Tuesday, October 25, 2011

Haruskah Umat Islam Menyambut Deepavali?



Oleh: Ustaz Shauqi

Memandangkan masyarakat Malaysia merupakan masyarakat majmuk, maka ada orang bertanya tentang keharusan umat Islam menyambut  Deepavali. Persoalannya ialah adakah umat Islam dibenarkan untuk turut sama merayakan perayaan bukan Islam?. Perayaan yang berbentuk budaya tidaklah menjadi suatu masalah, akan tetapi bagaimanakah pula sambutan perayaan yang berbentuk agama, adakah ia wajar disambut oleh masyarakat Islam? Setiap individu muslim sepatutnya meneliti persoalan ini dengan berhati-hati berlandaskan hukum syara’ agar akidah terpelihara, dan dalam masa yang sama hubungan di antara masyarakat Islam dan bukan Islam tetap menjadi erat.

Sunday, October 23, 2011

Di Ambang Kewafatan Imam Syafie


al-Muzani masuk berjumpa al-Imam al-Syafie ketika beliau terlantar sakit yang membawa kepada kematiannya, lalu dia pun berkata : Bagaimana awak rasa wahai Abu Abdullah ?. Imam Syafie pun berkata :

Dunia akan ku tinggalkan, dengan rakan akan berpisahan, dengan buruknya amalan suatu pertemuan, gelas harapan menjadi minuman, dan kepada Allah Taala aku mendatang, Tidak ku ketahui sama ada rohku akan ke syurga maka ku gembira, atau ke neraka, maka ku kan berduka

Kemudian beliau menangis dan berkata:

Apabila kerasnya hatiku dan sempitnya perjalananku
pengharapan kemaafanMu kupinta

Betapa besarnya dosaku dan belum lagi aku menghubungkannya

dengan kemaafanMu –ya tuhanku- kemaafan paling berharga

Engkaulah yang sentiasa memaafkan daripada segala dosa

Engkau juga kan melimpahkan kemurahan dan kemaafan yang maha mulia

Madu dan Kehidupan


Kerjasama yang terdapat dalam masyarakat lebah telah menghasilkan madu yang boleh menyembuhkan penyakit. Justeru, masyarakat Islam sewajarnya mengambil pengajaran daripada lebah dan madu. Semangat kerjasama dan kerja berpasukan secara penuh komited dan bersungguh-sungguh telah menghasilkan madu yang amat bernilai dalam kehidupan.

Sehubungan dengan itu, masyarakat Islam hendaklah sentiasa bermuhasabah diri dengan menjadikan kehidupan lebah sebagai contoh dan tauladan, sesuai dengan kata-kata ‘Umar al-Khattab yang bermaksud: “Muhasabahlah diri kamu sebelum kamu dimuhasabah oleh Allah (di akhirat)”.  Justeru, persoalan yang seharusnya bermain di minda adalah, apakah usaha dan amalan yang dilakukan saban hari mendatangkan manfaat dan ‘madu’ dalam kehidupan atau pun tidak?.

Setiap tindakan dan amalan seharian hendaklah bermatlamatkan untuk mendapat keredhaan Allah SWT serta dapat memberikan manfaat dan kebaikan kepada orang lain. Sebagai contohnya ialah kerjasama dan kerja berpasukan adalah sangat penting dalam usaha membantu golongan yang kurang berkemampuan. Apatah lagi sifat keprihatinan terhadap umat Islam yang lain adalah suatu tuntutan di dalam Islam, sebagaimana hadis nabi SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang tidak mengambil berat hal-ehwal orang Islam yang lain, maka dia bukanlah dari kalangan mereka”. Oleh itu, NGO, Badan Kebajikan atau apa jua organisasi yang wujud  hendaklah benar-benar dapat memberikan manfaat kepada golongan sasaran, ibarat lebah yang menghasilkan madu!.

Thursday, October 20, 2011

Jangan Lupa Berdoa





Nabi saw bersabda:

(مَنِ اسْتَغْفَرَ لِلْمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَات كَتَبَ الله لَهُ بِكُلِّ مُؤْمِنٍ وَمُؤْمِنَةٍ حَسَنَة)- رواه الطبراني، وحسنه الألباني
Maksudnya: ‘Sesiapa yang memohon keampunan bagi orang mukmin yang lain sama ada lelaki atau perempuan, maka Allah akan memberikan ganjaran bagi setiap mukmin dan mukminah yang didoanya’.

Justeru, alangkah baiknya sekiranya seseorang itu sentiasa menadah tangan mengangkat ke hadrat Ilahi memohon keampunan daripada segala dosa bagi dirinya sendiri, ibubapanya, dan bagi seluruh umat Islam sama ada yang masih hidup atau pun yang sudah meninggal dunia. Bukannya susah untuk berdoa, akan tetapi malangnya, terdapat segelintir umat Islam  yang sukar untuk meluangkan sedikit masa sahaja sekadar tidak sampai lima minit pun untuk berdoa kepada Allah swt. Sabda nabi saw :
الدعاء مخ العبادة- رواه الترمذي
الدعاء هو العبادة – رواه مسلم
 Alangkah besarnya pahala apabila kita berdoa kepada Allah, bahkan sebagaimana yang dijelaskan oleh nabi, doa itu bukan sekadar sebagai satu ibadah, tetapi kita akan mendapat pahala yang banyak sekiranya kita berdoa untuk orang beriman yang lain. Bukannya susah untuk mendapatkan pahala, tetapi malangnya ramai umat Islam yang tidak mengambil kesempatan untuk mendapatkannya.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, nabi saw bersabda: ‘Doa seseorang Muslim terhadap saudaranya yang dilakukan tanpa pengetahuan saudaranya itu akan diterima oleh Allah …’. Oleh yang demikian ulama terdahulu telah menyatakan bahawa sekiranya mereka menginginkan agar doa mereka diterima Allah, mereka akan berdoa dengan kebaikan terhadap sahabat mereka tanpa pengetahuan saudara mereka itu.

Tuesday, October 18, 2011

Ibadah Korban

Oleh: Ustaz Shauqi

Ibadah korban telah disyariatkan pada tahun kedua hijrah. Antara tujuan ibadat ini dilakukan ialah untuk mengingati semangat pengorbanan agung yang telah dilakukan oleh Nabi Ibrahim a.s. dan anaknya Nabi Ismail a.s.. Nabi Ibrahim a.s. telah mendapat wahyu melalui mimpinya bahawa Allah s.w.t. memerintahkannya untuk menyembelih anaknya Ismail. Ini merupakan perintah yang amat berat bagi nabi Ibrahim, apatah lagi Ismail merupakan anak kesayangannya yang dilahirkan setelah baginda melewati usia lanjut, hasil perkongsian hidupnya dengan Hajar.

Namun, kekuatan iman dan semangat pengorbanan yang tinggi yang dimiliki oleh nabi Ibrahim menyebabkan baginda bertekad dengan sepenuh hati untuk melaksanakan perintah Allah ini. Allah s.w.t. telah merakamkan dalam al-Quran kata-kata nabi Ibrahim kepada anaknya, dalam surah al-Saffat ayat 102 yang bermaksud: "Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpiku, bahawa aku (diperintahkan) untuk menyembelihmu, maka apakah pendapatmu". Walaupun Nabi Ismail a.s. ketika itu masih muda, tetapi baginda tidak teragak-agak dalam memberikan persetujuan terhadap perintah Allah ini. Allah telah menyatakan dalam al-Quran tentang jawapan yang diberikan oleh nabi Ismail kepada bapanya, dalam surah al-Saffat ayat 102 yang bermaksud: "Wahai ayahku! Jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu, insya-Allah, ayah akan mendapati (menyaksikan sendiri) daku dari orang yang sabar"

Berbekalkan semangat pengorbanan yang tinggi kepada Allah, Nabi Ibrahim a.s. dan nabi Ismail a.s. bersedia untuk melaksanakan perintah Allah ini. Lalu, Nabi Ibrahim a.s. pun meletakkan pisau yang tajam di leher anaknya untuk menyembelihnya. Pada saat itu juga, Allah s.w.t menunjukkan Kekuasaan dan KeagunganNya dengan menggantikan nabi Ismail dengan kibasy untuk disembelih oleh nabi Ibrahim a.s. 

Bermula dari sejarah inilah, ibadah korban dilaksanakan. Nabi Muhammad s.a.w. meneruskan ibadah korban ini, dan ia menjadi satu amalan Islam yang dilaksanakan pada setiap hari raya Aidiladha dan pada hari-hari Tasyrik. Firman Allah dalam surah al-Kawthar ayat 2 bermaksud: "… tunaikanlah solat kerana Tuhan-Mu semata-mata dan sembelihlah korban (sebagai tanda bersyukur)".

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmidhi dan al-Hakim, Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Tidak melakukan seorang anak Adam sesuatu amalan pada hari raya Adha yang lebih disukai oleh Allah Taala daripada menumpahkan darah (menyembelih korban). Sesungguhnya binatang korban itu akan datang pada hari kiamat nanti dengan tanduk, bulu dan kukunya. Dan sesungguhnya darahnya jatuh di sisi Allah pada satu tempat kemuliaan lebih dahulu dari jatuh kebumi. Maka berkiralah diri kamu dengan korban".
 
Ibadah korban yang dilakukan pada hari raya haji dan pada hari-hari Tasyrik ini bukanlah semata-mata untuk menyembelih binatang dan disedekahkan dagingnya kepada fakir miskin, akan tetapi ia juga merupakan simbolik ke arah semangat pengorbanan dan semangat jihad yang perlu ada pada diri setiap individu muslim. Orang yang akan memperoleh keredhaan Allah, dan yang akan mencapai kecemerlangan di dunia dan di akhirat ialah mereka yang sanggup berkorban masa, tenaga, wang ringgit dan jiwa raga di jalan Allah s.w.t.

Akan tetapi, yang menjadi persoalannya ialah mengapakah terdapat di kalangan umat Islam yang sanggup melakukan ibadah korban dengan menumpahkan darah binatang yang disembelih sebagai tanda taat kepada Allah, namun tidak sanggup 'berkorban' dalam mentaati perintah Allah dalam perkara yang berkait dengan hukum hakam agama yang lain? Mengapakah masih terdapat di kalangan umat Islam yang tidak melaksanakan perintah Allah seperti menunaikan solat lima waktu dengan sempurna, menutup aurat, menghadiri majlis-majlis ilmu yang diadakan di masjid dan surau dan sebagainya? Mengapakah juga masih terdapat di kalangan umat Islam yang bergelumang dengan maksiat dan perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah seperti menipu, rasuah, judi, dan sebagainya?

Thursday, October 13, 2011

Cerpen di Kota Sydney Part 1

 Masjid Darul Imaan, Arnclif, Sydney

Oleh: Shawqi al-Yarmouki

Muhammad Ramadan sedang berehat selepas menunaikan solat Asar di masjid, tiba-tiba ia didatangi oleh seorang lelaki Australia bertubuh tegap, berbadan sasa. Lelaki Australia tersebut terus meluru ke arah Muhammad Ramadan. Muhammad Ramadan menjadi kaget dan terkejut dengan tindakan lelaki  itu yang meluru kepadanya. Muhammad Ramadan yang sedang menyandarkan badannya di dinding masjid sambil tangannya memegang biji-biji tasbih dan mulutnya yang berkumat-kamit menyebut kalimah-kalimah zikir. 

Zikir dapat menenangkan jiwa. Ia memberi kedamaian dalam hati Muhammad Ramadan. Allah berfirman dalam surah al-Ra’d ayat 28 bermaksud: ‘Bukankah dengan mengingati Allah itu, hati kan menjadi tenang’.  Hampir saja Muhammad Ramadan melelapkan mata, tiba-tiba dia dikejutkan dengan kehadiran manusia yang tidak di undang ini. Perasaan risau dan takut bercampur-baur dalam diri Muhammad Ramadan. Apa tidaknya, beliau keseorangan dalam masjid tika itu. Jemaah lain yang sama-sama menunaikan solat Asar bersamanya tadi sudah pun pulang.

 Imam Abdullah Salim pun dah pulang. Lagi pun rumah imam agak jauh dari masjid. Untuk sampai ke masjid, imam terpaksa memandu kereta selama 15-20 minit. Tapi ia tetap istiqamah sebagai imam di masjid ini kerana ia sedar para jemaah memerlukan khidmatnya.  Ia juga menjadi pakar rujuk dalam hal ehwal agama dan dakwah di Kota Sydney. Kebiasaannya setiap kali lepas solat berjemaah, Muhammad Ramadan, imam dan beberapa jemaah yang lain akan mengadakan halaqah ilmu dan berbincang tentang dakwah dalam kalangan generasi muda di Sydney. 

Tapi hari itu, imam agak tergesa-gesa.  Imam ada memberitahu Muhammad Ramadan  bahawa ia perlu segera pulang kerana ada sedikit urusan yang perlu diselesaikan. Muhammad Ramadan tidak tahu apakah urusan imam hari itu. Mulutnya pula terkunci rapat daripada bertanya. Selepas imam beredar, barulah dia terfikir ke manakah imam hendak pergi dalam keadaan tergesa-gesa itu.  “Aahh, mungkin ada urusan penting tu”, getus hatinya. Selepas imam beredar, jemaah yang lain pun turut beredar pulang.

Cuma yang tinggal hanyalah Abdul, siak masjid yang berasal dari Lubnan yang  sudah menetap di Arncliff, Sydney sejak sekian lama. Wajah Abdul persis wajah warga Australia, tubuhnya yang tinggi lampai, berbadan agak besar, berkulit putih kemerahan. Istiqamah sungguh Abdul dengan kopiah di kepala dan tasbih di tangannya sepanjang berada di dalam masjid. Tapi masalahnya sekarang, kelibat Abdul tidak kelihatan, entah ke mana ia menghilang. Hal itu membuatkan Muhammad Ramadan bertambah risau. Muhammad Ramadan keseorangan di dalam masjid.

Bersambung ...... 

Monday, October 10, 2011

Dunia Adalah Ujian

Oleh: Ustaz Shauqi

Satu hakikat yang mesti diakui dan diimani oleh setiap muslim ialah "dunia adalah ujian". Jika dunia bukan ujian, pastilah para kekasih Allah dalam kalangan para nabi dan rasul hidup dalam keadaan mewah dan bersenang-lenang.  Akan tetapi pada hakikatnya para nabi dan rasul menghadapi segala macam rintangan dan dugaan dalam kehidupan ini dalam usaha mereka mengajak manusia mentauhidkan Allah.

Sebagai contohnya ialah nabi Nuh a.s telah ditentang oleh keluarga dan kaumnya sendiri dan dituduh gila, nabi Ibrahim a.s telah dibakar oleh Namrud,   nabi Musa a.s dizalimi Fir'aun yang mengaku sebagai tuhan, nabi 'Isa hidup penuh kefakiran dan diancam  bunuh dan Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW ditentang dengan begitu hebat oleh kaum Quraisy serta diancam bunuh. Sejarah kehidupan para nabi dan rasul bukan dipenuhi keseronokan dan keindahan, malah dipenuhi onak dan ranjau di sepanjang jalan. Namun, mereka menerimanya sebagai cabaran dalam mengejar destinasi cinta yang abadi iaitu cinta kepada Ilahi.

Ulasan Bajet 2012


Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha mengasihani, Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad s.a.w serta ahli keluarganya, sahabat dan seluruh umat yang menurutinya dalam kebaikan dan keimanan.
Kami sekumpulan ilmuan Islam dan pendakwah tanahair dengan ini sukacita untuk berkongsi sedikit respon kami terhadap bajet 2012 yang baru dibentangkan Jumaat. Dengan status sebahagian besar kami yang kerap diajukan soalan berkaitan kehidupan dari pelbagai aspek khususnya dalam bab agama, kami merasa tanggungjawab untuk menyumbang idea dan ilmu, justeru kami duduk mengadakan pertemuan di antara ilmuan dan beberapa pendakwah yang berkesempatan bagi membincangkan BAJET 2012 walau mengakui kami tidak mempunyai angka-angka lengkap dan terperinci berkait pembangunan ekonomi Negara. Pun begitu, itu tidaklah menghalang kami dari memberikan respon dari angka-angka dan cadangan yang termaktub di dalam buku bajet 2012.

Wednesday, October 5, 2011

Haji Akbar

Oleh : Ustaz Shauqi

Di musim orang berangkat ke tanah suci Makkah ni, masih ramai yang masih  bertanya tentang Haji Akbar.... Jadi, dibawakan sekali lagi di sini perbahasan tentang haji akbar ini untuk penjelasan.
Ramai juga  yang  tertanya-tanya apakah yang dimaksudkan dengan haji akbar itu? Adakah berwuquf pada hari Jumaat sahaja dikatakan memperoleh Haji Akbar? Bagaimana pula dengan jemaah yang menunaikan haji yang kebetulan wuquf mereka pada hari selain Jumaat, maka adakah mereka tidak memperoleh haji Akbar? Segala persoalan-persoalan yang berlegar dalam minda umat Islam mestilah dijawab dan diberi perhatian dengan segera agar mereka tidak terus berada dalam keadaan buntu, dan sekurang-kurangnya satu ilmu baru dapat dipelajari bagi mereka yang amat gemar dalam mengkaji ilmu-ilmu Islam.