Followers

Thursday, July 21, 2011

Sejarah Puasa


Oleh: Ustaz Shauqi

Ibadat yang disyariatkan oleh Allah SWT wujud dalam pelbagai bentuk. Antaranya ada dalam bentuk perbuatan seperti solat, zakat serta haji dan ada dalam bentuk peninggalan seperti puasa. Puasa secara zahirnya menguji tahap kesabaran manusia serta kehendak nafsu syahwatnya. Namun jika dikaji secara mendalam, ia mempunyai nilai-nilai dan elemen-elemen yang dapat membentuk kerohanian manusia sejak zaman berzaman. Puasa tidak hanya bermula pada syariat Junjungan Besar Nabi kita Muhammad SAW. Hal ini disebut dengan jelas di dalam kefardhuan puasa yang terdapat di dalam surah al-Baqarah ayat ke-183 yang lalu iaitu: “…kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang yang dahulu daripada kamu... .”.

Ayat tersebut menyatakan bahawa puasa yang difardhukan ini sama dengan puasa yang telah difardhukan ke atas umat-umat terdahulu. Ini membuktikan bahawa amalan puasa adalah satu ibadat yang sudah wujud di dalam syariat-syariat terdahulu. Pendetailan perkara ini dapat kita lihat di dalam hadith-hadith Rasulullah SAW, antaranya:

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ : إِنَّ أَحَبَّ الصِّيَامِ إِلَى اللَّهِ صِيَامُ دَاوُدَ وَأَحَبَّ الصَّلاَةِ إِلَى اللَّهِ صَلاَةُ دَاوُدَ عَلَيْهِ السَّلاَمُ كَانَ يَنَامُ نِصْفَ اللَّيْلِ وَيَقُومُ ثُلُثَهُ وَيَنَامُ سُدُسَهُ وَكَانَ يَصُومُ يَوْمًا وَيُفْطِرُ يَوْمًا. [i]

رواه مسلم

Maksud: Diriwayatkan daripada Abdullah ibn `Amr r.a. katanya, sabda Rasulullah SAW, “Sesungguhnya puasa yang paling disukai Allah ialah puasa (Nabi) Daud dan solat yang paling Allah sukai ialah solat Daud (a.s). Beliau tidur pada separuh malam, berqiamullail pada sepertiga malam dan tidur (semula) pada seperenam malam. Beliau berpuasa sehari dan tidak berpuasa sehari (yang lain pula).

(Riwayat Muslim)

Al-Qurtubiy semasa mentafsirkan ayat ini menyatakan bahawa puasa telah disyariatkan kepada umat Nabi Musa dan Nabi Isa `Alahimassalam, tetapi kemudiannya umat para nabi tersebut iaitu Bani Israel telah mengubah dengan menambah sepuluh hari lagi, kemudian mereka menambah lagi seupuluh hari sebagai membayar nazar pendita yang telah sembuh daripada sakit maka jadilah puasa orang-orang Nasrani lima puluh hari.[ii]

Hikmah Allah SWT menceritakan ibadat puasa yang telah difardhukan ke atas umat-umat terdahulu kerana dengan perkhabaran tersebut umat Muhammad SAW akan merasakan mereka tidak keseorangan dalam ibadat ini, malah mereka telah didahului oleh umat-umat yang sebelum. Justeru, ia akan dapat memotivasikan umat Islam dalam melaksanakan puasa dengan penuh rasa kebersamaan.

Selain itu, ayat ini juga dimulakan dengan ungkapan seruan yang bermaksud: ‘Wahai orang yang beriman!’. Seruan ini merupakan perisytiharan keimanan kepada Allah yang menjadi asas kepada ibadat puasa iaitu salah satu rukun Islam utama. Orang yang benar-benar beriman akan mudah menerima segala perintah dengan yakin dan taat.


[i] Muslim. Sahih Muslim, kitab al-siyam, bab al-nahy `an siyam al-dahr liman tadarrara bih aw fawata bih haqqan aw lam yuftir. Jilid 2. Hlm. 182.

[ii] Al-Qurtubiyy, Abu ‘Abd Allah Muhammad bin Ahmad. 1384h/1964M, al-Jami` li Ahkam al-Qur’an. Tahqiq Ahmad al-Barduniy & Ibrahim Atfish. Jilid 2. Kaherah: Dar al-Kutub al-Misriyyah. Hlm. 274.

1 comment: