Perkataan pondok dalam bahasa Arab adalah bererti rumah tumpangan atau hotel. Manakala dalam bahasa Indonesia pula ia di kenali dengan nama “Pasentren” iaitu dari perkataan “Santri” yang beerti pelajar-pelajar agama. Manakala menurut kamus dewan pondok memberi erti madrasah dan asrama tempat mengaji dan belajar agama. Sekolah pondok merupakan institusi pendidikan Islam tradisional yang berasal dari Pattani Thailand.
Sistem pondok bermula apabila ulama’ Acheh melarikan diri ke tempat lain termasuk Pattani semasa berlakunya perang paderi (perang salib 1821-1838) dan perang Atjeh (1878-1904) di Sumatra. Antara pondok yang cukup terkenal pada masa ini ialah seperti pondok Dala, Bermin, semela, Dual, dan Pondok Teluk Manak. Pondok-pondok ini bukan sahaja menjadi tumpuan penuntut tempatan, malahan juga penuntut luar negeri seperti dari Sri Lanka, Burma, Kemboja, Vietnam, Tanah Melayu, Filipina, dan Indonesia.
Institusi pondok pada permulaannya merupakan sebuah institusi yang mengasingkan diri dikawasan-kawasan pedalaman untuk mengelak daripada pengaruh negatif atau dari pengaruh asing. Pendidikan pondok bukan sahaja memfokuskan orientasinya kepada akhirat atau mengajar ilmu-ilmu yang berkaitan dengan keagamaan sahaja, bahkan ia juga mengajar tentang ilmu-ilmu yang lain seperti ilmu hisab dan ilmu kaji bumi.
Pendidikan pondok di kelantan bermula sejak awal abad ke 19 masihi lagi. Ia telah dipelopori oleh ulamak yang berpendidikan dari Pattani. Daripada kajian yang dilakukan, pondok yang pertama didirikan di kelantan ialah pada tahun 1820. pondok ini telah didirikan oleh Haji Abdul Samad bin Muhammad Salleh (Tuan Tabal) yang lebih di kenali dengan nama Tok Pulai Chondong. Pondok ini terletak di jalan Kuala Krai kira-kira 28 kilometer dari bandar Kota Bharu.
Setelah kematian beliau, institusi tersebut telah di teruskan oleh anaknya Haji Arshad. Pada tahun 1880 pondok tersebut telah mencapai kemajuan dalam peningkatan jumlah murid iaitu meningkat kepada hampir 800 orang. Selepas perjanjian Bangkok pada Julai 1909, negeri-negeri di utara tanah melayu telah diserahkan kepada Inggeris menyebabkan pengajian pondok semakin berkembang di Kelantan dan di ikuti oleh negeri Kedah. Pembangunan sistem pendidikan pondok pada awal abad 19 adalah mengikut corak sistem pembangunan yang di terajui oleh ulama’ seperti Haji Abdul Samad bin Muhammad Salleh ( Tuan Tabal), Haji Wan Ali bin Haji Abdul Rahman (Tok Wan Ali Kutan), Haji Nik Daud bin Wan Sulaiman, Haji Awang atas Banggol, Hakim Haji Abdullah dari Johor, Haji Wan Ismail bin Jamaluddin dan Haji Nik Abdullah.
Sekolah pondok pada masa tersebut adalah lebih formal dan berpusat di sekitar Ibu Negeri. Sebahagian besar dari ulama’ pondok juga menjadi pengajar sambilan di masjid negeri dan pada masa yang sama mereka merupakan peneraju pondok di kawasan masing-masing. Golongan ulama’ ini di gelar sebagai “Tok Guru” oleh masyarakat tempatan. Dari segi rujukan pula pelajar pondok belajar menggunakan kitab-kitab lama (kitab kuning) yang ditulis dalam bahasa melayu asli (jawi) dan hanya sedikit menggunakan teks arab. Ini adalah berbeza dengan metod yang digunakan pada akhir abad 19 yang mana ketika itu teks arab digunakan meluas dan guru akan memberi penjelasan tentang makna kepada para pelajar. Dari segi kedudukannya ia tidaklah begitu jauh dari masjid bagi memudahkan mereka untuk berulang alik ke masjid. Metod pengajian ini tersebar di sekitar Kota Bharu dan kemudiannya tersebar keseluruh jajahan di Negeri Kelantan. Pelajar yang datang untuk belajar di sini bukan sahaja rakyat tempatan, malah dari seluruh Asia Tenggara. Metod pengajian ini kemudiannya di teruskan oleh Ulama’ generasi yang kedua seperti Haji Muhammad Yusof (Tok Kenali), Haji Pak Chik Musa bin Abdul Rahman, Haji Wan Daud bin Husain, Haji Cik Idris bin Haji Hassan, Haji Cik Ibrahim bin Yusof, Haji Wan Musa bin Abdul Samad dan banyak lagi.
Pada masa yang sama juga terdapat Ulama’ yang datang dari luar Kota Bharu yang telah membuka pondok masing-masing seperti Haji Abdul Rahman bin Haji Othman (Tok Selihur) dan Haji Uthman bin Haji Muhammad (Tok Bachok). Dari segi Organisasi pula sekolah pondok di tadbir oleh seorang guru yang di panggil dengan gelaran “Tok Guru”. Rumah Tok guru, pembantu dan masjid biasanya akan dikelilingi oleh pondok-pondok yang didirikan oleh para pelajar. Pada kebiasaannya, pelajar yang menetap di pondok telahpun menamatkan pengajian asasnya di kampung atau di negeri masing-masing sebelum melanjutkan pengajian mereka di pondok dengan lebih mendalam. Pada mulanya, pembelajaran di pondok tidak di kenakan sebarang bayaran, namun selepas itu sedikit bayaran di kenakan untuk tujuan penyelenggaraan masjid dan juga untuk menganjurkan majlis-majlis agama seperti sambutan maulidurrasul dan sambutan hari Assyura. Dari segi sukatan pelajaran pula, Tok guru akan menetapkan kitab yang di fikir sesuai untuk digunakan oleh pelajarnya.
Sukatan dan kitab yang digunakan di susun untuk di sesuaikan mengikut kategori pelajar. Perkara asas yang diajar ialah Nahu Soraf dan Balaghah. Pelajar di kehendaki mahir dalam mata pelajaran berikut sebelum beralih kesukatan lain seperti Syariah, Tajwid, Tauhid, Sirah Nabi, Tafsir Hadith, Fiqah, Usul Tafsir, Ulum Hadith, Usul Fiqh dan lain-lain. Ini kerana dengan memahami perkara asas tersebut akan memudahkan mereka untuk memahami matapelajaran lain. Mereka yang belajar di pondok terbahagi kepada dua golongan iaitu golongan penadah dan golongan pendengar.
Golongan penadah ialah mereka yang mempelajari agama secara serius dan menggunakan kitab-kitab semasa hadir di dalam sesuatu jemaah pengajaran guru-guru. Tujuan mereka menadah kitab ialah untuk membolehkan mereka menjadi alim kelak. Golongan pendengar pula ialah mereka yang hanya sekadar datang ke dalam jemaah pengajaran semata-mata untuk mendengar pengajarannya. Kehadiran mereka ialah untuk mengambil pengajaran guru itu untuk dijadikan panduan kepada kehidupan mereka. Golongan penadah terdiri dari golongan lelaki sahaja, manakala golongan pendengar pula pada umumnya terdiri dari golongan lelaki dan perempuan dan kebanyakannya adalah orang-orang tua. Pada awalnya pengajian dengan cara menadah ini tidak dibuka kepada golongan perempuan. Namun atas desakan orang ramai, kini pengajian cara ini dibuka kepada golongan perempuan. Sebagai contohnya di pondok Terusan Pasir Tumbuh Kelantan telah membuka kepada golongan perempuan untuk turut belajar sama. Kaedah pembelajaran dengan cara “menadah kitab” ialah setiap pelajar di kehendaki menyediakan kitab masing-masing. Bagi mereka yang tidak mampu untuk membeli kitab, mereka mengambil inisiatif dengan menyalin kitab tersebut.
Guru akan mengajar dari kulit ke kulit dan setiap persoalan yang timbul akan di terangkan denga terperinci. Kaedah ini biasanya akan mengambil masa selama 10 tahun untuk menghabiskan semua sukatan. Segala pengajaran dijalankan di masjid, rumah Tok Guru dan di rumah pembantu kerana mereka tidak mempunyai bilik darjah. Pengajian di mulakan selepas subuh sehingga pukul 10 malam ( termasuk waktu rehat). Pengajian tidak di adakan pada hari Jumaat, dan pada kebiasaannya pelajar yang tinggal berhampiran akan pulang ke kampung masing-masing. Bagi yang tinggal jauh mereka akan menetap di pondok dengan menjalankan kegiatan sampingan seperti mengulangkaji pelajan dan ada juga yang menghafal Al-Quran.
tiada rujukan disertakan :(
ReplyDeleteSalam... ustaz. sya dh lma berminat unt masuk sek pondok.. tp mungkin keadaan nie sukar ckit, nk sgt rs bahagia dlm dunia 2, kdg2 sy selalu dtg mimpi aneh yg membuat kn sy lg tersa ingin bahgian hanya dgn ALLAH S.W.T...
Deleteassalamualaikum,ustaz.saya baru menghabiskan peperiksaan spm.adakah saya masih berpeluang untuk memasuki sekolah pondok?
ReplyDelete