Followers

Monday, April 26, 2010

Di mana nilai sebuah janji?



Oleh: Ustaz Shauqi

Seringkali kita mendengar tentang ungkapan ‘janji Melayu’. Biasanya ungkapan ini membawa kepada maksud yang negatif iaitu merujuk kepada janji yang tidak ditepati. Mengapakah terjadi sedemikian?. Apakah benar masyarakat Melayu merupakan masyarakat yang tidak suka menepati janji? Sehubungan dengan itu, pepatah Melayu yang mengatakan `bagai menanam tebu di tepi bibir' hendaklah diambil perhatian kerana ia merujuk kepada orang yang suka menabur janji tetapi tidak suka menunaikannya.

Terdapat dalam kalangan masyarakat Melayu pada hari ini memang suka menabur janji serta mengungkapkan janji dengan begitu mudah. Namun, persoalannya sejauh manakah janji yang telah dibuat itu ditepati? Apatah lagi sebagai orang Melayu yang dididik dengan ajaran Islam yang murni, sememangnya sudah dimaklumi bahawa memungkiri janji merupakan suatu dosa yang besar dan perbuatan itu bukan sahaja akan menghakis adat budaya Melayu tetapi juga mencemar kesucian dan kemurnian ajaran Islam!.

Pemimpin sering-kali menaburkan janji-janji manis kepada rakyat tetapi hakikatnya janji tersebut tidak ditunaikan sebagaimana yang telah dijanjikan. Ahli politik pula berusaha menarik sokongan ramai dengan pelbagai janji yang dibuat yang sebahagiannya memang sudah diketahui tidak mampu untuk dilaksanakan. Seorang rakan berjanji kepada kawannya untuk melakukan sesuatu, namun tidak melaksanakannya. Penjual tiket bas berjanji kepada pembeli bahawa bas akan bertolak tepat pada waktu yang ditetapkan, akan tetapi apabila tiba masanya bas masih tidak bertolak dan kadang-kala lewat sejam atau setengah jam daripada waktu yang dijanjikan. Begitulah pelbagai ragam dan fenomena janji dalam masyarakat kita yang amat memalukan!.

Janji merupakan suatu perkara yang amat diambil berat dalam ajaran Islam. Menepati janji itu adalah tuntutan syara sebagaimana firman Allah s.w.t. dalam Surah al-Israk ayat 34 yang bermaksud: ”Dan sempurnakanlah perjanjian (dengan Allah dan dengan manusia). Sesungguhnya perjanjian itu akan ditanya”. Ayat ini memperingatkan bahawa hidup manusia di dunia ini selalu terikat dengan janji.

Oleh kerana itu, jangan mudah kita membuat janji sekiranya janji itu dijangka sukar untuk ditepati atau dipenuhi apatah lagi sememangnya untuk dimungkiri. Apabila seseorang itu berjanji, ia wajib menunaikan janjinya itu. Perbuatan mungkir janji bukan sahaja mengundang dosa dan kemurkaan Allah, bahkan akan turut menyebabkan berlakunya kesusahan kepada orang lain.

Mungkir janji atau sengaja tidak mahu menyempurnakan janji akan mendapat dosa dan balasan seksa di akhirat. Malahan individu sebegini dikategorikan dalam golongan yang beramal dengan sifat-sifat orang munafik. Ia ditegaskan oleh Rasulullah s.a.w. dalam sebuah hadis riwayat Imam Muslim yang bermaksud: ``Di antara tanda-tanda orang munafik itu ada tiga, iaitu jika bercakap ia berbohong. Apabila berjanji ia mengingkari janji itu, dan sekiranya diberikan amanah ia mengkhianatinya.'' Walau bagaimanapun, orang yang berjanji dan berazam akan menyempurnakan janjinya, tetapi terhalang oleh sesuatu keuzuran yang menyebabkan janji tersebut tidak mampu disempurnakan, ia tidaklah termasuk dalam golongan munafik itu.

Ayat al-Quran pula dengan tegas memerintahkan umat Islam supaya menunaikan janji apabila mereka berjanji menerusi firman Allah dalam Surah al-Maidah ayat 1 yang bermaksud: ”Wahai orang yang beriman, tunaikanlah janji-janji itu...”. Maksud janji dalam ayat ini merangkumi perjanjian manusia dengan Allah dan perjanjian manusia sesama mereka. Firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 177 pula bermaksud: ”Dan orang yang menyempurnakan janjinya apabila mereka berjanji, mereka itulah orang yang benar-benar beriman dan mengerjakan kebajikan dan mereka itulah juga orang yang bertakwa”.

Justeru, mereka yang sering berjanji tetapi masih tidak tahu cara untuk menunaikan janji hendaklah ’belajar’ kembali untuk menuruti ajaran Islam melalui wahyu al-Quran dan al-Sunnah. Mereka hendaklah berusaha bersungguh-sungguh untuk menunaikan janji apabila berjanji. Akan tetapi sekiranya mereka merasakan tidak mampu untuk menunaikan janji, maka janganlah sekali-kali menabur janji agar terselamat daripada termasuk ke dalam golongan yang beramal dengan amalan orang munafik yang dikutuk oleh Allah!.

Tuesday, April 20, 2010

Pilihanraya Kecil Parlimen Hulu Selangor



Bahang pilihanraya kecil Parlimen Hulu Selangor melanda ke seluruh negara. Setelah kematian penyandang kerusi parlimen p.94, Datuk Zainal Abidin Ahmad pada 25 Mac yang lalu, Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) telah menetapkan tarikh pilihanraya kecil (PRK) untuk menggantikan Datuk Zainal Abidin yang telah meninggal dunia akibat sakit barah otak pada 25 April ini.

Apa pun persoalan yang timbul, yang pastinya ialah kepimpinan dan perlantikan pemimpin merupakan suatu amanah yang tidak boleh dipandang remeh dan tidak boleh dipandang sepi. Ini kerana kepimpinan merupakan suatu amanah dan tanggungjawab besar yang perlu dipikul oleh mereka yang diberikan amanah tersebut. Pemimpin merupakan orang yang akan melaksanakan tanggungjawab sebagai ’khalifah’ di kawasan yang ditadbirnya. Tanggungjawab khalifah sebagaimana yang disebut oleh al-Imam al-Mawardi dalam kitabnya yang tersohor iaitu ’al-Ahkam al-Sultaniyyah’ ialah kewajipan melaksanakan dan menegakkan agama serta mengurus, mentadbir dan memakmurkan dunia ini dengan cara yang tidak bercanggah dengan agama.

Amanah bukanlah sesuatu ’keseronokan’ yang hendak direbut dengan rakus dan tamak, tetapi ia merupakan tanggungjawab yang akan dipersoalkan di hadapan Allah di akhirat kelak. Justeru, setiap mereka yang berpotensi untuk dilantik menjadi pemimpin hendaklah sentiasa bermuhasabah diri agar tidak hanyut dibuai gelombang rakus dalam merebut jawatan tetapi menginsafi dengan amanah yang wajib dipikul apabila mendapat mandat daripada rakyat. Sehubungan dengan itu, Saidina Umar pernah berkata: ’Fahamlah terlebih dahulu (tanggungjawab dan amanah tersebut), sebelum kamu dilantik menjadi pemimpin’.

Nabi saw pernah bersabda dalm sebuah hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari yang bermaksud: ”Sekiranya amanah itu disia-siakan, maka tunggulah kehancuran”. Lalu para sahabat baginda bertanya tentang bagaimanakah yang dikatakan bahawa amanah itu disia-siakan? Lalu nabi saw menjawab: ”(Amanah itu disia-siakan) apabila kamu menyerahkan sesuatu urusan kepada mereka yang tidak layak memikulnya, maka tunggulah akan kehancuran!”. Dalam hadis nabi saw yang lain yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim, baginda bersabda yang bermaksud: ”Setiap kamu adalah pemimpin, dan kamu bertanggungjawab kepada setiap perkara yang berada di bawah kepimpinan kamu, seorang imam (pemerintah) merupakan pemimpin, maka dia bertanggungjawab kepada sesiapa pun yang berada di bawah kepimpinannya...”.

Sekiranya kepimpinan itu merupakan suatu amanah, maka begitu juga soal melantik pemimpin juga merupakan suatu tanggungjawab dan amanah yang wajib ditunaikan menurut landasan syarak. Ini kerana, sekiranya berlaku kesilapan dalam melantik pemimpin, maka bermakna kita telah menyerahkan sesuatu urusan kepada mereka yang tidak layak menerimanya dan perbuatan ini jelas bercanggah dengan ajaran Islam sebagaimana yang telah diterangkan dalam hadis nabi saw sebelum ini. Oleh yang demikian, kita tidak boleh melantik ’wakil’ di kawasan kita hanyalah berasaskan sentimen, hubungan kerabat, kepentingan diri dan sebagainya, akan tetapi perlantikan pemimpin hendaklah berdasarkan kelayakan seseorang itu untuk memikul amanah dan tanggungjawab sebagaimana yang digariskan di dalam ajaran Islam. Sekiranya kita memilih serta melantik seseorang yang sememangnya diketahui bahawa dia tidak layak untuk memegang amanah tersebut, maka kita turut sama terlibat dalam mensia-siakan amanah yang akan dipertanggungjawabkan kesalahan tersebut di akhirat kelak.

Sehubungan dengan itu, bagaimanakah cara yang terbaik untuk kita menilai sama ada seseorang itu memang layak atau sebaliknya? Sesuatu yang lumrah, bahawa kita menilai seseorang dari sudut zahirnya sahaja bukan batinnya kerana kita tidak mempunyai kemampuan untuk menilai seseorang mengenai batinnya atau apa yang terbuku di hatinya. Akan tetapi apa yang kita mampu membuat penilaian hanyalah melihat kepada zahirnya sahaja, kerana kebiasaannya, hati yang baik akan melahirkan sifat dan kelakuan yang baik juga. Apatah lagi, kaedah dalam hukum syara’ menyatakan bahawa ’kita hanya berhukum secara zahir, tetapi Allah lah yang mengetahui apa yang ada pada batin seseorang’.

Ciri yang paling penting sekali dalam melantik wakil rakyat dan pemimpin ialah akidah dan keimanannya kepada Allah swt. Orang yang paling layak untuk menjaga dan mengambil berat urusan dan hal ehwal orang Islam hanyalah orang yang beriman kepada Allah swt. Mana mungkin seseorang yang tidak mempunyai akidah serta tidak beriman kepada Allah diberi tanggungjawab untuk menjadi wakil kepada orang Islam apatah lagi untuk menjaga urusan umat Islam. Hal ini amat jelas melalui apa yang telah difirmankan oleh Allah dalam Surah Ali ’Imran ayat 28 yang bermaksud: ”Janganlah orang yang beriman mengambil orang kafir menjadi wali (teman rapat atau pemimpin) dengan meninggalkan orang yang beriman. Dan sesiapa yang melakukan (larangan) yang demikian maka tiadalah ia (mendapat perlindungan) daripada Allah dalam sesuatu apapun...”. Manakala dalam Surah al-Nisa’ ayat 144, Allah SWT telah berfirman yang bermaksud: ”Wahai orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang yang beriman. Adakah kamu hendak mengadakan alasan yang terang nyata bagi Allah untuk (menyeksa) kamu?”.

Muhammad ’Ali al-Sobuni ketika memberikan tafsiran dan ulasan mengenai ayat 28 Surah Ali ’Imran dalam kitabnya Rawa’i al-Bayan Fi Tafsir Ayat al-Ahkam Min al-Qur’an telah menyatakan bahawa Allah melarang hambanya yang beriman memberikan wala’ (ketaatan, kasih sayang serta melantik menjadi pemimpin) kepada orang kafir dan mendekatkan diri dengan mereka dengan mawaddah wa mahabbah (kasih sayang dan kecintaan) serta membenarkan mereka, kerana ia merupakan sesuatu yang amat tidak wajar apabila memberikan wala’ kepada musuh-musuh Allah. Ini kerana sesuatu yang tidak dapat diterima akal bahawa seseorang itu boleh menghimpunkan kecintaannya kepada Allah dengan kecintaannya kepada musuh Allah dalam waktu yang sama. Oleh itu, tidak harus bagi seseorang muslim memberikan wala’ kepada orang yang tidak beriman dengan mengetepikan golongan yang beriman kepada Allah SWT. Manakala Sayyid Qutb pula ketika mentafsirkan ayat 28 Surah Ali ’Imran dalam kitab tafsirnya yang tersohor iaitu Fi Zilal al-Quran telah menyatakan bahawa tidak akan dapat berhimpun dalam hati manusia dua perkara dalam satu masa iaitu hakikat keimanan kepada Allah dan dalam masa yang sama memberi wala’ kepada musuh-musuh Allah.

Jelasnya, ayat tersebut menegaskan dengan terang larangan melantik orang kafir menjadi pemimpin kepada orang Islam. Ini kerana dalam Islam seorang pemimpin bertanggungjawab soal amar makruf dan nahi mungkar, soal ibadat, dan lain-lain, sedangkan orang yang kafir tidak bertanggungjawab terhadap masalah ini. Apatah lagi, wajarkah seseorang itu melantik seseorang yang sememangnya diketahui bahawa dia tidak redha untuk berhukum dengan kitab Allah dalam kehidupan ini?. Ini sekaligus memberikan gambaran bahawa orang yang melantik orang kafir itu sendiri tidak redha kepada hukum Allah untuk dilaksanakan!.

Sehubungan dengan itu, apabila berlaku pertembungan untuk memilih pemimpin di antara orang Islam dan bukan Islam, maka tidak ada alasan bagi orang yang mengaku Islam dan beriman kepada Allah untuk memilih serta melantik orang kafir untuk menjadi pemimpin mereka dengan mengetepikan orang Islam yang beriman kepada Allah SWT. Sekiranya seseorang Islam itu tetap melantik golongan kuffar dengan mengetepikan golongan beriman, maka nescaya akan mengundang kemurkaan daripada Allah kerana mengutamakan kekufuran melebihi keimanan. Untuk mengelakkan kutukan dan kemurkaan Allah, amanah kepimpinan hendaklah diberikan kepada golongan yang berhak dan layak. Firman Allah dalam surah al-Ma’dah ayat 55 bermaksud: ”Sesungguhnya penolong kamu hanyalah Allah, dan RasulNya, serta orang yang beriman, yang mendirikan solat, dan menunaikan zakat, sedang mereka rukuk (tunduk menjunjung perintah Allah)”.

Persoalan seterusnya ialah apakah kriteria yang sepatutnya digunakan dalam melantik pemimpin atau wakil rakyat apabila berlaku pertembungan di antara dua orang Islam yang sama-sama beriman kepada Allah SWT?. Ciri yang penting dalam pemilihan ialah berdasarkan keperibadian dan syakhsiah iaitu orang Islam yang benar-benar layak untuk memikul amanah dan tanggungjawab yang diberikan. Ini kerana sekiranya diberikan urusan kepimpinan kepada mereka yang rosak akhlaknya, maka amanah yang diberikan itu akan mudah dikhianati dengan amalan-amalan yang haram seperti rasuah, penipuan, penyelewengan harta awam dan sebagainya. Firman Allah dalam surah al-Hajj ayat 41 bermaksud: ”Mereka (umat Islam) yang jika Kami (Allah) berikan mereka kekuasaan memerintah dibumi, nescaya mereka mendirikan solat serta mengeluarkan zakat, dan menyuruh berbuat kebaikan serta melarang daripada melakukan kejahatan dan perbuatan yang munkar dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan".

Oleh yang demikian, menjadi suatu kewajipan kepada kita sebagai pengundi untuk melantik mereka yang menepati kriteria sebagai pemimpin yang boleh memikul amanah kepimpinan dengan baik sebagaimana yang telah digariskan oleh Allah di dalam al-Quran. Janganlah memperjudikan masa depan umat Islam dengan memilih mereka yang mempunyai keperibadian yang songsang serta yang mempunyai akhlak yang buruk. Justeru, pemimpin yang wajar diberikan amanah dan tanggungjawab ialah mereka yang menitik beratkan aspek solat, zakat, amar makruf nahi munkar, pengurusan serta pentadbiran yang bersih dan mantap dan sebagainya yang boleh mendatangkan kebaikan dan kesejahteraan di dunia dan di akhirat. Justeru, kriteria penting dalam memilih pemimpin adalah melantik pemimpin yang bijak dalam melaksanakan amanah Allah SWT di atas muka bumi ini.

Syeikh Mustafa Muhammad at-Tohhan di dalam bukunya Syakhsiah al-Muslim al-Mu’asir telah menyenaraikan beberapa amanah yang perlu dipikul oleh para pemimpin. Antaranya ialah menegakkan syariat Allah berpandukan apa yang telah diturunkan oleh Allah. Seterusnya menegakkan keadilan dalam kalangan manusia tanpa mengira warna kulit dan bangsa serta mengambil tahu dan prihatin terhadap permasalahan rakyat. Selain itu, amanah yang perlu dilaksanakan ialah membangunkan negara dengan jaminan pendidikan dan kesihatan, membuka ruang perdagangan, perusahaan dan pertanian, menjamin hak asasi manusia dan hak persamaan mereka di sisi undang-undang dan seterusnya menjamin kebebasan mengeluarkan pendapat dalam kalangan rakyat jelata.

Satu lagi persoalan yang mungkin timbul dalam suasana pemilihan wakil rakyat dalam pilihanraya umum ini ialah bagaimanakah cara atau kriteria yang terbaik untuk melantik pemimpin dalam kalangan masyarakat bukan Islam iaitu yang melibatkan perebutan jawatan di antara dua orang dalam kalangan bukan Islam?. Sekiranya berhadapan dengan situasi seumpama ini, maka kaedah fiqh yang bermaksud ’mengambil mudharat yang lebih ringan daripada dua kemudharatan’ boleh diambil kira dan diguna pakai. Maksudnya ialah hendaklah dipilih calon yang boleh bekerjasama dan bertolak ansur dengan orang Islam dan kepentingan orang Islam dan mengetepikan calon yang agak susah berkompromi dalam sesuatu yang melibatkan maslahat dan kebaikan masyarakat Islam.

Kesimpulannya ialah kepimpinan bukanlah satu kebanggaan, bukan satu kehebatan dan bukan pula satu perkara yang menyeronokkan, tetapi kepimpinan adalah amanah Allah s.w.t yang perlu dipikul dengan penuh tanggungjawab. Kepimpinan bermakna seseorang itu menerima bebanan besar dan akan dibicarakan oleh Allah s.w.t di Padang Mahsyar kelak. Oleh yang demikian, pengundi yang bijak serta cerdik sudah tentu akan memilih pemimpin yang berkelayakan memikul amanah dan tanggungjawab demi mencapai keredhaan Allah. Janganlah membiarkan diri dibelenggu dengan dosa dan kemurkaan Allah dengan sengaja memilih pemimpin yang tidak layak untuk memikul amanah dan tanggungjawab yang besar ini.

Thursday, April 15, 2010

Cerpen: Ukhuwwah di Rome - Bahagian Akhir


Oleh: Shawqi al-Yarmouki

Fathi menerangkan kepada Syafiq dengan suaranya yang jelas dan dengan menyebut perkataan bahasa arab dengan lambat dan satu-persatu agar Syafiq dapat menangkap apa yang diucapkannya: “La a’rifu nural Islam fi Tunis, wainnama a’rifu nuural Islam fi Roma”. A’rifu Islam min khilal al-ukhuwwah al-islamiyyah huna”. (Aku tidak mengenali cahaya Islam di Tunisia, akan tetapi aku mengenali cahaya Islam di bumi Rome melalui ikatan ukhuwwah Islamiyyah). Fathi lantas memimpin tangan Syafiq ke arah rakan-rakannya yang lain yang sedang bersembang dan bertanya khabar di antara satu sama lain.

Haaza Yazid min Jazaa’ir, wa haaza Muhammad min Urdun, wa haaza Umar min Maghrib”(Ini Yazid dari Algeria, dan ini Muhammad dari Jordan, dan ini pula Umar dari Morocco), Fathi memperkenalkan rakan-rakannya itu yang berasal dari pelbagai negara tetapi sudah menetap di Rome dan mendapat kerakyatan Italy kepada Syafiq dan Ustaz Hasan. Syafiq merasakan kegembiraan di wajah rakan-rakan Fathi itu ketika mereka saling berkenalan. Walau Syafiq hanya berkenalan dengan mereka pada pagi itu sahaja, namun Syafiq merasakan keakraban yang amat sangat seolah sudah kenal lama dengan mereka. Mereka begitu ramah dan mesra mengalu-alukan ziarah Syafiq ke Rome.

Seketika, azan berkumandang. Syafiq bersama rakan-rakan barunya itu bersegera menyahut seruan Jumaat dengan beriringan ke dewan solat di Islamic Cultural Centre itu. Masjid besar itu adalah tempat berseminya ukhuwwah Islamiah. Walaupun tapak asalnya ialah kawasan yang terkenal dengan maksiat dan pelacuran di Rome... Namun, dengan hubungan erat dan kekuatan yang dapat dibina dalam kalangan orang Islam di Rome, maka mereka telah berjaya membeli tanah tersebut, dan masjid yang besar dan tersergam indah yang masyhur dengan nama Islamic Cultural Centre itu pun dapat dibina di tapak tersebut. Hal ini sekaligus telah menjadikan kawasan itu tidak lagi menjadi sarang maksiat.

Selesai sahaja solat… Syafiq, Ustaz Hasan dan Saiful memohon untuk beredar ke tempat penginapan mereka iaitu sebuah hotel tidak ‘berbintang’ yang terletak berhampiran dengan Termini. Mereka menyewa satu bilik kecil yang hanya dapat memuatkan tiga katil. Bilik kecil tersebut hanya mempunyai kipas siling tanpa televisyen dan tanpa peti sejuk. Namun begitu, sewanya ialah 30 Euro seorang (lebih kurang RM135). Kadar sewa mengikut ‘kepala’ bukan mengikut bilik, jadi sewa untuk bilik kecil ini sahaja ialah 90 Euro untuk tiga orang.

Fathi dan rakannya Yazid mempelawa untuk menghantar Syafiq dan teman-teman ke Termini. Sepanjang perjalanan menaiki ‘train’ dari masjid ke Termini, Syafiq merasakan kemesraan antara mereka amat luar biasa… seolahnya mereka sudah berkawan selama 20 tahun. Ukhuwwah Islamiah tidak mengenal keturunan, bangsa dan warna kulit. “Di bumi Rome ini, baru aku benar-benar mengenali erti sebenar ukhuwwah”, bisik hati Syafiq sambil bibirnya menguntum senyum tanda gembira.


Tamat.

Wednesday, April 14, 2010

Cerpen: Ukhuwwah di Rome - Bahagian 4


Oleh: Shawqi al-Yarmouki

Syafiq tersentak apabila tiba-tiba bahunya dipegang oleh Ustaz Hasan. Anta beli apa Syafiq…. beli syawarma? Soal Ustaz Hasan. Sapaan Ustaz Hasan itu mengejutkan Syafiq dari lamunan. “Ye, ustaz… saya beli syawarma”, jawab Syafiq dan ditangannya tergenggam erat syawarma ayam yang baunya sahaja boleh membuka selera sesiapa jua yang berminat dengan makanan arab. Syafiq baru teringat yang dia masih belum membayar harga syawarma tersebut. Lantas, Syafiq bertanya sekali lagi kepada penjual syawarma sambil memegang wang kertas 5 euro ditangannya, lau samahta, kam si’r haaza syawarma? (minta maaf , berapa harga syawarma ini).

Penjual syawarma tersebut tersenyum sambil berkata, “balash.. zaalikar rojul qad dafa’ (tak perlu… lelaki itu telah bayar) sambil menunjukkan ke arah seorang lelaki berbangsa Arab. Lelaki Arab tersebut yang berbadan sasa dan tegap, berambut kerinting, bermata bulat memandang ke arah Syafiq dengan senyuman.

Syafiq lantas mengucapkan terima kasih kepada lelaki Arab tersebut… “syukran ya akhi”(terima kasih wahai saudaraku). Lelaki Arab itu pun menghulurkan tangan untuk bersalam dengan Syafiq dan Ustaz Hasan yang berada di sebelah Syafiq, lalu memperkenalkan dirinya sebagai Fathi yang berasal dari Tunisia tetapi sudah menetap di Rome sejak 10 tahun yang lalu.

Min aina anta?” (awak dari mana) soal Fathi kepada Syafiq. “Min Malizia”(dari Malaysia), jawab Syafiq ringkas. Sambil itu, Fathi menghulurkan kepada Syafiq segenggam anggur ‘banati’ yang berwarna hijau, tanpa biji sambil mempelawanya makan. Syafiq mengucapkan terima kasih…namun di dalam hatinya tertanya-tanya siapakah gerangan lelaki Arab itu yang tidak dikenalinya sebelum ini, tetapi bersikap begitu baik sekali.

Kesempatan yang ada itu diambil oleh Syafiq untuk berta’aruf dengan Fathi, untuk lebih mengenali lelaki yang berhati mulia ini. Fathi pun menceritakan betapa dia mengenali Islam di bumi Rome melalui ikatan ukhuwwah yang terjalin di antara sesama umat Islam di situ. Ketika di Tunisia, dia tidak mengenal erti solat dan tidak mengenal sejadah. Hidupnya adalah untuk makan dan berseronok sahaja. Namun, apabila dia berhijrah ke Rome untuk mencari pekerjaan demi hidup yang lebih sempurna, baharulah beliau sedar erti persaudaraan dan nikmat Islam. Atas dasar persaudaraan Islam juga, ramai sahabat dan rakan di Rome yang sanggup bersusah-payah demi saudaranya.

“Hubungan ukhuwwah sesama umat Islam amat kuat dan kukuh di sini kerana masing-masing memerlukan di antara satu sama lain. Apatah lagi apabila kami berhadapan dengan sesetengah orang Eropah yang agak sombong dan mementingkan diri sendiri. Di sinilah baharu dapat dilihat bagaimana semangat persaudaraan yang diajar di dalam Islam merupakan sesuatu yang amat manis lagi bermakna”, jelas Fathi kepada Syafiq.

Syafiq mengangguk-angguk tanda setuju dengan penjelasan Fathi itu. Syafiq teringat mafhum ayat al-Quran yang sering dibacakan oleh khatib di masjid Bandar Baru Bangi, tempat yang sering Syafiq tunaikan solat Jumaat... “Sesungguhnya orang beriman itu bersaudara”.

Cerita Fathi itu juga telah mengingatkan Syafiq tentang ceramah agama yang telah disampaikan oleh Ustaz Roslan di Surau al-Muhajirin seminggu sebelum Syafiq ke Makkah mengenai ukhuwwah sesama muslim dalam peperanganYarmouk. Ustaz Roslan menceritakan bagaimana kasih sayang dan persaudaraan sesama Islam yang dapat digambarkan melalui kata-kata yang telah diungkapkan oleh Huzaifah :

Aku telah bertolak ke tempat berlakunya Peperangan Yarmouk untuk mencari sepupuku yang kesakitan dan kehausan untuk kuberikan kepadanya air yang ada bersama-samaku. Apabila aku dapat menemuinya, lantas aku memberikannya air. Sedang sahaja sepupuku itu hendak meneguk air, maka dia terdengar suara seorang muslim yang mengaduh kehausan, maka sepupuku lantas menyuruhku agar memberi minum orang itu dahulu. Aku pergi kepada orang itu dan aku dapati dia adalah Hisyam Bin al-As . Apabila Hisyam hampir sahaja meneguk air tersebut, maka terdengar oleh Hisyam suara sahabat seperjuangan yang lain mengaduh kehausan, maka Hisyam pun menyuruhku untuk pergi dan memberikan air kepada orang itu dahulu. Aku pun pergi kepadanya dan belum sempat pun aku memberikannya air, dia telah pun syahid. Aku berpatah balik kepada Hisyam , dan aku dapati dia juga telah syahid. Kemudian aku pergi pula kepada sepupuku tetapi belum sempat pun aku memberikannya air, dia telah pun syahid “ .


Bersambung.....

Sunday, April 11, 2010

Cerpen : Ukhuwwah di Rome - Bahagian 3


Oleh: Shawqi al-Yarmouki

“Indah khabar dari rupa”, Syafiq mengomel sendirian pada ketika itu. Mana tidaknya, bandaraya yang amat terkenal di seluruh dunia itu di penuhi dengan contengan pada kebanyakan bangunannya. Kalaulah ia berlaku di Kuala Lumpur, nescaya Datuk Bandarnya akan dihentam dan dikutuk melalui ruangan Forum Utusan Malaysia dan Buletin Utama TV3.

Seketika bas yang membawa Syafiq melintasi sungai yang memisahkan Rome dari Vatican. Selepas sahaja melintasi sungai tersebut, kelihatan terowong kecil di hadapannya. Syafiq segera melihat peta ditangannya. Peta menunjukkan bahawa destinasinya hampir sampai. Bas melewati terowong yang jaraknya hanya sejauh 100 meter sahaja. Sekiranya hendak dibandingkan terowong di Lebuhraya Utara Selatan berhampiran dengan Kuala Kangsar dan terowong di Lebuhraya Karak-Gombak berhampiran dengan Genting Sempah, sudah tentu terowong di Malaysia tampak lebih hebat dengan jaraknya yang lebih panjang dan jauh yang dibina merentasi bukit-bukau yang berbatu pejal dan keras.

Kini di hadapan Syafiq sebuah bangunan besar yang mempunyai kubah seumpama kubah masjid. Kalaulah dia tidak mengetahui tentang selok-belok tempat itu, sudah tentu disangkanya masjid apabila melihat kepada kubah itu. Namun, terdapat sedikit kelainan dari sudut bentuk dan ukirannya yang tersendiri pada kubah tersebut. Syafiq melangkah masuk ke dalam kawasan gereja Katholik di Vatican itu.

Apabila sampai sahaja di dataran hadapan gereja, Syafiq dapat menyaksikan pelbagai jenis patung yang terletak mengelilingi bangunan dan dataran gereja tersebut. Begitu juga berhampiran dengan pintu masuk ke gereja, terdapat sebuah patung besar yang diukir iaitu patung St. Peter yang merupakan pemimpin pertama dalam gereja Katholik. Syafiq mendapati ramai pelancong yang datang dari pelbagai negara melawat ke gereja tersebut. Di samping gereja tersebut yang menjadi pusat keagamaan bagi penganut Katholik, ia juga dijadikan sebagai destinasi pelancongan.

Syafiq melangkah kaki ke dalam gereja tersebut untuk melihat keadaan di dalamnya. Suasana di dalam gereja agak suram dengan cahaya yang agak malap. Terdapat pelbagai jenis patung. Terdapat patung yang diukir untuk menggambarkan ‘Jesus’, Maryam, dan patung malaikat yang diukir dalam bentuk anak-anak kecil yang terbang. “Banyaknya patung di sini”, getus Syafiq di dalam hatinya. Syafiq berasa agak ‘seram’ dengan suasana muram dan sedikit gelap dalam gereja tersebut.

Lantas, Syafiq cuba membezakan suasana tempat suci umat Islam di Masjidil Haram, dan suasana tempat suci penganut Kristian Katholik ini. Apatah lagi sememangnya sebelum menjejakkan kaki di bumi Rome ini, Syafiq telah terlebih dahulu ke Makkah untuk menunaikan umrah. “Seramlah keadaan di sini”, kata Syafiq kepada temannya Saiful. “Kalau di Masjidil Haram…. Barulah rasa tenang”, tambah Syafiq lagi.

Sebenarnya, memang tujuan asal perjalanan Syafiq sebenarnya adalah ke Makkah sahaja untuk menunaikan umrah. Entah bagaimana, ketika dia berbicara dengan temannya Saiful di hadapan Maqam Ibrahim setelah selesai sahaja menunaikan solat sunat Tawaf dua rakaat, timbul idea untuk tidak terus kembali ke Malaysia, sebaliknya meneruskan perjalanan ke Eropah.

“Cadangan awak tu elok juga Syafiq, saya pun memang tak pernah menjejakkan kaki di Eropah…. Alang-alang dah naik kapal terbang, elok aje kita teruskan ke sana. Harga tambang kapal terbang yang perlu ditambah tak ler banyak sangat kalau nak dibandingkan apabila kita dah balik ke Malaysia”, ujar Saiful pada Syafiq sambil matanya dan seluruh wajahnya memandang ke arah Syafiq tanda beliau serius memperkatakan hal tersebut.

“Ye.. Saiful, sebenarnya sebelum kita datang ke bumi Makkah ini pun saya sudah terfikir tentang hal ini… tapi tak sempat pulak nak berbincang dengan awak… maklum ler ketika tu… masalah visa umrah kita pun hampir-hampir ‘sangkut’…. Tapi Saiful, saya rasa elok jugak kita ajak Ustaz Hasan bersama kita…. Saya bimbang jugak kalau kita berdua aje mengembara di Eropah tu… banyak dugaannya tu.. kalau ada Ustaz Hasan , rasanya lebih selamat”, kata Syafiq sambil matanya meliar mencari kelibat Ustaz Hasan yang masih berada di tengah-tengah kelompok jamaah yang bersesak-sesak bertawaf mengelilingi kaabah, sambil Syafiq meletakkan tangannya di atas dahi untuk menahan panas mentari yang membakar melewati 45 darjah celcius ketika itu…. lagak Syafiq umpama seorang askar yang mengangkat tabik. Walau pun orang yang bertawaf pada waktu selepas zohor tidaklah seramai pada waktu-waktu lain, namun susah juga mencari kelibat Ustaz Hasan.

“Awak rasa Ustaz Hasan setuju ke nak ikut kita?”, Tanya Saiful dalam nada yang tidak begitu yakin dengan persetujuan Ustaz Hasan. “Hal itu, awak jangan bimbang, nanti saya sendiri akan berbincang dengan Ustaz Hasan”, jawab Syafiq penuh yakin.Setelah berbincang dengan Ustaz Hasan… maka persetujuan pun dicapai. Lalu, sampailah mereka bertiga ke bumi Rome ini.
Bersambung...

Saturday, April 10, 2010

Cerpen : Ukhuwwah di Rome - Bahagian 2


Oleh : Ustaz Shauqi

Syafiq tidaklah pandai sangat berbahasa Arab, tetapi asas-asas mudah berkomunikasi dalam bahasa Arab yang dipelajari ketika menuntut di Universiti Putra Malaysia kira-kira lima tahun yang lalu masih lagi dapat digunakan. Syafiq masih teringat Dr Halim yang pernah menuntut di Kuwait dan Sudan selama 11 tahun mengajarnya Bahasa Arab di UPM . Syafiq yang mengambil jurusan Pertanian mengambil peluang belajar Bahasa Arab dengan Dr Halim melalui subjek elektif yang ditawarkan pada ketika itu. Syafiq merasakan sangat berbaloi belajar Bahasa Arab kerana sekarang beliau dapat mempraktikkan apa yang dipelajari di universiti dahulu.

Memang Syafiq amat gembira apabila dapat hadir ke pasar Jumaat pada pagi itu. Mana tidaknya… dua tiga hari ini, dia merasakan amat sukar untuk mencari makanan halal. Walaupun terdapat kedai-kedai makanan yang dipunyai oleh warga Italy muslim yang berasal dari India yang menjual makanan halal berhampiran dengan Termini (terminal perhentian pengangkutan awam di pusat bandar Rome), namun harganya amat mahal, di samping itu Syafiq agak meragui status ‘halal’ pada kedai-kedai tersebut. Kalau di Malaysia…. Segalanya mudah … ada sahaja logo Halal JAKIM, maka status halalnya tidak diragui lagi.

Namun pada pagi Jumaat yang amat indah itu, begitu banyak juadah makanan halal yang ada. Seronok di hatinya tidak terkata… Hatinya berbisik sendirian… kalau beginilah keadaannya… tidaklah susah untuk tinggal lebih lama di bumi Vatican.

Ya… Bumi Vatican… tempat yang sudah terkenal di seluruh dunia sebagai wilayah yang merdeka dan mempunyai pentadbirannya sendiri dan dianggap sebagai sebuah negeri yang terkecil di dunia. Tempatnya yang hanya dipisahkan dengan sebatang sungai dengan bandaraya Rome yang hanya mengambil masa tidak sampai setengah jam perjalanan dengan bas dari stesen Termini. Kota Vatikan terletak di atas bukit Vatikan di sebelah barat laut Kota Rome, iaitu beberapa ratus meter dari sungai Tiber. Di situlah berdiri dengan megah bangunan atau tempat ibadat yang menjadi kebanggaan penganut Kristian Katholik dan di situ juga tempat yang didiami oleh paderi besar bagi penganut agama Kristian Katholik itu.

Masih terbayang gambaran tempat tersebut di ruang mata Syafiq. Baharu semalam Syafiq menjejakkan kaki ke tempat tersebut. Dari Termini Syafiq menaiki bas. Di sepanjang perjalanan, Syafiq menghayati keindahan bandaraya Rome. Sebuah bandar hebat yang berada di Eropah dan merupakan pusat pelancongan yang terkenal yang masih mengekalkan bangunan-bangunan lama yang menjadi warisan. Ketika menghayati keindahan bandaraya Rome yang dipenuhi dengan patung-patung sejarah, Syafiq agak tersentak apabila melihat kebanyakan bangunan di bandaraya ini penuh dengan contengan cat dan perbuatan vandalisme. Sikap vandalisme ini telah menyebabkan bangunan-bangunan kelihatan agak kotor pada dinding di aras bawah bangunan yang dapat dicapai oleh tangan-tangan yang melakukan perbuatan vandalisme ini.
Bersambung.....

Wednesday, April 7, 2010

Cerpen : Ukhuwwah di Rome - Bahagian 1


Oleh: Shawqi al-Yarmouki

Berapa harga syawarma ini? Tanya Syafiq kepada penjual Syawarma di hadapan masjid besar di Rome, Italy itu sambil dia memerhatikan para peniaga muslim yang berbilang bangsa di sepanjang jalan di hadapan masjid. Masjid besar Rome itu dikenali sebagai 'Markaz al-Thaqafah al-Islamiah' atau dalam bahasa Inggerisnya Islamic Cultural Centre.

Masjid tersebut merupakan satu-satunya masjid di Rome yang juga dianggap sebagai salah satu bangunan besar yang terdapat di kota Rome. Bangunan besar itu bukan sahaja dijadikan sebagai masjid, namun di situ juga ditempatkan dewan seminar, perpustakaan, dan sebagainya. Kompleks masjid ini telah direka bentuk dengan kemudahan tempat wuduk dan dewan solat yang boleh menampung seramai 2500 orang. Terdapat juga ruang pendidikan yang mengandungi perpustakaan dan kelas-kelas untuk pengajian. Dewan syarahan yang terdapat di sini boleh memuatkan sejumlah 400 orang. Terdapat juga ruang untuk pameran dan dua tempat penginapan, satu untuk imam dan satu lagi untuk pengunjung.

Kelihatan ramai sekali orang Islam yang berniaga pada hari Jumaat itu. Ada yang menjual barangan makanan seperti ‘syawarma’, ‘falafil’ dan pelbagai barangan halal yang lain, dan ada pula yang menjual barangan keperluan seharian.

Penjual syawarma itu kelihatan riang gembira pada pagi Jumaat itu kerana begitu ramai pelanggan yang membeli syawarmanya. Keringat membasahi bajunya, dan kelihatan letih yang amat sangat pada wajah yang sedang memotong daging ayam syawarma yang disalai dan dibakar di hadapan bara api yang sentiasa panas. Walau panasnya api yang membakar syawarma itu agak merimaskan, namun sesekali angin sejuk di musim luruh di Italy yang bertiup sepoi-sepoi bahasa agak menyenangkan dan memberikan kesegaran.

Walaupun letih melayan pelanggan, namun bibir penjual syawarma itu tetap menguntum senyum tanda puas dan gembira dengan hasil jualannya. Penjual Syawarma yang berbangsa Arab itu tidak reti berbahasa selain Bahasa Arab, namun begitu hasil jualannya tetap laris. Nasib baiklah Syafiq boleh berbahasa Arab sedikit-sedikit, jadi senanglah sikit untuk berkomunikasi dengan penjual syawarma itu… sekurang-kurangnya beliau mudah memesan makanan yang hendak dibeli.
Bersambung.....

Inikah Buah Utrujjah ?





Hadis Nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam riwayat Imam al-Tirmidhi:Daripada Abi Musa al-Ash'ari, beliau berkata: Rasulullah s.a.w. telah bersabda: Perumpamaan orang mukmin yang membaca al-Quran adalah seperti al-utrunjah / al-Utrujjah, baunya harum rasanya enak, manakala perumpamaan orang mukmin yang tidak membaca al-Qur’an adalah seperti buah kurma, tiada bau tetapi rasanya manis.