Sunday, January 30, 2011

Mengelak Kemarahan


Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: Bukanlah kekuatan itu (dihitung) dengan bergusti, sebaliknya kekuatan itu adalah yang mengawal dirinya ketika marah.

Kemarahan adalah satu perkara tabie bagi manusia. Apabila timbul faktor yang menyebabkan kemarahan, secara semulajadi akan timbul perasaan marah dalam diri kita. Ini bukanlah satu kesalahan kerana ia adalah perkara tabie. Islam tidak menghalang perasaan tersebut jika ia kena pada tempatnya. Apa yang dilarang di dalam Islam ialah membiarkan kemarahan tersebuit menguasai diri sehingga lahir dalam bentuk kata-kata atau tindakan liar.

Islam tidak hanya memerintahkan umatnya supaya bersabar. Malah kesabaran yang diperintahkan pada tahap yang paling tinggi iaitu tahap ‘al-musabarah’: Firman Allah dalam surah Ali 'Imran ayat 200 bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi Segala kesukaran Dalam mengerjakan perkara-perkara Yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu (lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan – al-musabarah), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan).

Perkataan ‘wa sabiru’ dalam ayat di atas bermaksud mengatasi musuh dengan bersabar melebihi kesabaran mereka. Orang-orang musyrikin pun memiliki kesabaran dalam mempertahankan kepercayaan salah mereka. Justeru, Allah memerintahkan umat Islam supaya berusaha untuk mencapai tahap kesabaran yang lebih tinggi sehingga dapat mengalahkan musuh.

Kaedah Mengelakkan Kemarahan

1. Menghiasi diri dengan sifat pemaaf

Sirah Rasulullah SAW para rasul dan para nabi penuh dengan kisah-kisah kemaafan kepada umat mereka. Walaupun mereka ditentang habis-habisan, dimaki hamun, dicerca dan diancam akan dibunuh mereka tetap memaafkan umat dan berharap umat mereka akan sedar dan menerima hidayah.

2. Mengelakkan Diri Dari Faktor-faktor Yang Menimbulkan Kemarahan

Kita hendaklah mengenali diri kita terlebih dahulu. Apakah yang kita suka dan apakah yang kita benci. Kita hendaklah mengelakkan diri daripada perkara yang kita benci agar tidak menimbulkan kemarahan.

3. Berdoa

Berdoa merupakan langkah yang amat berkesan untuk mengelakkan diri kita mudah rasa marah. Antara doa yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW ialah:

Doa pertama:

اللَّهُمَّ آتِ نَفْسِي تَقْوَاهَا، وَزَكِّهَا أَنْتَ خَيْرُ مَنْ زَكَّاهَا، أَنْتَ وَلِيّهَا وَمَوْلاَهَا

Maksudnya: Ya Allah berikanlah kekuatan jiwa padaku, sucikanlah jiwaku, Engkaulah yang paling elok yang menyucikannya, Engkaulah walinya dan Engkaulah tuannya.

Doa kedua (sebelum dan selepas tidur):

اللَّهُمَّ عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ فَاطِرَ السَّمَوَاتِ وَالأَرْضِ رَبَّ كُلِّ شَىْءٍ وَمَلِيكَهُ أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ أَنْتَ أَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ نَفْسِى وَمِنْ شَرِّ الشَّيْطَانِ وَشِرْكِهِ

Maksudnya: Ya Allah Ya Tuhanku, Yanga Maha Mengetahui Perkara Yang Gahib dan Nyata, Pencipta langit dan bumi, Tuhan segala sesuatu dan Pemiliknya. Aku bersaksi tida Tuhan melainkan Engkau. Aku Memohon dengan Engkau daripada keburukan diriku dan daripada keburukan Syaitan serta sekutunya.

Doa yang kedua ini diajarkan oleh Rasulullah SAW kepada Abu Bakr al-Siddiq r.a.

No comments:

Post a Comment