Sunday, November 14, 2010

Bumi Rome Menjadi Saksi


Sanggar Kreatif: Bumi Rome menjadi saksi

Oleh Shauqi al-Yarmouki

2010/11/14 (Berita Minggu)



BERAPA harga Syawarma ini? Tanya Syafiq kepada penjual Syawarma di hadapan masjid besar di Rome, Itali itu sambil dia memerhatikan peniaga Muslim yang berbilang bangsa di sepanjang jalan di hadapan masjid. Masjid besar Rome itu dikenali sebagai 'Markaz al-Thaqafah al-Islamiah' atau dalam bahasa Inggerisnya Islamic Cultural Centre. Masjid tersebut adalah satu-satunya masjid di Rome yang juga dianggap sebagai salah satu bangunan besar di kota Rome. Bangunan besar itu bukan sahaja dijadikan sebagai masjid, namun di situ juga ditempatkan dewan seminar, perpustakaan dan sebagainya. Kompleks masjid ini telah direka bentuk dengan kemudahan tempat wuduk dan dewan solat yang boleh menampung seramai 2500 orang. Terdapat juga ruang pendidikan yang mengandungi perpustakaan dan kelas untuk pengajian. Dewan syarahannya boleh memuatkan sejumlah 400 orang. Terdapat juga ruang untuk pameran dan dua tempat penginapan, satu untuk imam dan satu lagi untuk pengunjung.

Kelihatan ramai sekali orang Islam yang berniaga pada hari Jumaat itu. Ada yang menjual barangan makanan seperti ‘syawarma’, ‘falafil’ dan pelbagai barangan halal yang lain dan ada pula yang menjual barangan keperluan seharian. Penjual syawarma itu kelihatan riang gembira pada pagi Jumaat itu kerana begitu ramai pelanggan yang membeli syawarmanya. Keringat membasahi bajunya dan kelihatan letih yang amat sangat pada wajah yang sedang memotong daging ayam syawarma yang disalai dan dibakar di hadapan bara api yang sentiasa panas. Walau panasnya api yang membakar syawarma itu agak merimaskan, namun sesekali angin sejuk pada musim luruh di Itali yang bertiup sepoi-sepoi bahasa agak menyenangkan dan memberikan kesegaran.

Walaupun letih melayan pelanggan, namun bibir penjual syawarma itu tetap menguntum senyum tanda puas dan gembira dengan hasil jualannya. Penjual Syawarma yang berbangsa Arab itu tidak reti berbahasa selain bahasa Arab, namun begitu hasil jualannya tetap laris. Nasib baiklah Syafiq boleh berbahasa Arab, jadi senanglah sikit untuk berkomunikasi dengan penjual syawarma itu … sekurang-kurangnya beliau mudah memesan makanan yang hendak dibeli. Syafiq tidaklah pandai sangat berbahasa Arab, tetapi asas-asas mudah berkomunikasi dalam bahasa Arab yang dipelajari ketika menuntut di Universiti Putra Malaysia kira-kira lima tahun yang lalu masih lagi dapat digunakan. Syafiq masih teringat Dr Halim yang pernah menuntut di Kuwait dan Sudan selama 11 tahun mengajarnya Bahasa Arab di UPM. Syafiq yang mengambil jurusan Pertanian mengambil peluang belajar Bahasa Arab dengan Dr Halim melalui subjek elektif yang ditawarkan pada ketika itu. Syafiq merasakan sangat berbaloi belajar bahasa Arab kerana sekarang beliau dapat mempraktikkan apa yang dipelajari di universiti dulu. Memang Syafiq amat gembira apabila dapat hadir ke pasar Jumaat pada pagi itu. Mana tidaknya… dua tiga hari ini, dia merasakan amat sukar untuk mencari makanan halal. Walaupun terdapat kedai makanan yang dipunyai oleh warga Itali Muslim yang berasal dari India yang menjual makanan halal berhampiran dengan Termini , namun harganya amat mahal, di samping itu Syafiq agak meragui status ‘halal’ pada kedai-kedai tersebut. Kalau di Malaysia ... segalanya mudah … ada sahaja logo Halal JAKIM, maka status halalnya tidak diragui lagi. Namun pada pagi Jumaat yang amat indah itu, begitu banyak juadah makanan halal yang ada. Seronok di hatinya tidak terkata .… Hatinya berbisik sendirian … kalau beginilah keadaannya … tidaklah susah untuk tinggal lebih lama di bumi Vatican. Ya … bumi Vatican … tempat yang sudah terkenal di seluruh dunia sebagai wilayah yang merdeka dan mempunyai pentadbirannya sendiri dan dianggap sebagai sebuah negeri yang terkecil di dunia. Tempatnya yang hanya dipisahkan sebatang sungai dengan bandaraya Rome yang hanya mengambil masa tidak sampai setengah jam perjalanan dengan bas dari stesen Termini. Kota Vatikan terletak di atas bukit Vatikan di sebelah barat laut kota Rome, iaitu beberapa ratus meter dari sungai Tiber. Di situlah berdiri dengan megah bangunan atau tempat ibadat yang menjadi kebanggaan penganut Kristian Katolik dan di situ juga tempat yang didiami oleh paderi besar bagi penganut agama Kristian Katolik itu. Masih terbayang gambaran tempat tersebut di ruang mata Syafiq. Baharu semalam Syafiq menjejakkan kaki ke tempat tersebut. Dari Termini Syafiq menaiki bas. Di sepanjang perjalanan, Syafiq menghayati keindahan bandaraya Rome. Sebuah bandar hebat yang berada di Eropah dan pusat pelancongan yang terkenal yang masih mengekalkan bangunan lama yang menjadi warisan. Ketika menghayati keindahan bandaraya Rome yang dipenuhi dengan patung sejarah, Syafiq agak tersentak apabila melihat kebanyakan bangunan di bandaraya ini penuh dengan contengan cat dan perbuatan vandalisme. Sikap vandalisme ini menyebabkan bangunan kelihatan agak kotor pada dinding di aras bawah bangunan yang dapat dicapai oleh tangan yang melakukan perbuatan vandalisme ini. “Indah khabar daripada rupa,” Syafiq mengomel sendirian pada ketika itu. Mana tidaknya, bandaraya yang amat terkenal di seluruh dunia itu di penuhi dengan contengan pada kebanyakan bangunannya. Kalaulah ia berlaku di Kuala Lumpur, nescaya Datuk Bandarnya akan dihentam dan dikutuk melalui ruangan Forum di dada akhbar dan rancangan Aduan Rakyat TV3. Seketika bas yang membawa Syafiq melintasi sungai yang memisahkan Rome dari Vatican. Selepas saja melintasi sungai tersebut, kelihatan terowong kecil di hadapannya. Syafiq segera melihat peta di tangannya. Peta menunjukkan bahawa destinasinya hampir sampai. Bas melewati terowong yang jaraknya hanya sejauh 100 meter saja. Sekiranya hendak dibandingkan terowong di Lebuhraya Utara Selatan berhampiran dengan Kuala Kangsar dan terowong di Lebuhraya Karak-Gombak berhampiran dengan Genting Sempah, sudah tentu terowong di Malaysia tampak lebih hebat dengan jaraknya yang lebih panjang dan dibina merentasi bukit-bukau yang berbatu pejal dan keras. Kini di hadapan Syafiq sebuah bangunan besar yang mempunyai kubah seumpama kubah masjid. Kalaulah dia tidak mengetahui tentang selok-belok tempat itu, sudah tentu disangkanya masjid apabila melihat kepada kubah itu. Namun, ada sedikit kelainan dari sudut bentuk dan ukirannya yang tersendiri pada kubah tersebut. Syafiq melangkah masuk ke dalam kawasan gereja Katholik di Vatican itu. Apabila sampai sahaja di dataran hadapan gereja, Syafiq dapat menyaksikan pelbagai jenis patung yang terletak mengelilingi bangunan dan dataran gereja tersebut. Begitu juga berhampiran dengan pintu masuk ke gereja, terdapat sebuah patung besar yang diukir iaitu patung St Peter yang merupakan pemimpin pertama dalam gereja Katolik. Syafiq mendapati ramai pelancong yang datang dari pelbagai negara melawat ke gereja tersebut. Di samping gereja tersebut yang menjadi pusat keagamaan bagi penganut Katolik, ia juga dijadikan sebagai destinasi pelancongan. Syafiq melangkah kaki ke dalam gereja tersebut untuk melihat keadaan di dalamnya. Suasana di dalam gereja agak suram dengan cahaya yang agak malap. Terdapat pelbagai jenis patung. Terdapat patung yang diukir untuk menggambarkan ‘Jesus’, Maryam dan patung malaikat yang diukir dalam bentuk anak kecil yang terbang. “Banyaknya patung di sini,” getus Syafiq di dalam hatinya. Syafiq berasa agak ‘seram’ dengan suasana muram dan sedikit gelap dalam gereja tersebut. Lantas, Syafiq cuba membezakan suasana tempat suci umat Islam di Masjidil Haram dan suasana tempat suci penganut Kristian Katolik ini. Apatah lagi sememangnya sebelum menjejakkan kaki di bumi Rome ini, Syafiq telah terlebih dulu ke Makkah untuk menunaikan umrah. “Seramlah keadaan di sini,” kata Syafiq kepada temannya Saiful. “Kalau di Masjidil Haram … barulah rasa tenang,” tambah Syafiq lagi. Sebenarnya, memang tujuan asal perjalanan Syafiq sebenarnya adalah ke Makkah saja untuk menunaikan umrah. Entah bagaimana, ketika dia berbicara dengan temannya Saiful di hadapan Makam Ibrahim setelah selesai saja menunaikan solat sunat Tawaf dua rakaat, timbul idea untuk tidak terus kembali ke Malaysia, sebaliknya meneruskan perjalanan ke Eropah. “Cadangan awak tu elok juga Syafiq, saya pun memang tak pernah menjejakkan kaki di Eropah. Alang-alang dah naik kapal terbang, elok kita teruskan ke sana. Harga tambang kapal terbang yang perlu ditambah tak sebanyak mana kalau nak dibandingkan apabila kita sudah balik ke Malaysia,” ujar Saiful pada Syafiq sambil matanya dan seluruh wajahnya memandang ke arah Syafiq tanda beliau serius memperkatakan hal tersebut. “Ye ... Saiful, sebenarnya sebelum kita datang ke bumi Makkah ini pun saya sudah terfikir tentang hal ini … tapi tak sempat pulak nak berbincang dengan awak … maklumlah ketika tu masalah visa umrah kita pun hampir-hampir ‘sangkut’…. Tapi Saiful, saya rasa elok jugak kita ajak Ustaz Hasan bersama kita…. Saya bimbang jugak kalau kita berdua aje mengembara di Eropah tu … banyak dugaannya tu ... kalau ada Ustaz Hasan, rasanya lebih selamat,” kata Syafiq sambil matanya meliar mencari kelibat Ustaz Hasan yang masih berada di tengah-tengah kelompok jemaah yang bersesak-sesak bertawaf mengelilingi kaabah, sambil Syafiq meletakkan tangannya di atas dahi untuk menahan panas mentari yang membakar melewati 45 darjah Celcius ketika itu. Lagak Syafiq umpama seorang askar yang mengangkat tabik. Walaupun orang yang bertawaf pada waktu selepas Zuhur tidaklah seramai pada waktu lain, namun susah juga mencari kelibat Ustaz Hasan. “Awak rasa Ustaz Hasan setuju ke nak ikut kita?”. Tanya Saiful dalam nada yang tidak begitu yakin dengan persetujuan Ustaz Hasan. “Hal itu, awak jangan bimbang, nanti saya sendiri akan berbincang dengan Ustaz Hasan,” jawab Syafiq penuh yakin. Setelah berbincang dengan Ustaz Hasan … maka persetujuan pun dicapai. Lalu, sampailah mereka bertiga ke bumi Rome ini. Syafiq tersentak apabila tiba-tiba bahunya dipegang oleh Ustaz Hasan. “Anta beli apa Syafiq ... beli syawarma?” Soal Ustaz Hasan. Sapaan Ustaz Hasan itu mengejutkan Syafiq daripada lamunan. “Ye, ustaz … saya beli syawarma,” jawab Syafiq dan di tangannya tergenggam erat syawarma ayam yang baunya saja boleh membuka selera sesiapa jua yang berminat dengan makanan Arab. Syafiq baru teringat yang dia masih belum membayar harga syawarma tersebut. Lantas, Syafiq bertanya sekali lagi kepada penjual syawarma sambil memegang wang kertas 5 euro di tangannya, “lau samahta, kam si’r haaza syawarma?.” Penjual syawarma tersebut tersenyum sambil berkata, “balash ... zaalikar rojul qad dafa’,” sambil menunjukkan ke arah seorang lelaki berbangsa Arab. Lelaki Arab tersebut yang berbadan sasa dan tegap, berambut kerinting, bermata bulat memandang ke arah Syafiq dengan senyuman. Syafiq lantas mengucapkan terima kasih kepada lelaki Arab tersebut, “syukran ya akhi.” Lelaki Arab itu pun menghulurkan tangan untuk bersalam dengan Syafiq dan Ustaz Hasan yang berada di sebelah Syafiq, lalu memperkenalkan dirinya sebagai Fathi yang berasal dari Tunisia, tetapi sudah menetap di Rome sejak 10 tahun yang lalu. “Min aina anta?” soal Fathi kepada Syafiq. “Min Malizia,” jawab Syafiq ringkas. Sambil itu, Fathi menghulurkan kepada Syafiq segenggam anggur ‘banati’ yang berwarna hijau, tanpa biji sambil mempelawanya makan. Syafiq mengucapkan terima kasih … namun di dalam hatinya tertanya-tanya siapakah gerangan lelaki Arab itu yang tidak dikenalinya sebelum ini, tetapi bersikap begitu baik sekali. Kesempatan yang ada itu diambil oleh Syafiq untuk berta’aruf dengan Fathi, untuk lebih mengenali lelaki yang berhati mulia ini. Fathi pun menceritakan betapa dia mengenali Islam di bumi Rome melalui ikatan ukhuwah yang terjalin di antara sesama umat Islam di situ. Ketika di Tunisia, dia tidak mengenal erti solat dan tidak mengenal sejadah. Hidupnya adalah untuk makan dan berseronok saja. Namun, apabila dia berhijrah ke Rome untuk mencari pekerjaan demi hidup yang lebih sempurna, barulah beliau sedar erti persaudaraan dan nikmat Islam. Atas dasar persaudaraan Islam juga, ramai sahabat dan rakan di Rome yang sanggup bersusah-payah demi saudaranya. “Hubungan ukhuwah sesama umat Islam amat kuat dan kukuh di sini kerana masing-masing memerlukan di antara satu sama lain. Apatah lagi apabila kami berhadapan dengan sesetengah orang Eropah yang agak sombong dan mementingkan diri sendiri. Di sinilah baharu dapat dilihat bagaimana semangat persaudaraan yang diajar di dalam Islam merupakan sesuatu yang amat manis lagi bermakna,” jelas Fathi kepada Syafiq. Syafiq mengangguk-angguk tanda setuju dengan penjelasan Fathi itu. Syafiq teringat mafhum ayat al-Quran yang sering dibacakan oleh khatib di masjid Bandar Baru Bangi, tempat yang sering Syafiq tunaikan solat Jumaat, “Sesungguhnya orang beriman itu bersaudara.” Cerita Fathi itu juga telah mengingatkan Syafiq tentang ceramah agama yang telah disampaikan oleh Ustaz Roslan di Surau al-Muhajirin seminggu sebelum Syafiq ke Makkah mengenai ukhuwah sesama Muslim dalam peperangan Yarmouk. Ustaz Roslan menceritakan bagaimana kasih sayang dan persaudaraan sesama Islam yang dapat digambarkan melalui kata-kata yang telah diungkapkan oleh Huzaifah: “Aku telah bertolak ke tempat berlakunya Peperangan Yarmouk untuk mencari sepupuku yang kesakitan dan kehausan untuk kuberikan kepadanya air yang ada bersama-samaku. Apabila aku dapat menemuinya, lantas aku memberikannya air. Sedang sahaja sepupuku itu hendak meneguk air, maka dia terdengar suara seorang Muslim yang mengaduh kehausan, maka sepupuku lantas menyuruhku agar memberi minum orang itu dulu. Aku pergi kepada orang itu dan aku dapati dia adalah Hisyam Bin al-As. Apabila Hisyam hampir sahaja meneguk air tersebut, maka terdengar oleh Hisyam suara sahabat seperjuangan yang lain mengaduh kehausan, maka Hisyam pun menyuruhku untuk pergi dan memberikan air kepada orang itu dahulu. Aku pun pergi kepadanya dan belum sempat pun aku memberikannya air, dia telah pun syahid. Aku berpatah balik kepada Hisyam dan aku dapati dia juga telah syahid. Kemudian aku pergi pula kepada sepupuku, tetapi belum sempat pun aku memberikannya air, dia telah pun syahid.” Fathi menerangkan kepada Syafiq dengan suaranya yang jelas dan dengan menyebut perkataan bahasa arab dengan lambat dan satu-persatu agar Syafiq dapat menangkap apa yang diucapkannya: “La a’rifu nural Islam fi Tunis, wainnama a’rifu nuural Islam fi Roma.” A’rifu Islam min khilal al-ukhuwwah al-islamiyyah huna.” Fathi lantas memimpin tangan Syafiq ke arah rakan-rakannya yang lain yang sedang bersembang dan bertanya khabar di antara satu sama lain. “Haaza Yazid min Jazaa’ir, wa haaza Muhammad min Urdun, wa haaza Umar min Maghrib,” Fathi memperkenalkan rakan-rakannya itu yang berasal dari pelbagai negara, tetapi sudah menetap di Rome dan mendapat kerakyatan Itali kepada Syafiq dan Ustaz Hasan. Syafiq merasakan kegembiraan di wajah rakan-rakan Fathi itu ketika mereka saling berkenalan. Walau Syafiq hanya berkenalan dengan mereka pada pagi itu sahaja, namun Syafiq merasakan keakraban yang amat sangat seolah sudah kenal lama dengan mereka. Mereka begitu ramah dan mesra mengalu-alukan ziarah Syafiq ke Rome. Seketika, azan berkumandang. Syafiq bersama rakan-rakan barunya itu bersegera menyahut seruan Jumaat dengan beriringan ke dewan solat di Islamic Cultural Centre itu. Masjid besar itu adalah tempat berseminya ukhuwah Islamiah. Walaupun tapak asalnya ialah kawasan yang terkenal dengan maksiat dan pelacuran di Rome. Namun, dengan hubungan erat dan kekuatan yang dapat dibina dalam kalangan orang Islam di Rome, maka mereka telah berjaya membeli tanah tersebut dan masjid yang besar dan tersergam indah yang masyhur dengan nama Islamic Cultural Centre itu pun dapat dibina di tapak tersebut. Hal ini sekali gus telah menjadikan kawasan itu tidak lagi menjadi sarang maksiat. Seusai solat , Syafiq, Ustaz Hasan dan Saiful memohon untuk beredar ke tempat penginapan mereka iaitu sebuah hotel tidak ‘berbintang’ yang terletak berhampiran dengan Termini. Mereka menyewa satu bilik kecil yang hanya dapat memuatkan tiga katil. Bilik kecil tersebut hanya mempunyai kipas siling tanpa televisyen dan tanpa peti sejuk. Namun begitu, sewanya ialah 30 Euro seorang (lebih kurang RM135). Kadar sewa mengikut ‘kepala’ bukan mengikut bilik, jadi sewa untuk bilik kecil ini sahaja ialah 90 Euro untuk tiga orang. Fathi dan rakannya Yazid mempelawa untuk menghantar Syafiq dan teman-teman ke Termini. Sepanjang perjalanan menaiki ‘train’ dari masjid ke Termini, Syafiq merasakan kemesraan antara mereka amat luar biasa … seolahnya mereka sudah berkawan selama 20 tahun. Ukhuwah Islamiah tidak mengenal keturunan, bangsa dan warna kulit. “Di bumi Rome ini, baru aku benar-benar mengenali erti sebenar ukhuwah,” bisik hati Syafiq sambil bibirnya menguntum senyum tanda gembira.

No comments:

Post a Comment