Monday, May 16, 2011

Buku Bertemu Ruas


Seorang lelaki Arab yang cerdik yang bernama Shannun bercadang untuk mengembara mencari perempuan yang sepadan dengan kecerdikannya untuk dikahwini. Dalam perjalanannya itu, dia bertemu dengan seorang lelaki yang seterusnya dijadikan teman seperjalanan. Semasa dalam perjalanan, Shannun telah mengutarakan tiga persoalan kepada temannya itu, namun temannya itu menganggap bahawa persoalan yang ditimbulkan oleh Shannun itu adalah terlalu bodoh dan jahil.

Soalan tersebut ialah: 1. Aku membawa kamu atau kamu membawa aku (pertanyaan ketika mereka berdua hendak memulakan perjalanan), 2. Adakah dapat dimakan tanaman ini? (ketika melalui tanaman gandum yang sedang menghijau), 3. Adakah lelaki ini meninggal dunia? (ketika melihat jenazah yang diusung).

Teman seperjalanan Shannun itu dengan sinis menjawab terhadap ketiga-tiga soalan yang dikemukakan kepadanya itu dengan katanya: 1. Mengapa aku perlu membawa engkau sedangkan engkau mempunyai tunggangan sendiri, 2. Mengapakah engkau bodoh sangat, tidakkah engkau melihat bahawa tanaman itu masih hijau dan belum dituai, bagaimana mungkin untuk memakannya, 3. Jelaslah bahawa engkau ni seorang yang pelik kerana bertanyakan tentang jenazah yang diusung oleh ramai sama ada ia meninggal dunia atau tidak.

Apabila sampai ke destinasi, teman seperjalanan Shannun menceritakan kepada anak perempuannya yang bernama Tabaqah hal keadaan Shannun yang dianggapnya bodoh itu. Akan tetapi anaknya yang cerdik itu dapat menghayati persoalan yang ditimbulkan oleh Shannun. Anak perempuannya pun berkata bahawa apa yang dipersoalkan oleh Shannun menunjukkan bahawa ia seorang yang cerdik dan tidak sepatutnya dilihat daripada yang tersurat, sebaliknya hendaklah melihat kepada yang tersirat di sebalik persoalan tersebut. Bapanya kehairanan, lalu bertanya anaknya Tabaqah tentang apa yang difahami olehnya.

Lalu Tabaqah pun menerangkan kefahaman yang sepatutnya daripada ketiga-tiga soalan yang diajukan iaitu: 1. Apakah aku yang sepatutnya berbicara denganmu atau kamu yang berbicara denganku di sepanjang perjalanan ini supaya tidak timbul rasa jemu, 2. Persoalan mengenai tanaman mengandungi soalan yang tersirat iaitu apakah di negeri itu terdapat pemerintah zalim yang merampas tanaman penduduk sehinggakan mereka tidak dapat menikmati hasilnya, atau di situ pemerintahnya adil yang mengembalikan hak kepada rakyat sehinggakan mereka dapat menikmati apa-apa yang mereka usahakan, 3. Berkenaan dengan jenazah pula, tersirat persoalan lain iaitu apakah wujud bagi si mati amalan kebajikan dan anak yang soleh yang akan ’menghidupkan’ namanya selepas beliau meninggal dunia.

Apabila mendengar penjelasan anaknya itu, bapanya berasa malu lantas pergi menemui Shannun untuk meminta maaf dan berkenan mengahwinkan pemuda itu dengan anaknya. Akhirnya Shannun berkahwin dengan Tabaqah kerana dia sudah menjumpai perempuan yang sepadan dengannya. Daripada peristiwa ini, lahirlah peribahasa wāfaqa Shannun
Tabaqah
yang bemaksud: "Buku bertemu ruas".

No comments:

Post a Comment