Friday, August 12, 2011

Hikmah Penurunan al-Quran & Lailatul Qadr


Oleh: Mohd Sukki Othman (Ustaz Shauqi)
Al-Quran adalah mukjizat teragung yang diturunkan oleh Allah kepada Nabi Muhammad s.a.w sebagai hidayah, panduan dan pedoman dalam kehidupan manusia. Ini dijelaskan menerusi firman Allah dalam surah al-Isra’: 9.
Menurut Sheikh Manna’ Qattan dalam bukunya Mabahith fi ‘Ulum al-Quran, proses penurunan al-Quran berlaku dalam dua peringkat. Peringkat pertama ia diturunkan daripada luh mahfuz ke langit dunia secara sekali gus. 


Peringkat kedua pula diturunkan daripada langit dunia kepada Nabi s.a.w secara beransur-ansur melalui perantaraan malaikat Jibril as. al-Quran yang diturunkan secara beransur-ansur ini mengambil masa selama hampir 23 tahun.
Ayat pertama diturunkan ialah ayat 1-5 daripada Surah al-‘Alaq yang diturunkan pada 17 Ramadan tahun 610 Masihi di Gua Hira’.
Ayat terakhir ialah ayat 281 surah al-Baqarah yang diturunkan sembilan malam sebelum kewafatan Rasulullah.
Setiap orang Islam mesti berusaha sedaya upaya untuk membaca, memahami, menghayati dan mempraktikkan keseluruhan isi kandungan al-Quran dalam kehidupan.
Dr. Solah Abdul Fattah al-Khalidi dalam bukunya Mafatih li al-Ta’amul ma’a al-Quran menyenaraikan beberapa tujuan utama al-Quran itu diturunkan. Antaranya ialah:
* Untuk mendapat hidayah daripada Allah.
* Untuk mewujudkan peribadi muslim yang unggul dan seimbang.
* Mewujudkan masyarakat Islam tulen.
* Sebagai senjata dalam menghadapi musuh-musuh Islam yang berusaha untuk menghancurkan Islam.
Untuk melihat bahawa kita benar-benar beriman dan yakin terhadap isi dan kandungan al-Quran tersebut perlulah, ada pada diri kita beberapa ciri sebagai tanda dan ukuran. Ciri-ciri yang dimaksudkan itu ialah:
* Hendaklah kita sentiasa membaca dan berusaha menghafalnya. Dengan membaca al-Quran ia dapat menambah kebersihan jiwa, ketenangan, keimanan dan ketaqwaan kepada Allah. Dengan membaca al-Quran itu juga, kita akan mendapat ganjaran pahala dan syafaat dari Allah, sebagaimana maksud sabda junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w: “Bacalah al-Quran, sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat sebagai syafaat kepada pembacanya”.
* Al-Quran itu hendaklah dibaca dengan tartil iaitu dengan bacaan yang terang, jelas dan betul mengikut ilmu tajwid.
* Hendaklah kita sentiasa meneliti, memahami kandungan dan pengertian yang disampaikan dalam al-Quran. Allah berfirman yang bermaksud: Maka adakah mereka sengaja tidak berusaha memahami serta memikirkan isi al-Quran? Atau telah ada di atas hati mereka kunci penutup yang menghalangnya daripada menerima ajaran al-Quran. (Muhammad: 24)
Al-Quran adalah gedung ilmu dan petunjuk yang benar. Ia merupakan khazanah ilmu yang mampu membentuk pemikiran serta akal manusia. Sebab itu apabila seseorang berfikir dengan berlandaskan al-Quran, maka ia menjadi satu pemikiran yang kukuh dan sepadu serta berjaya memimpin diri, keluarga, masyarakat dan negara ke arah yang diredai oleh Allah.
Apatah lagi pada bulan Ramadan ini, Allah menjanjikan pahala yang besar terutamanya pada Lailatul qadr iaitu malam yang padanya diturunkan al-Quran. Lailatul qadr merupakan peluang terbaik kita, oleh itu jangan sia-siakan peluang keemasan ini.
Mengenai persoalan mengapakah masih ramai hamba Allah yang masih memandang ringan kepada Lailatul qadr. Mungkin antara sebabnya ialah:
* Mereka mengidap penyakit lemah iman, kurang jelas tentang kebesaran dan kemuliaan serta ganjaran pahala pada malam al-Qadr, sebaliknya mereka lebih nampak besar perkara-perkara materialistik yang boleh didapati dengan segera di dunia ini.
* Selalu mengikut hawa nafsu sampai mereka tidak sudi untuk melakukan ibadat pada malam-malam 10 akhir Ramadan. Kerana nafsu ingin berehat, menonton televisyen, berbual-bual kosong, mahu bersama-sama bantal, tilam dan kain selimut.
Ada pula yang sibuk membeli-belah untuk persiapan raya sampai terlupa ganjaran yang disediakan oleh Allah pada malam al-qadr.
* Penyakit panjang angan-angan. Mereka berangan-angan akan hidup 100 tahun lagi yang menyebabkan mereka membiarkan malam-malam 10 terakhir Ramadan berlalu begitu sahaja tanpa diisi dengan amal ibadat kepada Allah.
Marilah kita sama-sama menerima bonus Allah yang berupa nikmat Lailatul qadr dengan penuh kesyukuran dan ikhlas hati. Kita sahut panggilan surah al-Qadr ini dengan azam melaksanakan sebanyak-banyak ibadat pada 10 malam tersebut.
Caranya, melakukan solat fardu berjemaah, solat sunat tarawih dan witir, membanyakkan bacaan al-Quran, mengulangi membaca surah al-Ikhlas, berzikir dan berselawat kepada junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w dengan penuh harapan semoga kita termasuk di dalam golongan hamba-hamba Allah yang soleh

1 comment:

  1. salam ustaz ana nak tanya apa beza nuzul quran dan lailatul al-qadr?kedua-duanya perihal turunnya al quran

    ReplyDelete