Monday, May 2, 2011

Makanan Dan Haiwan Yang Haram Di Makan


Oleh: Mohd Sukki Othman (Ustaz Shauqi)

Allah berfirman dalam al-Quran Surah al-Baqarah ayat 172-173 bermaksud: ’Wahai orang yang beriman, makanlah di antara rezeki yang baik-baik yang Kami berikan kepadamu dan bersyukurlah kepada Allah jika benar-benar hanya kepada-Nya kamu menyembah. Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan bagimu bangkai, darah, daging babi, dan binatang yang (ketika disembelih) disebut (nama) selain Allah. Akan tetapi sesiapa dalam keadaan terpaksa (memakannya) sedang dia tidak menginginkannya dan tidak (pula) melampaui batas, maka tidak ada dosa baginya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.’

Makan sesuatu yang baik yang disertai dengan mensyukuri nikmat merupakan suatu kesederhanaan yang menghimpunkan keperluan jasad dan ruh. Kita makan adalah untuk memelihara tubuh badan dengan tidak melakukan sebarang pembaziran. Firman Allah Taala, maksudnya: “Wahai orang yang beriman, janganlah kamu haramkan apa-apa yang baik yang telah Allah halalkan bagi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas, sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang melampaui batas. Dan makanlah makanan yang halal lagi baik daripada apa yang Allah telah berikan rezeki kepadamu…”. (al-Ma’idah, 5: 87-88), Makanan jiwa pula adalah dengan bersyukur di atas segala nikmat Allah.

Orang musyrikin dan Ahlul Kitab sebelum Islam berbeza pendekatan mereka dengan orang beriman, kerana mereka tidak mengamalkan pendekatan sederhana dalam kehidupan mereka. Ada diantara mereka yang mengharamkan sesuatu kepada diri mereka sendiri seperti Bahirah[1], Sa’ibah[2], Wasilah[3] dan Haam[4] dan sebagainya, manakala orang Nasrani, mereka menyeksa diri dengan mengharamkan kesedapan dan keselesaan dalam hidup, serta memandang hina terhadap keperluan tubuh badan sendiri. Perbuatan mereka ini bukan sahaja dikhususkan kepada para pendeta, malahan kepada semua, dengan mengharamkan daging dan sapi ketika berpuasa pada hari-hari tertentu, disamping pengharaman ikan, susu, dan telur ketika berpuasa pada hari-hari yang lain.

Perkara haram yang sebenar

· Mengambil bangkai sebagai makanan. Ini disebabkan darah yang terdapat dalam bangkai boleh membawa mudharat, disamping daging yang sudah rosak dan dicemari dengan penyakit. Pengharaman bangkai adalah kerana kekotoran yang wujud padanya yang boleh membawa mudharat.

· Darah yang mengalir. Ia memudharatkan, dan jiwa yang bersih tidak menyukainya. Ia diharamkan kerana kekotoran dan kemudharatan yang wujud padanya.

· Daging babi. Ia diharamkan kerana boleh membawa mudharat terutama ketika cuaca panas, dan jiwa yang suci tidak menyukainya. Babi ialah binatang kotor yang biasanya memakan benda-benda kotor dan najis. Ia juga berbahaya kerana mempunyai kuman yang sukar dihapuskan. Disamping itu, ia juga mempunyai tabiat buruk iaitu malas dan tidak mempunyai sifat cemburu kepada pasangan betinanya yang bersenggama dengan binatang yang lain. Orang yang makan daging babi, akan terpengaruh dengan perangainya yang buruk, juga seseorang itu akan dijangkiti kuman pada tubuhnya walaupun babi itu dipelihara pada persekitaran yang bersih.

· Menyebut nama lain selain Allah ketika menyembelih. Ini ialah perbuatan golongan yang menyembah berhala. Perbuatan tersebut adalah syirik dan membuat pergantungan kepada selain daripada Allah. Orang Arab pada zaman Jahiliyyah mengadakan penyembelihan untuk berhala-berhala mereka, dan ketika penyembelihan mereka berkata: ‘dengan nama al-Laata dan al-‘Uzza’. Perbuatan ini haram dan bercanggah dengan asas agama dan tauhid.

Tambahan kepada pengharaman-pengharaman ini, ialah apa-apa yang diharamkan menerusi surah al-Ma’idah ayat 3 (Sesungguhnya apa yang disebut dalam Surah al-Ma’idah itu adalah termasuk dalam kategori bangkai iaitu: setiap yang mati tanpa disembelih mengikut syara’, sama ada yang dipukul, yang jatuh, yang ditanduk, dan yang diterkam binatang buas. Begitu juga, binatang yang tidak boleh dimakan seperti binatang buas dan sebagainya), dan apa-apa yang diharamkan oleh Rasulullah seperti makan haiwan liar yang mempunyai gigi taring, burung yang mempunyai kuku yang mencengkam, dan daging himar .

Akan tetapi, sesiapa yang berada dalam keadaan darurat (iaitu akan binasa sekiranya tidak makan sesuatu yang haram), tidak berdosa makan apa-apa yang diharamkan oleh Allah, sekiranya dia tidak mendapati makanan yang lain, bimbang dirinya akan binasa, dalam keadaan biasa memang dia tidak menyukainya. Akan tetapi syarat yang mesti dipatuhiu ketikan makan sesuatu disebabkan terpaksa atau dharurat ialah tidak melebihi kadar yang diperlukan. Ia diharuskan semata-mata untuk memelihara jiwa daripada binasa, kerana mati dalam keadaan kelaparan lebih mudharat daripada memakan bangkai dan darah.

Syarat yang diberikan oleh Allah terhadap keharusan sesuatu yang haram adalah seperti firman-Nya yang bermaksud “tidak menginginkannya dan tidak pula melampaui batas”. Syarat ini adalah supaya manusia tidak mengikut hawa nafsu dalam menafsirkan ‘darurat’, yang mengakibatkan seseorang itu boleh mendakwa bahawa dia berada dalam keadaan darurat sedangkan hakikatnya tidak begitu, dan melampaui kadar yang diperlukan, dengan mengambil peluang terhadap situasi darurat semata-mata untuk melampiaskan nafsunya.

Sesungguhnya Allah mengampuni kesilapan hambanya dalam menentukan kadar darurat, kerana ia berdasarkan ijtihad mereka. Allah Maha Penyayang terhadap hambaNya. Oleh itu, Allah mengharuskan mereka makan sesuatu yang haram ketika berada dalam keadaan darurat, supaya tidak menyempit dan menyusahkan mereka.

Pandangan fuqaha’ dalam persoalan haiwan yang boleh dimakan pula, secara ringkasnya adalah seperti berikut: Binatang yang disembelih secara syara’ ada tiga kategori: haiwan yang tinggal dalam air, haiwan darat, dan haiwan dua alam[5].

Haiwan Air: Haiwan yang hanya tinggal di dalam air sahaja, terdapat dua pendapat mengenainya:

1. Ulama’ aliran mazhab Hanafi berpendapat: Semua haiwan yang hidup di dalam air haram dimakan kecuali ikan, ia halal dimakan tanpa perlu disembelih terlebih dahulu kecuali ikan yang terapung di atas air, sekiranya ikan itu mati dan terapung di atas air, ia tidak harus dimakan. Ini berdasarkan hadis daif daripada Jabir yang telah diriwayatkan oleh Abu Daud dan Ibn Majah yang bermaksud: “Haiwan yang tiba di daratan disebabkan air pasang surut, maka makanlah ia, tetapi yang mati di dalam laut dan terapung, jangan kamu memakannya” .

2. Jumhur ulama’ dan selain daripada ulama’ aliran mazhab Hanafi berpendapat: Haiwan air seperti ikan, ketam, memerang dan khinzir al-ma’ (capybara), halal dan harus dimakan tanpa perlu disembelih walaubagaimana cara sekalipun binatang-binatang tersebut mati sama ada dengan sebab perlanggaran dengan batu, atau terkena pukulan nelayan, atau mati disebabkan air surut, tenggelam atau timbul. Akan tetapi, sekiranya terapung di atas air, dan dibimbangi boleh membawa penyakit, ia diharamkan disebabkan boleh membawa kemudharatan.

Kecuali Imam Malik, beliau menyatakan makruh terhadap khinzir al-ma’ (capybara/water hog) dengan katanya: Kamu sendiri telah menamakannya khinzir. Berkata Ibnu al-Qasim: Saya menjauhinya tetapi saya tidak menyatakannya haram.

Manakala Haiwan Darat: ialah haiwan yang hanya hidup di daratan sahaja. Ia terbahagi kepada tiga kategori:

Pertama: Haiwan yang tidak mempunyai darah seperti belalang, lalat, semut, lebah, cacing, kumbang, lipas, kala-jengking, serangga yang mempunyai racun, dan yang seumpama dengannya, tidak halal dimakan kecuali belalang sahaja. Ini kerana binatang-binatang tersebut terdiri daripada binatang yang kotor , dan jiwa yang suci sudah tentu akan menjauhinya. Dalam hal ini Allah swt telah berfirman yang bermaksud: “dan mengharamkan bagi mereka segala yang buruk(kotor)”. (Surah al-A’raf , 7:157) . Ulama’ aliran mazhab Maliki mensyaratkan agar menyembelih belalang, manakala bangkai belalang adalah haram di sisi mereka kerana hadis yang menyatakan tentang keharusannya itu adalah hadis daif. Manakala Ulama’ aliran mazhab Hanafi yang tidak membenarkan mentakhsiskan al-Quran dengan Sunnah, mereka menyatakan: sesungguhnya yang mentakhsiskan bangkai ikan ialah firman Allah yang bermaksud: “Dihalalkan bagimu binatang buruan laut dan makanan (yang berasal) daripada laut”. (al-Maidah, 5:96) .

Kedua: Binatang yang darahnya tidak mengalir seperti ular, cicak, semua serangga, hama daripada tikus, kutu sengkenit , landak, dan dhab (biawak pasir): haram dimakan kerana kotor, disamping mempunyai racun dan kerana Rasulullah saw telah memerintahkan agar dibunuh binatang-binatang tersebut. Ulama’ aliran mazhab Hanafi telah mengharamkan dhob (biawak pasir) kerana Rasulullah pernah melarang Saidatina Aisyah daripada memakannya. Manakala jumhur ulama’ pula, mereka telah mengharuskan dhob berdasarkan pengakuan nabi saw ketika dimakan dhob di hadapan Baginda. Ulama’ aliran mazhab Syafie mengharuskan makan landak.

Ketiga: Binatang yang darahnya mengalir: Ia terbahagi kepada dua kategori iaitu sama ada jinak atau liar. Binatang ternakan yang jinak halal dimakan secara ijma’ seumpama unta, lembu, dan kambing. Diharamkan makan baghal dan keldai, manakala daging kuda diharuskan memakannya tetapi ia dianggap sebagai makruh tanzih di sisi Abu Hanifah, kerana kuda digunakan untuk tunggangan dan kenderaan jihad. Pendapat yang masyhur di sisi Ulama’ aliran mazhab Maliki pula ialah haram memakan daging kuda.

Diharamkan makan binatang jinak (peliharaan) yang buas iaitu anjing dan kucing.

Manakala binatang liar: Menurut pandangan jumhur ulama’ kecuali Imam Malik, diharamkan setiap binatang buas yang mempunyai taring, dan setiap burung yang mempunyai kuku yang mencengkam; kerana binatang-binatang ini memakan bangkai. Di sisi Imam Malik daging binatang liar adalah makruh, dan diharuskan di sisinya burung yang mempunyai kuku yang mencengkam berdasarkan zahir ayat al-Quran yang bermaksud: “Katakanlah: Tiadalah aku peroleh dalam wahyu yang diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya…”.(al-An’am, 6:145)


[1] Bahirah: Unta betina yang telah beranak lima kali, dan anak yang kelima itu jantan, lalu unta betina itu dibelah telinganya, dilepaskan, tidak boleh ditunggangi lagi dan tidak boleh diambil susunya.

[2] Sa’ibah: Unta betina yang dibiarkan pergi begitu sahaja lantaran sesuatu nazar. Contohnya, jika seseorang Arab Jahiliyyah itu akan melakukan suatu perjalanan yang berat, maka dia biasa bernazar akan menjadikan untanya sa’ibah apabila maksud perjalanannya berhasil dan selamat.

[3] Wasilah: Seekor domba betina (kibasy) melahirkan anak kembar yang terdiri daripada jantan dan betina, maka yang jantan ini disebut wasilah, tidak disembelih tetapi diserahkan kepada berhala.

[4] Haam: Unta jantan yang tidak boleh diganggu gugat lagi, kerana telah dapat membuntingkan unta betina sebanyak sepuluh kali.

[5] Al-Feqh al-Islami wa Adillatuh, 3/678-687.

3 comments:

  1. A'ssalamualaikum ustaz.
    ada sorang kawan bertanya, macam mana kalau termakan daging khinzir tanpa sengaja. kawan sy ni mengajar di pedalaman sarawak dan secara tak sengaja makan hidangan ni. selepas tu br dia tahu ia adalah daging khinzir. Camne nk buat ustaz... kena samak ke mulut tu?

    ReplyDelete
  2. Waalaikumussalam...

    Sesuatu yang dilakukan tanpa sengaja tidak berdosa... dan tidak perlu samak mulut. Lain kali hendaklah berhati-hati agar sesuatu yang haram tidak menjadi darah daging

    ReplyDelete
  3. Assalamualaikum ustaz,saya berada di southern france,dan disini ada beberapa kedai daging yang di kendalikan olih orang2 Algeria Muslim.Natara daging lembu yang dijual ialah..daging anak lembu muda..bila saya amati dagingnya memang berbeza dgn daing biasa..bolih ustaz jelaskan anak lembu muda . terutama haulnya dan bentuk dan warna dagingnya..sebab bila saya lihat hati saya terimbau daging khinzir..nauzubillah..

    ReplyDelete