Followers

Monday, June 13, 2011

Hidup Secara Islam


Oleh: Ustaz Shauqi

Sudah tiba masanya untuk masing-masing merenung secara mendalam untuk kembali kepada penghayatan Islam dalam segenap aspek kehidupan. Umat Islam wajib kembali hidup secara Islam. Syeikh Fathi Yakan telah menggariskan beberapa perkara yang penting untuk dihayati agar dapat hidup secara Islam iaitu:

  1. Mengetahui tujuan hidup

Kehidupan yang songsang timbul akibat seseorang yang tidak mempunyai matlamat dalam kehidupan. Lalu mereka akan mencedok apa sahaja yang datang kepada mereka tanpa melihat baik buruknya. Sedangkan Allah SWT telah menyatakan dengan tegas dalam surah al-Zariyat ayat 56 tentang motif penciptaan manusia melalui firmanNya yang bermaksud: "Tidak Aku (Allah) ciptakan jin dan manusia kecuali supaya mereka mengabdikan diri kepadaKu". Justeru, apakah seseorang yang sudah akil baligh masih tidak mempunyai matlamat dalam kehidupan mereka untuk mengabdikan diri kepada Allah?

  1. Mengetahui nilai dunia berbanding akhirat

Kehidupan dunia hanyalah sementara. Kehidupan yang abadi ialah kehidupan di akhirat. Oleh itu, seorang muslim yang cerdik dan bijak ialah yang pandai menggunakan kesempatan hidup di dunia untuk kebahagiaan di akhirat. Apakah seseorang yang tanpa segan-silu melakukan maksiat semasa hidup di dunia akan memperoleh kebahagiaan di akhirat?

  1. Menyedari tentang kematian

Kematian ialah sesuatu yang pasti. Firman Allah dalam Surah al-Mulk ayat 2 bermaksud: "Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: Siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat)". Adakah para belia hari ini menyedari hakikat kematian yang tidak mengenal usia? Apakah para remaja yang mati dalam keadaan meneguk minuman najis yang memabukkan atau yang meniarap di atas motor yang dipecut laju sambil memadamkan lampu itu berkeyakinan bahawa mereka mati dalam keadaan 'husnul khatimah'?

  1. Mengetahui dan memahami hakikat Islam

Islam ialah agama ilmu. Orang yang berilmu sahajalah yang dapat merasai kehebatan nilai Islam, lantas tidak akan membuang masa mengejar keredhaan Allah. Manakala orang Islam yang Islamnya hanya pada nama yang tidak memahami hakikat Islam, nescaya akan tersasar jauh daripada kebenaran. Terdapat segelintir remaja lelaki dan wanita yang meninggalkan perintah Allah seperti solat, atau melakukan maksiat seperti tidak menutup aurat, lalu menyatakan bahawa Allah tidak melihat luaran, akan tetapi Allah melihat hati seseorang. Apakah orang sebegini memahami hakikat Islam? Apakah mereka tidak merenung sabda nabi S.A.W. yang bermaksud: "Sekiranya baik, baiklah keseluruhannya, dan sekiranya buruk, buruklah keseluruhannya, tidak lain dan tidak bukan itulah hati".

  1. Mengetahui hakikat jahiliah.

Saidina Umar pernah berkata: 'ikatan Islam akan terungkai satu persatu apabila wujud di dalam masyarakat Islam itu mereka yang sudah tidak mengenali Jahiliah'. Apakah umat Islam pada hari ini sudah tidak mengenali Jahiliah, sehingga ada yang sanggup menderhaka kepada ibubapa, mengunjungi pub, disko dan kelab malam, berhibur di luar batasan, berpelukan di antara lelaki dan wanita yang bukan mahram, berzina dan sebagainya?

Masanya sudah tiba untuk sama-sama merenung tanggungjawab dan amanah yang wajib ditunaikan sebagai seorang hamba Allah. Bukanlah masanya untuk umat Islam terus lena dan dibuai mimpi yang tidak berkesudahan sedangkan nilai dan ajaran Islam dilucut dan ditelanjangkan satu-persatu. Ibubapa wajib memberi perhatian kepada anak-anaknya yang masuk ke peringkat akil baligh akan tanggung jawab mereka sebagai hamba Allah. Masyarakat juga hendaklah prihatin dengan keadaan persekitaran agar busuknya bangkai maksiat itu tidak menerjah ke dalam hidung-hidung mereka.

1 comment:

  1. Assalaamualaikum Ust

    Boleh Ust sertakan matan untuk rangakaian kata2 Saiyyidina 'Umar ra.:

    "'ikatan Islam akan terungkai satu persatu apabila wujud di dalam masyarakat Islam itu mereka yang sudah tidak mengenali Jahiliah'"

    Terima kasih Ust

    Awang Ilham UPM

    ReplyDelete