Ibadah puasa yang difardukan oleh Allah pada bulan Ramadhan mempunyai hikmah dan rahsia yang tersendiri, akan tetapi adakah umat Islam kini benar-benar menghayati falsafah dan rahsia puasa Ramadhan yang diwajibkan ini? Terdapat sebahagian umat Islam yang berasa gembira dengan kedatangan bulan Ramadhan hanya semata-mata kerana teringatkan juadah makanan yang beraneka jenis dan rupa. Ada pula yang langsung tidak menghiraukan usaha untuk mencari keberkatan Ramadhan, sebaliknya sibuk membuat persiapan untuk menyambut ketibaan hari raya. Bulan puasa belum lagi menjelma, tetapi persiapan hari raya sudah pun dibuat.
Sekiranya umat Islam pada hari ini menghayati falsafah dan hikmah di sebalik kewajipan berpuasa, nescaya setiap individu muslim akan membuat persediaan rapi menyambut kedatangan Ramadhan dan akan berlumba-lumba untuk memanfaatkan Ramadhan dengan sebaik mungkin, serta bulan Ramadhan akan menjadi bulan yang paling bermakna dalam hidupnya. Hanya orang yang kenal dengan kelebihan Ramadhan sahaja yang akan bersedia bila menjelangnya bulan yang mulia ini. Betapa besarnya fadhilat bulan Ramadhan ini dapat kita fahami daripada hadis Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim yang bermaksud: "Apabila masuk bulan Ramadhan, maka dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup pintu-pintu neraka serta dibelenggu semua iblis dan syaitan".
Puasa Ramadhan diwajibkan oleh Allah kepada umat Islam untuk melahirkan insan yang bertakwa sebagaimana yang dijelaskan oleh Allah dalam surah al-Baqarah ayat 183. Oleh itu, sewajarnya setiap individu muslim mengambil peluang yang luas yang telah disediakan oleh Allah pada bulan Ramadhan untuk mendidik diri kearah ketakwaan kepada Allah serta mendapat pengampunan daripadaNya. Untuk mempastikan agar mendapat ketakwaan, seseorang itu hendaklah membuat persiapan awal untuk berpuasa dengan 'cara yang sebenarnya' sebagaimana yang dikendaki oleh Islam, iaitu dengan berpuasa secara 'khusus al-khusus' seperti yang dijelaskan oleh Hujjatul Islam al-Imam al-Ghazali. Puasa bukanlah setakat menahan perut daripada makan, minum dan melakukan hubungan seksual di antara suami isteri pada siang hari semata-mata, akan tetapi puasa yang mempunyai kualiti ialah puasa yang menyeluruh, termasuk menjaga pancaindera serta hati nurani daripada terjebak dalam sebarang unsur maksiat. Puasa sebeginilah yang akan menghasilkan ketakwaan kepada Allah. Setiap orang harus bertanya pada diri, mampukah dia melaksanakan puasa dengan cara sedemikian?. Sesuatu yang amat merugikan bagi sesiapa yang berkesempatan hidup pada bulan Ramadhan tetapi tidak sampai terampun dosa-dosanya.
Pada suatu hari, Rasulullah menaiki mimbar (untuk berkhutbah), menginjak anak tangga pertama baginda mengucapkan 'amin', begitu pula pada anak tangga kedua dan ketiga. Selesai solat para sahabat bertanya, mengapa Rasulullah mengucapkan 'amin'? Lalu baginda menjawab, malaikat Jibril datang dan berkata: Suatu kerugian kepada seseorang yang bila namamu disebut, dia tidak mengucapkan solawat atasmu, lalu aku mengatakan amin. Kemudian malaikat berkata lagi, amat rugi orang yang berkesempatan hidup bersama kedua orang tuanya tetapi dia tidak sampai masuk syurga, lalu aku mengucapkan amin. Kemudian katanya lagi, amat rugi orang yang berkesempatan hidup pada bulan Ramadhan tetapi tidak sampai terampun dosa-dosanya, lalu aku mengucapkan amin. Hadith ini telah diriwayatkan oleh Imam Ahmad.
Dalam kegembiraan menyambut puasa di bulan Ramadhan, kita seharusnya memahami dengan sejelas-jelasnya akan hakikat, rahsia dan falsafah puasa yang tersirat. Kefahaman ini bukan sahaja membantu kita menjalani ibadah, tetapi dapat menolong kita untuk menunaikan puasa dengan sempurna. Ibadah puasa melatih manusia supaya bersabar menghadapi kesusahan atau bencana, penderitaan dan juga cabaran-cabaran hidup. Di samping itu, puasa juga dapat melatih manusia menjadi insan yang beramanah kerana tanpanya puasa akan menjadi batal dan tidak sempurna. Puasa juga dapat melahirkan perasaan insaf dan belas kasihan serta bertimbang rasa. Hanya orang yang berpuasa sahaja dapat memahami atau mengetahui kesengsaraan orang miskin yang lapar dan dahaga. Melalui keinsafan ini, diharapkan seseorang muslim itu agar sentiasa prihatin dan memberikan bantuan serta sumbangan kepada golongan yang tidak berkemampuan. Orang yang berpuasa dengan penuh keimanan dan keikhlasan kepada Allah, akan dapat membentuk jiwa yang bersih, dapat menahan nafsu daripada melakukan sifat-sifat tercela dan sebagainya.
Demikian juga dari sudut kesihatan, puasa dapat merehatkan perut dan membetulkan alat penghadam, mengurangkan kegemukan serta menghilangkan lemak di badan yang boleh menjauhkan penyakit seperti kencing manis, darah tinggi, lemah jantung dan sebagainya. Justeru, Rasulullah s.a.w. telah bersabda, maksudnya: "berpuasalah , nescaya kamu akan sihat". Hadith tersebut telah memberikan satu gambaran yang nyata pada diri kita akan hikmah di sebalik syariat berpuasa. Seluruh pakar perubatan telah bersetuju menyatakan bahawa kantung perut yang penuh disebabkan banyak makan adalah punca utama kepada bermacam-macam penyakit terutamanya kegemukan yang menyebabkan timbulnya pula penyakit lain. Maka puasalah satu-satunya cara yang dapat memelihara anggota badan daripada semua penyakit kerana melaluinya unsur-unsur racun di dalam makanan dapat dineutralkan setelah berpadu di antara satu sama lain. Sesungguhnya kesan lapar di dalam perubatan adalah lebih baik daripada penggunaan ubat secara berterusan. Seorang pakar dari Barat telah menyatakan bahawa setiap orang perlu menjalani tempoh berpuasa walaupun tidak dikesan menghadapi sebarang penyakit. Ini kerana ia dapat membersihkan badan daripada racun-racun yang berkumpul di dalamnya. Dr. Hisyam Ibrahim aI-Khatib telah menjelaskan bahawa puasa juga telah memberi peluang kepada organ-organ di dalam tubuh badan untuk memperbetulkan semula sistem penghadaman.
Pengkajian ini diteruskan lagi apabila didapati punca berlakunya penyakit-penyakit adalah disebabkan oleh pengambilan makanan yang tidak terkawal atau lebih daripada kadar keperluan badan. Ini menyebabkan sistem yang bertindak mengawal badan terpaksa bekerja lebih kuat bagi mengimbangi keseluruhan pergerakan badan. Seterusnya penyakit-penyakit seperti tekanan darah tinggi, pertambahan lemak dan peningkatan gula dalam darah amat mudah menyerang dan melemahkan kekuatan badan individu tersebut. Sesungguhnya tiada ubat yang khusus bagi memulihkannya melainkan dengan berpuasa kerana dengannya wujudlah satu sistem yang baru dalam badan yang bertindak mematikan sel-sel lama untuk digantikan dengan sel-sel baru yang lebih baik dan bertenaga.
Amalan puasa yang disyariatkan oleh Allah terutamanya puasa Ramadhan dapat menurunkan berat badan sehingga mencapai ke satu paras yang dikehendaki. Jika ia diteruskan dengan perlaksanaan puasa sunat seperti berpuasa di bulan Rejab dan Sya'ban seterusnya Isnin dan Khamis nescaya akan terpeliharalah tahap kesihatan seseorang bagi tempoh setahun. Pakar perubatan Islam iaitu Dr. Samir Abbas Malik Abdul Aziz dari Arab Saudi telah melakukan eksperimen terhadap 21 penduduk tentang kesan puasa pada kesuburan lelaki.
Eksperimennya ini membuktikan puasa adalah satu cara yang amat berkesan untuk menghasilkan benih dan pertumbuhan kesuburan sepertimana berkesannya puasa dalam perkembangan bagi pertumbuhan badan seseorang. Daripada sudut kesuburan seorang wanita pula, puasa juga merupakan satu cara yang dapat mengurangkan kesan hormon broloktin yang menyebabkan kemandulan. Jelasnya, puasa dapat merehatkan sistem tubuh dan dapat mengelakkan penyakit-penyakit seperti kencing manis dan kegendutan. Selain itu dari sudut fizikalnya, puasa juga dapat merehatkan tubuh badan. Secara tidak langsung, amalan-amalan buruk juga dapat dihakis sedikit demi sedikit contohnya membantu membasmi ketagihan merokok, dadah dan minuman keras yang boleh membawa kerosakan organ di dalam badan.
Menurut dua pengkaji Islam dari Syria dalam buku mereka yang berjudul al-Tib fi al-Quran al-Karim menerangkan kepada kita akan faedah berpuasa :
1. Memberi peluang kepada organ-organ dalam badan mengemaskinikan sistem pemprosesan supaya berfungsi semula dengan berkesan.
2. Merehatkan sistem penyahtinjaan daripada berfungsi berterusan.
3. Rasa lapar dapat membangkitkan semula selera makan selepas berpuasa serta mendatangkan kecergasan badan dan kecerdasan minda.
Maka secara keseluruhannya, puasa dapat mengawal dan mendidik tubuh badan untuk mengambil makanan yang diperlukan sahaja, seterusnya melambatkan proses penuaan, membantu proses perkumuhan, menyingkirkan racun di dalam badan dan menambahkan rasa nikmat makanan setelah berjaya menahan diri daripada makan.
Dr. Yusof al-Qaradhawi pula dalam bukunya 'al-'Ibadah fi al-Islam', telah menggariskan beberapa rahsia yang terdapat dalam amalan berpuasa. Antaranya ialah:
1.Puasa dapat menguatkan roh dan jiwa. Seterusnya jiwa yang kuat dapat mengawal nafsu.
2. Menyehatkan jasmani dan badan.
3. Mendidik kearah melakukan kebaikan.
4. Mengenal nilai nikmat yang dianugerahkan oleh Allah kepada makhluk.
5. Dapat merasai penderitaan dan kesengsaraan yang dialami oleh orang lain.
Setelah mengetahui rahsia dan hikmah puasa Ramadhan, kita hendaklah mempersiapkan diri untuk menyambut kedatangannya dengan penuh keimanan dan ketakwaan kepada Allah. Antara persiapan yang boleh dilakukan bagi menyambut kedatangan Ramadhan adalah seperti yang berikut:-
1. Mengulangi kembali ilmu yang berkaitan dengan puasa agar kita memasuki dan menjalani amalan puasa ini dengan pengetahuan dan pedoman yang baik dan sempurna. Ilmu mengenai puasa termasuklah yang rukun, syarat sah, syarat membatalkan puasa, perkara-perkara sunat, makruh, adab berpuasa dan sebagainya.
2. Membuat persiapan dari segi rohani dengan memperbanyakkan taubat kepada Allah dan bermaafan sesama manusia.
3. Memperbanyakkan doa agar Allah memberikan kesihatan, tenaga, kelapangan dan kesempatan mengerjakan puasa dan mudah-mudahan Allah memberikan taufik dan hidayahNya supaya kita dapat menunaikan puasa dengan hati yang jujur, tulus ikhlas dijauhi dari sifat riak, ujub dan daripada segala rupa penyakit hati yang menghilangkan pahala puasa.
4. Menguatkan semangat untuk melaksanakan puasa dengan sempurna agar kita memperoleh ketaqwaan kepada Allah s.w.t.
5. Memperbanyakkan puasa sunat pada bulan Rejab dan Sya'aban sebagai suatu latihan dan persediaan menghadapi Ramadhan.
No comments:
Post a Comment