Oleh: Mohd Sukki Othman (Ustaz Shauqi)
Semasa menjalani ibadah puasa di bulan Ramadhan, terdapat umat Islam yang tidak sabar-sabar menunggu kedatangan 1 Syawal. Golongan tua dengan persepsinya yang tersendiri terhadap hari raya, dan begitu juga dengan golongan muda dan kanak-kanak. Biasanya golongan tua dan yang sudah berumahtangga akan menjadikan hari raya ini sebagai hari yang penuh kegembiraan dengan segala peralatan rumah yang baru dan serba lengkap.
Ada yang sanggup berhutang demi memuaskan nafsu pada hari raya. Justeru, tidak hairanlah apabila berada di penghujung Ramadhan iaitu pada sepuluh hari yang terakhir, warga Islam di Malaysia biasanya akan sibuk dengan persiapan raya. Gedung-gedung pakaian, kedai perabot, dan supermarket akan dipenuhi dengan ribuan manusia yang membeli belah dan membuat persiapan untuknya.
Golongan muda pula biasanya akan menjadikan hari raya sebagai hari yang penuh sukaria dengan berkumpul bersama rakan taulan dan menonton wayang bersama. Ada pula yang mengambil kesempatan pada hari raya untuk pergi berkelah bersama teman-teman. Manakala kanak-kanak pula mempunyai agenda yang tersendiri pada hari raya iaitu dengan memikirkan cara yang terbaik untuk memperoleh ‘duit raya’ sebanyak mungkin.