Oleh: Ustaz Shauqi
Islam menentang keras amalan riba. Pengharaman riba jelas disebut di dalam al-Quran al-Karim dan al-Sunnah al-Nabawiyyah. Bahkan semua ulama mujtahid telah bersepakat mengharamkan riba. Al-Quran al-Karim telah meletakkan beberapa bentuk hukuman kepada orang yang terlibat dengan riba. Antara bentuk-bentuk hukuman tersebut ialah;
1. Dibangkitkan di akhirat nanti dalam keadaan terhoyong hayang.
Firman Allah SWT: Maksudnya: Orang-orang yang memakan (mengambil) riba itu tidak dapat berdiri betul melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk Syaitan Dengan terhuyung-hayang kerana sentuhan (Syaitan) itu . (Surah al-Baqarah 2: 275)
2. Dikurangkan kebaikan atau keberkatan pada harta.
Firman Allah SWT: Maksudnya: Allah susutkan (kebaikan harta yang diuruskan dengan mengambil) riba dan ia pula mengembangkan (berkat harta yang dikeluarkan) sedekah-sedekah dan zakatnya. (Surah al-Baqarah 2: 276)
3. Diisytiharkan perang.
Firman Allah SWT: Maksudnya: Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan riba itu), maka ketahuilah kamu: akan adanya peperangan dari Allah dan RasulNya. (Surah al-Baqarah 2: 279)
Sila renungi hukuman-hukuman yang dinyatakan di dalam ayat-ayat suci al-Quran di atas. Tiada satu pun daripada hukuman-hukuman itu mampu ditanggung oleh kita. Cuba kita ambil hukuman yang paling ringan iaitu kurang keberkatan di dalam harta. Apa gunanya jika seseorang itu berniaga tetapi tiada keberkatan di dalam harta yang diraih melalui perniagaannya. Walau pun secara zahirnya dia mungkin mendapat keuntungan dan kekayaan namun kekayaan tersebut tidak akan dapat memberi kebahagiaan kepada kehidupannya. Apa gunanya wang jika tiada kebahagiaan. Wang hanyalah perantara untuk memenuhi keperluan dan kebahagiaan. Kebahagiaan pula merangkumi kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Apa ertinya jika seseorang itu kelihatan bahagia di dunia yang sementara tetapi merana di akhirat. Orang yang memakan riba tidak akan memperoleh kebahagiaan di akhirat kerana Allah telah menyediakan neraka sebagai tempat baginya sebagaimana yang dinyatakan di dalam ayat ke-275 daripada surah al-Baqarah yang lalu.
Selain daripada hukuman-hukuman itu Allah SWT juga turut melaknat orang yang terlibat dengan riba dalam apa bentuk sekalipun. Amaran ini telah disampaikan kepada kita oleh Rasulullah SAW melalui sabdanya:
لَعَنَ اللهُ آكِلَ الرِّبَا وَمُوْكِلَهُ وَشَاهِدَهُ وَكَاتِبَهُ
Maksudnya: Allah melaknati pemakan (pengambil) riba, pemberinya, saksinya dan penulisnya. (Riwayat Ahmad)
Tiada yang lebih berat daripada dilaknat oleh Allah SWT. Namun itulah hukuman yang dikenakan kepada orang yang memakan riba. Pada hari ini amalan meminjam secara riba tidak menjadi persoalan lagi bagi sebahagian umat Islam. Mereka tidak rasa bersalah dalam hal ini. Asalkan ada modal untuk memulakan perniagaan dan tidak melanggar undang-undang serta mampu menjana keuntungan ia sudah mencukupi. Sikap seperti ini mungkin juga disebabkan kejahilan mereka tentang hakikat riba itu sendiri. Mereka tidak berusaha untuk mempelajari apakah itu riba? Apakah hukuman mengambil riba? Kejahilan seumpama ini tiada kemaafan di dalam Islam. Selagi seorang mukallaf mampu belajar atau sekurang-kurangnya bertanya kepada yang lebih arif dia wajib mengetahui hukum-hukum penting dalam mu'amalat termasuk riba. Di sinilah terserlah kepentingan mempelajari ilmu fiqh al-mu'amalat sebagaimana yang telah kita tekankan di dalam tajuk-tajuk sebelum ini. Bukankah Ibnu 'Abbas r.a pernah berkata: "Tidak boleh berniaga di dalam pasar kami melainkan orang yang faqih (mengetahui hukum hakam), jika tidak seseorang itu akan makan riba sama ada sengaja atau pun tidak".
Sebenarnya di dalam Islam konsep pinjam meminjam di asaskan atas dasar tolong menolong bukan untuk mencari keuntungan sebagaimana perniagaan. Ini jelas di dala firman Allah SWT: Maksudnya: Dan jika orang yang berhutang itu sedang mengalami kesempitan hidup, maka berilah tempoh sehingga dia lapang hidupnya dan (sebaliknya) Bahawa kamu sedekahkan hutang itu (kepadanya) adalah lebih baik untuk kamu, kalau kamu mengetahui (pahalanya yang besar yang kamu akan dapati kelak). (Surah al-Baqarah 2: 280)
Memberi tangguh dalam melunaskan hutang dan bersedekah bukanlah satu perniagaan. Ia lebih kepada kebajikan. Namun ada yang beranggapan agensi kewangan yang mengambil faedah atas pinjaman tidak salah kerana ia adalah perniagaan. Sudah semestinya perniagaan memerlukan keuntungan. Anggapan ini bukan fenomena baru, sebaliknya sudah wujud sejak zaman Rasulullah SAW malah sebelum daripada itu lagi. Hal ini telah diceritakan oleh al-Quran al-Karim sendiri di dalam ayatnya yang bermaksud: Yang demikian ialah disebabkan mereka mengatakan: "Bahawa sesungguhnya berniaga itu sama sahaja seperti riba". Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba. (Surah al-Baqarah 2: 275).
Jenis Riba:
1. Riba al-Duyun (muncul daripada hutang):
(a) Riba al-Qard: syarat pertambahan bayaran bagi sesuatu pinjaman kewangan. Contohnya ialah meminjam dari bank konvensional RM100 ribu dan dikehendaki membayar sebanyak RM200 ribu dalam tempoh yang ditetapkan.
(b) Riba al-Jahiliyyah: tambahan bayaran akibat gagal membayar pinjaman pada tempoh yang ditetapkan
2. Riba Dalam Jual-Beli:
(a) Riba al-Nasa': jual-beli antara dua barangan ribawi yang sama jenis secara bertangguh. Contoh: Membeli rantai emas dengan bayaran pada keesokan harinya.
(b) Riba al-Fadl: Jual beli antara dua item ribawi yang sama jenis dengan kadar berbeza. Contoh: menukar 10 gram emas 916 dengan 8 gram emas 999. Sepatutnya mesti sama timbangan.
*** item ribawi atau barangan ribawi adalah : kategori Matawang (emas dan perak) & kategori makanan.
Persoalan: Bagaimana kalau membeli makanan dan ditangguhkan bayaran termasuk dalam riba al-Nasa'? Jawapannya tidak riba sebab makanan dan wang dari kategori yang berbeza bukan sejenis.
Persoalan: Mengapakah mesti sama dari sudut timbangan apabila menukar emas dgn emas atau gandum dgn gandum dalam kualiti yang berbeza... Bukankah nilai kedua2 barangan tersebut tidak sama? Jawapannya ialah supaya barangan tersebut diapungkan dalam perniagaan dan jual beli agar aktiviti ekonomi berjalan dan supaya ia tidak hanya berlegar di kalangan orang tertentu sahaja yang menyebabkan yang kaya bertambah kaya.
No comments:
Post a Comment