Followers

Sunday, April 11, 2010

Cerpen : Ukhuwwah di Rome - Bahagian 3


Oleh: Shawqi al-Yarmouki

“Indah khabar dari rupa”, Syafiq mengomel sendirian pada ketika itu. Mana tidaknya, bandaraya yang amat terkenal di seluruh dunia itu di penuhi dengan contengan pada kebanyakan bangunannya. Kalaulah ia berlaku di Kuala Lumpur, nescaya Datuk Bandarnya akan dihentam dan dikutuk melalui ruangan Forum Utusan Malaysia dan Buletin Utama TV3.

Seketika bas yang membawa Syafiq melintasi sungai yang memisahkan Rome dari Vatican. Selepas sahaja melintasi sungai tersebut, kelihatan terowong kecil di hadapannya. Syafiq segera melihat peta ditangannya. Peta menunjukkan bahawa destinasinya hampir sampai. Bas melewati terowong yang jaraknya hanya sejauh 100 meter sahaja. Sekiranya hendak dibandingkan terowong di Lebuhraya Utara Selatan berhampiran dengan Kuala Kangsar dan terowong di Lebuhraya Karak-Gombak berhampiran dengan Genting Sempah, sudah tentu terowong di Malaysia tampak lebih hebat dengan jaraknya yang lebih panjang dan jauh yang dibina merentasi bukit-bukau yang berbatu pejal dan keras.

Kini di hadapan Syafiq sebuah bangunan besar yang mempunyai kubah seumpama kubah masjid. Kalaulah dia tidak mengetahui tentang selok-belok tempat itu, sudah tentu disangkanya masjid apabila melihat kepada kubah itu. Namun, terdapat sedikit kelainan dari sudut bentuk dan ukirannya yang tersendiri pada kubah tersebut. Syafiq melangkah masuk ke dalam kawasan gereja Katholik di Vatican itu.

Apabila sampai sahaja di dataran hadapan gereja, Syafiq dapat menyaksikan pelbagai jenis patung yang terletak mengelilingi bangunan dan dataran gereja tersebut. Begitu juga berhampiran dengan pintu masuk ke gereja, terdapat sebuah patung besar yang diukir iaitu patung St. Peter yang merupakan pemimpin pertama dalam gereja Katholik. Syafiq mendapati ramai pelancong yang datang dari pelbagai negara melawat ke gereja tersebut. Di samping gereja tersebut yang menjadi pusat keagamaan bagi penganut Katholik, ia juga dijadikan sebagai destinasi pelancongan.

Syafiq melangkah kaki ke dalam gereja tersebut untuk melihat keadaan di dalamnya. Suasana di dalam gereja agak suram dengan cahaya yang agak malap. Terdapat pelbagai jenis patung. Terdapat patung yang diukir untuk menggambarkan ‘Jesus’, Maryam, dan patung malaikat yang diukir dalam bentuk anak-anak kecil yang terbang. “Banyaknya patung di sini”, getus Syafiq di dalam hatinya. Syafiq berasa agak ‘seram’ dengan suasana muram dan sedikit gelap dalam gereja tersebut.

Lantas, Syafiq cuba membezakan suasana tempat suci umat Islam di Masjidil Haram, dan suasana tempat suci penganut Kristian Katholik ini. Apatah lagi sememangnya sebelum menjejakkan kaki di bumi Rome ini, Syafiq telah terlebih dahulu ke Makkah untuk menunaikan umrah. “Seramlah keadaan di sini”, kata Syafiq kepada temannya Saiful. “Kalau di Masjidil Haram…. Barulah rasa tenang”, tambah Syafiq lagi.

Sebenarnya, memang tujuan asal perjalanan Syafiq sebenarnya adalah ke Makkah sahaja untuk menunaikan umrah. Entah bagaimana, ketika dia berbicara dengan temannya Saiful di hadapan Maqam Ibrahim setelah selesai sahaja menunaikan solat sunat Tawaf dua rakaat, timbul idea untuk tidak terus kembali ke Malaysia, sebaliknya meneruskan perjalanan ke Eropah.

“Cadangan awak tu elok juga Syafiq, saya pun memang tak pernah menjejakkan kaki di Eropah…. Alang-alang dah naik kapal terbang, elok aje kita teruskan ke sana. Harga tambang kapal terbang yang perlu ditambah tak ler banyak sangat kalau nak dibandingkan apabila kita dah balik ke Malaysia”, ujar Saiful pada Syafiq sambil matanya dan seluruh wajahnya memandang ke arah Syafiq tanda beliau serius memperkatakan hal tersebut.

“Ye.. Saiful, sebenarnya sebelum kita datang ke bumi Makkah ini pun saya sudah terfikir tentang hal ini… tapi tak sempat pulak nak berbincang dengan awak… maklum ler ketika tu… masalah visa umrah kita pun hampir-hampir ‘sangkut’…. Tapi Saiful, saya rasa elok jugak kita ajak Ustaz Hasan bersama kita…. Saya bimbang jugak kalau kita berdua aje mengembara di Eropah tu… banyak dugaannya tu.. kalau ada Ustaz Hasan , rasanya lebih selamat”, kata Syafiq sambil matanya meliar mencari kelibat Ustaz Hasan yang masih berada di tengah-tengah kelompok jamaah yang bersesak-sesak bertawaf mengelilingi kaabah, sambil Syafiq meletakkan tangannya di atas dahi untuk menahan panas mentari yang membakar melewati 45 darjah celcius ketika itu…. lagak Syafiq umpama seorang askar yang mengangkat tabik. Walau pun orang yang bertawaf pada waktu selepas zohor tidaklah seramai pada waktu-waktu lain, namun susah juga mencari kelibat Ustaz Hasan.

“Awak rasa Ustaz Hasan setuju ke nak ikut kita?”, Tanya Saiful dalam nada yang tidak begitu yakin dengan persetujuan Ustaz Hasan. “Hal itu, awak jangan bimbang, nanti saya sendiri akan berbincang dengan Ustaz Hasan”, jawab Syafiq penuh yakin.Setelah berbincang dengan Ustaz Hasan… maka persetujuan pun dicapai. Lalu, sampailah mereka bertiga ke bumi Rome ini.
Bersambung...

No comments:

Post a Comment