Wednesday, June 8, 2011

Memahami Keutamaan


Masyarakat Islam hendaklah berusaha untuk menilai kembali dari sudut ‘keutamaan’ dalam kehidupan ini. Menjadi suatu kerugian yang amat dahsyat apabila nilai keutamaan diabaikan. Akibatnya seseorang itu bersungguh-sungguh melakukan sesuatu yang kurang penting dengan meninggalkan sesuatu yang lebih penting dan utama. Contoh mudahnya ialah betapa ramai masyarakat kita yang berduyun-duyun untuk ke masjid menunaikan solat sunat hari raya, namun dalam masa yang sama terdapat dalam kalangan mereka yang sewenang-wenangnya meninggalkan kefardhuan solat lima waktu. Manakah yang lebuh utama… solat raya atau solat subuh? Kalau penekanan terhadap penilaian keutamaan difokuskan, sudah tentu mereka yang berjamaah menunaikan solat sunat hari raya tidak akan melepaskan peluang berjamaah menunaikan solat lima waktu kerana keyakinan yang mendalam bahawa solat fardhu lima waktu itulah yang lebih utama.

Akan tetapi, akibat tidak memahami keutamaan, atau sengaja tidak mahu faham, maka banyak perkara yang dilakukan di dalam masyarakat Islam tidak bertepatan dengan ‘keutamaan’ mengikut kehendak syarak. Prof Sheikh Yusuf al-Qaradawi dalam kitabnya ‘fi fiqh al-awlawiyyat’ telah menyatakan betapa sikap umat Islam dalam dunia Islam pada hari ini yang begitu ‘dangkal’ dari sudut memahami dan menunaikan keutamaan dalam masyarakat dan Negara.

Prof Sheikh Yusuf al-Qaradawi telah membawakan contoh betapa akibat tidak memahami keutamaan menyebabkan dunia Islam pada hari ini telah memberikan fokus yang lebih kepada aspek hiburan dan sukan melebihi aspek pendidikan dan pertumbuhan fikiran. Beliau berkata: “Sesiapa yang cuba mengamati gerak kehidupan di sekeliling masyarakat kita, sama ada dalam urusan kerohanian atau pun kebendaan, pemikiran atau pun sosial, ekonomi, politik dan sebagainya, pasti akan mendapati bahawa asas penilaian yang mereka guna untuk melakukan penilaian keutamaan terhadap sikap dan tindakan mereka sudah rapuh, pincang dan tidak seimbang lagi… perkara-perkara yang berkenaan dengan kesenian dan hiburan lebih diutamakan daripada urusan berkaitan dengan ilmu dan pendidikan…”. (sila rujuk fi fiqh al-awlawiyyat oleh al-Qaradawi, halaman 14-15)

Justeru, ganjaran serta sokongan yang begitu hebat dan padu diberikan kepada dunia hiburan dalam pelbagai bentuk sama ada wang ringgit, material dan sebagainya. Pelbagai anugerah pula diadakan dari semasa ke semasa untuk memberikan pengiktirafan kepada mereka yang terlibat dalam industri hiburan. Akan tetapi, dalam masa yang sama, sokongan terhadap para ilmuwan tidak ‘sehebat’ mana sekiranya dibandingkan dengan galakan dan sokongan terhadap insan seni. Orang terkenal yang menjadi pujaan masyarakat bukanlah para alim-ulama dan para ilmuwan, tetapi orang yang menjadi pujaan mereka ialah para artis, bintang filem, ahli sukan dan sebagainya. Manakala akhbar, majalah, televisyen dan radio juga memainkan peranan penting dengan lebih menonjolkan aspek hiburan daripada aspek keilmuan. Sehubungan dengan itu, ruangan khusus dalam akhbar utama negara memfokuskan perbincangan tentang artis dan dunia hiburan dengan begitu mendalam, namun ruangan khusus tidak pula disediakan untuk membincangkan dengan mendalam tentang ilmu dan ulama.

Selagi penilaian ‘keutamaan’ masih rapuh dalam diri individu, masyarakat dan Negara, maka selagi itulah impian untuk mewujudkan masyarakat ‘minda kelas pertama’ sebagaimana yang telah diwar-warkan oleh kerajaan akan hanya tinggal sebagai impian, angan-angan dan omongan kosong sahaja. Oleh itu, marilah sama-sama berusaha untuk membuat perubahan ke arah yang lebih ‘utama’ dalam kehidupan.

1 comment: