yang ingin berjaya dalam peperiksaan, mahu tidak mahu, dia hendaklah ‘bersengkang’ mata menelaah pelajaran untuk mencipta kejayaan. Tanpa sebarang cabaran dan rintangan, maka kejayaan itu sukar diperoleh.

Begitu juga kalau dilihat pada seorang kanak-kanak yang baru belajar untuk berjalan. Bukan mudah baginya untuk menapak kaki ke hadapan setapak demi setapak. Baru aja hendak melangkah, ia terus jatuh tersungkur ke hadapan. Namun, kesabaran dan kecekalan yang ada pada dirinya untuk terus berjalan, maka ia tidak pernah mengenal putus asa… segala kesakitan yang dialami ditempuh dengan penuh kecekalan dan semangat. Akhirnya kanak-kanak tersebut boleh berjalan.

Apatah lagi dalam menghadapi kehidupan di dunia ini, banyak sekali cabaran dan dugaan yang akan dihadapi dan ditempuhi untuk menuju kejayaan. Orang yang beriman hendaklah bersabar dalam melaksanakan ketaatan dan menjauhi sebarang maksiat demi sebuah kebahagiaan di dunia dan di akhirat.

Siapakah Isteri Firaun?

Menurut al-Qurtubi dan Ibnu ‘Ashur, nama isteri Firaun ialah Āsiyah binti Muzāhim dan sebahagian daripada ahli-ahli tafsir telah mengatakan bahawa beliau ialah emak saudara kepada Nabi Musa a.s.. Beliau tetap mempertahankan keimanannya kepada Allah S.W.T. dan kepada Nabi Musa a.s. walaupun suaminya Firaun adalah merupakan musuh Allah S.W.T. Dengan keimanannya itu, dia diseksa oleh Firaun hinggalah meninggal dunia.

Menurut al-Tabari dalam kitab tafsirnya, sebagai ganjaran terhadap ketabahan isteri Firaun itu dalam mempertahankan aqidah, doanya telah diperkenankan oleh Allah dengan dibina baginya sebuah mahligai di syurga. Penggunaan bidalan dalam ayat ini adalah bertujuan menanamkan sifat tabah dan cekal dalam meningkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah.

Istiqamah

Istiqamah merupakan sesuatu yang amat sukar, namun ia amat bermakna dalam kehidupan seseorang. Firman Allah dalam surah al-Fussilat ayat 30 bermaksud: “Sesungguhnya orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: "Tuhan Kami ialah Allah", kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul (beristiqamah), akan turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham): "Janganlah kamu bimbang (dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berdukacita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu”.

Jadikanlah diri kita seumpama isteri Firaun yang tetap beristiqamah dalam ketaatan kepada Allah walau terpaksa berhadapan dengan kezaliman dan kekejaman suaminya sendiri. Walaupun beristiqamah itu sukar, namun kemanisannya amat terasa. Renungilah pepatah Melayu yang tak lekang dek zaman: “Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian”. Moga istiqamah dalam ketaatan sebagai hamba Allah akan membawa kecemerlangan hidup di dunia dan di akhirat.

Friday, November 6, 2009

Ibarat Kebun Yang Subur


Oleh: Mohd Sukki Othman (Ustaz Shauqi)
(artikel ini telah disiarkan di Majalah Solusi, edisi 10)

Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 265:

Dan bandingan orang yang membelanjakan hartanya kerana mencari keredhaan Allah dan kerana meneguhkan (iman dan perasaan ikhlas) yang timbul dari jiwa mereka, adalah seperti sebuah kebun di tempat yang tinggi, yang ditimpa hujan lebat, lalu mengeluarkan hasilnya dua kali ganda. Kalau ia tidak ditimpa hujan lebat maka hujan renyai-renyai pun (cukup untuk menyiraminya). Dan (ingatlah) Allah sentiasa melihat akan apa yang kamu lakukan. al-Qur’an, al-Baqarah 2: 265

Manusia dan Harta

Suka kepada harta merupakan tabiat semulajadi manusia. Firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala dalam surah Ali ‘Imran ayat 14 bermaksud: “Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, Iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu syurga)”.

Firman Allah Ta‘ala yang lain dalam surah al-Fajr ayat 20 bermaksud: ”Kamu pula sayangkan harta secara bersungguh-sungguh!”. Walaupun sifat tamak sudah menjadi tabiat semulajadi manusia, namun ia hendaklah diasuh dan dididik supaya menjadi positif. Sifat tersebut sewajarnya dijadikan sebagai motivasi untuk bekerja dan berusaha dengan bersungguh-sungguh mencari rezeki secara halal serta membelanjakannya di jalan Allah SWT.

Mencari harta kekayaan itu suatu keperluan dalam kehidupan, malahan memang umat Islam disuruh mencari kekayaan selama mana ia selari dengan kehendak Islam bagi memenuhi tuntutan untuk melaksanakan tugas membiayai keperluan hidup sendiri, keluarga bahkan untuk membangunkan ummah.

Harta amat penting bagi kehidupan manusia untuk menuju ke jalan yang diredai Allah. Contohnya ialah, kita amat memerlukan harta apabila hendak mengerjakan haji, dan mengeluarkan zakat. Sehubungan itu, Islam tidak menegah manusia mencari habuan untuk kehidupan di dunia tetapi janganlah pula dilupai mengenai bekalan di akhirat.

Hal ini jelas dinyatakan Allah melalui Firman-Nya yang bermaksud, Carilah apa-apa yang telah dikurniakan Allah untuk kebahagiaan di akhirat dan janganlah pula lupa untuk habuan kamu di dunia. (al-Qasas: 77).

Namun, sesuatu yang perlu diingatkan juga ialah harta kekayaan tidak akan membawa erti tanpa ada keberkatan. Dengan adanya keberkatan, harta atau rezeki yang sedikit akan dirasakan seolah-olah banyak dan mencukupi. Sebaliknya walaupun hartanya banyak tetapi tidak ada keberkatan, akan dirasakan sempit dan susah. Justeru, harta yang berkat ialah harta yang dibelanjakan di jalan Allah SWT.

Kebun Yang Subur

Bidalan dalam Surah al-Baqarah ayat 265 di atas ditujukan khusus kepada orang beriman yang menafkahkan dan mengeluarkan harta mereka semata-mata untuk mencapai keredaan Allah S.W.T. Menafkahkan harta serta membelanjakannya di jalan Allah S.W.T. merupakan antara elemen terpenting yang menunjukkan sifat ketaatan yang bersemadi di dalam jiwa seseorang kehadrat Ilahi.

Hati yang dipenuhi dengan keimanan sahajalah yang akan membuatkan seseorang itu akan mengeluarkan hartanya demi mencapai keredaan Allah S.W.T. Hati seorang mukmin yang disuburkan melalui amalan sedekah adalah ibarat tanah subur yang disirami hujan, lalu mengeluarkan hasil yang banyak dan berlimpah-ruah (sila lihat Sayyid Qutb, Fi zilal Al-Qur’an, Dār al-Shurūq, Beirut, 1992, jil. 1, hlm. 309)

Orang yang membelanjakan hartanya dengan penuh keikhlasan ini diumpamakan dengan kebun yang berada di dataran tinggi yang sentiasa menerima siraman hujan. Kebun yang berada di dataran yang tinggi biasanya mempunyai tanah yang subur kerana keadaan tempatnya yang tinggi itu akan mudah memperolehi udara dan cahaya matahari yang cukup, sekaligus akan menghasilkan buah-buahan yang baik dan bermutu (sila lihat Al-Zuhaili, Wahbah, al-Tafsir al-munir, Dār al-Fikr al-Mucāşir, Beirut, 1991, jil. 3, hlm. 53).

Ibnu Kathir melalui kitab tafsirnya pula telah menukilkan pandangan Ibnu ‘Abbās dan al-Dhahhāk yang menyatakan bahawa keadaan kebun di dataran tinggi itu tentunya mempunyai sungai yang sentiasa mengalir yang sekaligus mengairi kebun tersebut. Begitulah betapa indah dan cantiknya gambaran kebun yang dinyatakan bagi menggambarkan kelebihan mereka yang membelanjakan harta di jalan Allah.

al-Zamakhsharī dalam tafsirnya telah menyatakan bahawa bidalan ini telah menunjukkan bahawa sedekah yang dikeluarkan itu adalah laksana hujan, sekiranya sedekah itu banyak maka ia seperti hujan yang lebat, sekiranya sedikit ia seperti hujan renyai-renyai.

Kesimpulannya ialah orang yang mengeluarkan hartanya di jalan Allah S.W.T. dengan harapan untuk mencapai keredaan Ilahi, akan berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk meneruskan amalan tersebut. Sekiranya mereka dikurniakan rezeki yang banyak, mereka akan mengeluarkan harta mereka dengan banyak, begitu juga sekiranya mereka dikurniakan rezeki yang sedikit, mereka tetap akan menginfakkannya walaupun sedikit.

Amalan orang yang beriman ini sangatlah baik dan digalakkan oleh Islam dan ia samalah seperti tanah kebun yang subur yang pasti akan mengeluarkan hasil sama ada disirami hujan dengan lebat atau sedikit. Sehubungan dengan itu, wajar kita bertanya diri kita apakah kita mahu menjadi seumpama kebun yang subur dengan membelanjakan harta di jalan Allah atau menjadi kebun yang kering-kontang yang langsung tidak mendatangkan hasil?!. Tepuk dada, Tanya iman!.

Timbul pula satu persoalan…. Walaupun mengetahui keistimewaan dan kurniaan yang banyak bagi mereka yang membelanjakan harta di jalan Allah, namun mengapakah masih terdapat mereka yang masih bakhil dan kedekut terutamanya dalam kalangan orang Islam itu sendiri? Untuk menyelesaikan masalah ini, setiap individu perlu bermuhasabah dan bertanya diri sendiri persoalan-persoalan berikut:

- adakah harta yang dimiliki adalah hak mutlak kita atau hak mutlak Allah SWT?
- Adakah membelanjakan harta di jalan Allah akan menyebabkan harta kita semakin berkurangan atau semakin bertambah ekoran keberkatan yang dikurniakan Allah?
- Adakah harta yang dikumpul di atas dunia ini akan berkekalan selamanya dan boleh di bawa sekali ke liang lahad?
- Adakah harta yang dimiliki boleh menjamin kebahagiaan seseorang sekiranya tidak ada keberkatan pada harta tersebut?
- Apakah yang paling penting dalam kehidupan seseorang demi menjamin kebahagiaan di akhirat kelak?

Sekiranya persoalan-persoalan di atas dapat dijawab dengan penuh rasional dan keinsafan, sudah tentu kita akan berusaha memanfaatkan harta yang dimiliki sebaik mungkin dengan membelanjakannya di jalan Allah demi kecemerlangan dunia dan akhirat. Kata-kata Ibrahim Adham boleh dijadikan panduan iaitu: “Letakkanlah Dinar dan Dirham (wang ringgit) itu di atas tangan dan janganlah meletakkannya di dalam hati”.

Friday, October 30, 2009

Mengapa Sukar Untuk Beristiqamah?

Oleh: Ustaz Shauqi

Ramadhan dan Syawal sudah pun melabuhkan tirainya. Masih terbayang di mata kemeriahan ibadah pada bulan Ramadhan. Masjid dan surau dipenuhi dengan para jamaah yang beriktikaf, mengerjakan solat secara berjamaah, bertadarus dan sebagainya. Syawal pula disambut dengan laungan takbir yang bergema di seluruh pelusuk negara tanda kemenangan menundukkan hawa nafsu di sepanjang bulan Ramadhan. Namun, suatu persoalan yang perlu dijawab ialah sejauh manakah komitmen untuk beristiqamah dan meneruskan kesinambungan ketaatan pada Allah pada bulan-bulan yang datang selepas Ramadhan?

Sudah menjadi adat dan kebiasaan dalam masyarakat kita untuk berlumba-lumba menunaikan ibadah pada bulan Ramadhan, tetapi apabila berlalunya Ramadhan, segala amal ibadah yang dilakukan terus ditinggalkan begitu sahaja. Amalan yang dilakukan itu adalah seumpama pepatah yang menyatakan ‘macam hangat-hangat tahi ayam’. Kalau dahulunya masjid dan surau dipenuhi oleh para jamaah, kini ia kembali lengang. Kalau pada bulan Ramadhan, boleh dikatakan setiap hari kita membaca al-Quran, namun kini al-Quran sudah tersimpan rapi di dalam almari.

Dalam bulan Ramadhan, masyarakat kita berlumba-lumba untuk bersedekah, namun apabila berlalunya bulan tersebut ramai yang kembali menjadi bakhil. Kalau dalam bulan Ramadhan, puasa dapat dilaksanakan selama sebulan, tapi apabila datangnya Syawal, puasa enam hari pun amat berat untuk dikerjakan, sedangkan semua maklum tentang ganjaran ‘puasa enam’ sebagaimana dalam hadis nabi SAW yang bermaksud: ’Barang siapa yang puasa pada bulan Ramadan, kemudian diikuti puasa enam hari pada bulan Syawal (ganjarannya) adalah seperti puasa setahun penuh’. (Hadis Riwayat Imam Muslim). Persoalannya, mengapakah sukar sangat untuk beristiqamah dalam melaksanakan ketaatan kepada Allah?.

Seorang ulama salaf ditanya tentang mereka yang bersungguh-sungguh dalam ibadahnya pada bulan Ramadhan tetapi jika Ramadhan berlalu mereka tidak bersungguh-sungguh lagi dalam mengerjakan ibadah, lalu beliau menjawab: ’seburuk-buruk golongan adalah yang tidak mengenal Allah secara benar kecuali di bulan Ramadhan sahaja, padahal orang soleh adalah mereka yang beribadah dengan bersungguh-sungguh di sepanjang tahun’. Dalam hal ini, Sheikh Yusuf al-Qaradawi telah menyatakan : ’Jadilah hamba Allah, bukannya hamba Ramadhan’.

Meneruskan ibadah serta beristiqamah melaksanakannya setelah berlalunya Ramadhan menandakan diterimanya amalan soleh yang dikerjakan, kerana apabila Allah Ta'ala menerima amalan seseorang hamba, pasti Dia menolong hamba tersebut dalam meningkatkan perbuatan baik selepasnya. Sebahagian cerdik pandai mengatakan : Pahala amal kebaikan adalah kebaikan yang ada sesudahnya. Justeru, sesiapa yang dikatakan mengerjakan kebaikan adalah dilihat berdasarkan kebaikan yang ada sesudahnya. Sesiapa yang mengerjakan kebaikan kemudian melanjutkannya dengan kebaikan lain, maka hal itu merupakan tanda terkabulnya amalan pertama. Demikian pula sebaliknya, jika seseorang melakukan suatu kebaikan lalu diikuti dengan yang buruk atau tidak beristiqamah dalam melaksanakannya, maka hal itu merupakan tanda tertolaknya amal yang telah dibuat.

Bukan sekadar itu, malahan kalau diperhatikan sikap dan tabiat dalam masyarakat kita khususnya masyarakat Melayu Islam, maka akan didapati bahawa mereka hanya akan menghormati tempat-tempat atau masa-masa tertentu sahaja. Sebagai contohnya, kedapatan mereka yang terpaksa menghadiri perbicaraan di Mahkamah Syariah, maka akan dipakai pakaian yang sopan dan menutup aurat. Akan tetapi, apabila keluar sahaja dari perkarangan mahkamah, maka aurat kembali didedahkan. Begitu juga ’trend’ mengadakan upacara akad nikah di masjid. Kelihatan pengantin dan tetamu yang hadir akan berpakaian menutup aurat ketika berada di dalam masjid. Namun, apabila selesai sahaja upacara akad nikah dan masing-masing sudah keluar dari masjid, maka persoalan aurat sudah dilupakan. Apakah mereka menyedari bahawa Allah yang mengawasi gerak-geri dan perbuatan manusia bukan sahaja melihat telatah manusia di dalam masjid dan di bulan Ramadhan, bahkan Allah mengawasi seluruh perbuatan manusia pada setiap masa dan tempat?!.

Justeru, menjadi suatu kewajipan kepada kita untuk kembali bermuhasabah dan menilai sejauh manakah kefahaman dalam melaksanakan perintah Allah. Sekiranya amalan yang dilakukan itu tidak disandarkan kepada ilmu pengetahuan serta kefahaman yang cukup, maka dibimbangi amalan baik yang dilakukan itu tidak dikira sebagai ibadah di sisi Allah, sebaliknya ia merupakan ’adat’ semata-mata. Budaya ikut-ikutan tanpa ilmu dalam masyarakat perlu dibanteras dan ditangani segera kerana ia merupakan salah satu faktor penghalang kepada ‘istiqamah’ dalam pengabdian diri kepada Allah SWT.

Istiqamah merupakan sesuatu yang amat sukar, namun ia amat bermakna dalam kehidupan seseorang kerana ganjaran bagi mereka yang beristiqamah dalam melaksanakan amalan soleh ialah syurga. Firman Allah dalam surah al-Fussilat ayat 30 bermaksud: “Sesungguhnya orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: "Tuhan Kami ialah Allah", kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul (beristiqamah), akan turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham): "Janganlah kamu bimbang (dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berdukacita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu”.

Nabi SAW telah ditanya oleh seorang sahabat: “Wahai Rasulullah! Katakanlah kepadaku satu perkataan tentang Islam yang aku tidak perlu bertanya kepada orang lain”. Rasulullah SAW. bersabda: "Ucapkanlah ‘aku beriman kepada Allah’ kemudian beristiqamahlah." (hadis riwayat Muslim). Keimanan dan istiqamah ini akan menatijahkan keselamatan dari segala bahaya dan memperolehi keredhaan Allah dengan memperoleh nikmat dan kurniaan syurga daripada Allah. Nas-nas al-Qur’an dan al-Sunnah jelas menyatakan bahawa iman meliputi aqidah yang benar, amalan hati seperti keinginan kepada kebaikan dan membenci kejahatan, dan perbuatan anggota fizikal seperti solat, zakat, haji, menolong orang lain dan sebagainya.

Keteguhan dalam keimanan akan menentukan ketepatan dalam amalan-amalan iaitu dengan mengikhlaskan diri kepada Allah serta melakukannya menurut petunjuk Rasulullah SAW. Amalan-amalan ini akan menjadi lebih sempurna apabila dilakukan dengan penuh istiqamah dan dilaksanakan secara berterusan. Halangan-halangan yang berlaku kepada seseorang tidak akan menyekatnya dari terus mengabdikan diri kepada Allah baik ketika sakit atau sihat, senang atau susah, dalam perjalanan atau di tempat sendiri. Istiqamah merupakan tanda kesempurnaan amalan seseorang mukmin dan ia merupakan sesuatu yang amat besar nilainya. Sehubungan dengan itu, sesukar mana pun istiqamah, kita hendaklah berusaha melaksanakannya demi memperoleh keredhaan Allah dan mengecapi kebahagiaan yang abadi di akhirat kelak.

Tuesday, October 27, 2009

Ibadah Korban dan Sumbangan di Kemboja 1430/2009


Saudara-Saudara Islam kita di Kemboja hidup dalam keadaan yang amat daif dan menyedihkan. Mereka amat memerlukan sumbangan dan bantuan daripada masyarakat yang prihatin dan masyarakat yang menghayati konsep persaudaraan di dalam Islam. Menyedari hakikat ini, ana bersama rakan-rakan di AKADEMI IMAM SYAFEI di atas nama KEBAJIKAN mengambil inisiatif untuk menyalurkan sumbangan dalam bentuk ibadah korban / aqiqah, bantuan kepada guru-guru al-Quran dan institusi pendidikan, bantuan kepada fakir miskin serta pembinaan asrama anak yatim dan fakir miskin.
SATU BAHAGIAN KORBAN / AQIQAH = RM 250 (Lembu), RM 350 (Kambing)

SUMBANGAN / DERMA UNTUK GURU-GURU QURAN DAN ISNTITUSI PENDIDIKAN, BANTUAN KEPADA FAKIR MISKIN DAN SEBAGAINYA ADALAH BERGANTUNG KEPADA KEIKHLASAN ANDA.

Sesiapa yang berminat, boleh hubungi ana untuk tindakan yang selanjutnya. sila email ke: shauqi02@yahoo.com

Monday, October 26, 2009

Masjidil Haram Akan Datang...






Thursday, October 22, 2009

Hukum Menyambut Deeparaya


OlehMohd Sukki Othman (Ustaz Shauqi)

Ada orang bertanya tentang kewajaran kita menyambut Deeparaya (Deepavali + Raya Aidilfitri). Persoalannya ialah adakah umat Islam dibenarkan untuk turut sama merayakan perayaan bukan Islam?. Perayaan yang berbentuk budaya tidaklah menjadi suatu masalah, akan tetapi bagaimanakah pula sambutan perayaan yang berbentuk agama, adakah ia wajar disambut oleh masyarakat Islam? Setiap individu muslim sepatutnya meneliti persoalan ini dengan berhati-hati berlandaskan hukum syara’ agar akidah terpelihara, dan dalam masa yang sama hubungan di antara masyarakat Islam dan bukan Islam tetap menjadi erat.

Perayaan dalam Islam merupakan satu ibadah. Ia bukan merupakan adat dan budaya. Ibadah bermaksud pengabdian diri kepada Allah semata-mata. Ibadah dilakukan sebagai lambang ketaatan kepada Allah. Justeru, Rasulullah saw melarang golongan Ansar merayakan perayaan Jahiliyyah yang sudah sedia diamalkan oleh masyarakat Madinah sebelum kedatangan Islam. Sabda Rasulullah bermaksud:“Sesungguhnya Allah telah menggantikan untuk kamu yang lebih baik daripada keduanya(hari raya) iaitu hari raya Adha dan hari raya al-Fitri.” (Hadis riwayat Abu Dawud 1134, Nasaei 1556 dan Ahmad 1241).

Hadis nabi ini menegaskan dua perkara iaitu pertamanya; haram menyambut perayaan agama lain. Keduanya; Islam telah memberikan dua perayaan yang jauh lebih baik daripada perayaan Jahiliyyah iaitu Aidilfitri dan Aidiladha.

Syeikhul Islam Ibnu Taymiyyah dan anak muridnya Ibnu Qayyim bersikap amat tegas dalam persoalan ini iaitu mereka melarang keras umat Islam daripada terlibat dan turut serta dalam sebarang perayaan kaum musyrikin dan ahli kitab. Ibn Taymiyyah juga menegaskan bahawa perayaan adalah satu syariat. Kata Ibn Taimiyyah: “perayaan merupakan sebahagian daripada syariat, manhaj dan ibadah yang disebut oleh Allah dalam firmanNya yang bermaksud: ‘setiap umat Kami jadikan jalan ibadah yang mereka jalani’ (Rujuk Iqtidha’ al-Sirat al-Mustaqim juz 1, hlm. 207 )

Perayaan-perayaan agama bukan aktiviti sosial semata-mata. Perayaan agama merupakan syiar bagi sesebuah agama tersebut. Ia merupakan salah satu ciri istimewa yang ada pada setiap agama. Justeru, Rasulullah menegaskan kepada Saidina Abu Bakar dengan sabda baginda yang bermaksud: “Wahai Abu Bakar! Sesungguhnya bagi setiap kaum itu ada hari perayaan. Dan ini merupakan hari perayaan kita.” (Hadis Bukhari 952 dan Muslim 892).

Muhammad Saleh al-Munajjid, seorang ulama dan ahli majlis fatwa kerajaan Arab Saudi serta beberapa ulama kerajaan Arab Saudi yang lain pula berpendapat bahawa hukum mengucap tahniah kepada bukan Islam pada hari-hari kebesaran mereka seperti pada hari Krismas dan sebagainya adalah haram dan bertentangan asas-asas akidah Islam.

Hujah yang dikemukakan oleh mereka ialah hari perayaan agama kaum bukan Islam pada hakikatnya adalah syiar agama mereka. Umat Islam diperintahkan agar tidak meniru syiar dan budaya kaum bukan Islam. Ini berdasarkan sebuah hadis Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Sesiapa yang meniru syiar sesuatu kaum (bukan Islam), maka dia daripada golongan mereka - (riwayat Abu Dawud bilangan 4031. Musnad Ahmad Ibn Hanbal, bilangan 5093).Hujah mereka yang seterusnya ialah berdasarkan satu kaedah di dalam Islam iaitu ‘redha dengan kekufuran adalah kufur’. Justeru, turut serta berhari raya dengan kaum bukan Islam, serta mengucap tahniah dan selamat Hari Raya kepada mereka, adalah antara tanda kerelaan hati terhadap kekufuran seseorang.

Setiap perkara ibadah tidak boleh dikongsi dengan bukan Islam. Ini ditegaskan oleh firman Allah dalam surah al-Kafirun yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad). Wahai orang kafir! Aku tidak beribadah (mengabdikan diri) pada apa yang kamu abdikan diri. Dan kamu juga tidak menjadi pengabdi (melakukan ibadah)pada apa yang aku abdikan diri. Dan aku bukanlah pengabdi (pelaku ibadah) pada apa yang kamu abdikan diri Dan kamu juga tidak menjadi pengabdi (melakukan ibadah)pada apa yang aku abdikan diri. Bagi kamu agama kamu dan bagiku agamaku.”

Manakala Prof. Dr Yusuf al-Qaradawi pula, ketika membahaskan perkara ini telah menyatakan bahawa tidaklah menjadi suatu kesalahan memberikan ucapan selamat hari raya kepada rakan dan jiran yang musyrikin, kerana Islam tidak menutup hubungan antara dua kaum yang berlainan agama dan kepercayaan ini. Keharusan ini adalah berdasarkan firman Allah dalam surah al-Mumtahanah ayat 8 yang bermaksud: “Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang yang tidak memerangimu kerana agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu, sesungguhnya Allah menyukai orang yang berlaku adil”. Namun, al-Qaradawi melarang keras daripada turut serta dalam perayaan yang berasaskan upacara keagamaan kerana ia melibatkan akidah dan kepercayaan.

Prof Dr Abd al-Sattar Fathullah Said, seorang pensyarah Tafsir dan ‘Ulum Quran di Universiti Azhar pula berpendapat bahawa mengucapkan tahniah dan selamat hari raya pada perayaan bukan Islam adalah harus selagi tidak bercanggah dengan hukum syara’. Akan tetapi sekiranya ucapan tahniah dan selamat hari raya itu diungkapkan dalam bentuk doa seperti ‘moga Allah berkati pada keluarga dan hartamu’, ianya adalah haram dan dilarang sama sekali. Begitu juga menurut beliau harus memberi hadiah sebagai ucapan tahniah kepada bukan Islam pada hari perayaan mereka, tetapi hadiah tersebut mestilah bukan sesuatu yang diharamkan seperti arak, potret lucah dan sebagainya.

Syeikh Dr. Mustafa Zarqa pula ketika membincangkan persoalan ini telah menyatakan bahawa mengucapkan tahniah atau ucapan selamat hari raya kepada kenalan bukan Islam adalah termasuk dalam bab kesopanan (mujamalah) dan keelokan dalam pergaulan. Namun, sesiapa yang keliru, contohnya dengan mengatakan bahawa sambutan hari kelahiran Isa adalah perayaan mereka (seperti Aidilfitri dan Aidil Adha), maka ia adalah haram, kerana ianya mempunyai kaitan dengan aqidah Kristian tentang ketuhanan Isa.

Hujah yang dikemukakan oleh beliau antara lain ialah peristiwa yang berlaku pada zaman nabi s.a.w. Diriwayatkan bahawa Nabi Muhammad s.a.w. berdiri tatkala satu jenazah Yahudi melalui kawasan yang diduduki oleh Rasulullah dan para sahabat. Berdirinya Rasulullah itu adalah penjelasan tentang betapa hebat dan agungnya kematian itu, tidak ada kaitan dengan aqidah jenazah tersebut (iaitu bukan kerana hendak menghormati aqidah jenazah tersebut).

Namun, perlu juga diberi perhatian bahawa, mengucapkan selamat hari raya kepada kawan-kawan non-muslim atas alasan menjaga persahabatan dan perhubungan (bukan atas dasar aqidah) adalah harus, tetapi merayakannya dengan pengisian-pengisian mungkar di dalamnya, itu adalah haram.

Justeru, apakah tidak merayakan perayaan agama selain Islam menafikan toleransi di antara kaum? Toleransi tetap wujud dengan bukan Islam, tapi bukan dalam perkara ibadah dan yang melibatkan perayaan agama. Toleransi kaum boleh dipupuk pada setiap hari dalam pergaulan harian. Toleransi di antara kaum juga boleh dipupuk ketika menyambut ulang tahun hari kemerdekaan negara dan sambutan lain yang bersifat patriotik. Sehubungan dengan itu, pupuklah toleransi di antara kaum dengan tanpa menggugat akidah Islam!.

Thursday, October 15, 2009

Persoalan Haji Akbar


Oleh: Ustaz Shauqi

Semalam, ada sahabat bertanya tentang Haji Akbar.... Dikatakan bahawa Raya Haji tahun ini akan jatuh pada hari Jumaat... jadi persoalan yang telah dikemukakan apakah jemaah haji pada tahun ini akan memperoleh haji akbar?....
Ramai juga umat Islam yang prihatin dengan ajaran Islam bertanya-tanya apakah yang dimaksudkan dengan haji akbar itu? Adakah berwuquf pada hari Jumaat sahaja dikatakan memperoleh Haji Akbar? Bagaimana pula dengan jemaah yang menunaikan haji yang kebetulan wuquf mereka pada hari selain Jumaat, maka adakah mereka tidak memperoleh haji Akbar? Segala persoalan-persoalan yang berlegar dalam minda umat Islam mestilah dijawab dan diberi perhatian dengan segera agar mereka tidak terus berada dalam keadaan buntu, dan sekurang-kurangnya satu ilmu baru dapat dipelajari bagi mereka yang amat gemar dalam mengkaji ilmu-ilmu Islam.

Telah dikatakan bahawa jemaah haji yang kebetulan wuqufnya jatuh pada hari Jumaat, maka mereka akan mendapat pahala yang banyak dengan dilipat gandakan pahala melebihi 70 haji. Perkara ini telah disebutkan di dalam beberapa buah buku, dan disandarkan kepada satu hadis yang bermaksud: "Sebaik-baik hari Arafah ialah yang jatuh pada hari Jumaat, dan kelebihannya melebihi 70 haji pada hari selain dari Jumaat". Tambahan daripada itu, dikatakan juga bahawa fadhilat tentang Haji Akbar juga telah disebut di dalam al-Quran. Justeru, apakah kenyataan ini sahih dan benar? Marilah sama-sama kita meneliti maksud haji Akbar dengan lebih terperinci dan pemahamannya menerusi al-Quran dan sunnah nabi s.a.w.

Haji Akbar dari sudut bahasanya bermaksud haji yang besar iaitu ibadat haji yang akan memperoleh pahala yang besar. Istilah ’haji Akbar’ telah disebut oleh Allah melalui firmanNya dalam surah al-Taubah ayat 3 yang bermaksud: ”Dan (Inilah) suatu permakluman daripada Allah dan rasul-Nya kepada umat manusia pada hari Haji Akbar bahawa sesungguhnya Allah dan RasulNya berlepas diri daripada orang musyrikin. Kemudian jika kamu (kaum musyrikin) bertaubat, maka bertaubat itu lebih baik bagimu; dan jika kamu berpaling, maka ketahuilah bahawa sesungguhnya kamu tidak dapat melemahkan Allah, dan beritakanlah kepada orang kafir (bahawa mereka akan mendapat) siksa yang pedih”.

Para ulama’ tafsir telah berbeza pandangan tentang maksud haji Akbar yang telah disebutkan dalam ayat 3 surah al-Taubah itu. Dalam tafsir al-Baidhawi (juzuk 3, halaman 128), dijelaskan bahawa terdapat dua pendapat tentang maksud haji Akbar sebagaimana yang telah dinyatakan di dalam ayat al-Quran di atas. Pendapat pertama mengatakan bahawa haji Akbar ialah hari raya haji. Pendapat ini disandarkan kepada hadis (Sunan Abu Daud, hadis 1661) yang menjelaskan bahawa ketika Rasulullah saw berdiri pada hari al-nahr (korban) di kawasan Jamrah iaitu semasa Rasulullah menunaikan Haji Wada’, baginda bersabda, inilah haji Akbar. Pendapat kedua mengatakan bahawa maksud haji Akbar ialah hari Arafah bersandarkan kepada hadis Rasulullah saw yang menyatakan bahawa haji itu ialah Arafah (Lihat hadis 2901 dalam Sunan al-Tirmidhi, hadis 2966 dalam Sunan al-Nasa'ei, hadis 3006 dalam Sunan Ibnu Majah). Disebut haji Akbar (haji besar) adalah untuk membezakan dengan ibadat umrah yang disebut sebagai haji Asghar (haji kecil).

Dalam Sunan al-Tirmidhi (hadis 853), nabi saw ditanya tentang ibadah umrah sama ada ia wajib atau tidak, lalu Rasulullah saw bersabda: ’ia tidak wajib, tetapi kalau kamu melaksanakannya, maka ia terbaik untuk kamu’. Lalu hadis ini telah diberikan ulasan oleh Abu ’Isa al-Tirmidhi dengan katanya: ’Hadis ini ialah hadis Hasan Sahih, dan ia merupakan pandangan kebanyakan ahli ilmu yang menyatakan bahawa umrah itu bukan ibadah yang wajib dan ibadah umrah disebut sebagai haji Asghar (haji kecil), manakala hari al-Nahr disebut sebagai haji Akbar (haji besar)’.

Manakala dalam tafsir al-Qurthubi (juzuk 8, halaman 69-70), ketika membincangkan ayat 3 surah al-Taubah ini, djelaskan juga tentang perbezaan pendapat dalam kalangan ulama’ tentang maksud haji Akbar. Dikatakan bahawa haji Akbar ialah hari Arafah. Namun mengikut pandangan Ibnu Abbas, Ibnu Mas’ud, Ibnu Abi Awfa, al-Mughirah bin Syu’bah dan lain-lain haji Akbar ialah hari al-Nahr iaitu merujuk kepada hari raya korban. Perbincangan yang hampir sama juga telah dibincangkan di dalam kitab-kitab tafsir yang lain iaitu perbezaan pendapat tentang haji Akbar hanyalah berkisar sama ada ia merupakan hari Arafah atau ia adalah hari al-Nahr iaitu tanggal 10 Zulhijjah hari permulaan bagi ibadah korban (Sila rujuk al-Tabari 10/69, Ibnu Kathir 2/336, al-Dur al-Manthur 4/128-129, al-Tafsir al-Munir 5/445, dan lain-lain kitab tafsir).

Daripada perbincangan para ulama’ terhadap persoalan haji Akbar ini, didapati bahawa mereka tidak mengaitkan haji Akbar itu dengan hari Arafah yang jatuh pada hari Jumaat. Sebaliknya mereka lebih cenderung mengatakan bahawa haji Akbar ialah hari al-Nahr (penyembelihan korban yang bermula pada 10 Zulhijjah) atau ia adalah hari Arafah yang tidak dikaitkan dengan hari yang tertentu sama ada Jumaat, Sabtu dan sebagainya.

Sehubungan dengan itu, bagaimana pula dengan pandangan yang menyatakan bahawa haji Akbar itu ialah hari Arafah yang jatuh pada hari Jumaat dan pahalanya berlipat kali ganda melebihi 70 kali haji biasa? Bagaimana pula dengan hadis yang diriwayatkan oleh Razin dalam ’Tajrid al-Sihah’ yang menyatakan bahawa sebaik-baik hari Arafah ialah yang jatuh pada hari Jumaat, dan kelebihannya melebihi 70 Haji pada hari selain dari Jumaat?.

Mengenai pandangan yang menyatakan bahawa haji Akbar ialah hari Arafah yang jatuh pada hari Jumaat dan digandakan pahala sebanyak 70 haji itu, kebanyakan para ulama’ menolak pandangan tersebut. Manakala hadis yang diriwayatkan mengenai perkara tersebut, para ulama’ menyatakan bahawa ia hadis yang tidak sahih dan batil. Ibn Qayyim dalam kitab Zad al-Ma’ad menyatakan bahawa hadis itu batil, tiada asal baginya sama ada daripada Rasulullah, para sahabat mahu pun para tabien. Pendapat ini disokong oleh al-Manawi dan Ibn Abidin. Begitu juga pandangan yang dikemukan oleh al-Hafiz Ibn Nasiruddin al-Dimasyqi ketika membahaskan kelebihan hari Arafah telah menyatakan bahawa hadis yang menyatakan bahawa wuquf pada hari Jumaat menyamai pahala 72 haji adalah batil dan tidak sahih.

Syeikh Muhammad Bin Soleh al-Uthaimin ketika ditanya apakah terdapat sumber daripada Rasulullah saw tentang kelebihan haji (Arafah) pada hari Jumaat, telah menyatakan bahawa tidak warid (datang) daripada Rasulullah saw yang menyatakan tentang kelebihan Arafah pada hari Jumaat, namun para ulama’ menyatakan bahawa Arafah yang jatuh pada hari Jumaat membawa kebaikan. Antara kebaikannya adalah seperti berikut:
1- Haji yang dilakukan adalah seumpama haji yang telah dikerjakan oleh Rasulullah saw kerana ketika nabi menunaikan haji wada' , wuquf di Arafah jatuh pada hari Jumaat.
2- Jumaat merupakan penghulu bagi segala hari dan ia merupakan saat dan waktu yang doa seseorang mudah diperkenankan.
3- Hari Arafah merupakan hari 'raya', dan begitu juga hari Jumaat dianggap sebagai hari 'raya'. Jadi apabila Arafah berlaku pada hari Jumaat, maka sudah tentu kebaikannya amat banyak.

Ibn al-Qayyim telah menyenaraikan beberapa kebaikan yang terdapat pada hari wuquf yang jatuh pada hari Jumaat. Antaranya ialah:

1- Bertemunya dua hari (Arafah dan Jumaat) yang merupakan sebaik-baik hari.
2- Hari yang mudah diperkenankan doa oleh Allah.
3- Bersamaan dengan hari wuquf Rasulullah saw ketika mengerjakan haji wada'.
4- Pertemuan besar manusia di Arafah pada hari wuquf, ditambah pula pertemuan pada hari Jumaat untuk khutbah dan solat Jumaat.
5- Kedua-dua hari tersebut merupakan hari 'raya'.
6- Ketaatan dan amalan soleh yang dibuat pada hari Jumaat mempunyai nilaian dan kelebihannya yang tersendiri.
7- Bersamaan dengan Hari Perhimpunan Agung di akhirat kelak. Rasulullah saw juga telah menyatakan bahawa kiamat akan berlaku pada hari Jumaat

Walaupun kebaikan Wuquf pada hari Jumaat tidak dapat dinafikan mempunyai kebaikan yang banyak, namun sesuatu yang masyhur dalam kalangan masyarakat bahawa ia mempunyai nilaian sebanayak 70 haji adalah tidak sahih kerana hadis tentangnya ditolak oleh para ulama'.

Friday, October 2, 2009

Fenomena Rumah Terbuka


Oleh: Ustaz Shauqi

Fenomena dalam menyambut hari raya dalam masyarakat kita akhir-akhir ini ialah dengan mengadakan ‘rumah terbuka’. Konsep rumah terbuka ini adalah sesuatu yang baik sekiranya dilaksanakan mengikut lunas-lunas dan ajaran Islam yang mulia. Namun, apabila ia dilaksanakan dengan mengabaikan tuntutan syarak, maka ia tidak lagi menjadi ibadat sebagaimana yang diharapkan.

Antara tujuan mengadakan ‘rumah terbuka’ ialah untuk menghidupkan amalan ziarah-menziarahi pada hari raya. Sebagaimana yang dimaklumi, amalan saling ziarah menziarahi pada hari raya merupakan tradisi yang disyariatkan di dalam Islam. Begitu juga menjamu jiran dan sahabat-handai dengan makanan dan jamuan merupakan sesuatu yang boleh dikategorikan sebagai sedekah.

Namun, kadang-kala berlaku, ‘rumah terbuka’ yang diadakan itu hanya menjemput golongan tertentu sahaja, yang mengakibatkan amalan ziarah-menziarahi tidak berkembang kepada golongan yang lain. Sesetengah orang pula tidak akan menziarahi rakan taulannya melainkan setelah dibuat ‘rumah terbuka’. Seolahnya amalan ziarah tertakluk kepada adanya rumah terbuka. Sekiranya tiada rumah terbuka, maka amalan ziarah tidak akan dilakukan pada hari raya. Sedangkan apa yang dikehendaki oleh Islam ialah, amalan ziarah-menziarahi itu hendaklah dilakukan bagi menghubungkan ikatan silaturrahim dan hubungan yang erat dalam kalangan umat Islam walaupun dengan ketiadaan ‘rumah terbuka’.

Apa yang lebih penting ialah amalan saling ziarah- menziarahi di antara satu sama lain seperti menziarahi orang tua, saudara-mara, kaum kerabat, jiran, para guru dan sahabat-handai sebenarnya tidak terbatas dengan adanya ‘rumah terbuka’ atau pada hari raya sahaja, tetapi ia perlulah dilakukan dari semasa ke semasa demi mengukuhkan ikatan ukhuwwah dan persaudaraan sesama kita.

Apatah lagi sekiranya ‘rumah terbuka’ yang diadakan telah menyebabkan berlakunya pembaziran, maka ia amat ditegah oleh ajaran Islam. Walaupun hidangan dan juadah yang disajikan semasa ‘rumah terbuka’ tentulah menyelera dan mengasyikkan kita yang melihatnya. Ketupat, lemang, rendang, biskut, kek dan banyak lagi merupakan nikmat dan rezeki yang Allah berikan kepada kita. Namun janganlah sampai membazir!

Akibat terlalu lahap makan dan minum, 'sang penyakit' mula menyerang kita tanpa kita ketahui. Sakit perut, darah tinggi, kencing manis dan sewaktu dengannya adalah penyakit yang selalu kita dengar dan perolehi sejak akhir-akhir ini. Cara pemakanan yang kurang teratur dan stabil adalah punca utama. Pepatah Arab ada mengatakan: "Perut itu pangkal (punca) penyakit dan berjaga-jaga (berpantang) itu pangkal penawar."

Berserdahanalah dalam setiap perkara yang kita lakukan. Sebaik-baik perkara ialah yang sederhana.