Dari sudut kesihatan, puasa dapat merehatkan perut dan membetulkan alat penghadam, mengurangkan kegemukan serta menghilangkan lemak di badan yang boleh menjauhkan penyakit seperti kencing manis, darah tinggi, lemah jantung dan sebagainya.
Justeru, Rasulullah s.a.w. bersabda, maksudnya: berpuasalah, nescaya kamu akan sihat.
Seluruh pakar perubatan bersetuju menyatakan bahawa kantung perut yang penuh disebabkan banyak makan adalah punca utama kepada bermacam-macam penyakit.
Maka puasalah satu-satunya cara yang dapat memelihara anggota badan daripada semua penyakit kerana melaluinya unsur-unsur racun di dalam makanan dapat dineutralkan setelah berpadu antara satu sama lain.
Seorang pakar dari Barat menyatakan bahawa setiap orang perlu menjalani tempoh berpuasa walaupun tidak dikesan menghadapi sebarang penyakit.
Ini kerana ia dapat membersihkan badan daripada racun-racun yang berkumpul di dalamnya. Dr. Hisyam Ibrahim aI-Khatib menjelaskan bahawa puasa juga memberi peluang kepada organ-organ di dalam tubuh badan untuk memperbetulkan semula sistem penghadaman.
Pengkajian ini diteruskan lagi apabila didapati punca berlakunya penyakit-penyakit adalah disebabkan oleh pengambilan makanan yang tidak terkawal atau lebih daripada kadar keperluan badan.
Ini menyebabkan sistem yang bertindak mengawal badan terpaksa bekerja lebih kuat bagi mengimbangi keseluruhan pergerakan badan.
Seterusnya penyakit-penyakit seperti tekanan darah tinggi, pertambahan lemak dan peningkatan gula dalam darah amat mudah menyerang dan melemahkan kekuatan badan individu tersebut.
Sesungguhnya tiada ubat yang khusus bagi memulihkannya melainkan dengan berpuasa kerana dengannya wujudlah satu sistem yang baru dalam badan yang bertindak mematikan sel-sel lama untuk digantikan dengan sel-sel baru yang lebih baik dan bertenaga.
Pakar perubatan Islam, Dr. Samir Abbas Malik Abdul Aziz dari Arab Saudi melakukan eksperimen terhadap 21 penduduk tentang kesan puasa pada kesuburan lelaki.
Eksperimennya ini membuktikan puasa adalah satu cara yang amat berkesan untuk menghasilkan benih dan pertumbuhan kesuburan sebagaimana berkesannya puasa dalam perkembangan bagi pertumbuhan badan seseorang.
Dari sudut kesuburan seorang wanita pula, puasa juga merupakan satu cara yang dapat mengurangkan kesan hormon broloktin yang menyebabkan kemandulan.
Di samping itu, puasa dapat mengawal tubuh badan untuk mengambil makanan yang diperlukan sahaja, seterusnya melambatkan proses penuaan, membantu proses perkumuhan, menyingkirkan racun di dalam badan dan menambahkan rasa nikmat makanan setelah berjaya menahan diri daripada makan.
No comments:
Post a Comment