Tuesday, August 9, 2011

Ramadan: Bulan Kemenangan


BULAN Ramadan mengandungi keberkatan yang berlimpah ruah dan mencurah-mencurah. Di samping itu, bulan Ramadan juga mengingatkan kita kepada beberapa peristiwa penting di dalam kalendar Islam. Peristiwa itu ialah kemenangan umat Islam dalam menghadapi musuh-musuh Islam sejak lebih daripada 14 kurun yang lalu.


Kemenangan umat Islam adalah berbekalkan senjata keimanan dan ketakwaan ke hadrat Allah.
Bulan Ramadan ini juga mengingatkan kita bagaimana seorang ayah dan seorang anak yang berlumba-lumba untuk ke medan jihad dan menyaksikan bagaimana seorang pahlawan yang tidak sedikit pun gentar dengan musuh demi untuk mencari reda Allah dan mengecapi nikmat syurga-Nya.
Begitu juga umat Islam yang amat kasih dan sayang terhadap saudaranya dan sahabatnya yang sama-sama berada di dalam saf perjuangan Islam.
Peperangan Badar Al-Kubra
Pada Ramadan tahun kedua Hijrah, bermulalah episod kemenangan umat Islam ke atas musuh-musuh Islam. Pada hari tersebut dapat disaksikan bagaimana tumbangnya tentera-tentera kafir yang gagah perkasa kepada tentera-tentera Islam di Badar.
Di antara pengajaran dan iktibar yang dapat dicedok dan dikutip daripada peristiwa peperangan Badar Al-Kubra ini ialah:
* Kepimpinan yang cekal dalam menghadapi situasi yang bahaya dan mencabar.
Di dalam peperangan Badar ini, nisbah tentera Islam amat sedikit jika dibandingkan dengan tentera kuffar iaitu nisbahnya 1:3. Kemenangan adalah perlu dan amat penting bagi menjamin penerusan agenda perjuangan umat Islam.
Justeru, Nabi s.a.w telah bertindak cemerlang sebagai ketua yang memimpin tentera umat Islam. Di samping itu Baginda tidak lupa memberi ingatan kepada para sahabat untuk menanamkan keyakinan dengan pertolongan daripada Allah sebagaimana firman-Nya: Dan Kami (Allah) berkewajipan untuk menolong orang yang beriman. (ar-Rum: 47)
* Bersatu hati dalam menghadapi dan menewaskan kemungkaran.
Orang Muhajirin dan Ansar bersatu hati dan bersepakat untuk keluar menghadapi tentera-tentera Quraisy di dalam Peperangan Badar ini. Kerjasama dan perpaduan erat antara Muhajirin dan Ansar adalah hasil persaudaraan yang dipupuk oleh Rasulullah di antara dua golongan ini semasa Nabi mula-mula sampai di Madinah lagi.
Pembukaan Kota Mekah
Pada hari ke-10 Ramadan tahun kelapan Hijrah musuh dapat dikalahkan dan seterusnya umat Islam menguasai semula kota Mekah yang sebelumnya umat Islam dihina, dicaci dan diusir daripadanya.
Apabila Rasulullah sampai di Mekah, Baginda terus mengunjungi Baitullah dan seterusnya menghancurkan berhala-berhala yang berada di sekeliling Kaabah yang menjadi punca kepada berlakunya syirik. Kemudian Baginda bersabda: Dan katakanlah: Yang benar telah datang dan yang batil telah lenyap. Sesungguhnya yang batil itu adalah sesuatu yang pasti lenyap.
Peperangan al-Buwaib
Peperangan Buwaib adalah peperangan yang berlaku antara umat Islam dengan tentera-tentera Farsi semasa zaman pemerintahan Saidina Umar al-Khattab tahun 13 Hijrah. Di dalam peperangan ini 100 muslim telah syahid manakala 1,000 musuh Islam terkorban.
Peperangan al-Mansourah
Pada bulan inilah tentera-tentera Islam dapat menewaskan tentera-tentera salib. Peperangan ini berlaku pada tahun 647 Hijrah. Ketika itu tentera salib dengan bilangan tenteranya yang ramai dipimpin oleh Raja Perancis Louis IX dan mempunyai senjata-senjata peperangan yang begitu canggih. Tentera Islam pula dipimpin oleh Fakhruddin Ibnu Syeikhul Islam al-Juwaini.
Peperangan yang berlaku pada bulan Ramadan ini menyaksikan kemenangan Islam yang berjaya menawan 100,000 tentera salib dan berjaya membunuh ribuan daripada mereka. Raja Perancis Louis IX juga ditawan dan dipenjarakan di al-Mansourah.
‘Ain Jalut
Peperangan ‘Ain Jalut berlaku pada Ramadan tahun 658 Hijrah. Sebelum itu tentera-tentera Tatar telah menguasai banyak wilayah-wilayah China dan Rusia dan kemudiannya menguasai Iran. Kemudian mereka juga menawan Baghdad dan bertindak ganas dengan membakar dan menghancurkan Kota Baghdad.
Setelah itu mereka menghantar utusan ke Mesir meminta rajanya, Saifuddin Qatar menyerah. Raja Mesir kemudian menghantar tentera-tentera Islam untuk berhadapan dengan tentera-tentera Tatar ini di suatu tempat yang bernama ‘Ain Jalut. Saifuddin berada di tengah-tengah tenteranya seraya membaca ayat-ayat suci al-Quran. Kemudian tentera-tenteranya bersama-sama mengalunkan ayat-ayat suci al-Quran dengan penuh semangat.
Dengan keyakinan kepada Allah mereka menggempur tentera Tatar yang mula menjadi kacau-bilau dan tidak tentu arah setelah melihat semangat jihad yang begitu utuh pada tentera-tentera Islam.
Kesimpulan
Sebenarnya banyak lagi peristiwa kemenangan umat Islam yang berlaku pada bulan Ramadan ini. Namun yang penting bagi kita umat Islam hari ini ialah kita mengembalikan kegemilangan umat Islam dengan kita menghayati bulan Ramadan yang penuh berkat ini.

No comments:

Post a Comment