Friday, September 30, 2011

Jenayah Takzir

Oleh : Ustaz Shauqi

Takzir pada bahasa bermaksud mendidik (التأديب) dan pada istilah syarak bererti mendidik seseorang yang melakukan perbuatan yang dilarang oleh syarak dan tidak ada hukuman tertentu bagi kesalahan-kesalahan takzir. Jadi kesalahan-kesalahan takzir adalah larangan syarak yang tidak ditentukan hukuman tertentu oleh syarak seperti berkhalwat dengan wanita bukan mahram, memaki hamun, berjudi dan sebagainya. Terpulang kepada pemerintah untuk mengenakan hukuman kepada pesalah berdasarkan kepentingan awam.

          Perbezaan antara hudud dan takzir ialah hukuman bagi kesalahan hudud telah ditentukan oleh syarak dan tidak boleh diubah oleh sesiapa pun. Manakala hukuman bagi kesalahan takzir diserahkan kepada pemerintah untuk memutuskannya. Bagi pemerintah, tidak boleh memutuskan hukuman takzir berdasarkan hawa nafsu, tetapi perlu melihat kepada semua hal keadaan yang berkaitan dengan kesalahan tersebut, diri pesalah, kadar bahaya kesalahan itu terhadap kepentingan awam dan sebagainya. Yang penting hukuman itu dapat mencegah orang lain daripada meneruskan kesalahan itu.     



          Sistem hukuman takzir ini hanya diamalkan di dalam undang-undang jenayah Islam, namun sekarang barulah ada peruntukan di dalam undang-undang jenayah moden untuk membenarkan hakim memutuskan hukuman berdasarkan ijtihadnya sehingga dapat merealisasikan tujuan keadilan daripada keputusannya[1].

          Para fuqaha’ mentakrifkan takzir sebagai hukuman yang tidak ditentukan kadarnya oleh syarak yang merupakan hak Allah atau hak manusia, atas setiap maksiat yang tidak dihukum dengan hukuman had atau kaffarah[2].

HUKUMAN-HUKUMAN TA’ZIR


Tujuan utama pelaksanaan hukuman takzir dalam syariat Islam ialah pencegahan dan pengajaran di samping pemulihan dan pendidikan. Di samping itu terdapat berbagai-bagai tujuan lagi. Maka apa sahaja tujuan yang bertentangan dengan tujuan sebenar takzir ini diharamkan oleh syariat Islam. Sebab itu Islam mengharamkan takzir yang bertujuan semata-mata menyeksa dan yang boleh membawa kerosakan sama ada pada jiwa atau tubuh badan penjenayah.

          Pencegahan ertinya mencegah pesalah daripada mengulangi kesalahannya, di samping mencegah orang lain juga daripada melakukan perbuatan serupa itu. Oleh kerana pencegahan merupakan tujuan utama takzir maka hukuman yang ditentukan mestilah mencapai tujuan ini. Ia mungkin berbeza di antara satu kes dengan kes yang lain, kerana ada orang yang boleh dicegah daripada melakukan sesuatu dengan hanya memberi nasihat atau dengan ditempeleng atau ditumbuk. Ada pula orang yang boleh dicegah daripada perbuatan yang sama dengan menahannya. Di samping itu hukuman juga berbeza menurut kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh seseorang itu.

          Syariat Islam di samping menentukan bahawa hukuman takzir itu semestinya untuk tujuan pencegahan atau ugutan, tetap mengambil berat tentang diri pesalah itu sendiri, dan tidak membiarkannya begitu sahaja, agar timbul dalam dirinya kesedaran agama sehingga dengan rela hati dia akan menjauhkan apa juga kesalahan. Bagi Islam kesedaran dari dalam diri ini dan juga kesedaaran beragama merupakan sebaik-baik cara untuk mencegah seseorang dari melakukan kesalahan. Oleh itu, menurut para fuqaha’, takzir disyariatkan untuk tujuan pembersihan dan pemulihan, iaitu dengan membetulkan diri pesalah dan membersihkan dirinya dari segala kekotoran jenayah sehingga dengan itu dia akan menjadi seorang yang bersih dan terselamat daripada dorongan jenayah dan termasuk dalam golongan orang-orang yang berguna kepada masyarakat[3].

Jenis-jenis Hukuman Takzir


Ada berbagai-bagai hukuman takzir dalam syariat Islam. Setengah daripadanya mengenai tubuh badan, seperti hukuman bunuh atau sebat, ada yang dalam bentuk menyekat kebebasan seperti penjara dan buang daerah dan ada yang dalam bentuk harta dan sebagainya.

Hukuman-hukuman Takzir yang lain


Ada beberapa jenis hukuman lain atas kesalahan takzir ini, seperti menyebut kesalahan dan memberi nasihat, menghadirkan diri ke mahkamah, memberi ingat, mencela, memulau, melucutkan jawatan dan mengisytiharkan kesalahan.

KESIMPULAN

Asas di dalam mengiktibar sesuatu perbuatan melakukan (larangan syarak) atau meninggalkan (perintah syarak) sebagai jenayah kembali kepada sejauh mana perbuatan itu memberi kemudaratan kepada masyarakat dari segi menggugat keselamatan, keamanan, perpaduan, sistem dan akidahnya. Juga sejauh mana ia memberi kemudaratan kepada individu-individu dari segi menggugat kepentingan individu-individu yang dijaga oleh syarak. kepentingan-kepentingan tersebut ialah yang bersangkut dengan memelihara agama, jiwa, akal, keturunan, maruah dan harta.

          Semua jenayah tanpa kecuali, mengganggu gugat kepentingan individu-individu dan membahayakan masyarakat. Undang-undang moden, walaupun mempunyai kesamaan dengan syariat Islam secara umumnya tetapi berbeza secara terperincinya. Misalannya Islam menitik beratkan agama, jiwa, akal, keturunan dan harta. Jadi diwujudkan hukuman bunuh untuk murtad, sebat dan rejam untuk zina, sebat untuk minum arak dan sebagainya. Konsep sebegini tidak terdapat di dalam undang-undang jenayah moden[4]. Begitulah Allah s.w.t. Yang Maha Bijaksana Lagi Maha Mengetahui memandu hambanya ke arah jalan yang diredhainya agar mereka dapat hidup dalam kehidupan yang sempurna dengan keamanan dan keharmonian.


[1] Lihat Dr. Abd al-Karim Zaydan (1990), al-Madkhal li Dirasat al-Syariah al-Islamiah, c. 11, Beirut, Muassasah al-Risalah, h. 337-343, Dr. Mustafa al-Khin dan rakan-rakan (1992), al-Fiqh al-Manhaji, c. 8, Dah.yik, Dar al-Qalam, h. 40-43.
[2] Lihat definisi-definisi mengenai takzir di kalangan para fuqaha’ dalam Ibn al-Hummam, Fath al-Qadir, Jld. 5, h. 345.
[3] Lihat huraian lanjut dalam ‘Abd al-‘Aziz Amir, al-Takzir, h . 293-303.
[4] Dr. ‘Abd al-Karim Zaydan,   h. 334.

1 comment:

  1. hudud Allah perlu dilaksanakan kerana setiap syariat Allah ada kebaikannya kepada kita...

    ReplyDelete