Followers

Saturday, December 17, 2011

Konvensyen Fiqh Ummah 2012 - Daftar Segera

Sila layari : http://k-fiqh.com untuk pendaftaran dan maklumat lanjut

Tuesday, December 13, 2011

Restoran Halal di Airport Hong Kong




Restoran Halal di Beijing





Antara Masjid di Beijing







Kampus Beijing Foreign Studies University




Seminar Bahasa Arab di Beijing, China

Pada 5-6 Disember lepas, Seminar on Arabic Teaching telah diadakan di Beijing Foreign Studies University dengan kerjasama UKM. Penyertaan amat menggalakkan terutamanya pembentang dari Malaysia sendiri yang mewakili pelbagai IPTA seperti UKM, UIA, UPM, USIM, UNISZA, UMK dll. Penyertaan juga datang dari pelbagai universiti di China sendiri, Arab Saudi dan Oman. Di Beijing Foreign Studies University sendiri, terdapat Fakulti Bahasa Arab yang telah ditubuhkan sejak sekian lama iaitu lebih kurang sejak tahun 1958. Rata-rata mempelajari bahasa Arab untuk tujuan diplomasi dan perniagaan dengan negara Arab, di samping segelintir yang mempelajarinya untuk mendalami Islam. Justeru, tidak hairan apabila daripada lebih kurang 30 pelajar Master yang sedang belajar di sini, hanya 4 daripadanya sahaja beragama Islam. Namun, sesuatu yang menarik ialah mereka dapat berkomunikasi dalam bahasa Arab dengan baik walau hanya mengenal huruf Arab apabila mula menjejak kaki ke universiti. Bagaimana halnya pula dengan kita.... kita sudah mengenal huruf Arab sejak kecil ketika berusaha mempelajari al-Quran, namun mengapakah tidak ada daya usaha untuk menguasai bahasa Arab ketika sudah meningkat dewasa? Sedangkan keperluan untuk memahami bahasa Arab lebih kuat berbanding pelajar China kerana kita memerlukannya untuk memahami al-Quran dan ajaran Islam dengan baik. Sama-sama difikirkan.....

Friday, December 9, 2011

Solat Sunat & Khutbah Gerhana Bulan

 
Solat Sunat Gerhana

Solat gerhana ini disunatkan untuk ditunaikan secara berjemaah dengan diseru sebelum mendirikannya : as-Solatu Jaami'ah!! ( Solat berjemaah ) . Lafaz Niatnya : "Sahaja aku solat sunat gerhana bulan dua rakaat mengikut imam kerana Allah Ta'ala" - (Jika berimam) ataupun "Sahaja aku solat sunat gerhana bulan dua rakaat kerana Allah Ta'ala" - (Jika solat seorang diri)

Solat gerhana ini boleh dilakukan secara berseorang atau secara berjemaah dan sebaiknya dilakukan secara berjemaah. Solat Gerhana mengandungi 2 rakaat, 4 al-Fatihah, 4 rukuk, dan 4 sujud. Iaitu seperti berikut :
Rakaat pertama
1. Niat solat Gerhana, Takbir
2. Baca Surah Al-Fatihah dan surah
3. Rukuk
4. I'tidal
5. Baca Al-Fatihah dan surah
6. Rukuk.
7. I'tidal.
8. Sujud dan seterusnya seperti solat biasa.

Rakaat kedua

1 Baca Al-Fatihah dan surah.
2. Rukuk.
3. I'tidal,
4. Baca Al-Fatihah dan surah.
5. Rukuk.
6. I'tidal.
7. Sujud macam biasa
8. Tahiyyat Akhir

Khutbah Khas Gerhana

MARILAH kita sama-sama meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan sebenar-benar taqwa, iaitu istiqamah dalam mengerjakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Dengan yang demikian, mudah-mudahan kita akan menjadi umat yang terbaik dan unggul serta mendapat keredaan Allah Subhanahu Wata'ala di dunia dan di akhirat. 
 

Gerhana Bulan 10 Disember 2011

 
 
Gerhana bulan hanya akan berlaku ketika bulan purnama. Ketika itu bulan berada bersetentangan dengan bumi dan terlindung daripada matahari. Ini bermakna bulan akan memasuki bayang bumi dan menghilang.
 
Gerhana bulan penuh berlaku apabila bulan memasuki kawasan bayang umbra bumi. Gerhana bulan penuh 10 Disember 2011 bermula dengan bulan memasuki bayang penumbra pada jam 19:35 malam seterusnya bayang umbra pada jam 20:47 malam. Tempoh berlakunya keseluruhan gerhana adalah 5 jam 54 minit.
 
Fasa Gerhana Bulan 10 Disember 2011
1. Bulan terbit :  pukul 6:54 ptg
2. Bulan memasuki penumbra :  pukul  7:35 malam
3. Bulan memasuki umbra   : pukul  8:47 malam
4. Gerhana penuh bermula  : pukul 10:07 malam
5. Kemuncak gerhana : pukul 10:32 malam
6. Gerhana penuh berakhir: pukul 10:57 malam

Friday, December 2, 2011

Jom Tunai Solat


Pada zaman ini terdapat ramai umat Islam yang tidak mengambil endah dan tidak memberi perhatian terhadap ibadah solat, sedangkan solat merupakan suatu ibadat yang terpenting dan disepakati oleh seluruh ulama bahawa selepas iman, solat merupakan amalan yang lebih afdal daripada seluruh ibadat-ibadat fardhu yang lain. Solat juga merupakan amalan yang pertama sekali akan disoal pada hari kiamat.

Justeru, ajaran agama yang paling penting untuk dipelajari dan diajarkan kepada orang lain ialah solat. Hal itu antara lain pernah ditegaskan oleh junjungan kita, Nabi Muhammad saw dalam sebuah hadis sahih, “Aku didatangi Jibril a.s pada awal-awal turunnya wahyu kepada ku. Ia mengajarku wuduk dan solat.” (hadis Hasan riwayat al-Hakim, al-Baihaqi dan Ahmad).

Ajaran Islam meletakkan solat itu sebagai tiang agama. Ini bermakna jika tiang tidak didirikan, maka seolah-olah telah meruntuhkan agama. Oleh itu, sekiranya banyak amalan lain yang dilakukan tetapi tetap tidak mengerjakan solat maka ia umpama mendirikan rumah dengan bumbung, dinding dan sebagainya tetapi tidak didirikan tiang pada rumah tersebut. Natijahnya, rumah itu akan roboh. Sehubungan dengan itu sesiapa yang mendirikan solat, maka ia mendirikan agama dan sesiapa yang meninggalkan solat, maka ia meruntuhkan agama!.

            Solat merupakan perkara asas dalam Islam, ia ibarat tiang bagi agama, dan ia juga merupakan anak kunci untuk memperoleh syurga Allah. Ia merupakan rukun kedua daripada rukun-rukun Islam yang lima. Ini jelas sebagaimana diriwayatkan oleh Rasullah s.a.w dalam satu hadisnya yang bermaksud: "Agama Islam itu terbina di atas lima asas, iaitu mengucap dua kalimah syahadah, menunaikan solat, berpuasa dibulan Ramadhan, mengeluarkan zakat dan menunaikan ibadah haji bagi orang-orang yang mempunyai kemampuan". (Hadis riwayat Imam Bukhari)

Justeru, perkara pertama yang akan dihitung di akhirat ialah solat. Solat mempunyai kedudukan yang amat tinggi di dalam Islam. Menurut Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam bukunya ‘al-Ibadah fi al-Islam’, antara tanda yang menunjukkan kedudukan solat itu tinggi ialah ia telah difardhukan di langit berbeza dengan ibadah-ibadah lain yang difardhukan di bumi.  Rasulullah saw telah dijemput oleh Allah untuk menerima kefardhuan solat dalam peristiwa Isra’ Mi’raj. Sehubungan dengan itu, para ulama’ menyatakan bahawa meninggalkan solat boleh membawa kepada kufur sekiranya engkar terhadap kefardhuan solat. Akan tetapi sekiranya meninggalkan solat kerana malas, maka seseorang itu menjadi fasik.

Solat umpama sebuah rumah yang pasti roboh tanpa tiang. Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang bermaksud, “Sesungguhnya (sempadan) antara seseorang dengan syirik dan kekufuran ialah meninggalkan solat.” Solat bukan hanya lambang ‘ubudiyyah (perhambaan) seorang manusia terhadap Penciptanya, malah falsafahnya amat luas seluas kebaikan yang dijanjikan oleh Allah s.w.t terhadap orang yang mengambil berat terhadap ibadat besar ini.

            Atas dasar itulah, maka setiap orang yang baru memeluk Islam atau bagi Muslim yang sudah akil baligh wajib menunaikan solat. Mereka hendaklah mengetahui ajaran solat sebagaimana yang dipraktikkan oleh Rasulullah saw yang juga diikuti oleh para sahabat baginda. Rasulullah saw berpesan, “Tunaikanlah solat sebagaimana kamu melihat aku solat.”(hadis riwayat al-Bukhari)

            Allah s.w.t mencipta dan memberi peluang kita hidup di dunia ini.  Allah s.w.t juga memilih kita menjadi manusia iaitu makhluknya yang paling sempurna. Bayangkan jika kita dilahirkan sebagai haiwan! Sebagai tanda tunduk dan bersyukur kepada Allah s.w.t, kita hendaklah menunaikan segala perintah-Nya. Antaranya ialah solat lima kali sehari semalam. Muslim yang mengerjakan ibadat solat adalah seorang hamba Allah s.w.t yang baik dan soleh. Sebaliknya mereka yang enggan solat bermakna mengingkari perintah Allah s.w.t yang menjadikan mereka. Sudah tentu sikap mereka itu biadab dan tidak wajar.

Kisah Sedih Tentang Solat

 
Kisah 1:

Dalam satu solat jemaah, kelihatan seorang lelaki yang tergesa-gesa masuk ke dalam masjid. Tatkala itu imam dan jemaah yang lain sedang bersolat. Oleh itu, lelaki itu agak tergesa-gesa agar sempat mendapat rakaat bersama imam. Lagak pakaiannya dengan berjubah 'ala tabligh', berjanggut lebat, seolahnya nampak seperti seorang yang bukan 'calang-calang' dari sudut ibadatnya dan ilmunya. Lalu sampai saja pada saf ... imam pun 'Allahu akbar' dan rukuk.

Dalam keadaan kelam-kabut, lelaki itu pun terus mengangkat tangan bertakbiratul ihram... Allahu Akbar. Baru saja lelaki itu nak rukuk, tiba-tiba imam pun iktidal... sami`allahu liman hamidah'. Tanpa berlengah lagi, lelaki itu pun rukuk dan terus iktidal untuk mengejar imam. Dalam hatinya berkata "Nasib baik sempat". Pada rakaat terakhir apabila imam memberi salam, lelaki itu pun turut serta memberi salam.

Pada sangkaannya solatnya selesai dah sah. Tapi malangnya akibat kedangkalan ilmu, dia masih tak tahu membezakan solat sah atau tidak. Sedangkan sebagai makmum masbuk dia perlu rukuk dan tomakninah dalam ruku bersama imam barulah dapat rakaat. Tapi oleh kerana tiada ilmu, maka begitulah jadinya.... Pakaian tidak melambangkan ilmu seseorang... walau pakai jubah, tetapi kalau tidak menuntut ilmu... ia tetap berada dalam kejahilan.


Kisah 2:

Seorang yang kelihatan sudah berusia emas berjalan perlahan-lahan menuju ke masjid. Satu persatu anak tangga masjid dilangkahi dengan penuh kepayahan. Kadang-kala kelihatan dia berhenti sebentar pada anak tangga masjid untuk menarik nafas dan berehat seketika sebelum meneruskan perjalanan menaiki tangga masjid. Bukanlah tinggi sangat tangga masjid tu, tapi dek kerana kesihatan yang kurang memuaskan, ditambah diri yang semakin dimamah usia, menyebabkan agar sukar untuknya menapak laju ketika menaiki tangga masjid.

Tapi kesabaran dan keazaman yang tinggi membuatkan dia tidak peduli akan segala kesusahan dan kepayahan itu. Akhirnya dia berjaya masuk ke dewan masjid.... dan berdiri dalam saf. Matanya meliar mencari sesuatu.... Ya... dia sudah jumpa, kerusi kecil yang ditinggalkannya di masjid itu sudah dijumpai. Dia memang meletakkan kerusi di tepi dinding masjid yang digunakannya untuk menunaikan solat. Kakinya yang sakit dan lutut yang tidak boleh dibengkokkan menyebabkan beliau tidak boleh sujud macam orang lain. Dia hanya boleh sujud sambil duduk atas kerusi. Seketika imam pun bertakbiratul ihram... Allahu Akbar.

Lantas orang tua ini pun duduk atas kerusi di hujung saf dan memperbetulkan sedikit ikatan kain pelikatnya... dan dia pun .... Allahu Akbar... bertakbir dengan berniat mengikut imam. Malang sungguh orang tua ini kerana walau usia sudah senja tapi masih tidak tahu hukum hakam tentang solat. Akibatnya, solatnya tidak sah. Ini kerana sepatutnya dia bertakbiratul ihram dalam keadaan berdiri, selepas tu kalau dah tak larat baru duduk. Bukannya terus duduk dalam keadaan yang memang dia mampu berdiri.

LAPORAN MISI PENDIDIKAN DAN KEMANUSIAAN KEMBOJA 2011 & IBADAH KORBAN DAN AQIQAH KEMBOJA 1432h


IBADAH KORBAN & AQIQAH

Alhamdulillah dengan izin Allah swt, , Aqiqah & Misi Pendidikan dan Kemanusiaan Kemboja 1432H anjuran AKADEMI IMAM SYAFI’E telah dijayakan dengan lancarnya pada 9 – 13 Zulhijjah 1432H bersamaan 06 – 09hb November 2011. Alhamdulillah penyertaan pada tahun ini amat menggalakkan dimana sebanyak 179 ekor lembu dan 78 ekor kambing telah disumbangkan oleh Muslimin dan Muslimat.

Penyertaan ini datang dari mereka yang amat perihatin terhadap masa depan saudara seIslam di Kemboja. Kami, AJK Akademi Imam Syafi’e-Dana Kemboja mewakili Umat Islam Kemboja yang terlibat mengucapkan JAZAKUMULLAHUKHAIRAN kepada yang telah menyertai Misi ini samada secara individu di Malaysia, Qatar, UAE, Oman, Arab Saudi dan juga individu yang telah menyertai melalui organisasi mereka seperti Badan Kebajikan Kakitangan Islam BNM, Kelab Sukan dan Rekreasi Kumpulan PNB- Biro Endah, JAKKAS dari MIDA, BAKKIS RHB, Wargakerja Asian Finance Bank, Warga Kerja TECHNIP, Wargakerja EXXON MOBIL, Wargakerja TNBF, Surau ar-Raudhah Nusa Subang. Jazakumullahukhairan atas penyertaan,kepercayaan dan keperihatinan semua terhadap kesulitan Umat Islam di sana.
Program Korban & Aqiqah telah dilaksanakan di 25 pusat yang telah ditetapkan iaitu:

Wednesday, November 23, 2011

Muharram & Hijrah

 
Oleh : Ustaz Shauqi

Amalan yang biasa dilakukan sempena menyambut bulan muharram ialah bacaan doa akhir tahun dan doa awal tahun. Walaupun terdapat perbincangan dan kekhilafan tentang bacaan doa ini, namun selagi ia merupakan doa yang tidak bercanggah dengan al-Quran dan al-Sunnah, maka ianya baik untuk umat islam. Namun, apakah hanya sekadar berdoa sahaja yang perlu dilakukan untuk mengiringi kedatangan Muharram?. Apakah kelebihan yang terdapat dalam bulan Muharram? 

 Bulan Muharram merupakan salah satu dari bulan-bulan 'Haram' di dalam Islam.   Firman Allah s.w.t. di dalam Surah al-Taubah ayat 9 bermaksud: "Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul dan  lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya) dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya dan ketahuilah sesungguhnya Allah berserta orang yang bertakwa."

Pelaburan Yang Haram


CUBA LIHAT IKLAN INI (KERAPKALI DIHANTAR DALAM EMAIL):

Program Pelaburan terhangat & paling top sekarang

Jangan Lepaskan Peluang ini... Anda TAK PERLU fikir MENAJA lagi seperti Program yang lain, kerana Anda TETAP dibayar walaupun TAK MENAJA.

Jika Anda Degil, Anda MENAJA juga rakan-rakan anda, Anda TETAP dibayar 10% Komisyen.
(Ingat!!.. Menaja BUKAN Syarat Wajib)

 Inilah Program Yg Selama Ini Kita Cari-cari,  TAK PERLU MENAJA pun TETAP dapat Dividen setiap hari... JANGAN Tunggu lagi, Layari Website LexusVenture Sekarang... Tempah posisi anda sekarang:

Penjelasan:

Mudahnya terjebak dalam skim sebegini sekiranya tidak berilmu. Akhirnya secara sedar atau tidak, kita telah terjebak dalam satu skim yang merugikan kita di akhirat nanti. Keuntungan dunia belum pasti, tetapi kerugian di akhirat sudah terbayang apabila terjebak dalam perniagaan atau pelaburan yang secara jelas mengandungi RIBA. Pelaburan yang dijanjikan dengan keuntungan yang tetap sama ada secara harian, bulanan mahu pun tahunan adalah merupakan sesuatu yang termasuk dalam kategori riba.

Dosa terlibat dengan riba sangat besar. Firman Allah, maksudnya; "Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan tinggalkan sisa riba (yang belum dipungut) jika kamu orang-orang yang beriman. Maka jika kamu tidak mengerjakan (meninggalkan sisa riba), maka ketahuilah, bahwa Allah dan Rasul-Nya akan memerangimu. Dan jika kamu bertaubat (dari pengambilan riba), maka bagimu pokok hartamu; kamu tidak menganiaya dan tidak (pula) dianiaya." (Surah al-Baqarah : 278-279)

Ibn Abbas r.a. mentafsirkan :"Akan dikatakan kepada pemakan riba pada hari kiamat, Ambillah senjata kamu untuk berperang dengan Allah.

Manakala hukuman di dunia pula, akan hilang keberkatan dalam hidup dan dalam harta yang diperoleh akibat terlibat dengan riba. Firman Allah SWT bermaksud;  Allah   menghancurkan keberkatan kerana riba dan menambahkan keberkatan daripada sedekah." (Surah al-Baqarah : 276).

Dosa riba sangat besar. Justeru nabi SAW menyatakan bahawa ia lebih besar daripada 36 kali berzina. Zina itu merupakan dosa besar, namun dosa mengamalkan riba lebih besar daripada dosa zina. Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud: "Satu dirham riba yang dimakan oleh seorang lelaki dalam keadaan ia mengetahuinya lebih buruk daripada berzina sebanyak 36 kali" (Riwayat Ahmad dan al-Dar Qutni)

Sunday, November 20, 2011

Thursday, November 10, 2011

Wednesday, November 9, 2011

Imam Syafie dan Karya Sastera


Oleh: Ustaz Shauqi

Tidak diragui lagi bahawa Imam al-Shafie memiliki bakat puisi yang tinggi. Sekiranya beliau mahu, beliau boleh menjadi salah seorang pemuisi yang unggul pada zamannya. Walaupun tidak memberikan tumpuan kepada bidang ini, namun beliau telah menghasilkan puisi-puisi yang baik. al-Mubarrid berkata: “Semoga Allah merahmati Imam al-Shafie. Beliau ialah seorang pemuisi terbaik, paling mahir tentang kesusasteraan dan paling arif tentang al-Quran.” Kebanyakan tema puisi beliau menyentuh sama ada mengenai sesuatu peristiwa yang berlaku, pengajaran kemasyarakatan, hikmat keagamaan atau pengalaman hidup beliau sendiri. Kebanyakannya sesuai untuk dijadikan panduan dan contoh bagi mewakili tema masing-masing. Antara terjemahan puisi yang telah diungkapkan oleh Imam Shafei adalah seperti berikut :-

Tuesday, October 25, 2011

Haruskah Umat Islam Menyambut Deepavali?



Oleh: Ustaz Shauqi

Memandangkan masyarakat Malaysia merupakan masyarakat majmuk, maka ada orang bertanya tentang keharusan umat Islam menyambut  Deepavali. Persoalannya ialah adakah umat Islam dibenarkan untuk turut sama merayakan perayaan bukan Islam?. Perayaan yang berbentuk budaya tidaklah menjadi suatu masalah, akan tetapi bagaimanakah pula sambutan perayaan yang berbentuk agama, adakah ia wajar disambut oleh masyarakat Islam? Setiap individu muslim sepatutnya meneliti persoalan ini dengan berhati-hati berlandaskan hukum syara’ agar akidah terpelihara, dan dalam masa yang sama hubungan di antara masyarakat Islam dan bukan Islam tetap menjadi erat.

Sunday, October 23, 2011

Di Ambang Kewafatan Imam Syafie


al-Muzani masuk berjumpa al-Imam al-Syafie ketika beliau terlantar sakit yang membawa kepada kematiannya, lalu dia pun berkata : Bagaimana awak rasa wahai Abu Abdullah ?. Imam Syafie pun berkata :

Dunia akan ku tinggalkan, dengan rakan akan berpisahan, dengan buruknya amalan suatu pertemuan, gelas harapan menjadi minuman, dan kepada Allah Taala aku mendatang, Tidak ku ketahui sama ada rohku akan ke syurga maka ku gembira, atau ke neraka, maka ku kan berduka

Kemudian beliau menangis dan berkata:

Apabila kerasnya hatiku dan sempitnya perjalananku
pengharapan kemaafanMu kupinta

Betapa besarnya dosaku dan belum lagi aku menghubungkannya

dengan kemaafanMu –ya tuhanku- kemaafan paling berharga

Engkaulah yang sentiasa memaafkan daripada segala dosa

Engkau juga kan melimpahkan kemurahan dan kemaafan yang maha mulia

Madu dan Kehidupan


Kerjasama yang terdapat dalam masyarakat lebah telah menghasilkan madu yang boleh menyembuhkan penyakit. Justeru, masyarakat Islam sewajarnya mengambil pengajaran daripada lebah dan madu. Semangat kerjasama dan kerja berpasukan secara penuh komited dan bersungguh-sungguh telah menghasilkan madu yang amat bernilai dalam kehidupan.

Sehubungan dengan itu, masyarakat Islam hendaklah sentiasa bermuhasabah diri dengan menjadikan kehidupan lebah sebagai contoh dan tauladan, sesuai dengan kata-kata ‘Umar al-Khattab yang bermaksud: “Muhasabahlah diri kamu sebelum kamu dimuhasabah oleh Allah (di akhirat)”.  Justeru, persoalan yang seharusnya bermain di minda adalah, apakah usaha dan amalan yang dilakukan saban hari mendatangkan manfaat dan ‘madu’ dalam kehidupan atau pun tidak?.

Setiap tindakan dan amalan seharian hendaklah bermatlamatkan untuk mendapat keredhaan Allah SWT serta dapat memberikan manfaat dan kebaikan kepada orang lain. Sebagai contohnya ialah kerjasama dan kerja berpasukan adalah sangat penting dalam usaha membantu golongan yang kurang berkemampuan. Apatah lagi sifat keprihatinan terhadap umat Islam yang lain adalah suatu tuntutan di dalam Islam, sebagaimana hadis nabi SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang tidak mengambil berat hal-ehwal orang Islam yang lain, maka dia bukanlah dari kalangan mereka”. Oleh itu, NGO, Badan Kebajikan atau apa jua organisasi yang wujud  hendaklah benar-benar dapat memberikan manfaat kepada golongan sasaran, ibarat lebah yang menghasilkan madu!.

Thursday, October 20, 2011

Jangan Lupa Berdoa





Nabi saw bersabda:

(مَنِ اسْتَغْفَرَ لِلْمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَات كَتَبَ الله لَهُ بِكُلِّ مُؤْمِنٍ وَمُؤْمِنَةٍ حَسَنَة)- رواه الطبراني، وحسنه الألباني
Maksudnya: ‘Sesiapa yang memohon keampunan bagi orang mukmin yang lain sama ada lelaki atau perempuan, maka Allah akan memberikan ganjaran bagi setiap mukmin dan mukminah yang didoanya’.

Justeru, alangkah baiknya sekiranya seseorang itu sentiasa menadah tangan mengangkat ke hadrat Ilahi memohon keampunan daripada segala dosa bagi dirinya sendiri, ibubapanya, dan bagi seluruh umat Islam sama ada yang masih hidup atau pun yang sudah meninggal dunia. Bukannya susah untuk berdoa, akan tetapi malangnya, terdapat segelintir umat Islam  yang sukar untuk meluangkan sedikit masa sahaja sekadar tidak sampai lima minit pun untuk berdoa kepada Allah swt. Sabda nabi saw :
الدعاء مخ العبادة- رواه الترمذي
الدعاء هو العبادة – رواه مسلم
 Alangkah besarnya pahala apabila kita berdoa kepada Allah, bahkan sebagaimana yang dijelaskan oleh nabi, doa itu bukan sekadar sebagai satu ibadah, tetapi kita akan mendapat pahala yang banyak sekiranya kita berdoa untuk orang beriman yang lain. Bukannya susah untuk mendapatkan pahala, tetapi malangnya ramai umat Islam yang tidak mengambil kesempatan untuk mendapatkannya.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, nabi saw bersabda: ‘Doa seseorang Muslim terhadap saudaranya yang dilakukan tanpa pengetahuan saudaranya itu akan diterima oleh Allah …’. Oleh yang demikian ulama terdahulu telah menyatakan bahawa sekiranya mereka menginginkan agar doa mereka diterima Allah, mereka akan berdoa dengan kebaikan terhadap sahabat mereka tanpa pengetahuan saudara mereka itu.