Oleh: Ustaz Shauqi
Apabila tibanya bulan Safar terdapat segelintir umat Islam yang masih terbelenggu dengan amalan-amalan dan kepercayaan karut serta bidaah yang diamalkan dalam bulan Safar. Walaupun sekarang amalan tersebut tidak begitu ketara, namun masih ramai yang percaya bahawa bulan Safar membawa celaka dan sial. Justeru, terdapat dalam kalangan masyarakat Melayu yang menggunakan kertas atau papan yang ditulis dengan ayat-ayat tertentu dan mandi dengan air yang direndam ayat-ayat berkenaan untuk menolak bala.
Bulan Safar adalah bulan kedua mengikut perkiraan kalendar Islam yang berdasarkan tahun Qamariah. Safar bermaksud kosong. Ia juga memberi erti, meninggalkan sesuatu tempat apabila merujuk kepada perkataan `safir'. Telah dinyatakan juga bahawa dinamakan bulan Safar ekoran kebiasaan orang Arab yang selalu meninggalkan kampung halaman untuk berperang dan mengembara pada bulan tersebut.
Pada zaman Jahiliah, orang yang hendak bermusafir akan melepaskan seekor burung. Apabila burung itu terbang ke atas atau ke kanan, maka ia akan membawa petanda baik, tetapi jika ia terbang ke kiri atau ke bawah, mereka akan menangguhkan perjalanan kerana mereka beranggapan bahawa bala akan menimpa sekiranya perjalanan diteruskan.
Seterusnya, amalan khurafat dan bidaah yang bertentangan dengan syariat Islam diamalkan di dalam bulan Safar sebagai kesinambungan kepada warisan zaman Jahiliah. Ini kerana menurut kepercayaan turun-temurun sesetengah orang Islam yang jahil, bulan Safar merupakan bulan turunnya bala bencana dan malapetaka, khususnya pada hari Rabu minggu terakhir. Oleh sebab itu setiap tahun mereka akan melakukan amalan-amalan karut dan bidaah sebagai cara untuk menolak bala.
Sama ada sedar atau tidak, masyarakat Melayu Islam di Malaysia masih lagi dibelenggu dengan amalan khurafat dan tahyul seumpama ini pada bulan Safar. Di antara amalan khurafat yang pernah muncul di alam Melayu ialah upacara Pesta Mandi Safar. Amalan ini menjadi popular pada suatu waktu dahulu. Apabila tiba bulan Safar, umat Islam terutamanya yang tinggal berhampiran dengan pantai atau sungai akan mengadakan upacara mandi beramai-ramai dengan kepercayaan bahawa perbuatan tersebut boleh menghapuskan dosa dan menolak bala. Pada kebiasaannya, amalan mandi Safar ini dilakukan pada hari Rabu minggu terakhir dalam bulan Safar.
Selain itu, dalam kalangan masyarakat Melayu juga, khususnya dalam kalangan orang tua, mereka tidak mahu mengadakan majlis perkahwinan dalam bulan Safar. Ini kerana mereka berpendapat dan mempercayai bahawa kedua-dua pengantin tidak akan mendapat zuriat sekiranya majlis perkahwinan dilangsungkan dalam bulan ini. Amalan dan kepercayaan seperti ini jelas bercanggah dengan syariat Islam serta boleh menyebabkan rosaknya akidah seseorang.
Sebenarnya sial dan bala bencana tidak berlaku hanya pada bulan Safar. Firman Allah di dalam surah at-Taubah ayat 51 bermaksud: "Katakanlah (wahai Muhammad), tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan oleh Allah bagi kami. Dialah pengawal yang menyelamatkan kami dan (dengan kepercayaan itu), maka kepada Allah jualah hendaknya orang yang beriman bertawakal".
Rasulullah s.a.w. menyatakan melalui sabdanya yang bermaksud: "Tidak ada penularan penyakit (tanpa izin Allah), tidak ada penentuan nasib dengan burung, tiada kemudaratan burung hantu, dan tiada bala bencana bulan Safar". (Riwayat Bukhari dan Muslim).
Tambahan daripada itu, Rasulullah s.a.w. juga mengingatkan bahawa orang yang mempercayai keburukan itu datangnya daripada sesuatu selain daripada Allah adalah syirik, sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: "Menyandarkan keburukan kepada sesuatu adalah syirik, dan tidak termasuk dalam golongan kami melainkan orang yang beriman sahaja, dan Allah akan menghilangkan syirik itu dengan tawakkal". (Riwayat Ibnu Majah).
Sesuatu yang tambah menyedihkan lagi ialah apabila terdapatnya umat Islam yang melakukan pelbagai upacara menolak bala pada bulan Safar dengan tidak menganggapnya sebagai suatu perkara khurafat. Mereka seolah-olah tidak memahami apa itu khurafat, lalu melakukan amalan khurafat dengan sewenang-wenangnya. Khurafat ialah mempercayai sesuatu yang bertentangan dengan ajaran Islam. Kesan paling besar yang akan dihadapi oleh umat Islam apabila mempercayai perkara khurafat ini ialah ia akan menjerumuskan umat Islam ke lembah kekufuran dan kesyirikan. Mengamalkan perkara-perkara khurafat atau kepercayaan karut nyata ditegah oleh syarak.
Di samping itu, amalan khurafat tidak mendatangkan sebarang faedah, sebaliknya hanya boleh merosakkan akidah seseorang. Oleh yang demikian, umat Islam hendaklah menjauhkan diri daripada sangkaan atau kepercayaan karut tersebut supaya terselamat daripada amalan-amalan yang boleh membawa kepada syirik.Amalan khurafat juga boleh menjejaskan kegiatan sosial dan ekonomi umat Islam. Ia akan melahirkan budaya malas berusaha, minda menjadi jumud, kegiatan ekonomi terbantut, mudah berputus asa, tidak bertawakal kepada Allah serta menjejaskan martabat Islam yang syumul.
Apabila seseorang itu percaya kepada makhluk selain Allah, maka ia akan membawa kepada lenyapnya keimanan kepada rukun Islam keenam iaitu percaya kepada qada dan qadar Allah s.w.t. Kepercayaan dan amalan khurafat yang masih membelenggu umat Islam hari ini berpunca daripada akidah yang tidak mantap dan tidak mempunyai kefahaman yang jelas tentang hukum-hakam yang terdapat di dalam Islam. Perlu diingatkan bahawa sebagai seorang Islam, sewajarnya hanya memohon dan meminta sesuatu kepada Allah.
Kepercayaan dan amalan khurafat hanya boleh dibanteras jika seseorang itu berpegang teguh kepada ajaran Islam dengan menjadikan al-Quran dan sunah sebagai rujukan dalam segala tindakan. Dalam hal ini, Nabi s.a.w. menjelaskan kepada kita melalui sabda baginda yang bermaksud: "Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, kamu tidak akan sesat selama-lamanya sekiranya berpegang dengan kedua-dua perkara tersebut, iaitu Kitab Allah (al-Quran) dan sunnahku".
Kepercayaan dan amalan khurafat memang tidak memberikan manfaat langsung, malah lebih menjurus kepada perkara-perkara negatif. Oleh itu, bagi menangani masalah khurafat ini termasuk kepercayaan khurafat dalam bulan Safar, akidah umat Islam hendaklah diperteguhkan agar tidak terus berada di dalam kepompong kejahilan. Apabila akidah sudah mantap, maka minda umat Islam tidak mudah terpengaruh dengan unsur khurafat, sebaliknya akan lebih terbuka serta `berpijak di bumi nyata'.
Firman Allah dalam Surah al-A'raf ayat 33 bermaksud: Katakanlah: Yang diharamkan Tuhanku hanyalah segala yang keji, baik yang lahir mahupun yang batin, maksiat dan melampaui batas tanpa kebenaran dan kamu mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang tiada diberi keterangan kepadanya, dan kamu katakan kepada Allah sesuatu yang tidak kamu ketahui.
salam ustaz,
ReplyDeleteana shidi dr kk, sabah. memang masih ada lagi ummat islam terutama di sabah nie melakukan amalan khurafat seperti ini.(mandi safar). ana sendiri menyaksikannya di sebuah pantai berdekatan dgn tempat kerja ana...tapi mengikut kata penduduk di sekitar itu, mereka yg membuat amalan tersebut bukan dari kalangan penduduk kampung tersebut. mereka datang dari kg sebelah yg mejoriti mereka adalah warga pilipina yg menetap di sana.
Wallahua'lam.
salam ustaz,
ReplyDeletesy dari kuala kangsar,sy ingin dptkan kepastian sy pernah ditegur oleh org tua2,klu kita nak berpindah kena tunggu bulan dan hari yg elok takut nanti ditimpa musibah dan tidak aman duduk dirumah tersebut nak buat rumah pun pintu kena kedudukan yg sesuai klu tidak nanti porak peranda rumah tangga adakah ini kepercayaan atau memang ada dlm sunnah nabi,harap ust dpt menjwd sy inginkan kepastian,terima kasih