Wednesday, June 29, 2011

Rezeki diperoleh, pahala diraih



KITA tentu pernah menyaksikan segelintir orang kaya atau yang berada tetapi hidupnya tidak bahagia, resah, gundah gulana dan tidak tenteram. Malah tidak kurang juga yang ditimpa dengan pelbagai macam masalah kesihatan, kerosakan akhlak anak-anak dan rumah tangga yang kucar-kacir.

Kesemua kekusutan itu menggambarkan bahawa kebahagiaan yang dicari itu bukannya datang daripada limpahan harta kekayaan.

Hakikatnya, perlu kepada muhasabah dan menilai kembali sumber harta tersebut dan bagaimana ia dibelanjakan.

Lantas itu, wujud sungutan yang berbunyi: "Aku ni gaji besar tapi masih tidak rasa tenteram, rumah tangga pula sentiasa berantakan dan masih tidak cukup-cukup. Bukan itu sahaja, macam-macam masalah lain yang mendatang. Tetapi lihat si Ali itu, gajinya kecil tapi hidupnya tenang dan sentiasa dalam kecukupan. Betul-betul pelik lah!"

Perkara ini sebenarnya bukanlah sesuatu yang pelik. Tetapi lumrah berlaku dalam kehidupan seorang Muslim. Cuma kita umat-Nya kurang peka dengan peringatan Allah menerusi Kitab Suci al-Quran.

Firman Allah daripada surah at-Taubah ayat 24 yang bermaksud: Katakanlah (wahai Muhammad); jika bapa-bapa kamu, anak-anak kamu, saudara-saudara kamu, pasangan hidup kamu, kaum keluarga kamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu bimbang akan merosot dan rumah kediaman yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) lebih kamu cintai daripada menunaikan perintah) Allah dan Rasul-Nya dan daripada berjihad untuk agama-Nya maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusan-Nya (azab-seksa-Nya); kerana Allah tiak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka kepada perintah-Nya). (at-Taubah: 24)

Sementara itu, Allah berfirman yang bermaksud: Sesiapa yang mengerjakan amal yang soleh sama ada lelaki mahupun perempuan dalam keadaan mereka beriman maka sesungguhnya Kami akan berikan kepada mereka kehidupan yang baik (bahagia) dan sesungguhnya Kami akan berikan ganjaran pahala yang lebih baik daripada apa yang mereka telah kerjakan (di dunia dahulu). (an-Nahl: 97)

Hal ini dibangkitkan oleh penceramah bebas, Mohd. Fauzi Mustaffa semasa membentangkan kertas kerja yang bertajuk, Harta: Antara Berkat dan Untung pada bengkel Zakat Perniagaan 2011 anjuran bersama Pusat Pungutan Zakat Wilayah-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) dan Persatuan Perdagangan dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur baru-baru ini.

Fauzi yang merupakan Setiausaha Zakat Yayasan Diraja Sultan Mizan turut menegaskan, pengurusan harta merupakan satu topik penting dalam al-Quran dan as-Sunnah.

Perbahasan tentang harta dan cara menguruskannya dalam kitab-kitab fikah ketara seawal perbincangan berkenaan rukun Islam ketiga iaitu zakat.

"Harta adalah milik Allah secara mutlak. Apa yang ada di tangan manusia hanyalah pinjaman untuk digunakan pada jalan Allah sahaja. Sayangnya, ramai yang lupa dan beranggapan merekalah empunya sebenar harta yang dicari sedangkan terpikul amanah besar di sebalik pemilikan tersebut.

"Ketelitian ajaran Islam berkenaan dengan harta meliputi setiap tahap dan proses iaitu peringkat mencari, memiliki dan seterusnya menyahmilikan harta.

"Secara mudahnya Islam menitikberatkan konsep halal dalam perolehan dan perbelanjaan harta dan konsep infak fi sabilillah semasa pemilikan harta," kata Fauzi.

Menyentuh galakan Islam agar umatnya mencari keuntungan dalam kegiatan ekonomi, Fauzi berkata ia sebenarnya perlu diperhalusi.

"Mencari kerugian dan meninggalkan keuntungan adalah bertentangan sama sekali dengan doktrin Islam. Namun kejayaan dan keuntungan dalam Islam bukanlah berasaskan keuntungan dan pengumpulan kekayaan semata-mata. Tetapi ditakrifkan sebagai keredaan Allah itu ialah dengan memperhambakan keuntungan yang dimiliki kepada jalan-jalan Allah.

"Sejarah telah mencatatkan bahawa Rasulullah dalah seorang ahli perniagaan yang jujur dan amanah sehingga mendapat keuntungan yang besar, sekali gus kredibiliti baginda itu memikat hati Khadijah, seorang saudara yang memiliki kemuliaan dan harta.

"Begitu juga dengan para sahabat Rasulullah yang lain yang merupakan ahli perniagaan yang berjaya seperti Abdul Rahman bin Auf, Othman bin Affan dan ramai lagi. Mereka ini berkongsi keuntungan dalam perniagaan menerusi jalan-jalan infakfi sabilillah," katanya lagi.

Menjelaskan konsep infak kata Fauzi, ia bermaksud membelanjakan harta untuk melaksanakan perintah Allah. Konsep infak fi sabilillah dalam pengurusan harta merupakan satu bidang yang amat luas dan mempunyai impak yang besar dalam pembentukan dan pembinaan sosio-ekonomi ummah.

Menurut Fauzi lagi, sebenarnya terdapat puluhan ayat al-Quran yang menyentuh tentang kepentingan, gesaan dan kelebihan infak fi sabilillah.

Salah satu ayat yang berupa perintah mengenai amalan berinfak ialah: Dan belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) agama Allah, dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan (dengan bersikap bakhil dan berbuat baiklah kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berbuat baik. (al-Baqarah: 195)

Sementara itu, penceramah bebas, Mohd. Sukki Othman dalam kertas kerjanya bertajuk Konsep Berniaga Dalam Islam: Amalan Rasulullah SAW pula menjelaskan, terdapat dua jenis perniagaan yang perlu diketahui di dalam kehidupan ini iaitu; perniagaan sesama manusia dan perniagaan dengan Allah.

Katanya, hasil gabungan dua jenis perniagaan itu akan melahirkan peribadi-peribadi ulung seumpama sahabat nabi. Inilah tokoh korporat yang mahu dibentuk oleh al-Quran. Bukannya ahli korporat yang rakus menimbun kekayaan tanpa memikirkan kesengsaraan orang lain.

"Sudahlah tidak mengeluarkan zakat jauh lagi untuk bersedekah. Tidak memikirkan akaun fi sabilillah walaupun memiliki pelbagai akaun bank dan saham-saham terkemuka.

"Hakikatnya, kewujudan watak-watak korporat seumpama ini tidak akan menguntungkan masyarakat, sebaliknya akan mengundang masalah seperti; salah guna kuasa, rasuah dan banyak lagi," katanya memulakan bicara pagi itu.

Ujar Mohd. Sukki lagi, untuk berjaya dalam perniagaan faktor paling utama yang perlu ada pada setiap yang ingin bergelar usahawan adalah ilmu pengetahuan.

"Sekiranya berbekalkan sekadar modal dan usaha, ia tidak mencukupi. Oleh itu ilmu yang dimaksudkan di sini ialah dua bentuk ilmu iaitu; ilmu tentang perniagaan. Ini merangkumi ilmu pengurusan perniagaan, pemasaran, perakaunan, sumber manusia, gelagat pengguna, pengurusan kredit dan seumpamanya.

"Ilmu kedua adalah ilmu tentang halal dan haram dalam perniagaan. Kesempurnaan ilmu kumpulan pertama mungkin sekadar menjamin kejayaan di dunia.

"Oleh itu, para ulama memberikan perhatian di mana ilmu ini lebih dikenali di dalam disiplin ilmu fiqh (fikah) sebagai fiqh al-buyu yang bermaksud fikah jual beli atau mutakhir ini dikenali sebagai fiqh al-muamalat, yang mana kepentingan mempelajari serta menguasai ilmu ini setara dengan ilmu-ilmu fardu ain," tegasnya.

Seperkara yang sering dilepas pandang ramai daripada usahawan Muslim kata Mohd. Sukki adalah aspek memperbetulkan niat dalam melakukan berniaga. Selama ini, orang hanya pentingkan niat dalam urusan kehidupan seharian berbanding bidang perniagaan.

"Jika tiada walau secebis niat untuk membayar zakat, bersedekah dan berinfakfi sabilillah maka dia adalah seorang peniaga yang tamak dan tidak akan memperoleh apa-apa pahala di sisi Allah.
"Walaupun niat kelihatan tidak penting dalam perniagaan kerana ia tidak berkaitan dengan untung dan rugi di dunia tetapi sebenarnya ia amat berpengaruh dengan untung dan rugi di akhirat. Formulanya di sini adalah niat boleh menukarkan sesuatu perniagaan dunia menjadi perniagaan akhirat.

"Namun kaedah ini bukanlah satu kaedah mutlak. Ia hanya terpakai kepada perniagaan yang betul-betul beroperasi menurut kehendak syarak. Contohnya, berniaga dengan niat yang baik iaitu untuk menyara keluarga, keluarkan zakat dan bersedekah tetapi pada masa yang sama, terlibat dengan penipuan, maka dia tetap tidak mendapat pahala walaupun niatnya baik," tegas Mohd. Sukki.

Kemuncak kepada bengkel yang bermatlamat mengenalpasti potensi bagi menyebarluaskan usaha dakwah khususnya kepada para usahawan di bawah naungan Perdasama dalam menunaikan kewajipan berzakat adalah perkongsian pengalaman dengan pelakon, pengarah dan usahwan, Rosyam Noor mengenai perubahan dalam kehidupannya sebaik melaksanakan tanggungjawab berzakat secara istiqamah.

"Kalau hendak maju kita kena bayar zakat. Insiden lupa membayar zakat fitrah pada tahun 2002 merupakan titik permulaan kepada kesedaran atas kealpaan terlalu mengejar habuan duniawi.

"Sejak itu, saya bertekad tidak mengulangi dan ia sesuatu yang terkesan di dalam diri saya.

"Alhamdulillah, sejak itu saya sentiasa melaksanakan bukan hanya zakat fitrah tetapi zakat keuntungan perniagaan. Mungkin ramai yang tidak yakin hasil daripada menunaikan zakat itu tetapi percayalah, saya sendiri alami pelbagai keberkatan dan kelebihan bagi kita yang mengeluarkan zakat.

"Janji-janji Allah sama ada daripada al-Quran mahupun ditegaskan dalam as-Sunnah itu bukan omong kosong. Sekarang kalau saya tidak mengeluarkan zakat dan bersedekah, hati saya tidak aman dan tenteram sehinggalah saya melaksanakannya," kata Rosyam yang berhasrat untuk menaja pelajar tahfiz.

Turut hadir ialah Pengerusi Operasi PPZ-MAIWP, Abdul Hakim Amir Osman dan Presiden Perdasama, Datuk Moehamad Izat Emir.

Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0607&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_06.htm

Tarikh Disiarkan:
7 Jun, 2011

No comments:

Post a Comment