Sunday, August 14, 2011

Penurunan al-Quran

Oleh: Mohd Sukki Othman (Ustaz Shauqi)
BULAN Ramadan yang berkat ini, banyak keistimewaannya. Antaranya ialah Allah menurunkan al-Quran pada bulan ini iaitu pada malam lailatul qadar.
Firman Allah dalam Surah al-Qadr maksudnya: Sesungguhnya Kami (Allah) telah menurunkan al-Quran pada malam al-qadr (lailatul qadar), dan tahukah kamu apakah malam lailatul qadar itu?. Malam lailatul qadar lebih baik dari seribu bulan. 


Al-Quran merupakan mukjizat teragung yang diturunkan oleh Allah kepada Nabi Muhammad s.a.w. sebagai hidayah, panduan dan pedoman dalam kehidupan manusia.
Firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 185 maksudnya : Bulan Ramadan, bulan diturunkan padanya al-Quran, memberi hidayah (petunjuk) bagi manusia dan penjelasan-penjelasan bagi petunjuk itu.
Firman-Nya lagi dalam Surah al-Isra' ayat 9, maksudnya : Sesungguhnya al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang benar (Islam), dan memberikan berita yang menggembirakan kepada orang yang beriman yang mengerjakan amalan soleh, dan mereka akan memperoleh pahala yang banyak.
Penurunan al-Quran sebenarnya telah memberikan sejuta rahmat kepada manusia.
Imam ar-Razi dalam kitab tafsirnya menjelaskan, bahawa al-Quran itu adalah penawar kepada penyakit rohani dan jasmani.
Namun yang menyedihkan, terdapat ramai yang masih tidak menghargai al-Quran dan masih terdapat mereka yang memandangnya sebagai sesuatu yang tidak bernilai.
Kalaulah diberi pilihan antara wang ringgit dengan al-Quran, rasanya ramai yang memilih wang daripada al-Quran.
Kalau pun ada yang mengatakan bahawa ia memilih al-Quran, mungkin ia ibarat menanam tebu di bibir mulut tetapi hakikatnya adalah yang sebaliknya.
Sehubungan itu, kita wajar bermuhasabah adakah kita benar-benar menghayati kepentingan al-Quran dalam kehidupan kita atau sebaliknya?.
Masyarakat Islam hari ini masih ketinggalan jauh daripada menghayati isi kandungan al-Quran dengan sebenar-benarnya.
Justeru, kita dapati al-Quran hanya akan berkumandang apabila berlakunya kematian, atau ia hanya akan dialunkan pada pembukaan majlis-majlis tertentu sahaja. Selepas itu, al-Quran kembali ditinggalkan.
Inilah fenomena yang sepatutnya diubati agar ia tidak berterusan. Setiap orang Islam mesti berusaha sedaya upaya untuk membaca, memahami, menghayati dan mempraktikkan keseluruhan isi kandungan al-Quran dalam kehidupan.

No comments:

Post a Comment