Followers

Tuesday, May 31, 2011

Antara Babi & Bangkai


Oleh: Ustaz Shauqi

Hukum daging babi :

Dagingnya haram, lemaknya juga haram kerana diqiaskan kepada pengharaman dagingnya; disebabkan lemak adalah sebahagian daripada daging, dan itulah yang sahih. Ulama’ aliran mazhab Zahiri pula berpendapat bahawa yang haram itu ialah daging, tetapi tidak lemaknya kerana golongan ini hanya berpegang kepada zahir ayat sahaja iaitu firman Allah yang bermaksud : « dan daging babi ». Pandangan ulama’ aliran mazhab Zahiri ini ditolak dan disanggah kerana tujuan Allah menyebut daging (dan tidak menyebut lemak), ialah kerana haiwan itu disembelih untuk mendapatkan dagingnya, dan tidak lojik untuk memisahkan di antara daging dan lemaknya.

Ulama’ telah bersepakat bahawa sesuatu yang disembelih bukan kerana Allah iaitu disebut nama selain daripada Allah ketika penyembelihan adalah haram. Penyembelihan yang seumpama ini ialah sembelihan Majusi yang melakukannya untuk menyembah api, penyembah berhala yang menyembelih untuk tuhan berhalanya, dan orang yang tiada pegangan menyembelih kerana dirinya sendiri.

Adakah sembelihan orang Nasrani yang menyebut nama nabi Isa ketika menyembelih termasuk dalam kategori haram atau tidak ?. Jumhur ulama’ berpendapat bahawa ia termasuk dalam kategori haram. Manakala ‘Ata’, Makhul, al-Hasan, al-Sya’bi, Sa’id Bin Musayyib dan sekumpulan daripada ulama’ aliran mazhab Maliki menyatakan bahawa ianya tidak haram. Sebab berlakunya khilaf atau perselisihan pendapat ialah percanggahan yang berlaku dalam dua ayat iaitu yang bermaksud : “Makanan (sembelihan) orang yang diberi al-Kitab halal bagimu”, (al-Ma’idah 5/5), dan ayat al-Baqarah 172 yang bermaksud ‘dan binatang yang (ketika disembelih) disebut (nama) selain Allah’.

Jumhur ulama’ berpendapat ayat ini mentakhsiskan ayat dalam Surah al-Ma’idah, maknanya; makanan ahlul kitab halal selagi tidak disebut selain daripada nama Allah ketika sembelihan, oleh itu, hukumnya haram bagi sembelihan ahlul kitab yang menyebut nama al-Masih (nabi Isa) ketika penyembelihan. Manakala pendapat minoriti ialah sebaliknya iaitu harus sembelihan ahlul kitab secara mutlak.

Menurut pendapat Imam Malik, harus seseorang yang berada dalam keadaan darurat untuk makan sesuatu yang diharamkan seperti bangkai sehingga kenyang, kerana darurat mengharuskan yang haram, oleh itu bangkai hukumnya harus dimakan ketika berada dalam keadaan darurat.

Namun, Jumhur ulama’ berpendapat bahawa orang yang berada dalam keadaan darurat hanya dibolehkan makan sesuatu yang haram itu sekadar yang diperlukan sahaja; kerana pengharusan itu adalah disebabkan darurat, maka kadar pengambilannya pun mestilah sekadar darurat iaitu sekadar yang perlu sahaja. Antara keadaan-keadaan darurat ialah: meminum seteguk arak, dan pengambilannya sekadar untuk menghilangkan kehausan.

Menurut jumhur ulama’, orang yang berada dalam keadaan darurat ialah orang yang terlalu lapar dan amat berhajatkan kepada makanan, begitu juga orang yang dipaksa makan sesuatu yang haram seperti seorang lelaki yang ditawan musuh dan dipaksa makan daging babi dan sebagainya.

Jumhur ulama’ tidak mengharuskan berubat dengan sesuatu yang haram seperti arak dan bangkai, berdasarkan hadis nabi saw yang diriwayatkan oleh al-Bukhari daripada Ibnu Mas’ud yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak menjadikan kesembuhan umatku dengan sesuatu yang diharamkan kepada mereka”. Dalam hadis lain yang diriwayatkan oleh Muslim bahawa Tariq Bin Suwaid telah bertanyakan nabi saw mengenai arak untuk dibuat ubat, maka nabi saw pun melarangnya dan bersabda: “Sesungguhnya ia bukanlah ubat sebaliknya penyakit”. Ibnu al-Arabi telah berkata: Pandangan yang sahih dalam masalah ini ialah tidak boleh menggunakan bangkai untuk tujuan perubatan, kerana terdapat yang halal sebagai gantinya.

Terdapat dua pandangan ulama’ mengenai sesiapa yang terpaksa melakukan maksiat untuk menghilangkan darurat yang dihadapi seperti terpaksa menjadi penyamun dan pemberontak. Imam Malik, Imam Syafie dan Imam Ahmad berkata: Diharamkan sekiranya perjalanan itu bertujuan maksiat; pengharaman itu disebabkan maksiat tersebut, kerana Allah mengharuskan yang tersebut (mengharuskan yang haram semasa darurat) adalah sebagai suatu pertolongan, tetapi orang yang derhaka (berbuat maksiat) tidak harus ditolong, sekiranya dia hendak makan, maka hendaklah dia bertaubat dan makanlah. Mereka yang derhaka (melakukan maksiat) ketika dalam perjalanan pula, diharuskan kepada mereka rukhsah syara’ (keringanan syara’) tersebut.

Abu Hanifah pula mengharuskannya kerana dia berada dalam keadaan di antara ketaatan dan kemaksiatan, dan al-Qurtubi telah mentarjihkan pendapat ini; kerana sesorang yang memusnahkan jiwanya ketika berada dalam perjalanan yang maksiat, dianggap melakukan maksiat yang paling teruk daripada perjalanan maksiat itu sendiri, dan ini berdasarkan firman Allah, maksudnya: “Janganlah kamu membunuh diri-diri kamu” {al-Nisa’, 4:29). Ini secara umum, mudah-mudahan dia bertaubat selepas daripada itu, dan diampunkan dosanya yang lalu dengan sebab taubatnya itu.

Al-Baji menyebut dalam al-Muntaqa bahawa pendapat yang masyhur di sisi ulama’ aliran mazhab Maliki ialah orang yang berada dalam keadaan darurat, harus baginya untuk makan sesuatu yang haram walaupun dia berada dalam perjalanan yang maksiat, tetapi dia tidak diharuskan untuk berbuka puasa dan mengqasarkan solat, berdasarkan firman Allah yang bermaksud: “tidak menginginkannya dan tidak pula melampaui batas”.

Sekiranya terdapat beberapa jenis makanan yang haram, makanan manakah yang perlu didahulukan ketika berada dalam keadaan darurat?

Ibnu al-‘Arabi berkata: sekiranya terdapat bangkai dan daging babi, hendaklah didahulukan bangkai; kerana bangkai itu halal sekiranya ia hidup, tetapi babi tetap haram walaupun ketika hidup. Pengharaman yang ringan didahulukan daripada pengharaman yang berat. Sekiranya terdapat arak dan bangkai, juga didahulukan bangkai. Sekiranya terdapat bangkai dan hak orang lain, didahulukan hak orang lain jika dia selamat berbuat demikian , dan tidak harus baginya makan bangkai. Sekiranya dirasakan tidak selamat, hendaklah dia memilih bangkai.

Pandangan yang sahih (berbeza dengan pandangan Imam Syafie): Tidak boleh makan daging manusia kecuali jika pasti ia boleh menyelamatkan nyawanya. Sekiranya orang berada di dalam ihram terpaksa memilih di antara binatang buruan dan bangkai, hendaklah dia memilih binatang buruan untuk dimakan; kerana pengharaman binatang buruan adalah berbentuk sementara (iaitu bagi orang yang berada dalam keadaan ihram sahaja), dan ia lebih ringan, dan boleh diganti dengan membayar fidyah (semasa berada dalam keadaan biasa ), tetapi bagi bangkai, tiada fidyah padanya

Saturday, May 28, 2011

Rupanya Masih Ramai Yang Tak Tahu Solat



Kisah 1:

Dalam satu solat jemaah, kelihatan seorang lelaki yang tergesa-gesa masuk ke dalam masjid. Tatkala itu imam dan jemaah yang lain sedang bersolat. Oleh itu, lelaki itu agak tergesa-gesa agar sempat mendapat rakaat bersama imam. Lagak pakaiannya dengan berjubah 'ala tabligh', berjanggut lebat, seolahnya nampak seperti seorang yang bukan 'calang-calang' dari sudut ibadatnya dan ilmunya. Lalu sampai saja pada saf ... imam pun 'Allahu akbar' dan rukuk.

Dalam keadaan kelam-kabut, lelaki itu pun terus mengangkat tangan bertakbiratul ihram... Allahu Akbar. Baru saja lelaki itu nak rukuk, tiba-tiba imam pun iktidal... sami`allahu liman hamidah'. Tanpa berlengah lagi, lelaki itu pun rukuk dan terus iktidal untuk mengejar imam. Dalam hatinya berkata "Nasib baik sempat". Pada rakaat terakhir apabila imam memberi salam, lelaki itu pun turut serta memberi salam.

Pada sangkaannya solatnya selesai dah sah. Tapi malangnya akibat kedangkalan ilmu, dia masih tak tahu membezakan solat sah atau tidak. Sedangkan sebagai makmum masbuk dia perlu rukuk dan tomakninah dalam ruku bersama imam barulah dapat rakaat. Tapi oleh kerana tiada ilmu, maka begitulah jadinya.... Pakaian tidak melambangkan ilmu seseorang... walau pakai jubah, tetapi kalau tidak menuntut ilmu... ia tetap berada dalam kejahilan.


Kisah 2:

Seorang yang kelihatan sudah berusia emas berjalan perlahan-lahan menuju ke masjid. Satu persatu anak tangga masjid dilangkahi dengan penuh kepayahan. Kadang-kala kelihatan dia berhenti sebentar pada anak tangga masjid untuk menarik nafas dan berehat seketika sebelum meneruskan perjalanan menaiki tangga masjid. Bukanlah tinggi sangat tangga masjid tu, tapi dek kerana kesihatan yang kurang memuaskan, ditambah diri yang semakin dimamah usia, menyebabkan agar sukar untuknya menapak laju ketika menaiki tangga masjid.

Tapi kesabaran dan keazaman yang tinggi membuatkan dia tidak peduli akan segala kesusahan dan kepayahan itu. Akhirnya dia berjaya masuk ke dewan masjid.... dan berdiri dalam saf. Matanya meliar mencari sesuatu.... Ya... dia sudah jumpa, kerusi kecil yang ditinggalkannya di masjid itu sudah dijumpai. Dia memang meletakkan kerusi di tepi dinding masjid yang digunakannya untuk menunaikan solat. Kakinya yang sakit dan lutut yang tidak boleh dibengkokkan menyebabkan beliau tidak boleh sujud macam orang lain. Dia hanya boleh sujud sambil duduk atas kerusi. Seketika imam pun bertakbiratul ihram... Allahu Akbar.

Lantas orang tua ini pun duduk atas kerusi di hujung saf dan memperbetulkan sedikit ikatan kain pelikatnya... dan dia pun .... Allahu Akbar... bertakbir dengan berniat mengikut imam. Malang sungguh orang tua ini kerana walau usia sudah senja tapi masih tidak tahu hukum hakam tentang solat. Akibatnya, solatnya tidak sah. Ini kerana sepatutnya dia bertakbiratul ihram dalam keadaan berdiri, selepas tu kalau dah tak larat baru duduk. Bukannya terus duduk dalam keadaan yang memang dia mampu berdiri.

Thursday, May 26, 2011

Persoalan Halal & Haram Pada Haiwan

Oleh: Ustaz Shauqi


Haiwan Dua Alam
:

Iaitu binatang yang tinggal di daratan serta di dalam air seperti katak, kura-kura, ketam, ular, buaya, memerang dan sebagainya. Terdapat tiga pendapat dalam masalah ini:

Pendapat Pertama: Ulama’ aliran mazhab Hanafi dan Syafie: Tidak halal memakannya; kerana ia terdiri daripada binatang yang kotor, dan kerana nabi saw dalam hadis yang telah dikeluarkan oleh Ahmad dan Abu Daud telah melarang daripada membunuh katak. Sekiranya ia halal dimakan, nescaya nabi tidak akan melarang daripada membunuhnya.

Pendapat Kedua: Ulama’ aliran mazhab Maliki: Diharuskan makan katak dan seumpamanya yang telah disebut sebelum ini; kerana tidak ada nas atau dalil yang mengharamkannya.

Pendapat Ketiga: Ulama’ aliran mazhab Hanbali dan pendapatnya lebih terperinci, iaitu setiap binatang yang hidup di atas darat walaupun ia terdiri daripada haiwan laut, tidak halal dimakan sekiranya tidak disembelih seperti burung laut, penyu, dan memerang. Namun, dikecualikan haiwan yang tidak mempunyai darah seperti ketam kerana ia diharuskan makan serta tidak perlu disembelih berdasarkan riwayat yang datang daripada Imam Ahmad. Pengecualian tersebut adalah kerana ia merupakan haiwan laut yang tinggal di darat, di samping darahnya tidak mengalir. Ini berbeza dengan haiwan yang darahnya mengalir seperti burung yang tidak diharuskan makan tanpa disembelih terlebih dahulu. Walau bagaimanapun pendapat yang lebih sahih di sisi ulama’ aliran mazhab Hanbali ialah ketam tidak halal dimakan kecuali setelah disembelih.

Katak tidak halal dimakan. Ini berdasarkan hadis riwayat al-Nasae’i yang menyatakan bahawa nabi saw telah melarang membunuh katak; larangan ini jelas menunjukkan kepada pengharamannya. Begitu juga dengan buaya, ia tidak boleh dimakan.

Imam Abu Hanifah berpendapat bahawa janin haiwan (anak yang berada dalam kandungan) yang dikeluarkan dalam keadaan sudah mati setelah disembelih ibunya, haram dimakan kerana ia dianggap bangkai, dan al-Quran sendiri telah mengharamkan bangkai. Pendapat beliau tidak dipersetujui oleh dua orang anak muridnya (Muhammad dan Abu Yusof), Imam Syafie dan Imam Ahmad kerana janin tersebut adalah halal di sisi mereka kerana janin tersebut dikira sudah disembelih dengan penyembelihannya ibunya itu. Imam Malik pula berpendapat, sekiranya janin tersebut telah sempurna kejadiannya serta sudah tumbuh bulunya, maka ia boleh dimakan. Akan tetapi jika sebaliknya, maka ia tidak boleh dimakan. Hujuh jumhur dalam hal ini ialah sabda nabi saw yang bermaksud: “Sembelihan janin binatang ialah berasaskan sembelihan ibunya” iaitu apabila ibunya disembelih, maka janin tersebut tidak perlu lagi disembelih kerana sudah memadai dengan penyembelihan ibunya itu.

Manakala pengikut Imam Abu Hanifah pula, mereka telah mentakwil hadis nabi itu dengan ‘hendaklah disembelih janin tersebut sebagaimana disembelih ibunya’. Takwil yang dikemukakan ini adalah takwil yang tidak tepat; kerana hadis nabi yang berkaitan dengan perkara ini ialah sebagai jawapan kepada permasalahan dan soalan yang dikemukakan mengenainya. Hadis ini telah diriwayatkan oleh Abu Said al-Khudri bahawa Rasulullah saw telah ditanya mengenai janin yang keluar daripada perut ibunya dalam keadaan telah mati, maka nabi saw menjawab persoalan tersebut dengan sabda Baginda yang bermaksud: “Sekiranya kamu mahu, kamu boleh memakannya, kerana ia dianggap sudah disembelih apabila ibunya disembelih”.

Para ulama’ telah berselisih pendapat mengenai persoalan mengambil manfaat daripada minyak bangkai binatang yang bukan untuk dijadikan makanan, seperti untuk digunakan pada lapisan cat kapal dan pada kulit yang disamak:

Jumhur ulama’ menyatakan bahawa ianya haram berdalilkan ayat al-Quran; kerana mereka melihat bahawa al-fi’l al-muqaddar (kata kerja yang ditaqdirkan atau dianggap ada) ialah mengambil manfaat sama ada dengan memakannya atau dengan selainnya. Pengharaman ini juga berasaskan hadis nabi saw yang telah diriwayatkan oleh Jabir, sabda Baginda yang bermaksud: “Allah membunuh orang Yahudi, telah diharamkan kepada mereka lemak (binatang), tetapi mereka tetap menjual dan memakan hasilnya, lalu dilarang mereka berbuat demikian”. Ini bermakna pengharaman bangkai juga membawa kepada pengharaman jualannya.

‘Ata’ pula berkata: Harus disapu luaran kapal dengan minyak daripada lemak binatang, Ia telah berhujah bahawa ayat tersebut mengharamkan memakannya, seperti dalil yang telah disebutkan sebelum ini. Hujah yang kedua ialah berdasarkan hadis “syat Maimunah” (kambing Maimunah) yang bercanggah dengan hadis Jabir, iaitu suatu ketika nabi saw telah melalui kawasan ternakan kambing milik Maimunah, lalu baginda bersabda:, Maksudnya: “Alangkah eloknya kalau kamu mengambil kulitnya”, maka beliau mentarjihkan pendapat ini; kerana ia bertepatan dengan zahir ayat al-Quran.

Kulit Bangkai:

Ia tidak suci walaupun disamak mengikut pandangan yang zahir disisi ulama’ aliran mazhab Maliki, dan pandangan yang masyhur disisi ulama’ aliran mazhab Hanbali. Ini berdasarkan hadis Abdullah Bin ‘Ukaim yang telah diriwayatkan oleh Ahmad, al-Tirmidhi, al-Nasa’ei, Abu Daud dan Ibnu Majah, dia berkata: “Rasulullah telah menulis kepada kami kira-kira sebulan sebelum kewafatan Baginda supaya tidak mengambil manfaat daripada bangkai sama ada kulitnya atau urat sarafnya” . Hadis ini memansukhkan (membatalkan) hadis-hadis yang sebelumnya; kerana hadis ini telah diucapkan pada saat-saat akhir hidup nabi saw.

Ulama’ aliran mazhab Hanafi dan ulama’ aliran mazhab Syafie berpendapat bahawa kulit binatang yang najis atau kulit bangkai akan menjadi suci apabila ia disamak. Ini berdasarkan hadis nabi saw yang diriwayatkan oleh Muslim yang bermaksud: “Sekiranya kulit disamak, ia menjadi bersih”. Manakala hadis yang diriwayatkan oleh al-Nasaei, al-Tirmidhi dan Ibnu Majah daripada Ibnu Abbas pula bermaksud: “Setiap kulit yang disamak akan menjadi bersih”.

Menurut jumhur ulama’, anggota-anggota bangkai yang keras yang tidak mengandungi darah adalah suci dan tidak najis seperti tanduk, tulang, gigi, gading, tapak kaki unta, tapak kaki kuda, kuku, dan bulu. Ulama’ aliran mazhab Syafei pula menyatakan bahawa anggota-anggota daripada bangkai adalah najis seperti susu dan telur yang bersambung dengannya. Dalil dan hujah jumhur dalam persoalan ini ialah hadis Salman ra yang telah diriwayatkan oleh Ibnu Majah: Rasulullah saw telah ditanya mengenai lemak, minyak dan himar, lalu nabi bersabda: “sesuatu yang halal ialah apa-apa yang dihalalkan oleh Allah di dalam kitab-Nya, dan yang haram itu ialah apa-apa yang diharamkan oleh Allah di dalam kitab-Nya, dan sesuatu yang tidak disebut hukumnya merupakan sesuatu yang dimaafkan oleh Allah dengannya”.

Hukum sesuatu atau bekas yang dimasuki tikus: Sekiranya tikus itu dapat dikeluarkan dalam keadaan masih hidup, ia dikira bersih. Akan tetapi, sekiranya tikus itu mati di dalam bekas tersebut, maka ia dilihat dalam beberapa keadaan; sekiranya cecair, maka semuanya dianggap najis manakala sekiranya ia bukan cecair, ia dianggap najis pada tempat jatuh tikus itu dan di sekelilingnya sahaja, dan yang baki boleh diambil manfaat daripadanya kerana ia dikira suci. Ini berdasarkan hadis yang telah diriwayatkan bahawa nabi saw pernah ditanya mengenai tikus yang terjatuh ke dalam minyak sapi dan mati di dalamnya, maka bagi menjawab persoalan ini, nabi saw bersabda yang bermaksud: “Sekiranya objek beku (bukan cecair), buangkan tempat tersebut dan di sekitarnya, tetapi sekiranya cecair tuanglah ia”.

Sekiranya burung atau mana-mana haiwan jatuh dalam periuk, Ibnu Wahab telah meriwayatkan daripada Imam Malik bahawa dia berkata: Tidak boleh dimakan apa sahaja yang terdapat dalam periuk tersebut, kerana ia adalah najis disebabkan telah bercampur dengan bangkai. Ibnu Qasim juga meriwayatkan daripada Imam Malik bahawa dia telah menyatakan bahawa hendaklah dibasuh daging, manakala kuahnya hendaklah dibuang. Ibnu ‘Abbas pula berkata: Daging itu hendaklah dibasuh dan boleh dimakan.

Ulama’ telah bersepakat mengatakan bahawa darah itu adalah najis dan haram dimakan serta tidak boleh diambil sebarang manfaat daripadanya sekiranya darah itu terdiri daripada darah yang mengalir. Inilah gambaran yang disebut dalam surah al-An’aam. Saidatina Aisyah telah berkata, sekiranya Allah tidak menyebut: “atau darah yang mengalir” (al-An’aam 6/145), nescaya orang akan menganggap kesemuanya najis termasuk apa yang ada dalam pembuluh darah sekalipun. Di atas dasar inilah, sesuatu yang bercampur dengan daging dalam pembuluh darah tidak haram secara ijma’, begitu juga hati dan limpa tidak diharamkan secara ijma’. Ini berdasarkan takhsis (mengkhususkan) darah yang haram – mengikut pandangan ulama’ aliran mazhab Hanafi dan Syafei, ia berdasarkan hadis nabi saw yang bermaksud : “Telah dihalalkan kepada kita dua jenis bangkai dan dua jenis darah”. Dua jenis darah itu ialah hati dan limpa

Tuesday, May 24, 2011

Malaysia: Top 10 Arak Dunia???


Timbalan Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat Heng Seai Kie dilaporkan berkata, penggunaan alkohol di negara ini menjadi semakin serius. Beliau mengulas, statistik terbaru Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) bahawa Malaysia berada di kedudukan kesepuluh mempunyai peminum arak paling ramai di dunia.

WHO turut menjelaskan, Malaysia membelanjakan AS$500 juta (kira-kira RM1.5 bilion) untuk alkohol dengan kadar penggunaan per kapita sebanyak 7 liter, manakala penggunaan bir pula mencecah 11 liter per kapita.

Perkara ini seharusnya dipandang serius oleh kerajaan bagi membanteras supaya ianya tidak merebak di kalangan masyarakat berbilang bangsa dan agama di Malaysia. Jikalau ianya tidak dibendung maka peminum arak akan terus meningkat di Malaysia dan ianya akan menyebabkan menularnya gejala-gejala negatif yang lain.

Hukuman Islam Terhadap Minum Arak

Hukuman terhadap kesalahan minum arak bertujuan memelihara akal fikiran manusia. Tanpa keupayaan menggunakan akal fikiran, manusia tak ubah seperti haiwan yang tidak dapat membezakan di antara yang baik dan buruk. Hukuman Hudud kepada peminum arak bukanlah sekadar untuk memelihara kebaikan individu sahaja, malahan ia bertujuan untuk menjaga keselamatan dan kesejahteraan orang ramai. Selain daripada merosakkan akal orang yang meminumnya, arak juga boleh mendorong seseorang melakukan jenayah yang lain seperti berzina, membunuh dan sebagainya. Arak juga boleh mencetuskan permusuhan sebagaimana yang disebut dalam al-Quran,


Maksudnya: “Wahai orang yang beriman, sesungguhnya arak, judi, berkorban untuk berhala , dan bertenung nasib ialah perbuatan keji termasuk perbuatan syaitan, maka jauhilah perbuatan-perbuatan tersebut agar kamu mendapat keuntungan. Sesungguhnya syaitan itu berusaha menimbulkan permusushan dan kebencian di antara kamu dengan arak dan judi itu, dan menghalangi kamu daripada mengingati Allah dan mengerjakan solat, maka berhentilah kamu daripada pekerjaan itu”.(Surah al-Maidah: ayat 90-91)


Hukuman atas kesalahan minum arak berdasarkan kepada dalil-dalil berikut:

a) Sabda Nabi s.a.w.:

من شرب الخمر فاجلدوه

Maksudnya: Barang siapa minum arak maka sebatlah dia. (Riwayat Ahmad)

b) Rasulullah s.a.w. pernah melaknat peminum arak dan orang-orang yang terlibat dengan arak. Sabda Nabi s.a.w.:

لعن الله الخمر وشاربها وساقيها وبائعها ومبتاعها وعاصرها ومعصرها وحاملها ومحمولة إليها

Maksudnya: Allah s.w.t telah melaknati arak, peminum, pemberi minum, penjual, pembeli, pemerah, orang yang diperah untuknya, pembawa dan orang yang dibawa kepadanya arak[1]. (Riwayat Abu Dawud)

c) Telah sabit daripada Nabi s.a.w. bahawa baginda pernah memukul peminum arak. Diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a. yang bermaksud: “Telah dibawa kepada Rasulullah s.a.w. seorang yang telah meminum arak. Baginda lalu memukulnya dengan kasut sebanyak empat puluh kali. Begitu juga Abu Bakar, pernah memukul peminum arak sebanyak itu. Apabila sampai pada zaman Umar, beliau bertanya sahabat-sahabat tentang hudud. Jawab Ibn ‘Auf: “Sekurang-kurang hudud ialah sebanyak lapan puluh kali pukul.[2]


[1] Al-Haithami, Majma’ al-Zawaid, j. 5, h. 73.

[2] Lihat al-Syawkani, h. 314.