Wednesday, September 14, 2011

Belum Sampai Seru?



Oleh: Mohd Sukki Othman (Ustaz Shauqi)


Setiap manusia tidak terlepas daripada menunaikan amanah dan tanggungjawab terhadap Allah SWT. Kehidupan manusia di dunia ini adalah untuk mencari bekalan yang secukupnya sebagai persediaan untuk akhirat. Untuk mendapatkan kebahagiaan di dunia dan di akhirat, syariat Islam perlu ditunaikan oleh setiap individu muslim yang akil baligh. Persoalannya ialah bilakah seseorang itu sudah mencapai tahap akil baligh?
  
Terdapat segelintir anggota masyarakat yang masih lagi dangkal dengan pengertian akil baligh yang sebenarnya.  Apabila ditanya kepada mereka tentang solat, menutup aurat, berpuasa, dan perintah-perintah Allah yang lain, terdapat di antara mereka yang sudah pun akil baligh dengan selambanya menjawab ‘belum sampai seru’, ‘nantilah, bila hati sudah ikhlas, aku akan laksanakan perintah Allah tu!’, ‘aku tak nak jadi orang yang hipokrit membuat sesuatu tanpa ikhlas’, dan pelbagai ungkapan dan alasan lain yang dikemukakan. 

Adakah mereka masih lagi belum bersedia untuk memikul tanggungjawab dalam mentaati perintah Allah SWT?. Adakah mereka beranggapan bahawa masih lagi muda, masih banyak masa untuk bertaubat bila tiba masanya yang difikirkan sesuai?  Mungkin ada yang sampai usia 55 tahun pun masih lagi belum baligh, kononnya belum sampai seru!

Maksud baligh ialah apabila seseorang lelaki atau perempuan telah sampai pada tahap umur tertentu, maka dia menjadi seorang yang layak menerima taklif (tanggungjawab) yang ditentukan oleh syarak seperti solat, puasa, haji dan lain-lain. Orang Islam yang akil baligh disebut juga sebagai ‘mukalaf’. Menurut Kamus Dewan edisi ketiga, baligh bermaksud cukup umur atau dewasa (biasanya apabila mencapai umur antara 9-12 tahun bagi perempuan dan 12-15 tahun bagi lelaki). Manakala   ‘mukalaf’ bermaksud orang yang telah cukup umur dan diwajibkan mematuhi hukum-hukum Islam.

Menurut Syeikh Dr. Mustafa al-Bugha dan rakan-rakan dalam buku al-Fiqh al-Manhaji, tahap baligh seseorang itu dapat diketahui dengan beberapa perkara:
  1. Mimpi keluarnya mani, sama ada lelaki atau perempuan.
  2. Melihat darah haid. Ini khusus untuk perempuan sahaja. Waktu yang menjadikannya baligh disebabkan mimpi atau keluar haid ialah apabila dia mencapai umur sembilan tahun Qamariah. (menurut bulan Islam). Kelewatan atau tidak daripada umur tersebut adalah bergantung keadaan sesebuah negeri dan suasana kehidupan.
  3. Berumur 15 tahun berdasarkan tahun Qamariah (hijrah). Keadaan ini diambil kira apabila tidak berlaku mimpi atau tidak keluar haid.

Sewajarnya setiap individu muslim sudah mengetahui dengan yakin apabila sudah sampai umur baligh, maka sudah sampailah ‘seruan’ kepada mereka untuk melaksanakan perintah Allah SWT dan menjauhi segala laranganNya. Pada tahap itu mereka sudah mampu dari segi segala aspek fizikal dan mental  untuk memikul serta melaksanakan perintah Allah SWT, dan sudah lengkap bersedia dengan ilmu fardu ain dan bukan masanya lagi untuk berlengah dan bertangguh!  Ini kerana mereka telah bertanggungjawab atas segala perbuatan  sebagai ‘hamba’ Allah SWT. Baik atau buruk akhlak dan prestasi  sebagai ‘hamba’ Allah SWT sudah ada ganjaran dan hukumannya.

Akan tetapi, apa yang mendukacitakan dewasa ini ialah persoalan baligh tidak lagi diambil berat malah dipandang remeh pula. Terdapat di antara anggota masyarakat sama ada ibu bapa atau  remaja hanya menganggap baligh merupakan perkara biasa yang tidak perlu diberi perhatian serius. Natijahnya, kewajipan dan amanah yang perlu ditunaikan terus diabaikan.

Anak ialah amanah Allah kepada ibu bapa supaya  menjaga dan memelihara mereka mengikut landasan Islam. Ibubapa diwajibkan berusaha dengan bersungguh-sungguh melaksanakan didikan agama terhadap anak mereka. Mendidik anak agar memahami tanggungjawab terhadap Islam itu adalah wajib hukumnya.

Ramai ibubapa pada hari yang hanya mementingkan pembelajaran akademik anak mereka semata-mata, akibatnya terdapat anak yang tidak tahu membaca al-Quran, tidak tahu menunaikan solat, dan tidak boleh membaca surah al-Fatihah. Lebih teruk lagi apabila terdapat anak yang tidak tahu apa itu mandi hadas besar, dan masih tidak tahu menyebut kalimah syahadah dengan betul walaupun sudah mencapai usia baligh.  

Justeru, ibu bapa memainkan peranan penting untuk mendidik anak agar mereka memahami erti baligh dan dewasa. Apabila seseorang anak sudah mencapai umur baligh,  ibu bapa perlu memisahkan anak lelaki dan anak perempuan mereka dari bilik tidur masing-masing untuk menghindarkan berlakunya perkara yang tidak diingini. Langkah ini akan dapat menyedarkan mereka bahawa tidak manis berkongsi bilik apabila telah meningkat akil baligh.

Ibu bapa juga sebenarnya bertanggungjawab untuk melatih anak-anak mereka untuk melaksanakan perintah Allah sejak mereka belum mencapai usia baligh lagi sebagai persediaan ke arah itu. Ini telah ditegaskan oleh hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Imam Abu Daud  yang bermaksud:  
 "Suruhlah anak kamu solat apabila mereka berumur tujuh tahun dan pukullah mereka apabila mereka berumur sepuluh tahun (sekiranya enggan menunaikan solat) dan pisahlah mereka di tempat tidur apabila mereka berusia sepuluh tahun." 

Selain itu, ibu bapa juga wajar memberi penerangan kepada anak-anak supaya tidak masuk ke dalam bilik tidur ibu bapa mereka dengan sesuka hati dan tanpa keizinan. Peraturan ini telah ditetapkan oleh Islam agar tidak berlaku sesuatu yang tidak diingini seperti sumbang mahram dan sebagainya.   

Firman Allah SWT dalam surah al-Nur ayat 58  bermaksud : 
  "Wahai  orang yang beriman, hendaklah budak-budak (lelaki dan wanita) yang kamu miliki, dan  orang yang belum baligh dari kalangan kamu, meminta izin kepada kamu (sebelum masuk ke tempat kamu), dalam tiga masa bagi kamu (yang biasanya terdedah 'aurat kamu padanya). Kamu dan mereka tidaklah bersalah kemudian daripada tiga masa ; (iaitu) sebelum solat Subuh, dan ketika kamu menanggalkan pakaian (luar)mu di tengah hari, dan sesudah solat Isyak. (Itulah) tiga aurat bagi kamu. Tidak ada dosa atasmu dan tidak (pula) atas mereka selain dari (tiga waktu) itu. Mereka melayani kamu, sebahagian kamu (ada keperluan) kepada sebahagian (yang lain). Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayat-Nya (yang menjelaskan hukum-hukum-Nya); dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana."   

 Tambahan daripada itu, anak-anak juga perlu diajar agar bersopan santun menurut kacamata Islam sama ada dari segi berpakaian, pergaulan sehari-hari, akhlak, ketaatan kepada Allah dan seumpamanya. Mereka perlu dididik dan diberi kefahaman yang cukup tentang Islam sejak mereka kecil lagi  agar bila mereka mencapai usia baligh, mereka dapat melaksanakan segala perintah Allah dan meninggalkan laranganNya dengan mudah dan selesa.
 
            Di samping tanggungjawab ibubapa terhadap anak, para remaja yang meniti usia baligh juga perlu berperanan untuk memastikan diri mereka berada pada jalan yang lurus dan yang diredhai Allah. Jangan hanya asyik membicarakan tentang perubahan fizikal pada tubuh badan sahaja seperti soal jerawat yang mula tumbuh, suara yang mula garau dan bentuk badan yang sudah berubah. Persoalan iman, ilmu dan akhlak perlu diutamakan!.

            Mereka yang sudah akil baligh sepatutnya sudah menjadi matang iaitu mampu   berfikir, menilai dan bertindak dengan betul. Sesuatu perkara yang hendak dilakukan, hendaklah didasarkan kepada pemikiran yang sihat berlandaskan syariat Islam. Ingatlah, bahawa setiap perlakuan yang dilakukan di atas dunia ini akan dihitung oleh Allah SWT di akhirat kelak. Firman Allah SWT dalam surah al-Zalzalah ayat 7-8 bermaksud: “Sesiapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarah sekalipun, nescaya dia akan melihat (balasan)nya, dan sesiapa yang mengerjakan kejahatan seberat zarah sekalipun, nescaya dia akan melihat (balasan)nya pula”.

            Ringkasnya, antara tanggungjawab seorang mukallaf yang sudah akil baligh ialah:
  1. Mematuhi dan menunaikan segala perintah Allah seperti menunaikan solat, berpuasa di bulan Ramadhan, menutup aurat, menunaikan amanah, berdisiplin, dan lain-lain.
  2. Meninggalkan segala larangan Allah seperti berzina, minum arak, berjudi, melepak, menagih dadah, menderhaka kepada ibubapa, menipu, khianat dan sebagainya.
  3. Mewujudkan hubungan yang baik sesama manusia seperti berkasih sayang, bermaaf-maafan  dan saling bekerjasama.
  4. Melaksanakan konsep amar maaruf dan nahi mungkar iaitu menyeru masyarakat ke arah perkara-perkara kebaikan dan mencegah kemungkaran. 
  5. Menjauhi perkara yang boleh menjatuhkan maruah agama, keluarga, bangsa dan negara.

No comments:

Post a Comment