Friday, September 30, 2011

Jenayah Takzir

Oleh : Ustaz Shauqi

Takzir pada bahasa bermaksud mendidik (التأديب) dan pada istilah syarak bererti mendidik seseorang yang melakukan perbuatan yang dilarang oleh syarak dan tidak ada hukuman tertentu bagi kesalahan-kesalahan takzir. Jadi kesalahan-kesalahan takzir adalah larangan syarak yang tidak ditentukan hukuman tertentu oleh syarak seperti berkhalwat dengan wanita bukan mahram, memaki hamun, berjudi dan sebagainya. Terpulang kepada pemerintah untuk mengenakan hukuman kepada pesalah berdasarkan kepentingan awam.

          Perbezaan antara hudud dan takzir ialah hukuman bagi kesalahan hudud telah ditentukan oleh syarak dan tidak boleh diubah oleh sesiapa pun. Manakala hukuman bagi kesalahan takzir diserahkan kepada pemerintah untuk memutuskannya. Bagi pemerintah, tidak boleh memutuskan hukuman takzir berdasarkan hawa nafsu, tetapi perlu melihat kepada semua hal keadaan yang berkaitan dengan kesalahan tersebut, diri pesalah, kadar bahaya kesalahan itu terhadap kepentingan awam dan sebagainya. Yang penting hukuman itu dapat mencegah orang lain daripada meneruskan kesalahan itu.     

Wednesday, September 28, 2011

Konsep & Pembahagian Jenayah Dalam Islam




 Oleh: Ustaz Shauqi


 Definisi Jenayah

Pelbagai takrif yang telah dikemukakan ilmuan di dalam mendefinisikan jenayah. Dalam bahasa Inggeris jenayah disebut crime, manakala dalam bahasa Arab pula disebut  jinayah (جناية). Di dalam kamus Collins English Leaner’s Dictonary menyebut makna jenayah atau crime itu ialah action which is against the law – for example – murder and robbery are crimes[1].

          Perkataan jenayah menurut Kamus Dewan bererti perbuatan kejahatan (seperti mencuri, merompak, membunuh dll) yang salah di sisi undang-undang[2]. Jenayah dari segi bahasa bererti apa yang dipetik (dilakukan) dan diusahakan oleh seseorang daripada kejahatan, asalnya diambil daripada perkataan جنى الثمر  yakni memetik buah daripada pokok. Adapun dari segi istilahnya pula ialah kata nama bagi perbuatan yang diharamkan oleh syarak samada berlaku perbuatan itu pada tubuh, harta dan lain-lain. Namun kebanyakan para ulama lebih mengkhususkan penggunaan kalimah jenayah terhadap perbuatan ke atas tubuh badan atau anggota-anggotanya iaitu dengan membunuh, mencedera dan memukul[3].

Thursday, September 22, 2011

Monday, September 19, 2011

Fahaman Pluralisme Dalam Perayaan



Oleh: Ustaz Shauqi

Baru-baru ini,   telah didedahkan tentang wujudnya aliran pemikiran 'pluralisme' yang semakin menular dalam kalangan masyarakat Islam di Malaysia.   Sekiranya aliran ini tidak dibendung segera, ia akan memberikan impak yang negatif terhadap kefahaman dan amalan masyarakat Islam di Malaysia terutamanya golongan muda-mudi.  

Fahaman pluralisme iaitu melihat semua agama adalah sama kini mula menular di kalangan golongan terpelajar di negara ini. Fahaman itu ada kaitannya dengan fahaman liberalisme yang memberi kebebasan tanpa sekatan kepada individu dalam ekonomi, politik, perundangan dan sosial. Sekiranya perkara itu tidak diberi perhatian sewajarnya, ia akan membarah dan merosakkan hidup umat Islam.

Wednesday, September 14, 2011

Belum Sampai Seru?



Oleh: Mohd Sukki Othman (Ustaz Shauqi)


Setiap manusia tidak terlepas daripada menunaikan amanah dan tanggungjawab terhadap Allah SWT. Kehidupan manusia di dunia ini adalah untuk mencari bekalan yang secukupnya sebagai persediaan untuk akhirat. Untuk mendapatkan kebahagiaan di dunia dan di akhirat, syariat Islam perlu ditunaikan oleh setiap individu muslim yang akil baligh. Persoalannya ialah bilakah seseorang itu sudah mencapai tahap akil baligh?
  
Terdapat segelintir anggota masyarakat yang masih lagi dangkal dengan pengertian akil baligh yang sebenarnya.  Apabila ditanya kepada mereka tentang solat, menutup aurat, berpuasa, dan perintah-perintah Allah yang lain, terdapat di antara mereka yang sudah pun akil baligh dengan selambanya menjawab ‘belum sampai seru’, ‘nantilah, bila hati sudah ikhlas, aku akan laksanakan perintah Allah tu!’, ‘aku tak nak jadi orang yang hipokrit membuat sesuatu tanpa ikhlas’, dan pelbagai ungkapan dan alasan lain yang dikemukakan. 

Thursday, September 8, 2011

Fenomena Rumah Terbuka


Oleh: Ustaz Shauqi

Fenomena dalam menyambut hari raya dalam masyarakat kita akhir-akhir ini ialah dengan mengadakan ‘rumah terbuka’. Konsep rumah terbuka ini adalah sesuatu yang baik sekiranya dilaksanakan mengikut lunas-lunas dan ajaran Islam yang mulia. Namun, apabila ia dilaksanakan dengan mengabaikan tuntutan syarak, maka ia tidak lagi menjadi ibadat sebagaimana yang diharapkan.

Antara tujuan mengadakan ‘rumah terbuka’ ialah untuk menghidupkan amalan ziarah-menziarahi pada hari raya. Sebagaimana yang dimaklumi, amalan saling ziarah menziarahi pada hari raya merupakan tradisi yang disyariatkan di dalam Islam.

Namun, kadang-kala berlaku, ‘rumah terbuka’ yang diadakan itu hanya menjemput golongan tertentu sahaja, yang mengakibatkan amalan ziarah-menziarahi tidak berkembang kepada golongan yang lain. Sesetengah orang pula tidak akan menziarahi rakan taulannya melainkan setelah dibuat ‘rumah terbuka’. Seolahnya amalan ziarah tertakluk kepada adanya rumah terbuka. Sekiranya tiada rumah terbuka, maka amalan ziarah tidak akan dilakukan pada hari raya. Sedangkan apa yang dikehendaki oleh Islam ialah, amalan ziarah-menziarahi itu hendaklah dilakukan bagi menghubungkan ikatan silaturrahim dan hubungan yang erat dalam kalangan umat Islam walaupun dengan ketiadaan ‘rumah terbuka’.

 Apa yang lebih penting ialah amalan saling ziarah- menziarahi di antara satu sama lain seperti menziarahi orang tua, saudara-mara, kaum kerabat,  jiran, para guru dan sahabat-handai  sebenarnya tidak terbatas dengan adanya ‘rumah terbuka’ atau pada hari raya sahaja, tetapi ia perlulah dilakukan dari semasa ke semasa demi mengukuhkan ikatan ukhuwwah dan persaudaraan sesama kita.

Apatah lagi sekiranya ‘rumah terbuka’ yang diadakan telah menyebabkan berlakunya pembaziran, maka ia amat ditegah oleh ajaran Islam. Walaupun hidangan dan juadah yang disajikan semasa ‘rumah terbuka’ tentulah menyelera dan mengasyikkan kita yang melihatnya. Ketupat, lemang, rendang, biskut, kek dan banyak lagi merupakan nikmat dan rezeki yang Allah berikan kepada kita. Namun janganlah sampai membazir!

Akibat terlalu lahap makan dan minum, 'sang penyakit' mula menyerang kita tanpa kita ketahui. Sakit perut, darah tinggi, kencing manis dan sewaktu dengannya adalah penyakit yang selalu kita dengar dan perolehi sejak akhir-akhir ini. Cara pemakanan yang kurang teratur dan stabil adalah punca utama. Pepatah Arab ada mengatakan: "Perut itu pangkal (punca) penyakit dan berjaga-jaga (berpantang) itu pangkal penawar."

Bersederhanalah dalam setiap perkara yang kita lakukan. Sebaik-baik perkara ialah yang sederhana.

Puasa Enam di Bulan Syawal


Oleh: Ustaz Shauqi


Diriwayatkan dari Abu Ayyub al-Ansariy (R.A.): Sesungguhnya Rasulullah (S.A.W.). bersabda:
مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ
أَتَبْعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْر

Maksudnya: Barang siapa yang puasa pada bulan Ramadan, kemudian diikuti puasa enam hari pada bulan Syawal adalah seperti puasa setahun penuh. ( H.R.: Bukhari dan Muslim)

Hadis ini menunjukkan bahawa puasa enam hari itu boleh dilakukan secara berurutan ataupun tidak berurutan, kerana ungkapan hadis itu bersifat mutlak, akan tetapi bersegera melaksanakan puasa enam hari itu adalah lebih utama. Tidak diwajibkan untuk melaksanakan puasa Syawal secara terus menerus akan tetapi hal itu adalah lebih utama. Kata Imam Khatib Syarbini dalam kitabnya, Mughni Muhtaj, puasa enam elok dilaksanakan secara berturut-turut tetapi sekiranya dilakukan secara berselang-seli juga tidak menjadi satu kesalahan.  

Antara fadilat puasa enam ialah mereka yang melaksanakan puasa enam akan diberi ganjaran seperti berpuasa setahun sebagaimana yang dinyatakan dalam hadis di atas. Para ulama menghuraikan rahsia di sebalik ganjaran tersebut dengan mendatangkan dalil daripada sabda Rasulullah dalam sebuah hadis yang riwayat Imam an-Nasai bermaksud: "Berpuasa pada bulan Ramadan seolah-olah berpuasa selama sepuluh bulan dan puasa enam pada bulan syawal seperti berpuasa dua bulan."

Manakala di dalam kitab Sabil al-Muhtadin pula, dinyatakan bahawa setiap amalan kebaikan manusia akan diganjari sebanyak 10 kali ganda. Puasa 30 hari pada bulan Ramadan diganjari sebanyak 300 hari, manakala puasa enam hari pada bulan Syawal pula diganjari dengan 60 hari. Jika dikira jumlahnya ialah 360 hari, ia menyamai jumlah hari di dalam setahun sebanyak 360 hari.

Namun begitu, dalam hal mana yang perlu diutamakan sama ada berpuasa qada' atau berpuasa sunat enam hari dalam bulan Syawal, terdapat 3 pandangan mengenainya, iaitu:

1. Pandangan Pertama : Qadha dulu baru buat sunat. Dalilnya ialah hadis nabi "sesiapa yg puasa Ramdhan dan diikuti dengan 6 hari dalam bulan Syawal, maka akan mendapat pahala sepanjang tahun". Jadi, dalam hadis ni menyatakan kena settle puasa ramadhan dulu, then dilengkapkan dgn puasa sunat syawal. so, kena qadha dulu mana yg tak settle dari ramadhan , baru sambung dgn yg sunat.

2. Pandangan Kedua: buat yg sunat dulu atau buat puasa 6 dulu, baru qadha' sebab puasa 6 ni waktunya terhad hanya dalam bulan Syawal, tetapi qada' boleh dibuat pada waktu lain... berdasarkan dalil bahawa Aisyah pernah mengakhirkan hutang puasa Ramadan yang perlu diqada hingga ke bulan Syaaban akan datang. Aisyah berkata: "Aku memiliki hutang puasa bulan Ramadan. Aku tidak mampu mengqadanya kecuali pada bulan Syaaban kerana sibuk (melayani) Rasulullah SAW." (Sahih Muslim). Ulama yang mengemukakan pendapat ini berhujah, sudah tentu tidak mungkin isteri Rasulullah SAW, Aisyah tidak melaksanakan puasa sunat enam Syawal. Pasti beliau melaksanakannya dan tindakan beliau mengqada puasa Ramadan pada bulan Syaaban menunjukkan dibolehkan berpuasa sunat enam Syawal sekali pun seseorang itu memiliki hutang puasa Ramadan.

3. Pandangan Ketiga: niat puasa qada' dan apabila puasa qada' tersebut berbetulan dgn hari-hari yg disunatkan, maka akan mendapat pahala puasa sunat sekali.

Kesimpulannya... elok ler diqada' terlebih dahulu puasa sebab bayar hutang yang wajib dulu, sekiranya ada kesempatan lagi... boleh diteruskan pula dengan puasa sunat, kalau dah tak berkesempatan, maka moga2 puasa qada' yg dilakukan pada bulan Syawal itu akan mendapat pahala puasa enam sekali. wallahu'alam

Monday, September 5, 2011

Mengapa Sukar Untuk Beristiqamah?



Oleh: Ustaz Shauqi

Ramadhan  sudah pun melabuhkan tirainya. Masih terbayang di mata kemeriahan ibadah pada bulan Ramadhan. Masjid dan surau dipenuhi dengan para jamaah yang beriktikaf, mengerjakan solat secara berjamaah, bertadarus dan sebagainya. Syawal pula disambut dengan laungan takbir yang bergema di seluruh pelusuk negara tanda kemenangan menundukkan hawa nafsu di sepanjang bulan Ramadhan. Namun, suatu persoalan yang perlu dijawab ialah sejauh manakah komitmen untuk beristiqamah dan meneruskan kesinambungan ketaatan pada Allah pada bulan-bulan yang datang selepas Ramadhan?

Siapakah Mat Indera?


Buku biografi Pengukir Nama Johor yang diterbitkan oleh Yayasan Warisan Johor pada tahun 2004 telah memuatkan 22 biografi ringkas tokoh-tokoh ternama Johor dan salah seorang daripadanya ialah Mat Indera . Mat Indera, atau Ahmad bin Indera lahir di Kampung Gombak, Peserai, Batu Pahat, Johor pada tahun 1920. Beliau pernah bertugas sebagai guru agama di Parit Setongkat, Muar pada tahun 1937. Diceritakan juga Mat Indera pernah berguru dengan Haji Yassin, ayah kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin. Di dalam peperiksaan Darjah Khas untuk guru-guru agama, Mat Indera pernah menerima anugerah butang perak daripada kerajaan Johor di atas kecemerlangannya di dalam peperiksaan tersebut. Selepas lulus peperiksaan Darjah Khas, beliau bertugas di Sekolah Agama Bandar Pontian sebagai guru agama.

Sewaktu pendudukan Jepun, Mat Indera bekerja sebagai peniaga beras. Setelah British kembali, Mat Indera bertugas pula sebagai ketua pengangkut beras di Pelabuhan Muar. Di waktu inilah Mat Indera membabitkan diri di dalam perjuangan menuntut kemerdekaan. Pada awalnya, Mat Indera dilantik menjadi Setiausaha Angkatan Pemuda Insaf (API) daerah Muar sewaktu API dipimpin oleh Ahmad Boestamam.