Followers

Tuesday, March 23, 2010

Saat Apabila Harus Atasi Haram


Oleh: Mohd Sukki Othman (Shawqi al-Yarmouki)
(Artikel ini telah disiarkan di Majalah Milenia Muslim Mac 2005, dan ia telah diterjemahkan ke dalam Bahasa Inggeris dan dimasukkan dalam buku Voices of Islam in Southeast Asia by Greg Fealy & Virginia Hooker, terbitan ISEAS Publishing, Singapore tahun 2006... buku ini mendapat anugerah Outstanding Academic Title 2006 awarded by CHOICE, USA dan anugerah ANZSI mEDal 2007 awarded by The Australian & New Zealand Society of Indexers. This book also adopted as texts by Harvard University, University of Melbourne and Australian National University)

Pada tanggal 26 Disember 2004, sejarah hitam telah melanda dunia, khususnya di Asia, apabila berlakunya gempa bumi dan ombak besar 'tsunami' yang mengorbankan ratusan ribu nyawa. Gempa bumi berukuran 8.9 skala richter telah berlaku di Sumatera, Indonesia. Gempa bumi ini telah mencetuskan gelombang tsunami yang kemudiannya melanda beberapa buah Negara seperti Acheh, Sri Lanka, Malaysia, India, Thailand, Kepulauan Maldives, Myanmar, Bangladesh, beberapa buah pulau di Lautan Hindi, dan bahagian Timur Afrika.

Malapetaka ombak besar tsunami yang mencecah ketinggian melebihi pohon kelapa itu memang tidak diduga. Akibatnya, terdapat orang yang terpaksa merelakan ahli keluarga ditelan ombak besar kerana tidak berdaya untuk menghalangnya. Mangsa tsunami kehilangan segala-galanya. Ada yang menjadi sebatang kara atau sehelai sepinggang dalam sekelip mata. Tragedi buruk itu telah merobah kawasan perairan yang indah menjadi padang jarak padang tekukur.

Tiada apa yang tinggal melainkan banjir lumpur, serpihan bangunan, kayu-kayan, batu-batan dan sebagainya. Persisiran pantai yang dahulunya berkilauan dengan pasir memutih dan kebiruan air laut yang amat menenangkan, menjadi tidak ubah seperti tanah perkuburan. Penduduk juga diancam dengan kebuluran akibat makanan yang tidak mencukupi. Mayat reput bergelimpangan di sana sini dengan bau yang kurang menyenangkan.

Semasa menghadapi bencana ini, dua persoalan telah timbul mengenai perihal umat Islam di Acheh iaitu kewajaran membakar mayat orang Islam dan keharusan makan babi. Ini adalah ekoran kesukaran yang dihadapi oleh umat Islam Acheh dalam menguruskan mayat kerana orang yang meninggal dunia lebih ramai daripada yang hidup. Apa yang lebih membebankan ialah kekurangan bekalan makanan yang begitu ketara. Lalu jenazah orang Islam dikebumikan tanpa diselenggarakan secara biasa dan ada juga cadangan agar mayat dibakar.

Persoalannya ialah apakah wajar jenazah umat Islam dibakar? Apakah suasana darurat yang berlaku di Acheh membolehkan mayat umat Islam dibakar? Apakah juga suasana di Acheh itu sudah cukup untuk memberikan keharusan kepada penduduknya untuk menjamah daging babi untuk terus hidup?

Bagi menjawab persoalan ini, perlulah difahami kaedah darurat menurut Islam. Oleh itu, ada baiknya ditinjau pandangan ulama' tentang perkara ini. Ini kerana ajaran Islam telah menetapkan hukum yang khusus untuk menghadapi situasi darurat iaitu yang mengharuskan untuk melakukan sesuatu yang dilarang dalam situasi biasa. Ia bertepatan dengan prinsip Islam yang memberi kemudahan kepada umat serta menghindarkan daripada kesulitan.

Menurut al-Jurjani dalam al-Ta’rifat, dharurah dari segi bahasa berasal dari perkataan dharar. Perkataan ini mempunyai tiga pengertian iaitu lawan dari manfaat, kesulitan atau kesempitan, dan buruknya keadaan. Manakala dalam kamus al-Mu’jam al-Wasit, ia diertikan sebagai keperluan, sesuatu yang tidak dapat dihindari, dan kesulitan.

Menurut istilah pula, dharurah (darurat) mempunyai pelbagai definisi yang hampir sama pengertiannya. al-Jasos dalam kitab Ahkamul Qur`an mengatakan bahawa darurat adalah rasa takut akan ditimpa kerosakan atau kehancuran terhadap jiwa atau sebahagian anggota tubuh. Dalam kitab Durar al-Ahkam pula, darurat diertikan sebagai keadaan yang memaksa seseorang untuk mengerjakan sesuatu yang dilarang oleh syara’.

Imam al-Suyuti dalam al-Asybah wa al-Naza`ir mengatakan bahawa darurat adalah sampainya seseorang pada batas di mana jika dia tidak memakan sesuatu yang dilarang, dia akan binasa (mati) atau mendekati binasa. Seterusnya, Muhammad Khatib al-Syarbaini dalam Mughni al-Muhtaj menyatakan, darurat adalah rasa bimbang akan terjadinya kematian atau sakit yang menakutkan atau menjadi semakin parahnya penyakit ataupun semakin lamanya sakit. Ibnu Qudamah pula dalam al-Mughni menyatakan, darurat yang membolehkan seseorang makan yang haram, adalah darurat yang dikhuatiri akan membuat seseorang itu binasa jika dia tidak makan yang haram.

Ulama' pada abad ini seperti Muhammad Abu Zahrah telah mendefinisikan darurat sebagai kekhuatiran akan terancamnya kehidupan jika tidak memakan yang diharamkan, atau khuatir akan musnahnya seluruh harta miliknya. Seterusnya, Mustafa al-Zarqa` dalam kitabnya al-Madkhal fi al-Fiqh al-‘Aam berkata, darurat adalah sesuatu yang jika diabaikan akan mengakibatkan berlakunya bahaya. Manakala Wahbah al-Zuhaili dalam Nazhariyyah al-Dharurah mendefinisikan darurat sebagai datangnya bahaya pada manusia atau kesulitan (masyaqqah) yang amat berat, yang membuatkan dia khuatir akan terjadinya mudarat atau sesuatu yang menyakitkan atas jiwa, anggota tubuh, kehormatan, akal, harta, dan yang seumpama dengannya.

Sesungguhnya definisi darurat yang telah dibincangkan oleh para ulama' adalah berdasarkan beberapa ayat al-Quran (Sila rujuk ayat-ayat al-Quran berikut: al-Baqarah ayat 173, al-Ma'idah ayat 3, al-An'am ayat 119 dan 145, al-Nahl ayat 115). Isi kandungan ayat-ayat tersebut menerangkan keadaan darurat kerana terancamnya jiwa jika tidak memakan yang haram, seperti bangkai dan daging babi. Contohnya ialah firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 173 yang bermaksud: "... tetapi sesiapa yang dalam keadaan terpaksa (memakannya) sedang dia tidak menginginkannya dan tidak (pula) melampaui batas, maka tidak ada dosa baginya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang" .

Berdasarkan perbincangan di atas, darurat bolehlah diertikan sebagai keterpaksaan yang sangat mendesak yang dikhuatiri akan dapat menimbulkan kebinasaan atau kematian. Justeru, dalam keadaan darurat, diharuskan melakukan perkara yang pada asalnya mempunyai hukum haram sebagaimana yang termaktub dalam kaedah yang masyhur iaitu al-dharurat tubih al-mahzhurat (darurat mengharuskan yang haram). Dari itu, dapat diketahui bahawa darurat merupakan keadaan terpaksa yang berkaitan dengan pemeliharaan jiwa, seperti orang kelaparan yang terancam jiwanya yang tidak mendapatkan makanan selain daging babi atau bangkai.

Dalam keadaan darurat, seseorang itu diharuskan untuk melakukan sesuatu yang dilarang dalam usaha untuk menyelamatkan jiwanya daripada kematian. Ulama' bersepakat bahawa bangkai, darah, air kencing, dan daging babi (sesuatu yang diharamkan oleh syara') adalah halal bagi seseorang yang khuatir dirinya akan binasa akibat kelaparan dan kehausan. Akan tetapi, keharusan tersebut hanyalah sekadar untuk mempertahankan hidupnya dan 'menyelamatkannya' daripada kematian. Sekiranya dilakukan lebih daripada itu, hukumnya tetap haram. Dari sinilah timbulnya kaedah 'al-dharurat tuqaddar biqadariha' yang bermaksud darurat dianggarkan (diharuskan) sekadar keperluannya sahaja

Sehubungan itu, perbincangan di atas telah menjelaskan bahawa dalam situasi darurat, sesuatu yang pada asalnya adalah haram akan menjadi harus. Justeru, situasi di Acheh baru-baru ini hendaklah diperincikan bagi mengetahui sama ada wajar atau tidak untuk mengurus mayat atau membakarnya.

Pada asasnya, ajaran Islam telah menggariskan bahawa kewajipan orang hidup terhadap orang yang meninggal dunia ialah menguruskannya dengan baik iaitu dengan memandikan, mengapankan, menyembahyangkan dan mengebumikan jenazah. Namun, situasi di Acheh semasa berlakunya malapetaka ombak tsunami amat berbeza kerana orang yang hidup pada waktu itu lebih sedikit daripada ratusan ribu yang meninggal dunia, sekaligus menyukarkan untuk mengurus mayat sebagaimana yang telah dinyatakan. Oleh itu, dalam keadaan darurat seperti ini, mayat boleh dikebumikan terus tanpa melalui prosedur biasa bagi mengelakkan ia terbiar begitu sahaja dan dimakan oleh binatang liar.

Manakala persoalan pembakaran mayat pula, ia perlulah dipastikan dengan teliti sama ada pembakaran tersebut benar-benar diperlukan atau pun tidak. Apakah mayat terbiar yang tidak dibakar membahayakan nyawa manusia hidup atau sebaliknya. Membakar mayat orang Islam adalah dibenarkan sekiranya pelbagai pihak termasuk pakar perubatan mengesahkan bahawa ianya perlu dilakukan bagi mengelakkan bencana penyakit yang lebih dahsyat daripada berlaku. Ini kerana menjaga yang hidup lebih utama daripada yang telah meninggal dunia. Akan tetapi, jika sebaliknya usaha menanam mayat mestilah diutamakan.

Apabila ditinjau kepada beberapa laporan pakar perubatan, didapati bahawa keadaan tidaklah begitu memaksa agar mayat dibakar. Menurut laporan akhbar Utusan Malaysia, Jumaat 31 Disember 2004, Pertubuhan Kesihatan Pan Amerika menjelaskan bahawa mayat mangsa tragedi tsunami yang reput tidak akan menjadi punca kepada penyebaran wabak penyakit. Penasihat Jabatan Persiapan Kecemasan dan Bantuan Bencana Pertubuhan itu, Dana Van Alphan berkata, bakteria dan virus tidak dapat hidup dalam badan manusia yang telah mati. Justeru, katanya mayat yang berada di dalam air atau di atas tanah tidak akan mendatangkan sebarang bahaya. Katanya lagi, mayat-mayat yang bergelimpangan tidak akan membawa kesan kepada penyebaran wabak penyakit. Sebaliknya wabak penyakit seperti taun, malaria, tifoid, kaki gajah, demam berdarah, hepatitis radang selaput otak dan sebagainya adalah berpunca daripada air kotor, nyamuk dan kesesakan. Daripada keterangan ini, jelaslah bahawa situasi di Acheh tidaklah mengharuskan mayat umat Islam dibakar, sebaliknya ia hendaklah dikebumikan sekadar yang termampu dilaksanakan.

Begitu juga dengan persoalan makan babi, dirasakan bahawa situasi di Acheh semasa tragedi tsunami tidaklah terlalu mendesak umat Islam di sana sehingga terpaksa makan babi. Ini kerana bantuan dari seluruh dunia terutamanya dari Malaysia datang mencurah-curah kepada penduduk di sana. Sekurang-kurangnya mereka masih dapat 'bertahan' menunggu ketibaan makanan yang halal. Justeru, tidak sepatutnya diambil mudah dalam soal makanan yang haram ini sekiranya nyata berupaya mendapatkan makanan yang halal.

No comments:

Post a Comment