Followers

Thursday, March 25, 2010

Pemuda Masjid Saman SIS


Dewan Pemuda Masjid Malaysia (PEMUDA MASJID) telah memfailkan Saman Pemula [Originating Summon] di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap SIS FORUM (MALAYSIA) yang selama ini menggelar diri mereka sebagai SISTERS IN ISLAM. Saman ini dikemukakan bagi mendapatkan perintah Mahkamah agar SIS FORUM (MALAYSIA) dilarang daripada menggunakan nama SISTERS IN ISLAM sebagai nama dan pengenalan organisasi mereka.

PEMUDA MASJID mengambil tindakan ini setelah mendapati bahawa SIS FORUM (MALAYSIA) telah melanggar Akta Syarikat 1965; di mana SIS FORUM (MALAYSIA) yang telah didaftarkan atau diperbadankan di bawah Akta tersebut telah dengan cara yang salah dan bertentangan dengan Akta menggunakan nama SISTERS IN ISLAM sebagai nama dan identiti organisasi mereka dalam kegiatan mereka seperti tulisan, penerbitan, kenyataan akhbar, surat-menyurat dan lain-lain lagi.

Perbuatan SIS FORUM (MALAYSIA) itu bukan sahaja salah di sisi undang-undang tetapi juga telah mengelirukan orang ramai di Malaysia dan di peringkat antarabangsa dengan mengambarkan seolah-olah mereka adalah sebuah organisasi Islam. PEMUDA MASJID mendapati bahawa SIS FORUM (MALAYSIA) adalah sebuah syarikat yang menjalankan kegiatan sebagai sebuah gerakan feminisme sekular dan gerakan hak asasi manusia sekular yang banyak bertentangan dengan ajaran Islam. Perbuatan mereka berselindung atas nama SISTERS IN ISLAM adalah sangat mengelirukan dan aktiviti mereka atas nama tersebut telah mencetuskan ketidaktenteraman awam, penentangan masyarakat, penghinaan terhadap Islam dan salah faham yang berpanjangan terhadap Islam dan umat Islam.

Perkataan Islam dan penggunaan nama Islam dalam organisasi seumpama SIS FORUM (MALAYSIA) adalah dikawal di bawah Seksyen 22, Akta Syarikat 1965. PEMUDA MASJID mendapati SIS FORUM (MALAYSIA) telah tidak memperolehi kebenaran khusus menurut peruntukan tersebut (yang memerlukan keizinan Menteri) dan secara salah dan sewenang-wenangnya menggunakan nama SISTERS IN ISLAM.

Mereka juga didapati melanggar Seksyen 121 Akta yang sama tentang peraturan penggunaan nama syarikat. Dokumen “Memorandum Of Association” bagi SIS FORUM (MALAYSIA) juga tidak langsung menyatakan bahawa objektif mereka adalah untuk wanita Islam. Sebaliknya, daripada dokumen tersebut dan tindak-tanduk SIS FORUM (MALAYSIA) selama ini, PEMUDA MASJID beranggapan bahawa organisasi mereka adalah sebenarnya sebuah gerakan feminisme sekular dan tidak layak langsung untuk menggunakan nama SISTERS IN ISLAM.

PEMUDA MASJID sebagai sebuah NGO Islam yang mempunyai objektif dan asas perjuangan menegakkan Islam dan memelihara kesucian ajarannya merasa perlu tampil menghentikan kekeliruan yang ditimbulkan oleh SIS FORUM (MALAYSIA) dan kesewenang-wenangan mereka menyalahgunakan nama Islam. Selain dari tindakan Mahkamah ini, PEMUDA MASJID juga pada hari ini telah mengutus surat kepada YB Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan yang bertanggungjawab terhadap Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan Pendaftar Syarikat Malaysia bagi memohon agar tindakan diambil terhadap SIS FORUM (MALAYSIA) di atas kesalahan dan “misrepresentation” yang telah mereka lakukan.

sumber : http://www.pemudamasjid.com/

No comments:

Post a Comment